Tuesday, November 3, 2009

SEMUANYA KEBETULAN?

Dihubungi oleh beberapa rakan yang jauh seperti dari Terengganu dan Pahang yang mahu bertanyakan kepada saya kenapa Dr Mohd Asri Zainal Abidin (atau lebih dikenali sebagai Dr Asri @ MAZA, mantan Mufti Negeri Perlis) kena tangkap oleh JAIS adalah sesuatu persoalan yang cukup sukar untuk dijawabnya.

Saya sendiri terkelu lidahnya, tidak tahu apa yang boleh saya jawab, apabila saya bertanya kepada rakan-rakan disekitar saya, masing-masing pun berkeadaan sama seperti saya dengan hanya menjawab tidak pasti dan tidak tahu!

Untuk pengetahuan pembaca semua, kes penangkapan Dr Asri ini benar-benar mengejutkan rakyat diseluruh negara kita sejak semalam lagi. Penangkapan Dr Asri yang dilakukan disebuah banglo ketika menyampaikan ceramah kepada yang yang hadir termasuk Adun Hulu Kelang sendiri YB Saari Sungib dan juga YB Zuraidah, MP Ampang benar-benar menyebabkan rakyat terkeliru kerana tidak diketahui sebab dan puncanya.

Sehingga ke saat ini, hanya terdapat satu sahaja alasan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjadi punca kenapa Dr Asri tersebut ditangkap ialah kerana beliau mengajar tanpa mendapat tauliah yang sah daripada jabatan tersebut!

Kadang kala diri ini hendak rasa tergelak pun ada, hendak rasa menangis pun ada malahan hendak rasa hairan pun ada kerana yang ditangkap ini bukanlah lebai kampung atau pun ustaz biasa-biasa sahaja tetapi seorang sarjana agama yang cukup disegani, muda malahan tinggi sekali ilmu agamanya iaitu seorang pemegang Ijazah Kedoktoran didalam bidang agama yang diperolehi dari UIAM.

Apakah dengan reputasi beliau sebagai seorang yang cukup faham dengan ilmu didalam bidang agama tersebut serta sebagai seorang mantan mufti lagi, tidak cukupkah lagi pentauliahan terhadap beliau bagi menyampai ilmu agama yang dimiliki olehnya?

Akhbar hari ini menyiarkan hampir keseluruhan berita serta komen-komen yang diperolehi samada daripada ahli politik Barisan Nasional serta juga daripada Pakatan Rakyat. Baik daripada DS Najib Tun Razak, TS Muhyiddin Yassin, Dato Seri Shahidan Kassim,Dato Saifuddin Abdullah serta beberapa orang lagi para wakil rakyat BN dan juga daripada TG Nik Aziz sendiri, Ust Nasruddin Ketua Pemuda Pas, YB Azmin Ali, YB Zuraidah serta MB Selangor sendiri TS Khalid Ibrahim yang turut sependapat mempersoalkan apakah motif penangkapan ini?

Penangkapan ini juga hadir selepas isu PGSM yang menghantar memorandum bantahan perlantikan Dr Asri yang ditawarkan untuk dilantik sebagai YDP Yadim yang baru untuk menggantikan Dato Nakhaei Ahmad kerana dikatakan Dr Asri ini seorang berfahaman Wahabi. Disamping itu juga berbagai persoalan terhadap motif penangkapan ini terus bermain dikepala rakyat negara ini apabila ada pula dakwaan sebagaimana semalam, Penolong Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Zamihan Mat Zain Alghari, mendakwa Dr Asri memalsukan kelayakannya dalam bidang syariah di peringkat ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Bahasa Arab/Syariah dari Universiti Jordan.

Zamihan mendakwa bidang pengkhususan Dr Asri hanya melibatkan bahasa Arab dan Sastera dan Universiti Jordan tidak menawarkan dua pengkhususan dalam satu ijazah.

Hari ini timbul lagi persoalan baru apabila tiba-tiba sahaja Dato Nakhaei Ahmad membuat dua pernafian berkaitan dengan dirinya iaitu penafian penglibatan beliau disebalik penghantaran memorandum dan juga penafian beliau salah guna kuasa di Yadim selama ini sebagaimana yang disiarkan di akhbar-akhbar hari ini.

Mohd Nakhaie juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau terlibat dalam sebarang penghantaran memorandum untuk membantah pelantikan Dr Asri sebagai Yang DiPertua YADIM.

Ditanya mengenai punca-punca dia mengesyaki dirinya menjadi sasaran fitnah itu, jelas Mohd Nakhaie: "Sebab dia menyebut individu terbabit dari segi umur, perkaitannya dengan YADIM dan tiada kaitan dengan agensi-agensi lain. Maka, jelas dia tujukan tuduhan itu kepada saya.

"Permintaannya terhadap Audit Negara agar siasat YADIM dan bukan agensi lain. Ini bermakna tuduhan penyelewengan itu ditujukan kepada saya," jelas Mohd Nakhaie.


Kadang kala terlalu banyak sangat 'kebetulan' nya dengan apa yang berlaku. Melihat kepada situasi ini yang benar-benat membingungkan kita sebagai rakyat bawahan yang masih tidak jelas dengan penangkapan ini sehinggakan TS Khalid sendiri mahukan agar JAIS membuat penjelasan sebaik mungkin kepada umum.

Adalah menjadi harapan kita agar isu penangkapan kepada ulama seperti Dr Asri ini sebagai yang terakhir berlaku apatah lagi didalam keadaan serta suasana kehidupan kini yang semakin hanyut penuh dengan ranjau, sepatutnya pembenterasan terhadap maksiat serta salah laku kehidupan sosial yang semakin teruk perlu diutamakan lagi!

No comments: