Tuesday, February 3, 2009

UMNO 'MEROYAN' LAGI DI PERAK


Gambar 1) Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu

Gambar 2)Mantan MB Perak, Dato Seri Tajol Rosli


Senario terkini yang melanda kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri Perak kini ‘benar-benar’ dikatakan kecoh, kelam kabut serta berada didalam keadaan yang teramat genting menurut berita yang disiarkan didalam media arus perdana sejak semalam.

Namun keadaan sebegitu tidaklah berlaku sebagaimana sumber yang sah dan benar yang diperolehi dari kerajaan negeri Perak sehingga kini. Semua keadaan adalah terkawal dan berjalan seperti biasa perjalanannya sehingga kini. Satu hakikat kini yang perlu diakui adalah semua kejadian-kejadian ‘aneh’ mutakhir ini adalah merupakan permainan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang sehingga kini masih tidak berpuashati dan tidak dapat menerima kekalahan BN di negeri Perak.

Akibat kekalahan tersebut, Dato’ Seri Tajol Rosli selaku mantan Menteri Besar Perak dan juga mantan Pengerusi Perhubungan Umno Perak terus ‘meroyan’ sehingga kini. Sindrom meroyan ini telah menyebabkan Umno serta BN negeri Perak terus menyerang serta melakukan berbagai onar terhadap kerajaan PR di negeri Perak pimpinan Dato’ Seri Ir Nizar Mohamad selaku MB Perak yang sah.

Sejak PR berkuasa di Perak selepas PRU 12 Mac 2008 lalu, telah pelbagai cara untuk Umno dan BN mengambil semula pimpinan kerajaan negeri dengan pelbagai tohmahan seperti isu geran tanah 999 tahun, isu komposisi exco yang melayu nya kurang di dalam barisan Exco negeri sehinggalah turut melibatkan Istana walhal kerajaan PR langsung tidak berniat untuk menimbulkan ‘kekeruhan’ diri didalam hal ini.

Namun begitu selepas tarikh akhir 31 Ogos 2008 lalu sebagaimana yang diperkatakan oleh mantan MB Perak Dato’Seri Tajol Rosli yang mengatakan tampuk kerajaan Perak berkemungkinan akan bertukar tangan daripada pimpinan PR ke BN itu tidak berlaku, isu ini mula reda sehinggalah apabila Dato’ Nasaruddin Hashim Adun Bota mengambil keputusan untuk mengisytiharkan diri keluar dari Umno dan BN untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seterusnya menambahkan lagi jumpa Adun PR dari 31 orang menjadi 32 manakala Adun BN berkurangan dari 28 kepada 27 orang. Episod keluarnya beliau dari BN dan berhijrah ke PR benar-benar menyebabkan UMNO perak tersungkur lagi.

Rentetan daripada isu inilah maka Dato Seri Tajol Rosli telah ‘terpaksa’ meletakkan jawatan selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak serta merta yang mana ‘kononnya’ menurut kata Tajol Rosli beliau berbuat demikian kerana merasakan bertanggungjawab terhadap ‘melompatnya’ Dato Nasaruddin ke dalam PKR! Kalau lah kenyataan beliau itu di ambil kira, maka amat hebatlah peranan yang dimainkan oleh Dato Nasaruddin yang mana dengan peranan beliau melompat sahaja ke parti lawan telah membolehkan Pengerusi Umno negeri Perak meletak jawatan? Amat hebat bukan?

Sikap yang ditunjukkan oleh Dato Nasaruddin ini mencerminkan ketulusan hatinya yang mengambil risiko untuk bersama dengan PR walaupun diri beliau sendiri menjadi taruhan demi rakyat dikawasannya. Berbagai kecaman telah dilakukan terhadap beliau oleh semua pemimpin dan pengampu Umno dan BN dengan menuduh beliau sebagai pemimpin yang tidak bermoral, pemimpin yang mementingkan diri sendiri, pemimpin yang ‘frust’ kerana kalah sebagai Ketua Bahagian UMNO Parit serta dituduh juga kerana ‘geram’ selepas beliau tidak dilantik semula selaku Pengerusi Felcra dan bermacam lagi tuduhan yang dibuat.

Apakah dengan memasuki serta menyeberang ke Pakatan Rakyat merupakan satu tindakan dosa besar Dato Nasaruddin berbanding dengan pemimpin Umno dan BN lain yang jelas serta diakui sendiri oleh Mantan Perdana Menteri (PM) Tun Dr Mahathir yang mengatakan ramai pemimpin-pemimpin Umno dan BN kini jelas korup dan rasuah, suka merompak harta rakyat, menyalahguna kuasa serta angkuh dan sombong terhadap rakyat? Kalau ini merupakan suatu tindakan yang teramat salah pada pimpinan Umno, bagaimana pula dengan peralihan kuasa di Sabah 15 tahun dahulu apabila beberapa pemimpin dan Adun PBS yang melompat parti seterusnya menyertai BN dan membentuk kuasa di Sabah sehingga kini?

