Monday, May 31, 2010

KEMUNGKINAN MUFLIS 2019, KENAPA SUBSIDI KEPADA RAKYAT DIPERSALAHKAN?

Kita berbincang secara terbuka isu ini kerana mengambil kira akan kepentingan rakyat negara ini.
Dalam akhbar Berita Harian bertarikh 31 Mei 2010, di m/surat 17, artikel bertajuk 'Pemansuhan pelbagai subsidi tidak deritakan rakyat' diulas dengan panjang lebar.

Kita berbalik kepada pengakuan oleh Dato Seri Idris Jala selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahawa negara berdepan dengan krisis yang sukar iaitu berkemungkinan muflis menjelang 2019 amatlah mengejutkan kita semua.

Dengan menjadikan alasan trend pemberian subsidi kepada rakyat sebagaimana yang diamalkan oleh kerajaan kini untuk barangan makanan dan perkhidmatan seperti bahan api (elektrik, petrol dan gas) sebagai penyebab utama ke arah kemungkinan negara muflis, seharusnya hal ini diperjelaskan dengan lebih teliti lagi oleh pihak kerajaan.

Membuat perbandingan akan pemberian subsidi yang kononnya begitu tinggi iaitu 4.6 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KDNK) yakni lebih tinggi daripada negara jiran Indonesia dan Filipina adalah merupakan suatu perbandingan yang tidak adil sekiranya faktor lain diambil kira.

Kita sudah pasti menunggu dengan debar apakah menjelang 9 tahun lagi kemungkinan negara kita akan muflis akan menjadi kenyataan? Menjadikan tahun 2020 sebagai asas negara kita sebagai negara maju yang unggul sebagaimana yang diimpikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad (ketika beliau menjadi Perdana Menteri suatu ketika dahulu), apakah perencanaan ini akan menambahkan lagi koleksi dan rekod-rekod kegagalan pihak pemerintah untuk mengurus tadbir negara secara baik dan bertanggungjawab?

Kita tidak faham kenapa kerajaan menjadikan asas subsidi yang ‘seciput’ itu sebagai penyebab utama kearah muflisnya negara kita walhal faktor korupsi dan rasuah seharusnya dijadikan asas utama memungkinkan kearah negara kita menjadi muflis.

Apakah yang boleh difahami oleh rakyat ialah seandainya pemansuhan subsidi itu berlaku nanti, pasti akan menjadikan bebanan mereka semakin bertambah dan didalam masa yang sama kerajaan pula mendakwa pemansuhan ini adalah baik serta berfaedah kepada rakyat dan negara juga untuk tempoh jangka masa panjang?

Jangan disalahkan rakyat bawahan ini sebagai punca ke arah negara kita sebagaimana yang dikatakan bakal muflis pada tahun 2019 nanti. Sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, kebajikan untuk setiap rakyat seharusnya dijaga dan bukannya dijadikan tempat untuk kerajaan ‘memunggah’ kembali segala hasilnya dengan mengenakan cukai yang tinggi serta pengenalan pelbagai caj seperti GST yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

Ingat, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang tahu menjaga kebajikan rakyatnya. Kerajaan akan dihormati apabila kehendak rakyat itu diutamakan dan bukannya sekadar memenuhi kehendak beberapa kerat yang rapat dengan pimpinan sahaja…

Tuesday, May 25, 2010

MCA AKAN MENCARI JAWAPANNYA...

Parti terbesar kaum Cina negara kita MCA sudah mula mengambil langkah yang positif apabila Ketua Pemudanya Dato Dr Wee Ka Siong menjadikan sesi ‘retreat’ MCA di Port Dickson mulai 18 Jun ini sebagai medan untuk mengkaji kenapa masyarakat Cina di bandar tidak lagi berminat untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

Program yang akan dihadiri oleh kesemua ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) termasuk Pemuda dan Wanita disamping kesemua wakil-wakil rakyat ini akan mencari sebabnya dan akan merumuskan kearah mencari penyelesaian sebelum ianya dibawa ke Dewan Tertinggi BN.

Kita melihat program yang dirangka oleh MCA ini adalah merupakan medan yang terbaik untuk mereka mencari penyebabnya sendiri tanpa perlu untuk menunding janri kearah parti rakannya yang lain.

Perlu diingat, penolakan kaum Cina terhadap BN bukan hanya sekadar di Semenanjung sahaja bahkan sudah mula merebak ke Sabah dan Sarawak. Keputusan di pilihanraya kecil Parlimen Sibu yang akhirnya dimenangi oleh Pakatan Rakyat melalui parti DAP sudah jelas menunjukkan betapa kaum Cina kini sudah terang lagi bersuluh untuk sepakat menolak BN.

MCA sebagai salah sebuah parti pengasas yang terawal bersama UMNO dan MIC sudah pasti tidak mahu partinya berterusan dijadikan tempat penyokong serta pemimpin komponen BN yang lain melemparkan tuduhan seandainya BN berterusan kalah atau majoriti berkurang dan tidak disokongi pula oleh kaum Cina sebagai penyebabnya!

Didalam keadaan parti terbesar kaum India negara kita, MIC 'berperang' sesama sendiri dengan ahlinya dan merebak untuk 'bertekak' dengan UMNO juga dalam sehari dua ini, MCA pula menampakkan kematangannya untuk duduk semeja berbincang sesama pimpinan tertinggi parti untuk mencari kesilapan mereka.

Justeru itu langkah yang diambil oleh MCA ini adalah merupakan suatu perkara yang cukup baik apatah lagi pilihanraya umum yang ke 13 bakal menjelang dalam tempoh 2 tahun lebih daripada sekarang.

Monday, May 24, 2010

ZULKIFLI NOORDIN KATA 5 YB LAGI BAKAL MELOMPAT?

Membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Sdr Zulkifli Noordin benar-benar membuatkan kita semua tersenyum sendirian. Ini kerana kenyataan didalam akhbar ini jelas menunjukkan berbagai andaian tentang kemungkinan akan ada lagi ahli-ahli parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) keluar parti dan seterusnya menjadi ahli parlimen bebas.

Kita kadang-kala merasa kesian apabila membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau kerana memperlihatkan sikap beliau yang berubah sepenuhnya berbanding ketika bersama didalam KEADILAN suatu ketika dahulu. Tidak kelihatan lagi sifat beliau yang begitu hebat jauh sekali untuk beliau membuat andaian seperti kenyataan ini.

Apakah motif beliau dapat sebenarnya daripada berterusan mengeluarkan kenyataan yang berkaitan dengan KEADILAN sedangkan semua telah kita ketahui bahawa Sdr Zulkifli ini sudah pun menjadi bebas yang tidak berparti lagi (tetapi kelihatan ‘senada’ dengan ahli-ahli parlimen daripada Barisan Nasional), jadi sudah pasti sudahlah tidak layak untuk beliau bercakap bagi ‘mewakili’ KEADILAN!

Kenyataan terkini beliau memperlihatkan sikap dan taring beliau yang sebenar untuk ‘menyerang’ KEADILAN yang selama ini tidak dapat dikesan langsung di kalangan kita. Beliau masih mengulangi sebab-sebab utama beliau tidak sependapat dengan pimpinan tertinggi KEADILAN yang akhirnya menjadi punca utama kenapa beliau di pecat daripada parti.

Kita sebenarnya merasakan agenda yang dimainkan oleh beberapa kerat pihak tertentu (yang telah keluar parti KEADILAN ) untuk membawa keluar beberapa orang lagi ahli-ahli parlimen dan ADUN keluar menyertai bersama mereka ini amatlah berbahaya kepada keutuhan parti disamping boleh menjejaskan kekuatan kerajaan dibeberapa negeri Pakatan Rakyat.

Sikap sesetengah YB yang begitu mudah untuk melompat parti, memperlihatkan seumpama ‘menikam kawan’ daripada belakang. Ini amatlah menyedihkan kita semua kerana berlaku tanpa di duga. Yang pastiny tanpa sokongan rakyat, kita sebenarnya tidak akan kemana pun apatah lagi untuk menjadi seorang wakil rakyat yang benar-benar disanjung tinggi sebagaimana yang pernah di lakukan oleh Lee Lam Thye (ketika itu YB DAP) sendiri suatu ketika dahulu.

Saturday, May 22, 2010

SAMPAI BILA SAMY VELLU AKAN BERTAHAN?

Pemecatan Sdr V.Mugilan yang juga Mantan Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat daripada parti MIC hari ini adalah satu lagi keputusan yang dikira sebagai berani oleh kepimpinan MIC yang di ketuai oleh Presidennya Dato Sri S.Samy Vellu.

Dengan memberi alasan pemecatan Mugilan tersebut kerana beliau didapati bersalah melakukan cubaan sabotaj terhadap BN ketika menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor tempohari sangatlah mengejutkan semua pihak.

Keputusan pemecatan ini seolah-olah dibuat didalam keadaan tergesa-gesa kerana baru sahaja beberapa hari Mugilan mengeluarkan kenyataan yang cukup keras agar Samy Vellu berundur dengan segera daripada jawatan Presiden tanpa menunggu sehingga tahun depan.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Mugilan, desakan beliau agar Samy Vellu berundur segera tiada kaitan dengan kekecewaan beliau tidak terpilih sebagai calon pada PRK Hulu Selangor tetapi lebih kepada desakan yang berpunca daripada tindakan Samy Vellu sendiri yang melantik anaknya sendiri, S.Vell Paari sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Dengan tindakan Presiden yang membuat keputusan tanpa berunding terlebih dahulu dengan pimpinan yang lain dan secara tidak langsung menggambarkan bahawa Samy Vellu cuba mewariskan jawatan Presiden MIC kepada anaknya juga suatu hari nanti.

Bagi kita melihat pergolakan kembali yang berlaku didalam MIC jelas menunjukkan bahawa krisis dalaman parti tersebut pasti akan berterusan sampai bila-bila selagi Samy Vellu tidak turun daripada ‘tahta’ sebagai Presidennya.

Cuba bayangkan sudah berapa kali Samy Vellu berjanji untuk berundur daripada jawatan Presiden MIC tetapi sehingga kini masih tidak mahu berundur. Oleh itu rakyat melihatkan pemimpin seperti ini sebagai seorang yang tidak berpegang pada janji.

Kredibilitinya sebagai seorang Presiden pada parti kaum India yang terbesar dinegara ini semakin menurun apabila rakyat melihat segala teguran yang dibuat oleh orang bawahan didalam MIC tidak di endahkan langsung malahan dikenakan pula dengan tindakan disiplin yang keras oleh partinya.

Justeru itu, perubahan didalam MIC perlulah disegerakan agar ianya tidak berlarutan sehingga ke pilihanraya umum yang akan datang. Keretakan yang berterusan didalam MIC secara tidak langsung akan memberi impak dalaman yang kuat kepada BN khususnya parti tonggaknya UMNO didalam menghadapi pilihanraya yang bakal menjelma dua tahun lagi daripada sekarang.

Thursday, May 20, 2010

PEMBANTU RUMAH DIUTAMAKAN, MAJIKAN DITINGGALKAN?

Apakah reaksi kita semua rakyat Malaysia apabila amah atau pun pembantu rumah wajib diberi cuti sehari seminggu oleh majikannya dan juga membenarkan mereka memegang sendiri paspot? Bukan itu sahaja malahannya penetapan gaji sekitar RM800 sebulan masih lagi didalam kajian untuk diluluskan!

Itulah antara tajuk utama di dada-dada akhbar negara kita hari ini. Memang kita akui, keperluan mempunyai sekurang-kurangnya seorang pembantu rumah amatlah diperlukan apatah cara kehidupan keluarga era moden kini amatlah berbeza sebagaimana di zaman ibu, ayah, datuk dan nenek kita suatu ketika dahulu.

Faktor isteri yang turut bekerja pada hari ini disamping suami adalah antara penyebab utama kenapa perkhidmatan menggunakan pembantu rumah kini semakin meningkat pada setiap tahun.

Kemunculan negara Indonesia contohnya sebagai pembekal utama pembantu-pembantu rumah ini ke negara kita telah mengakibatkan juga pertambahan secara mendadak warga asing khususnya daripada negara tersebut di Malaysia.

Kita amat hairan dengan keputusan yang dicapai ini kerana adakah ianya lebih memberi manfaat kepada rakyat Malaysia atau pun tidak. Perlu kita ingat, dengan memberikan kebenaran untuk mereka menyimpan sendiri paspot lebih mengundangkan risiko kepada kita sebagai majikan. Kita tidak mahu majikan pula yang menjadi mangsa andainya para pembantu rumah ini melarikan diri atau pun sekiranya berlaku salah laku jenayah.

Meneliti pengalaman serta segala cerita yang berkaitan dengan pembantu rumah ini, seolah-olah kerajaan kurang peka kepada kehendak rakyat negara kita sendiri. Cuba kita bayangkan, dengan paspot yang masih berada didalam simpanan kita selaku majikan pun mereka ini (yakni pembantu rumah) pun boleh ‘cabut’ dan menghilangkan diri daripada rumah, inikan pula untuk memberi kebenaran kepada mereka menyimpan sendiri paspot?

Bayangkanlah didalam keadaan tiada kebenaran wajib untuk pembantu rumah bercuti sehari dalam seminggu pun selama ini mereka masih juga boleh ‘melarikan’ diri daripada rumah ketika majikan tiada dan pergi bekerja, inikan pula sekarang diwajibkan mereka diberikan cuti sehari dalam seminggu dan peluang yang digunakan untuk mereka bersiar memudahkan untuk mereka melarikan diri?

Memang kita akui tidak semuanya yang berniat buruk sebegitu dan masih ramai lagi pembantu-pembantu rumah yang baik dan boleh diharapkan oleh majikan, masalahnya ramai diantara majikan yang mengalami 'mimpi ngeri' seumpama itu sebelum ini!

Itu kita tidak membincangkan lagi perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan pembantu rumah ini seperti isu penetapan gaji minima, isu pampasan pada pembantu rumah dan sebagainya.

Kita melihatkan keputusan yang dicapai oleh kedua-dua kerajaan ini seolah-olah langsung tidak mengambil kira soal untung rugi nasib majikan itu sendiri akan risiko yang bakal ditanggung sekiranya perkara seperti pembantu rumah menghilangkan diri terus berlaku.

Seharusnya kerajaan lebih menekankan kos pembiayaan awal untuk mendapatkan pembantu rumah agar dapat di turunkan lagi disamping pembantu rumah yang cekap dan berpendidikan sekurang-kurangnya berada ditahap SPM. Kita hairan kenapa keputusan yang dicapai semalam dilihatkan seperti berat sebelah dan tidak menyebelahi majikan langsung didalam hal ini?

Yang pasti, kita mahukan keputusan yang adil dan saksama diantara kedua belah pihak (‘win-win situation’) didalam konteks kesepakatan satu rumpun negara ASEAN umumnya.

Wednesday, May 19, 2010

KALAU GAGASAN 1MALAYSIA SELARI DENGAN PRINSIP ISLAM, LESEN JUDI BOLA APA CERITA?

Kita sebenarnya amat gembira dengan pengiktirafan luar dan antarabangsa yang melahirkan kekaguman mereka melihatkan negara kita ini sebagai sebuah negara Islam yang baik dan maju.

Sebagai anak Malaysia sejati, apabila pujian yang sebegitu rupa diterima sudah pasti perasaan bertambah yakin dan hormat kepada kepimpinan negara menjadi semakin kuat dihati.

Sebagaimana yang diulaskan oleh seorang Intelektual Islam terkemuka Prof Dr Ali Al’Amin Mazrui menyatakan konsep gagasan 1 Malaysia ‘Rakyat didahulukan, percapaian di utamakan’ ini katanya amat menepati dan selari dengan prinsip Islam terutamanya yang berkaitan dengan tolenrasi dan keadilan sosial.

Membaca dan menilai pandangan Dr Ali terhadap gagasan ini secara intelektual sebagai pakar pemikiran Islam unggul amatlah dikagumi. Dengan ulasannya yang berlandaskan hukum serta apa yang dikehendaki oleh Islam cukup menepati didalam menggalakkan kita sebagai rakyat Malaysia yang perlu saling hormat-menghormati diantara satu sama lain serta saling bertukar pandangan dan mengenali sesama kita.

Peluang untuk hadir bersama bagi mengikuti ceramah dan syarahan perdana yang disampaikan Dr Ali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bertajuk ‘Abad Islam: Mitos atau Realiti’ cukup mengkagumkan para yang hadir.

Namun begitu, didalam memenuhi dan menambah baikkan lagi akan konsep 1 Malaysia ini yang dikatakan selari dengan prinsip Islam, kerajaan seharusnya berterusan untuk memenuhi segala agenda keperluan dan kebajikan rakyat agar tidak menampakkan jurang yang besar diantara satu sama lain. Disamping itu juga segala keluhan rakyat hendaklah di ambil tahu oleh kerajaan yang bertanggungjawab.

Sebenarnya buatlah apa sahaja kebaikan dan perkara mulia selagi tidak menyalahi hukum hakam yang digariskan agama ianya tetap dikatakan selari dan secocok dengan prinsip Islam yang ada, cumanya slogan sahaja yang bertukar pada asasnya pengisian dan pemahamannya adalah hampir sama!

Ingatkah lagi kita terhadap slogan Bersih, cekap dan amanah? Kepimpinan melalui tauladan? Penerapan nilai-nilai Islam? Islam hadhari negara bestari dan kini slogan 1Malaysia pula mengambil tempatnya? Ironinya, semua slogan ini membawa maksud yang satu iaitu kearah menjadikan Malaysia sebagai negara makmur, aman, damai selaras dengan kehendak Islam untuk perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

Oleh yang demikian, kerajaan juga perlu mendengar setiap pandangan rakyat untuk diambil kira didalam pemerintahannya. Sebagai contohnya, untuk menepati lagi dengan prinsip Islam sebagaimana yang di ulaskan oleh Dr Ali itu, seharusnya kerajaan bertindak tegas terhadap kelulusan lesen perjudian untuk bolasepak Piala Dunia yang baru diluluskan minggu lalu dan bukannya semudah itu untuk meluluskan lesen perjudian terbaru di negara kita!

Buktikan sekiranya benar prinsip dan kehendak Islam yang di cari, buktikannya pada kali ini tanpa melengah-lengahkannya dengan memberi beribu alasan yang bodoh dan dangkal untuk menghalalkan perjudian tersebut!

Tuesday, May 18, 2010

SINDROM SYOK SENDIRI TERUS MELANDA BN!

Amatlah menghairankan kita kerana sindrom menafikan kekalahan parti mereka (Barisan Nasional) didalam sesuatu pilihanraya kecil (PRK) adalah kerana faktor luaran dan bukannya kerana pengundi tidak menyukai atau pun menyokong atau jauh seklai untuk merajuk pada BN lagi.

Terbaru apabila Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud secara terbuka mengatakan bahawa BN kalah disebabkan kerana keran tindakan kempen yang agresif oleh parti lawan daripada Pakatan Rakyat (PR). Beliau juga terus beranggapan bahawa kekalahan ini hanyalah bersifat sementara sahaja.

Persoalan disini ialah kenapa sikap suka menafikan sesuatu kebenaran tetap ada didalam diri seorang pemimpin negeri seperti Taib Mahmud ini? Apakah mereka ini seolah-olah cuba melarikan diri daripada bayang-bayang kekalahan sehinggakan terpaksa menyakinkan pimpinan Barisan Nasional yang lain di peringkat pusat bahawa Sarawak masih kuat?

Usahlah menongkah arus lagi wahai Ketua Menteri Sarawak. Kekalahan BN di Sibu tempoh hari adalah kemuncak peringkat pertama kepada penolakan pengundi terhadap Barisan Nasional. Kita amat yakin peringkat penolakan rakyat seterusnya akan berlaku lagi dan tunggu sajalah pada pilihanraya umum negeri suatu masa nanti.

Rakyat sebenarnya sudah jemu dengan janji-janji manis yang ditaburkan oleh Taib Mahmud serta rakan pimpinan BN di Sarawak termasuk juga Dr.George Chan yang juga Presiden SUPP sendiri selaku mewakili parti kaum cina di Sarawak.

Kemenangan manis DAP yang mewakili Pakatan Rakyat di PRK Sibu ini seharusnya dijadikan amaran kepada BN Sarawak menjelang pilihanraya umum negeri yang bakal berlangsung pada bila-bila masa sahaja daripada sekarang.

Dengan penggal pemerintahan di DUN Sarawak yang akan tamat secara automatik pada Julai 2011, seharusnya PR akan terus konsisten dan memperhebatkan lagi segala program serta kempen bagi menawan negeri Sarawak di pilihanraya negeri nanti.

Keupayaan PR menembusi kubu kuat BN di Sibu tempohari sudah pasti akan ‘menyesakkan’ lagi nafas Ketua Menteri didalam mempertahankan pemerintahan BN di negeri tersebut.
Oleh itu sudah tiba masanya kini, sindrom penafian untuk menyedapkan hati para pemimpin BN baik di Sarawak sendiri atau pun pusat dihentikan.

Bukannya apa, sejarah PRU 12 2008 telah membuktikan segalanya apabila pimpinan BN khususnya di Semenanjung telah didendangkan dengan cerita-cerita yang menarik serta gembira sahaja akan kekuatan BN yang kononnya sentiasa ampuh dan masih kuat apatah lagi ketika itu menjelang PRU 12 pada tahun 2008. Kesudahannya, BN kalah besar dan tidak memperolehi majoriti 2/3 di Dewan Rakyat semenjak kali terakhir berlaku pada PRU 1969.