Thursday, September 30, 2010

JUDI: AGAKNYA BARU KINI UMNO MENYEDARI IANYA HARAM?

Amat menghairankan kita apabila baru kini 'agaknya' UMNO menyedari bahawa judi itu haram disisi agama. Dengan berterusan memainkan isu pembiayaan RM2 juta yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk program membasmikan kemiskinan tegar dinegeri tersebut.

Keributan yang pada awalnya ditimbulkan oleh pergerakan pemuda UMNO negeri Pulau Pinang sejak seminggu lalu kini telah memasuki fasa baru yang lebih ‘gemilang’ apabila media massa elektronik telah menjadikan isu ini sebagai berita utama mereka apabila menyiarkan rintihan warga emas yang didakwa sebagai cukup terhina akibat ragu-ragu dengan sumber hasil perjudian ini.

“Wang judi kuda dipulangkan!”, itu pula adalah tajuk utama akhbar Utusan Malaysia hari ini 30 September 2010 yang turut mensensasikan sama isu pembiayaan ini. Memang kita akui dan tidak dinafikan langsung bahawa menerima bantuan hasil keuntungan daripada sebarang bentuk perjudian itu sememangnya amat diragui untuk digunakan.

Cuma kita melihatkan isu ini lebih disensasikan oleh UMNO sebagai isu politik semata-mata kerana kita merasakan ianya begitu pelik yang secara tiba-tiba memperlihatkan UMNO seolah-olah sebagai juara didalam memperjuangkan syiar Islam terutamanya didalam membenteraskan perjudian tersebut.

Meragui hasil dan sumber yang diperolehi untuk diberikan bagi tujuan tertentu sememangnya baik untuk kita semua cuma kita mahukan agar perkara yang di’juarai’ oleh UMNO ini turut sama menjadi juara untuk menentang pembiayaan dan sumbangan oleh syarikat-syarikat judi yang bertaraf nasional seperti Magnum 4-D, Sport Toto serta kelab-kelab kuda yang ada diseluruh negara.

Bukan itu sahaja, penglibatan beberapa individu Islam terutamanya daripada kalangan pemimpin UMNO serta mantan pegawai tinggi kerajaan yang dilantik samada sebagai Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta ahli lembaga pengarah oleh syarikat-syarikat yang terang-terangan terlibat didalam perjudian seperti Genting Berhad, Magnum-4D serta yang lain adalah bukti bahawa UMNO bukanlah serius untuk memperjuangkan isu ini sebenarnya!

Kerana apa? Kerana kita melihat UMNO pasti akan mendiamkan diri dan membezakan perkara ini apabila secara terang terkena pada batang hidung mereka sendiri. Sebab itu daripada awal lagi kita melihat isu wang judi yang kononnya digunakan didalam program ini lebih dilihat sebagai isu politik yang terbaru!

Kepada DS Reezal Merican selaku Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia juga, tolong tanya dan periksa juga sudah berapa banyak syarikat-syarikat perjudian yang disebutkan ini telah membiayai berbagai program sukan yang turut mengandungi atlit-atlit sukan beragama Islam dengan menggunakan hasil keuntungan tersebut?

Dimanakah beliau suatu ketika dahulu ketika kerajaan beria-ria untuk membenarkan perjudian bolasepak diadakan semasa Piala Dunia 2010 diadakan di Afrika Selatan pada Jun lalu?

Bukan setakat syarikat perjudian saja malahan kebanyakan program sukan di negara kita turut juga ditaja oleh syarikat pengeluar minuman keras seperti Carlsberg, Guiness dan sebagainya. Jadi fikirkanlah…

Wednesday, September 29, 2010

SENARIO PEMILIHAN KEADILAN PASCA PRU 2008

Insiden membaling kerusi, bergaduh, bertumbuk, memaki hamum sesama penyokong terus mewarnai mesyuarat agung dan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di kebanyakan tempat di seluruh negara kini.

Melihat kepada senario yang memalukan ini secara tidak langsung telah menjejas imej parti yang melihatnya sebagai cukup tidak beradab ketika mesyuarat berlangsung.

Merenung kembali sejarah parti sejak penubuhannya pada tahun 1999, senario perebutan jawatan dan kuasa didalam Keadilan tidaklah begitu menonjol sangat pada ketika itu sehinggalah tibanya PRU ke 12 2008 lalu.

Ini kerana sebelum PRU 12, semua orang beranggapan Keadilan seumpama parti yang tidak lagi mempunyai kekuatan apatah lagi untuk meneruskan perjuangan lebih-lebih lagi selepas tewas teruk pada PRU 11 2004.

Saya masih ingat lagi sewaktu diawal menyertai Keadilan pada 04.04.1999,dirasakan amat begitu sukar sekali untuk mencari penggerak parti apatah lagi untuk mencari seorang ketua bagi mengepalai parti diperingkat cabang (dipanggil bahagian ketika itu).

Masih teringat bagaimana senario sebelum PRU 12 2008, ramai antara mereka yang tidak berani langsung untuk bersama-sama walaupun sekurang-kurangnya sebagai ahli jawatankuasa (AJK) apatah lagi bertindak sebagai ketua bahagian pada ketika itu dan apatah lagi untuk di jadikan sebagai seoarng calon DUN dan Parlimen bagi menghadapi PRU 12 2008 tersebut.

Dengan tekanan dari pelbagai peringkat samada daripada pihak polis (SB), majikan serta sindiran orang ramai terhadap halatuju perjuangan Keadilan ini, tiba-tiba sahaja keadaan ini mula berubah sekelip mata apabila keputusan di PRU 2008 parti-parti pembangkang utama negara seperti Keadilan, PAS dan DAP memenangi banyak kerusi disamping petunjuk daripada rakyat yang telah mula beralih angin untuk memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat (PR) terutamanya Parti Keadilan Rakyat.

Kesan daripada kejatuhan 5 negeri kepada PR telah membuka mata ramai pihak terutamanya kepada mereka yang masih tidak berparti serta yang masih setia bersama dengan UMNO, MCA, MIC, GERAKAN serta komponen Barisan Nasional (BN) yang lain pada ketika itu apabila berbondong-bondong serta berduyun-duyun antara mereka ini ‘menyeberangi’ kedalam Keadilan termasuklah mantan menteri dan timbalan menteri serta pimpinan utama parti komponen BN!

Dengan penyertaan ini secara tidak langsung keahlian parti semakin bertambah kuat serta gah. Disamping itu juga kemasukan mereka ini juga sudah pasti akan turut membawa masuk bersama 'gaya pemikiran' serta 'pandangan' yang berbeza dan tidak selari dengan mereka (ahli Keadilan asal) yang telah sekian lama berada didalam Keadilan semenjak parti ini ditubuhkan kira-kira 11 tahun yang lalu.

Faktor lain mungkin juga akibat daripada keyakinan rakyat bahawa PR akan mengambil alih pemerintahan persekutuan di Putrajaya selepas PRU 13 nanti, maka semakin ramai yang secara tiba-tiba bersemangat untuk menerajui Keadilan di semua cabang sekarang berbanding suatu ketika dahulu yang melihatnya seumpama ‘hidup segan, mati tak mahu’!

Akibatnya, apa yang dibimbangkan akan terjadi suatu masa nanti telah pun berlaku kini apabila pemilihan parti yang lebih demokratik, adil dan baik dengan berkonsepkan ‘1 ahli 1 undi’ kini telah cuba ‘dihuru harakan’ oleh sesetengah mereka yang berkepentingan didalam parti.