Tuesday, September 1, 2009

HADIAH HARI KEBANGSAAN KE 52 : TAHNIAH! 1 MALAYSIA HARGA MINYAK NAIK !

Tiada hadiah yang paling mahal buat rakyat Malaysia sempena menyambut hari Kebangsaan negara kita yang ke 52 semalam melainkan pengumuman kenaikan harga minyak mulai 1 September 2009, apabila kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak RON 95 dan RON 97 dinaikkan antara 5 sen dan 25 sen menjadikan kini RON 95 RM 1.80 dan RON 97 melambung secara melampau daripada RM 1.80 menjadi RM 2.05!

Berdasarkan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang juga Ahli Parlimen Bera, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan harga RM1.75 seliter bagi RON95 yang diumumkan Mei lalu ditetapkan berdasarkan harga minyak dunia ketika itu AS$40 setong.

"Kini harga petrol dunia melonjak kepada AS$82 setong. Ini bermakna peningkatan sebanyak 102 peratus.Penetapan harga petrol di negara ini menggunakan Mekanisme Harga Automatik (APM) di mana ia bergantung kepada kedudukan harga kos produk di pasaran dunia.

"Sekiranya harga minyak dunia mengalami penurunan, maka kerajaan akan menyemak semula harga petrol dan turunkan harga petrol. Jika harga minyak dunia naik, maka kita akan membincangkan perkara itu dalam Majlis Ekonomi Negara"


Beliau juga berkeyakinan penuh sehingga ke akhir tahun ini, tiada lagi kenaikan harga minyak baru sebagaimana yang dinyatakan beliau semalam ketika hadir di majlis pelancaran RON95 seluruh negara di Stesen Minyak Petronas Lebuh Raya Sprint semalam.

Amatlah menghairankan kita kenapa pihak kerajaan tidak memikirkan langsung keperitan rakyat negara ini dengan kenaikan harga minyak ini lebih-lebih lagi disaat umat Islam terutamanya yang akan balik ke kampung bagi merayakan hari raya puasa tidak lama lagi? Dengan kos tol lebuhraya yang telah sedia maklum amat mahal, kini beban pada kos petrol akan turut bertambah juga kesan daripada kenaikan ini.

Disamping itu juga keperitan penduduk di pendalaman sepatutnya turut diambil kira yang rata-rata antara mereka hanyalah bekerja sebagai petani, penorah getah, pekebun sayaur, penanam padi serta para peneroka yang sentiasa menggunakan bahan api petrol ini pada pengangkutan atau peralatan mesin mereka.

Sepatutnya Ismail Sabri mengambil kira semua faktor ini lebih-lebih lagi beliau yang juga Wakil Rakyat di kawasan yang boleh dikategorikan luar bandar iaitu Parlimen Bera sepatutnya terlebih dahulu mengkaji kesusahan rakyat dikawasannya yang majoritinya merupakan golongan berpendapatan rendah sebelum meluluskan kenaikan seperti ini.

Adalah diharapkan beliau dapat memahami perkara ini dan jangan terlalu mengambil kira kenaikan ini amat perlu disebabkan untuk memenuhi desakan pihak yang berkepentingan bagi menjaga periuk nasi masing-masing sahaja. Beliau sebagai seorang menteri seharusnya mengemukakan pandangan yang sewajarnya berdasarkan kepentingan rakyat bawahan dengan mengemukakan contoh yang terbaik ialah akan nasib penduduk di kawasannya terlebih dahulu, kalau pun tidak mengambil contoh ditempat lain kerana sebab-sebab yang dinyatakan diatas tadi.

No comments: