Friday, August 27, 2010

DI SEBALIK TAZKIRAH & CERITA DI IFTAR RAMADHAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan serta bulan yang terbaik untuk melakukan amal jariah tidak kira samada ianya kecil atau pun besar, banyak atau sedikit, yang pentingnya kita ikhlas dan jujur kepada Allah SWT.

Setiap kali kehadiran Ramadhan, bulan ini selalu dirujuk sebagai bulan yang terbaik untuk kita melakukan sedekah jariah atau juga menderma kepada insan yang kurang bernasib baik seperti memberi bantuan kewangan, pakaian atau juga membawa mereka ini untuk majlis berbuka puasa beramai-ramai.

Bukan untuk menidakkan perkara yang baik apatah lagi ianya dilakukan didalam bulan yang mulia ini cuma kita melahirkan kehairanan yang teramat sangat kenapa penekanan ataupun tumpuan untuk bantuan seperti kepada anak-anak yatim, ibu tunggal atau bantuan sumbangan beras, membaiki rumah dan sebagainya lebih di war-warkan oleh kita pada bulan ini sahaja? Kenapa tidak berlaku di bulan-bulan lain?

Saya berkesempatan mengikuti tazkirah yang diberikan oleh seorang ustaz jemputan disebuah surau pada suatu malam di bulan ramadhan ini (tazkirah diadakan selepas solat terawih) ini, beliau menceritakan betapa ‘kesian’nya kepada kanak-kanak seperti di rumah anak yatim atau kelas pengajian tahfiz apabila datangnya ramadhan ini.

Kenapa beliau berkata demikian? Rupanya kata ustaz tersebut lagi ini kerana pada bulan ini kanak-kanak akan dibawa hampir ke semua Majlis Iftar Ramadhan (berbuka puasa) anjuran berbagai organisasi dan orang perseorangan yang menyebabkan masa untuk mereka ini membuat ibadat atau melakukan amalan yang difikirkan perlu seperti bertadarus, solat sunat atau sebagainya menjadi kurang dek kesibukan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

Menurut ustaz tersebut lagi, majlis iftar ini kebiasaannya bermula pada jam 5 petang, jadi persiapan untuk membawa mereka yang terlibat ini perlu dibuat seawal jam 3 petang dan ianya akan berakhir sekitar jam 10 malam selepas berbagai program termasuklah berbuka puasa, penyampaian bantuan pakaian dan duit raya dan berakhirnya dengan melakukan solat terawih secara berjemaah.

Oleh yang demikian, dimana lagi masa untuk mereka melakukan amalan-amalan yang digalakkan ketika ramadhan ini? Hampir setiap hari mereka ini akan dijamu serta diraikan didalam majlis iftar. Bukannya tidak elok tetapi biarlah berpada-pada untuk keselesaan semua pihak.

Sebab itu saya berpandangan, usahlah kita menunggu sehingga ramadhan tiba baru kita hendak melakukan kesemua ini. Kenapa perlu tiba ramadhan baru kita hendak raikan mereka yang kurang bernasib baik ini dengan jamuan yang hebat, memberi bantuan duit raya, bantuan pakaian raya dan sebagainya sedangkan kita sendiri maklum bahawa telah sekian lama mereka ingin merasainya juga?

Akhir kata, jangan kita jadikan hanya bulan ramadhan ini sahaja yang sesuai untuk melakukan ini semua. Kita tidak mahu generasi yang akan datang nanti menganggap bulan ramadhan adalah bulan yang terbaik untuk meminta sesuatu!

Thursday, August 26, 2010

SUDAH SAMPAI MASANYA BERUNDUR DENGAN CARA TERHORMAT...

Didalam akhbar Berita Harian hari ini 26 Ogos 2010, menyiarkan pandangan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak yang tidak bersetuju dengan hasrat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menyatakan kesediaannya untuk berundur selepas hampir lima dekad aktif dalam politik dan 29 tahun menerajui negeri itu.

Pada pandangan pemimpin BN ini, Taib yang juga Presiden parti Bersatu Bumiputera (PBB) masih diperlukan terutamanya untuk mengetuai negeri itu didalam pembangunan negeri disamping mengekalkan kestabilan politik negeri itu sendiri.

Beberapa orang pemimpin daripada BN Sarawak seperti Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Daud Abdul Rahman (Naib Presiden PBB), Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Wilfred Nissom dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Sylvester Entri Muran secara terbuka menyatakan sokongan daripada parti mereka masing-masing di Sarawak semalam.

