Wednesday, August 5, 2009

LAWAK PAK MENTERI BERTERUSAN LAGI HARI INI....

Dato Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri


Dato Seri Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan


Kenyataan atau "lawak hari kedua" Menteri Dalam Negeri hari ini di Utusan Malaysia (4 Ogos 2009), Dato Seri Hishamuddin Hussein bahawa pembangkang kini semakin terdesak sungguh menghairankan kita kerana kenyataan beliau itu lebih menjuruskan kepada pandangan yang berdasarkan mata kasar beliau tentang apa yang berlaku didepan mata beliau sahaja.

Semalam "lawak hari pertama" tentang himpunan Anti ISA 1 Ogos lalu telah dikeluarkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim apabila mendakwa peserta demo untuk anti ISA telah dibayar Upah oleh pihak tertentu yang dipercayai penganjur himpunan tersebut.

Dalam kenyataan tersebut beliau 'membandingkan' ketidakupayaan pembangkang serta beberapa pertubuhan NGO yang menentang ISA untuk mengumpul kehadiran sehingga 100 ribu orang rakyat adalah bukti kini apa yang dilakukan oleh kerajaan telah diterima serta disokong kembali oleh rakyat.

Kematangan rakyat negara ini kini telah menyebabkan segala tindak tanduk yang dirancang oleh pembangkang telah mula dipandang sepi dan sudah tidak berupaya menarik minat mereka ke perhimpunan tempohari.

Disamping itu juga rakyat kini kata Hishamuddin, telah mula menyedari bahawa perhimpunan seperti itu hanyalah sebagai salah satu taktik untuk mengalih pandangan rakyat daripada memikirkan serta menumpukan perhatian kepada pembicaraan pemimpin utama Pakatan Rakyat iaitu Dato Seri Anwar Ibrahim didalam kes liwat yang kini masih lagi didalam proses pembicaraan.

"Saya beranggapan tindakan meneruskan demonstrasi jalanan bertujuan mengelak fokus dan perhatian rakyat terhadap pelbagai kelemahan dalam pakatan pembangkang.

Tindakan mengadakan demonstrasi adalah langkah yang sangat terdesak dan mementingkan diri sendiri sedangkan majoriti rakyat berasa sangat kurang senang dengan tindakan mereka",
Kata Dato Seri Hishamuddin Hussein.

Hishamuddin juga turut mengatakan langkah serta beberapa usaha kerajaan Barisan Nasional didalam mengatasi isu-isu penting seperti kesan ekonomi global kini serta langkah mengutamakan rakyat juga adalah merupakan antara penyebab utama kenapa kehadiran orang ramai ke perhimpunan 1 Ogos lalu gagal memenuhi sasaran 100 ribu orang.

Pembaca sekelian, kadang-kadang hendak tergelak pun ada, hendak menangis pun ada apabila membaca kenyatan-kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri yang kadang-kadangnya cukup bodoh dan macam 'kartun' bunyinya.

Sebagai menteri, kalau inilah tanda aras atau Indikator yang digunakan oleh seorang menteri yang berjawatan kanan didalam kabinet Malaysia sebagai petunjuk akan sokongan rakyat kepada pembangkang kini makin merosot dan menyebabkan pembangkang telah menjadi semakin terdesak, maka disini saya berani mengatakan ianya teramat silap!

Sebagai seorang menteri di Kementerian Dalam Negeri dengan dibawahnya berbagai agensi penguatkuasaan seperti Kastam, Imigresen, Polis dan sebagainya seharus mematangkan beliau memberi komen yang positif dan seharusnya mengelakkan diri daripada membuat perbandingan yang begitu cetek faktanya.

Apakah kerana melihat jumlah kehadiran itu dinilaikan berdasarkan pemerhatian akhbar-akhbar yang sah-sah dimiliki oleh kerajaan BN yang boleh setiap masa memanipulasikan jumlah kehadiran ke perhimpunan tersebut. Kita boleh mengambil contoh bagaimana akhbar Utusan Malaysia melaporkan kehadiran hanya 5 ribu orang, Berita Harian pula seramai 10 ribu orang, The Star melaporkan 15 orang manakala akhbar-akhbar cina dan tamil yang kita sendiri maklumkan agak begitu 'lembut' sedikit pada laporan kepada pembangkang sekadar berani melaporkan jumlah kehadiran dengan istilah 'puluhan ribu orang' yang hadir.

Apakah yang didakwakan oleh Hishamuddin ini benar-benar berasaskan fakta yang nyata atau hanyalah sekadar 'mendengar' atau melihat fakta 'ikut sedap rasa' yang diberikan oleh akhbar pemerintah untuk mendakwa bahawa pembangkang telah gagal?

Cuba bayangkan, kehadiran di Sogo sahaja telah dilaporkan hampir 10 ribu, begitu juga di masjid Jamek, Masjid Negara serta sekitar Dataran Merdeka sendiri sudah melebihi puluhan ribu, tiba-tiba akhbar Utusan Malaysia terutamanya memberi jumlah yang betul-betul tidak masuk akal dari segi jumlahnya! 5 ribu sahaja yang hadir? Lawak bukan? Apatah lagi satu 'geng' lagi yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali yang memimpin NGO Sokong ISA pula berjaya menghimpunkan seramai 2 ribu orang?

Kehadiran yang kurang sambutan ini juga diandaikan oleh Hishamuddin sebagai tindakan rakyat kini yang telah matang didalam membuat tindakan apatah lagi kerajaan kini begitu dekat dengan rakyat dan sentiasa mendahulukan rakyat didalam setiap tindak tanduk yang hendak diadakan konon-kononnya.

Tetapi Hishamuddin sedikit pun tidak memberitahu bahawa tindak tanduk serta amaran yang dikeluarkan oleh pihak polis agar jangan cuba-cuba untuk hadir ke perhimpunan ini adalah merupakan penyebab utama akan kegagalan penganjur anti ISA ini untuk menghimpunkan peserta lebih ramai lagi.

Antaranya dengan berbagai sekatan polis dari segenap ceruk jalan dan laluan masuk ke Bandaraya Kuala Lumpur yang telah mula disekat sejak Jumaat lagi bagi menghalang rakyat untuk turut bersama pada 1 Ogos lalu. Begitu juga kebimbangan orang ramai pada pihak polis (FRU) yang akan bertindak terhadap peserta perhimpunan nanti juga antara salah satu penyebab kurangnya kehadiran peserta demo kali ini (Seperti dakwaan Hishamuddin).

Kenyataan Hishamuddin ini juga lebih menjuruskan sebagai 'kenyataan menyedap hati' para pemimpin BN sahaja, apatah lagi didalam menghadapi serangan bertalu-talu Pakatan Rakyat kini. Kalau benarlah bagai dikata, cuba Hishamuddin biarkan peserta himpunan ini berdemo serta berarak secara aman ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada YDP Agung, saya yakin himpunan ini akan berjaya tanpa sebarang masalah pun.

Lebih meyakinkan lagi, himpunan ini pasti bukan sahaja berjaya dengan aman damai malahan mampu untuk menghimpunkan rakyat seramai yang mungkin bagi melahirkan hasrat hati masing-masing serta menunjukkan sokongan menentang agar mansuhkan ISA dinegara ini berjaya.

No comments: