Monday, May 17, 2010

KESAN KEKALAHAN BN DI SIBU, APAKAH PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK TERPAKSA DITANGGUH LAGI?

Kemenangan DAP yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) di pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Sibu semalam membuktikan kepada semua bahawa Sarawak kini bukan lagi sebagai Akaun Tetap (Fix Deposit) untuk Barisan Nasional memperolehi kerusi secara automatik pada setiap pilihanraya umum!

Walaupun kemenangan ini amat tipis (majoriti 398 sahaja) selepas pengiraan undi dicampur dengan undi pos pada kotak undi terakhir, ianya begitu bermakna sekali kepada Pakatan Rakyat.

Kemenangan ini juga menjadikan petunjuk secara tidak langsung kepada kerajaan negeri Sarawak bahawa pada pilihanraya negeri yang bakal berlangsung bila-bila masa daripada sekarang pasti sengit dengan kemunculan pesaingnya daripada empat parti yang telah bergabung secara rasmi sebagai Pakatan Rakyat Sarawak.

Mengambil kira aliran sokongan pengundi kaum Cina jelas memperlihatkan Barisan Nasional (BN) kini bukan lagi menjadi pilihan mereka untuk di undi. Senario yang berlaku hampir serupa sebagaimana di PRK Hulu Selangor tempohari apabila kaum Cina terus terang menolak.

Dengan pelbagai peruntukan dan janji-janji politik ketika kempen PRK Sibu baru-baru ini yang dibuat oleh hampir kesemua pimpinan samada pemimpin-pemimpin BN negeri Sarawak dan juga Pusat termasuklah juga kehadiran dua hingga tiga kali Perdana Menteri ke Sibu masih tidak berupaya untuk menarik kaum Cina terutamanya untuk memberi undi kepada BN semalam.

Sebab itu kita selalu berkata, kempen memberi gula-gula atau pun peruntukan / projek-projek seumpama ‘mee segera’ pada setiap kali kempen di PRK ini sudah tidak boleh dipakai lagi apatah lagi untuk memaksa rakyat menerima janji-janjinya itu.

Kemenangan DAP khususnya dan PR umumnya secara tidak langsung juga telah mengurangkan lagi satu kerusi yang dimilki oleh BN. Ikut rekod, ini merupakan kekalahan kedua kerusi yang dimiliki BN selepas PRU 12 2008 selepas terlepasnya Parlimen Kuala Terengganu pada Januari 2009 disamping kemenangan semula BN terhadap kerusi Parlimen Hulu Selangor pada bulan lalu.

Disamping itu ianya juga umpama memberi satu suntikan moral pada persiapan PR untuk menghadapi pilihanraya umum Negeri Sarawak yang mengikut jadualnya DUN Sarawak akan berakhir secara automatik pada Julai 2011 tahun depan.

Untuk BN, kekalahan ini merupakan satu signal agar BN tidak berterusan mengamalkan kempen dengan ‘cara tidak bermoral’ seperti membangkit isu perkauman, isu agama,serangan peribadi serta isu peruntukan pembangunan dan berbagai lagi.

Yang jelas rakyat terutamanya di peringkat golongan muda dan pertengahan (middle class) tanpa mengira kaum kini sudah menyampah dengan dakyah-dakyah yang tidak masuk akal sehinggakan segala propaganda yang dibawa oleh BN itu turut di heretkan sama untuk disiarkan di televisyen dan juga akhbar.

Saturday, May 15, 2010

KALAU UNTUNG RAMAI-RAMAI RASA, KALAU RUGI HANYA KETUA EKSEKUTIF YANG KENA?

Kerugian yang dialami oleh Sime Darby benar-benar mengejutkan kita semua selaku rakyat Malaysia. Ini kerana kerugian yang berjumlah RM1.63 Bilion yang ditanggung oleh syarikat konglomerat milik kerajaan (GLC) ini adalah sesuatu yang cukup besar dan amat ‘luar biasa’ sekali.

Kita melihat seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena berlaku didalam urus tadbir Sime Darby ini. Dengan melihat kerugian yang teramat besar ini, sedikit sebanyak telah membuktikan perkara yang tidak kena telah berlaku sebagaimana sepatutnya.

Justeru itu kita melihatkan tindakan yang meminta agar Dato Seri Ahmad Zubir Murshid untuk bercuti panjang adalah sesuatu yang pelik dan tidak adil kerana ini jelas memperlihatkan seolah-olah kerugian yang dialami oleh Sime Darby ini hanya terletak di bahu Presiden dan Ketua eksekutifnya sahaja!

Sebagai memikul tanggungjawab adalah adil sekiranya kesemua Ahli Lembaga Pengarah bersama-sama dengan Zubir untuk meletakkan jawatan kerana perlu diingat bahawa sebarang keputusan yang penting yang dibuat sebelum ini termasuklah soal pelaburan syarikat sudah pastinya memerlukan kelulusan atau budi bicara lembaga pengarah syarikat dan bukannya seratus peratus terletak di tangan Ketua Eksekutifnya sahaja.

Umumnya rakyat Malaysia mengetahui, Sime Darby ialah diantara GLC yang berjaya didalam perniagaannya dan sudah tentu ianya telah menaikkan imej golongan korporat serta komuniti orang Melayu juga, tetapi apabila kerugian besar ini di kesan sudah pasti secara tidak langsungnya memalukan golongan tersebut umumnya.

Didalam masa yang sama juga kita mahu agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kerugian yang dialami oleh syarikat GLC ini yang dilihat sungguh luar biasa kerugian yang dialaminya itu.

Oleh itu siasatan keatas kerugian ini perlulah disegerakan dengan melantik satu konsultan bebas didalam bidang kewangan dan perakaunan untuk menjalankan siasatan ini dan adalah perlu juga agar keputusan siasatan itu diumumkan kepada semua tanpa berselindung.

Sebagai langkah dimasa hadapan, adalah dicadangkan juga agar pihak kerajaan dapat mengkaji semula kaedah perlantikan semua jawatan tertinggi didalam sesebuah GLC bagi memastikan ianya dapat diuruskan dengan baik sekaligus dapat mengelak kerugian pada setiap GLC akan berterusan berlaku.

Perlantikan secara terbuka berdasarkan kemampuan seseorang untuk menerajui sesebuah GLC haruslah telus dan elakkan perlantikan berdasarkan kroni masing-masing untuk tujuan tersebut.

Thursday, May 13, 2010

AKHIR LULUS JUGA

Akhirnya lesen perjudian terbaru yang cuba diusahakan sempena musim bolasepak Piala Dunia 2010 ini lulus juga bagi memenuhi ‘hasrat’ kaki pertaruhan dan perjudian kononnya.

Sebagaimana sumber yang disiarkan didalam akhbar Utusan Malaysia, lesen untuk perjudian ini tersebut telah dianugerahkan kepada Berjaya Group selaku ‘pemain utama’ didalam sektor dan kepentingan perjudian bolasepak yang terulung diadakan dinegara ini.

Hasrat untuk mengadakan pertaruahan terbaru untuk kaki-kaki judi ini sedikit sebanyak boleh membasmikan aktiviti perjudian ‘haram’ yang sudah sekian lama berlaku dinegara ini. Oleh itu dengan adanya aktiviti perjudian yang telah dilesenkan (halal) oleh pihak Kementerian Kewangan (MOF) ini sudah pasti akan memberikan hasil yang lumayan dalam bentuk pendapatan kepada pihak MOF sendiri.

Sebarang alasan yang diberikan oleh Kementerian Kewangan terhadap kelulusan perjudian terbaru ini sebenarnya dilihat sebagai usaha untuk menutup terhadap apa yang telah berlaku.

"Syarikat itu pernah menerima lesen tersebut pd 1987 tetapi memulangkan kembali kepada kerajaan pada tahun 1990 kerana pada masa tersebut tidak ramai yang berminat untuk bertaruh “ - Dato Chor Chee Heung (Timbalan Menteri Kewangan)

Apakah alasan ini relevan lagi kepada kita semua didalam hal meluluskan kembali lesen perjudian tersebut? Apakah pada tahun 1987 apabila lesen ini diberikan kepada ‘pemain perjudian’ dan memulangkan kembali lesen ini kepada pihak MOF pada tahun 1990 dengan alasan pada masa tersebut tidak ramai yang berminat untuk berjudi, maka sekarang selepas 20 tahun, ianya boleh diberi kembali kepada pemain perjudian tersebut untuk meneruskan ‘niat suci murni’ itu?

Alasan ini menunjukkan kepada semua bahawa rakyat Malaysia kini seolah-olah telah ‘reti’ , ‘tahu’ serta sudah teramat ‘pakar’ untuk bersama-sama bertaruh dan bergelumang didalam aktiviti yang terang-terang HARAM disisi agama Islam ini?

Dimanakah ustaz-ustaz UMNO serta barisan ulama dan mufti yang berada didalam kerajaan? Kenapakah ianya menyepi sama sekali apabila perkara yang terang-terang ini cuba dihalalkan oleh pihak MOF? Dimanakah peranan menteri yang menjaga Hal Ehwal Agama ini? Inikah yang dikatakan sebagai sebuah negara Islam?

Sekali lagi kita tegaskan, perjudian itu samada berlesen atau pun tidak berlesen oleh pemerintah, ianya tetap HARAM hukumnya didalam Islam…

Tuesday, May 11, 2010

RASUAH PILIHANRAYA ATAU JANJI PILIHANRAYA?

Kempen Pilihanraya Kecil P212 Parlimen Sibu yang telah bermula sejak dua hari lepas tidak langsung menampakkan perubahan kepada kaedah atau cara berkempen yang dijalankan oleh Barisan Nasional (BN).

Jentera kempen Barisan Nasional yang dikepalai oleh UMNO masih mengekalkan gaya serta rentak sebagaimana yang dilakukan dipilihanraya -pilihanraya sebelum ini dengan berkempen didalam bentuk ‘rasuah pilihanraya’ sebagai asas utama untuk menarik pengundi menyebelahinya.

Sempena PRK Parlimen Sibu, segala jentera dan agensi kerajaan di peringkat persekutuan termasuk negeri Sarawak sendiri akan turut diheret sama didalam kancah pilihanraya ini sebagaimana yang berlaku di PRK Hulu Selangor baru-baru ini.

Dengan mengambil kira kenyataan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengatakan kempen pilihanraya berbentuk sebegitu dianggap sebagai sekadar ‘janji politik’ dan ianya tidak menyalahi peraturan pilihanraya, maka sudah pastilah BN akan memperhebatkan lagi segala jentera kempennya.

Oleh itu kita menjangkakan menjelang proses pengundian yang bakal berlangsung pada ahad ini, maka sudah pastilah para pemimpin tertinggi berbagai peringkat daripada BN akan berbondong-bondong turun ke Sibu bagi menjalankan misi kempen tersebut bersama janji dan peruntukan berjuta-juta ringgit yang bakal di berikan nanti sebagaimana kebiasaannya di pilihanraya lepas.

Kita melihat perkara seperti ini seolah-olah telah menjadi tradisi atau pun ‘kebiasaan’ dan dibimbangi pada masa akan datang rakyat mengharapkan kematian wakil-wakil rakyat mereka barulah segala hasrat pembangunan dan kemudahan boleh dipenuhi dengan serta merta oleh pihak pemerintah.

Kempen pilihanraya sepatutnya dipenuhi dengan menerangkan dasar-dasar parti disamping perancangan sekiranya calon wakil rakyat masing-masing menang di dalam pilihanraya ini.

Dengan memberi janji seumpama ‘harapan palsu’ kepada pengundi-pengundi yang kita sendiri tidak mengetahui samada boleh atau pun tidak untuk ditunaikan, ianya adalah merupakan perkara yang perlu dielakkan oleh semua parti-parti yang bertanding daripada melakukan perkara yang sama.

Sunday, May 9, 2010

PARTI BURUH BRITAIN KALAH: BEZANYA KALAU BN KALAH DI MALAYSIA

Kekalahan Parti Buruh pada pilihanraya umum Britain yang paling sengit dalam sejarah negara tersebut telah meninggalkan satu lagi persoalannya apabila pesaing terdekatnya Konservatif (pimpinan David Cameron) yang sekadar memenangi sebanyak 306 kerusi masih tidak berupaya untuk membentuk kerajaan Britain yang baru secara sendirian akibat kekurangan kerusi yang diperlukan minimum sekurang-kurangnya sebanyak 326 kerusi.

Justeru itu juga persaingan kearah pembentukan kerajaan Britain semakin sengit apabila Parti Liberal Demokrat yang memiliki 57 kerusi pasti akan menjadi ‘rakan gabungan’ baru bersama Parti Konservatif memandangkan hanya dengan cara ini sahaja dapat menyelamatkan parlimen daripada tergantung sejak 1974!

Memandangkan pergabungan kuasa antara parti Buruh (258 kerusi) dengan Liberal Demokrat tidak boleh dicapai kerana hasil pergabungan kedua parti tersebut masih lagi gagal untuk mempunyai sekurang-kurangnya 326 kerusi bagi emmbentuk kerajaan baru.

Justeru itu hanya melalui pergabungan antara Konservatif dan Liberal Demokrat sahaja maka pembentukan kerajaan yang baru ini akan menjadi realiti didalam tempoh yang terdekat ini.

Walaupun Parti Buruh telah kelihatan seakan kehilangan mandat yang dimiliki, pemimpin utama parti tersebut yang juga Perdana Menterinya Gordon Brown jelas memperlihatkan sikapnya yang begitu professional didalam menentukan arah tuju partinya didalam memimpin negara Britain ini.

Sikap yang ditunjukkan oleh pimpinan Parti Buruh didalam menerima kekalahan ini jelas begitu menghormati prinsip demokrasi negara tersebut. Dengan mengutamakan negara didalam semua aspek serta amat menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Britain.

Jelas langsung tiada ungkit mengungkit sebagaimana yang berlaku dinegara kita terutamanya oleh pimpinan Barisan Nasional (BN) di negara ini. Apa yang berlaku di Hulu Selangor tempohari sudah cukup menunjukkan bagaimana UMNO/BN tidak dapat menerima alasan mereka yang tidak menyokong BN ini.

Amat berbeza dengan Parti Buruh Britain, BN di sini berterusan tidak berpuashati dengan membangkitkan bermacam perkara yang mereka sudah berikan, peruntukan sudah di penuhi dan sebagainya telah di biayai, persoalan kenapa mereka terutamanya pengundi Cina di Hulu Selangor masih tidak mahu menyokong BN terus di persoalkan?

Demokrasi jenis apakah ini? BN dilihat tidak seperti Parti Buruh Britain yang boleh menerima hakikat kenapa sesetengah pengundi ini tidak mahu menyokong mereka? Amat beza bukan? Bagi kita tidak kisah sekiranya pemimpin (BN) seperti ini begitu sukar untuk menerima kekalahan tetapi usahlah hendak diungkit berbagai perkara yang telah dijanjikan dan diluluskan oleh kerajaan ketika kempen pilihanraya sedang rancak berjalan tempohari.

Hakikatnya, itulah bezanya demokrasi di Britain dan Malaysia walaupun asas pemerintahannya seratus peratus ditiru daripada negara bekas jajahan kita suatu ketika dahulu…

Saturday, May 8, 2010

JANGAN JADIKAN MATLAMAT UNTUK MENGHALALKAN CARA

Dalam Islam kita telah diajar bahawa sebarang pertaruhan atau pun dengan bahasa mudahnya JUDI adalah sesungguhnya HARAM!

Tiada istilah menghalalkan sebarang bentuk perjudian atau pun pertaruhan ini waima diatas nama kebajikan sebagaimana suatu ketika dahulu diawal-awal kearah kemerdekaan negara kita (awal tahun 50an), UMNO telah cuba memperkenalkan Loteri Kebajikan atas dasar untuk membantu sumber kewangan parti dan juga menolong rakyat yang miskin pada ketika itu!

Atas sifat ketegasan UMNO untuk melaksanakan ‘kebajikan’ tersebutlah maka tercetuslah idea untuk para ulama yang berada didalam UMNO ketika itu untuk keluar daripada parti kerana membantah keputusan untuk mengadakan loteri kebajikan tersebut.

Di negara kita, keunikannya ialah apabila wujudnya istilah judi halal dan judi haram walaupun terus terang semua orang tahu judi itu haram disisi Islam! Mengikut takrifan yang kita fahami, istilah ‘Judi Halal’ itu ialah sebarang bentuk pertaruhan atau perjudian ataupun keinginan untuk mencuba nasib pada tempat yang dibenarkan, dengan kata lain tempat berjudi yang telah di beri lesen oleh pihak kerajaan (Kementerian Kewangan @ MOF) seperti Sport Toto, Magnum, perlumbaan kuda dan berbagai yang lain lagi.

Manakala istilah ‘Judi Haram’ pula ialah tempat perjudian atau pertaruhan yang beroperasi tanpa kebenaran secara haram tanpa mendapat lesen yang ‘sah’ daripada pihak kerajaan @ MOF. Oleh itu didalam hal ini judi yang haram daripada segi hukum agama telah diisytiharkan sebagai judi haram kerana beroperasi tanpa kebenaran yang sah!

Terkini, apabila pihak MOF bersungguh-sungguh untuk menimbangkan bagi membenarkan pertaruhan ataupun perjudian sempena musim bolasepak Piala Dunia yang bakal bermula pada Jun nanti.

Menurut kata Timbalan Menteri Kewangan, Dato Dr Awang Adek Hussein cadangan untuk membenarkan perjudian ini secara sah adalah disebabkan kerana untuk mengekang daripada berlakunya aktiviti perjudian tidak berlesen ketika kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung nanti.

Justeru itu sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan lesen yang sah, dikhuatiri aktiviti pertaruhan atau perjudian ini tetap berlaku tanpa pemantauan yang khusus daripada pihak kerajaan yang boleh mengakibatkan mengalami kerugian dan tidak menguntungkan kerajaan.

Walaupun tidak dapat disahkan lagi akan keputusan untuk membenarkan perjudian ini secara sah, kita melihat apakah kerajaan kini khususnya pihak MOF sudak kehilangan punca untuk mencari atau meneroka bidang yang lain bagi menambahkan hasil kewangan negara sehinggakan terpaksa ‘melutut’ kepada perjudian lagi?

Sepatutnya lesen-lesen perjudian yang sedia ada ini kita kurangkan, tetapi lain pula jadinya apabila ianya semakin ingin ditambah! Apa sudah jadi kini? Dimana peranan para alim ulama didalam UMNO khususnya untuk menegur perkara seperti ini? Para Mufti juga harus berperanan dengan lebih agresif lagi kali ini untuk menegur hasrat kerajaan ini.

Tidak cukupkah lagi di negara kita yang telah memiliki berbagai bentuk perjudian dan pertaruhan? Cuba bayangkan daripada ‘atas gunung’ sehinggakan ke ‘bawah daratan’ sudah pun dilesenkan perjudian, apakah negara kita ini berterusan untuk berada didalam lingkaran yang berbentuk perjudian walaupun ianya telah ‘dihalalkan’ atas nama sumber pendapatan negara yang baru?

Yang pasti kita mahukan keberkatan kehidupan didalam negara yang tercinta ini. Kita tidak mahu negara kita hidup diatas landasan hasil perjudian walaupun ianya tidaklah digolongkan sebagai sumber utama pendapatan negara. Jangan jadikan matlamat untuk menghalalkan cara. Hasil yang halal pasti memberi keberkatan kepada kehidupan kita semua, Insya Allah.

Thursday, May 6, 2010

PAKATAN RAKYAT JANGAN JADI 2X5 JUGA

Pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor yang berakhir pada minggu lepas banyak mendedahkan beberapa perkara sebagaimana yang didakwa oleh Barisan Nasional (BN) akan apa yang dikatakan sebagai ‘salah laku’ penggunaan jentera kerajaan oleh pemerintah sesebuah kerajaan negeri (Didalam PRK Hulu Selangor ini sudah semestinya Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat @ PR).

Sebagaimana dakwaan oleh beberapa orang pemimpin BN sendiri, seharusnya PR perlu mengakui akan kewujudan ini kerana ini bukan merupakan salah laku yang baru berlaku kerana sebagaimana yang pernah didedahkan sendiri oleh MAFREL selaku pemantau bebas untuk pilihanraya, keadaan serupa ini (menyalahgunakan jentera kerajaan negeri) pernah juga berlaku di Kelantan termasuk yang terbaru ketika di PRK DUN Manek Urai pada tahun lepas.

Asas dakwaan ini adalah sama. PR selalu mendakwa akan salah laku terhadap penggunaan agensi dan jentera kerajaan Persekutuan pada setiap kali sesuatu pilihanraya diadakan oleh parti Barisan Nasional tetapi apakah adanya jaminan bahawa Pakatan Rakyat tidak akan sesekali menggunakan segala jentera kepunyaan kerajaan negeri yang diperintah oleh PR?

Pengalaman turun serta hadir bersama-sama di kempen PRK di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat seperti di Kedah (DUN Bukit Selambau), Pulau Pinang (Permatang Pauh, Penanti & Permatang Pasir), Kelantan (Manek Urai) sehinggalah yang terbaru di PRK Hulu Selangor sendiri, saya mendapati penggunaan jentera kerajaan negeri itu tetap ada walaupun tidak sebesar seperti mana yang digunakan oleh BN terhadap jentera kerajaan peringkat Persekutuan.

Sebab itu saya mengatakan, PR seharusnya cermat didalam membuat dakwaan salah guna kuasa di sesuatu pilihanraya itu kerana kita bimbang kesalahan yang kita lakukan sendiri kita tidak nampak sehingga membolehkan pihak lawan menyerang serta mendakwa kita sama sebagaimana yang berlaku di PRK Hulu Selangor tempohari!

Didalam hal ini, dakwaan salah guna jentera kerajaan ini turut merangkumi kepada janji serta peruntukan seperti kewangan pada sekolah dan rumah ibadat, penyerahan geran tanah, pemberian bantuan subsidi baja, penternakan, pertanian dan sebagainya.

Perlu diingat, bukan soal samada peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri sedikit sahaja berbanding peruntukan oleh kerajaan persekutuan begitu besar jumlahnya, maka ianya boleh dijadikan asas untuk menafikan pembabitannya didalam PRK tetapi ianya lebih kepada prinsip agar salah guna agensi dan jentera kerajaan tidak berlaku sewenang-wenangnya.

Tidak kiralah Pakatan Rakyat mahu pun Barisan Nasional pun, asyik menuduh diantara satu sama lain untuk mencari salah antara sama lain juga bukanlah sesuatu yang baik tetapi silap gayanya akan memburukkan lagi keadaan. Percayalah….