Pada mereka kejayaan negeri ini didalam pelbagai bidang adalah kerana kebijaksanaan Taib memimpin dan memacukan ekonomi negeri ini. Justeru itu pada mereka, tidak ada sebab untuk beliau ‘mengikut kehendak’ sesetengah minoriti yang dengki terhadap beliau dan jangan tunduk kepada desakan segelintir pihak yang mempunyai agenda politik tersendiri!

Kita tidak faham apakah ‘keistimewaan’ tertentu yang dimiliki oleh Taib sehinggakan berlumba-lumba para pemimpin daripada kalangan komponen BN Sarawak menghalang daripada Taib berundur daripada terus mengetuai negeri khususnya menjelang Pilihanraya Umum Negeri (PRUN) Sarawak yang bakal menjelang pada bila-bila masa daripada sekarang.

Pada kita hanya satu faktor sahaja yang memungkinkan kenapa Taib masih diperlukan oleh kepimpinan BN Sarawak? Faktor kekuatan Pakatan Rakyat (PR) sebagai ‘seteru utama’ BN makin menyerlah kini terutamanya menjelang PRUN Sarawak. Oleh itu pengaruh serta kekuatan Taib masih lagi diperlukan dan inilah yang diperlukan BN didalam mengimbangi kekuatan PR nanti.

Pada kita usah memaksa untuk seseorang pemimpin daripada terus berada di kerusi empuknya sebagaimana yang berlaku terhadap Taib kini. Sekiranya sudah sampai masa untuk beliau berundur, kita tidak seharusnya menghalang daripada beliau pergi.

Sebagaimana menurut pandangan penganalisis politik, Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusoff kesediaan Taib untuk berundur adalah suatu keputusan yang tepat dan bijak bagi keutuhan BN di Sarawak. Keputusan Taib itu juga sudah pasti akan dihormati rakyat dan akan menyatukan banyak pihak yang bertelagah di negeri itu.

Para pemimpin BN Sarawak terutamanya, usah berasa ‘syok’ sendiri dengan terus mendendangkan lagu lama dengan mengatakan rakyat negeri itu masih mengharapkan pemimpin seperti Taib untuk terus menjadi Ketua Menteri Sarawak!

Kekalahan SUPP-BN kepada calon DAP-PR pada pilihanraya kecil Parlimen Sibu tempohari mengesahkan lagi kepada semua bahawa sememangnya kepimpinan Taib kini telah ditolak rakyat Sarawak.

Cukuplah 29 tahun beliau mengetuai negeri ini. Tempoh ini sebenarnya sudah terlalu lama dan namanya sebaris dikalangan mereka yang pernah menjawat jawatan Ketua Menteri / Menteri Besar untuk tempoh yang panjang seperti TS Wan Mokhtar Ahmad (Terengganu) serta TS Isa Samad (N.Sembilan).

Rumusannya, hanya pemimpin-pemimpin parti komponen BN Sarawak sahaja yang sebenarnya masih tetap mahukan Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak dan yang pastinya bukan lagi majoriti rakyat negeri Sarawak!

Wednesday, August 25, 2010

15 HARI PERTAMA RAMADHAN YANG PENUH DENGAN DENGAN 'DUGAAN & SERANGAN' BERBAUR POLITIK

Hari ini genap 15 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan pada tahun ini. Kejayaan melepasi fasa 15 hari pertama berpuasa sudah pasti akan menguatkan lagi azam kita untuk menempuhi fasa 15 hari kedua berpuasa yang mana secara umumnya ummat Islam akan terus mempertingkatkan amalan masing-masing sehingga ke malam terakhir bulan ramadhan.

Pada masa yang sama, fasa 15 hari pertama di bulan ramadhan tahun ini juga turut ‘dipanaskan’ dengan berbagai isu politik terbaru yang berlaku didalam negara kita antara lainnya seperti bermula dengan isu kain rentang (banner) yang mengaitkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan gambar Tuanku Sultan Johor sehingga kepada isu terbaru seperti bacaan doa yang kononnya khatib telah ‘mendoakan’ kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng didalam khutbah jumaat keduanya di beberapa masjid di Pulau Pinang sekarang.

Saya tidak berminat untuk menghuraikan isu ini secara mendalam, cuma merasakan serangan-serangan yang bersifat politik yang diketuai oleh UMNO-BN tetap berterusan tanpa mengambil kira keberkatan di bulan ramadhan ini.

Seharusnya di bulan yang penuh dengan keberkatan serta kesejahteraan ini, kita perlu berebut-rebut mengambil peluang membuat amal ibadat semaksimum mungkin dan bukannya membuat dakwaan yang berbentuk fitnah sehingga ‘membangkitkan’ keributan seluruh negara konon memperlihatkan betapa teruknya Pakatan Rakyat (PR) yang langsung tidak tahu akan sensitiviti didalam semua isu dan perkara?

Amalan untuk ‘membunuh secara politik’ pada setiap individu didalam PR ini tetap berlaku tanpa henti sehingga kini. Kita merasa kesal dengan berbagai dakwaan yang langsung tidak berasas di fikiran kita.

Justeru itu adalah menjadi harapan kita agar amalan demokrasi yang dijunjung oleh semua parti-parti politik dinegara kita ini dapat di praktikkan dengan sebaik mungkin selaras dengan hasrat murni serta cita-cita rakyat Malaysia umumnya.

Menjelang ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 53, budaya fitnah yang berterusan oleh UMNO-BN khususnya haruslah di tangani dengan sebaik mungkin dan PR tidak perlu mengikut jejak sebagaimana yang dilakukan oleh BN ini kerana sesungguhnya rakyat kita sebenar sudah matang didalam menilai kebenarannya.

Percayalah, politik di negara kita kini bukan lagi seperti di era awal kemerdekaan yang mana ianya penuh dengan isu perkauman dan agama sebagai modal meraihkan sokongan rakyat. Hanya parti yang memenuhi aspirasi rakyat sahaja yang akan terus di sokong dan diberi kepercayaan, percayalah...

Tuesday, August 17, 2010

DULU, KINI DAN SELAMANYA RAKYAT BOSAN DENGAN UMNO-BN!

‘Terang lagi bersuluh’ itulah perumpamaan yang sesuai untuk di umpamakan dengan apa yang berlaku didalam parti UMNO kini yang berterusan mempunyai masalah dalamannya yang tersendiri.

Perkara ini diakui sendiri oleh Naib Presidennya DS Hishammuddin Tun Hussein ketika diminta memberi komennya kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Kuala Terengganu kelmarin.

Menurutnya lagi, rakyat sebenarnya sudah bosan melihat karenah antara sesama pemimpin didalam perkelahian tersebut kerana perkara ini tidak akan membawanya kemana apatah lagi didalam keadaan dunia kini yang semakin sempit dan mencabar.

Kadang kala pemimpin-pemimpin yang menimbulkan masalah seperti ini seolah-olah lupa bahawa setiap perbuatan mereka bukan sahaja akan dinilai oleh rakyat malahan juga peranan mereka akan turut diperhatikan oleh pucuk pimpinan parti terutamanya untuk percalonan di Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke 13 nanti.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Hishamuddin semalam, "Kita ada banyak lagi kerja untuk membina negara dalam dunia yang semakin sempit dan mencabar kini. Apabila kita nak menentukan barisan yang akan bersama-sama dengan kita pada pilihan raya umum ke-13 nanti, saya percaya semua ini akan diambil kira oleh pucuk pimpinan untuk menengahkan calon yang boleh diterima rakyat,".

Sebenarnya rakyat sudah lama menyampah dan benci dengan perangai sesetengah pemimpin UMNO bukan setakat berlaku di Terengganu malahan juga di seluruh negara yang begitu suka bergaduh dan berebut jawatan sesama sendiri sehinggakan menimbulkan masalah kepada rakyat pula.

Beberapa krisis perebutan ‘kuasa’ antara pemimpin seperti yang berlaku di Terengganu, di Kedah, di Kelantan, di Perlis adalah antara beberapa contoh bagaimana ianya seolah-olah tiada menemui titik noktahnya.

Sebab itu apabila media-media massa kepunyaan pemerintah yang cuba mengembar-gemburkan kononnya ada ‘keretakan’ didalam hubungan antara parti didalam Pakatan Rakyat (PR), rakyat melihatkan ini hanyalah taktik Barisan Nasional (BN) untuk melindungi masalah yang dihadapi oleh mereka sahaja!

Rumusannya, lagi banyak media massa ini cuba memfitnahkan Pakatan Rakyat kononnya ada masalah dalaman, maka lagi banyaklah masalah keretakan yang berlaku di dalam Barisan Nasional timbul sebenarnya.

Bukan sekadar UMNO sahaja yang menghadapi masalah seperti perebutan jawatan dan sebagainya tetapi masalah ini turut ‘singgah’ kedalam MCA yang melibatkan krisis moral di peringkat pimpinan tertinggi MCA Pusat. Manakala MIC dan PPP pula terus bermasalah dengan isu Presiden yang tidak disukai oleh kebanyakan ahli sehingga mencetuskan beberapa kes pemecatan pemimpin-pemimpin muda mereka seperti Mugilan (MIC) dan Murugiah (PPP).

Justeru itu, sebagai pemimpin kanan didalam UMNO, Hishamuddin sudah terlalu cukup tahu serta arif tentang apa yang berlaku kerana ianya bukan sekadar berlaku didalam UMNO tetapi pada semua parti komponen BN yang lain.

Yang pasti rakyat sebenarnya sejak dulu, kini dan selamanya sudah bosan melihat berbagai ‘karenah ‘ dan gelagat pemimpin-pemimpin BN seperti sekarang….Ubahlah sebelum parah!

Thursday, August 12, 2010

KENAPA TIDAK MANSUHKAN TERUS?

Langkah Kabinet yang bersetuju untuk menarik balik senarai hitam kenderaan buat sementara waktu mulai semalam sehingga 28 Februari 2011 amatlah dialu-alukan oleh kita semua.

Walaupun langkah ini hanya sementara sahaja sebagaimana yang ditegaskan oleh Kementerian Pengangkutan tetapi ianya amat bermakna kepada rakyat negara ini kerana tindakan tersebut dapat memberi kelonggaran kepada orang ramai sempena musim perayaan yang bakal tiba nanti termasuklah Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas serta Tahun Baru Cina nanti.

Penangguhan sementara penyenaraihitam ini membolehkan para mereka yang menerima saman ini boleh menjelaskannya secara penuh atau pun secara ansuran didalam tempoh kelonggaran yang ditetapkan itu.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh Menteri Pengangkutan juga, DS Kong Chon Ha menyatakan tindakan tegas tetap akan diambil kepada mana-mana pemandu yang masih engkar untuk menjelaskan saman mereka selepas daripada 28 Februari tahun hadapan.

Dalam pada itu kita juga ingin tahu, sekiranya kerajaan boleh menangguhkan isu saman ekor serta senarai hitamkan pemandu ini, kenapa tidak boleh membatalkan terus sahaja saman ini demi menyenangkan rakyat disamping mengelak daripada isu lain yang bakal timbul nanti?

Secara jujurnya menangguh sementara perlaksanaan ini bukanlah suatu tindakan yang adil untuk rakyat kerana akhirnya rakyat jugalah yang akan memikul bebannya dan juga kembali tertekan dek isu ini yang tiada penghujungnya.

Kita juga berharap akan ada satu mekanisme yang lain untuk menyelesaikan isu ini yang lebih kearah mesra pelanggan sekaligus dapat mengurangkan bebas rakyat.

Adalah lebih baik sekiranya pihak Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mampu mencari kaedah atau alternatif baru untuk penyelesaian kes yang tertangguh ini.

Disamping itu juga kita juga perlu membawa pesalah trafik ini ke muka pengadilan di mahkamah dahulu sebelum namanya boleh disenarai hitamkan oleh pihak polis atau pun JPJ sebagaimana berasaskan perundangan negara kita ini.

Wednesday, August 11, 2010

JATUH KE 'STANDARD' KITA TANPA BUFFET RAMADHAN DI HOTEL?

Tahniah JAKIM! Itulah yang boleh diperkatakan kepada JAKIM (singkatan nama daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) apabila dengan beraninya mengeluarkan senarai 22 hotel sahaja yang memiliki sijil Halal di Wilayah Persekutuan yang mana telah disiarkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini, 11 Ogos 2010.

Langkah ini juga amat bertepatan sempena ketibaan bulan Ramadhan 1431H yang bermula hari ini yang mana kebiasaannya para pengusaha hotel terutamanya di Lembah Kelang ini akan berlumba-lumba untuk menawarkan berbagai bentuk ‘Buffet Ramadhan’ untuk menarik terutamanya pengunjung yang beragama Islam untuk berbuka puasa di hotel masing-masing.

Sebagaimana yang disahkan sendiri oleh pihak JAKIM sehingga 09 Ogos 2010 ini, hanya 22 hotel dan 51 buah dapur sahaja yang memiliki persijilan halal yang sah!

Cuba kita bayang dan fikirkan bersama bagaimana daripada beratus dan mungkin juga beribu hotel yang ada di Wilayah Persekutuan dan Lembah Kelang khususnya hanya 22 buah hotel sahaja yang sebenar-benarnya memiliki sijil halal yang sah?

Buat ummat Islam di negara kita, senario yang dihadapi ini memperlihatkan seolah-olah pihak hotel hanya memikirkan keuntungan mereka samata-mata untuk merebut pelanggan beragama Islam datang ke tempat mereka tanpa langsung memikirkan soal halal haram yang amat dititik beratkan oleh ummat Islam?

Soal halal haram adalah perkara yang paling penting untuk ummat Islam kerana memakan sesuatu yang jelas tidak mengikut syarak adalah haram kepada kita sebagai orang Islam.

Kekeliruan pada bukan Islam akan pengertian halal itu jelas kelihatan sehingga kini. Umumnya pada mereka istilah halal itu hanyalah kepada masakan atau makanan yang tidak mengandungi daging babi semata-mata!

Sebab itu kalau kita perasan, ada di sesetengah premis makanan itu terdapat papan tanda yang bertulis ‘pork free’ (tiada babi).

Ini bermakna istilah halal kepada mereka bukan Islam hanyalah berlegar pada ‘tiadanya daging babi’ di premis makanan mereka tanpa mengetahui perkara yang lain yang menurut syarak seperti siapa yang menyembelih ayam, bagaimana ayam disembelih, macamana pula bahan masakan seperti minyak masak yang digunakan, pewarna, rencah kari dan sebagainya lagi.

Justeru itu, pendedahan senarai hotel-hotel yang memiliki sijil halal rasmi daripada JAKIM sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini sedikit sebanyak mampu mencegah pelanggan yang beragama Islam khususnya daripada tertipu dengan berbagai tawaran Buffet Ramadhan yang terus menjadi daya tarikan utama setiap hotel sejak 15 tahun kebelakangan ini.

Tuesday, August 10, 2010

RAMADHAN: KEHADIRAN YANG DINANTI

Kehadiran Ramadhan Al-Mubarak 1431H pada tahun ini sekali lagi mengamit kita semua. Kehadiran bulan yang mulia yang penuh dengan barakah dan hikmahnya yang tersendiri amatlah dinantikan oleh semua ummat Islam di seluruh dunia.

Para ulama soleh terdahulu senantiasa mengkhususkan diri untuk menyambut Ramadhan dengan penuh keseriusan. Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada umatnya;

“Akan segera datang kepada kalian bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah SWT bersama kalian pada bulan itu, maka diturunkanlah rahmat, diampuni dosa-dosa dan dikabulkan do’a dan permintaan. Allah melihat kalian berlumba-lumba di dalam kebaikan, lalu diikutkan bersama kalian malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah kebaikan diri kalian, sesungguhnya orang yang rugi adalah mereka yang tidak mendapatkan rahmat Allah”.

Dalam al-Quran juga ditegaskan;

“Demikianlah (perintah Allah). Dan barang siapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu dari ketakwaan hati”.

Justeru itu kehadiran bulan yang mulia ini kita raikan bersama doa menyambut Ramadhan iaitu;

“Allahumma bariklana fii rajab wa sya’ban wa balighna Ramadhan”

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab, Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan”
- (HR. Ahmad dan Thabrani)

Bulan yang diberkati diantara semua bulan ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh kita semua untuk menunaikan ibadatnya. Bulan ini juga memberi kita ruang untuk melakukan segala amalan yang sepatutnya seperti melakukan solat terawih dan witir, mengaji dan bertadarus disamping mengambil kesempatan untuk melakukan amalan-amalan sunat yang lain juga.

Sesungguhnya kehadiran Ramadhan amatlah dinantikan dan dirindui oleh kita semua. Adalah menjadi harapan kita juga sempena kehadiran Ramadhan ini dipergunakan sebaik-sebaiknya untuk pengamalan diri mendekati Allah SWT.

Setiap perbuatan dan tata laku haruslah dijaga bagi menghormati ketibaan bulan ini. Puasa sesungguhnya bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi turut juga menahan diri daripada melakukan segala perkara yang keji yang lain.