Mungkin pada mereka salah sekiranya orang mereka sendiri yang melompat ke parti lawan tetapi tidak salah sekiranya wakil-wakil rakyat parti lawan yang bertindak menyertai mereka. Dengan isu yang semakin panas menurut media massa perdana di Perak kini, telah ada usaha-usaha untuk mereka menarik serta membeli Adun-adun dari PKR serta DAP sebagaimana laporan akhbar Utusan Malaysia 02/02/2009 yang mengatakan berkemungkinan akan menyertai BN di Perak dan ini telah diakui oleh Perdana Menteri selaku Presiden UMNO, Pak Lah didalam temubual Buletin Utama TV3 pada 01/02/2009. Tidak timbul langsung soal moral, soal maruah, soal pemimpin pentingkan diri sendiri apabila adanya adun-adun parti lawan ingin menyertai BN!

Sehingga ke saat ini, pelbagai spekulasi telah dimainkan oleh media perdana negara ini dengan laporan perletakan jawatan 2 Adun PKR dari Dun Behrang dan Changkat Jering yang mana menurut Speaker DUN Perak sendiri turut mengakui penerimaan surat perletakan jawatan mereka berdua walaupun keesokan harinya mereka berdua dilaporkan menafikan meletak jawatan serta masih mengakui sebagai wakil rakyat cuma sebagaimana menurut sumber lagi beliau tidak akan memasuki Umno cuma akan keluar parti PKR dan menjadi wakil Bebas sahaja! Apa motif mereka berdua dan permainan apakah yang telah dirancang oleh Umno dan BN sehinggakan Pak Lah sendiri selaku Perdana Menteri Malaysia turut mengakui adanya wakil-wakil Rakyat dari PR yang akan menyertai BN dalam tempoh terdekat ini. Fikirkan lah….

BUKAN SAYAP SAHAJA, MALAHAN UMNO & BN PUN HARUS DIBUBARKAN!


Apabila veteran lama Umno yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithaudeen (gambar) menggesa agar sayap-sayap parti Umno seperti sayap Pemuda, Wanita, Puteri serta Biro Putera dalam pemuda Umno di bubarkan, riuh pikuk satu negara (Perlu dibaca: riuh pikuk kepada ahli-ahli Umno sahaja yang berada diseluruh negara) yang menentang dengan idea yang boleh diumpamakan tidak masuk akal oleh sesetengah pemimpin di parti tersebut! Alasan yang dibuat olehnya ialah, dikalangan sayap-sayap ini telah mula diajar dan terlibat dengan politik wang sedang hakikatnya menurut beliau lagi, Puteri dan Putera umpamanya teramat muda untuk bermain politik apatah lagi turut terlibat dengan politik wang merupakan satu perkara yang amat dikesali.

Kenyataan balas yang dibuat oleh Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein selaku Ketua Pemuda Umno ketika ini antara lain berbunyi “….walaupun saya menghormati beliau (Tengku Ahmad Rithaudeen) sebagai orang lama dalam Umno yang banyak berjasa tetapi cadangan beliau agar membubarkan saja sayap-sayap parti dalam Umno amat-amatlah tidak boleh diterima kerana ianya memberi kesan kepada orang muda itu sendiri..”

Begitu juga komen yang dibuat oleh Dato Azeez yang juga Ketua Bahagian Umno Baling yang juga merupakan Ketua Biro Putera Umno Malaysia turut menepis dakwaaan yang dibuat oleh Pengerusi lembaga Disiplin Umno tersebut malah menambah lagi, “Putera bukannya sayap dalam Umno seperti Pemuda, Wanita dan Puteri Cuma sebuah biro yang berada didalam Pemuda Umno sahaja. Sekiranya kesan diambil kira ini telah membuktikan Putera Umno telah memainkan peranan yang cukup baik didalam Umno bagi menarik golongan belia remaja bersama Umno itu sendiri”.

Puteri yang diakui hebat diawal penglibatan didalam Umno ketika dipimpin oleh Dato Seri Azalina Othman turut memberi komen melalui Ketuanya kini iaitu Dato Noraini Ahmad menafikan kewujudan politik wang turut berpunca dengan penglibatan ahli-ahli puteri itu sendiri. Bagi beliau “tiada bukti menunjukkan puteri dan sayap-sayap yang lain turut terlibat secara langsung dengan politik wang ini”.

Bagi Tan Sri Rafidah Aziz pula selaku Ketua Wanita Umno, katanya alasan Lembaga Disiplin UMNO mengetengahkan cadangan itu untuk membanteras politik wang sukar diterima.
"Hanya segelintir ahli UMNO terlibat dengan politik wang, jadi mengapa ‘kelambu’ yang lebih 50 tahun menjadi tonggak kekuatan UMNO mahu dibakar?" soal Rafidah.

Namun begitu pada perkiraan saya bukan hanya setakat sayap-sayap pemuda, wanita, puteri dan biro putera Umno sahaja yang sepatutnya dibubar malahan sepatutnya parti Umno itu sendiri juga seharusnya sudah sampai masa untuk dibubarkan! Malahan semua komponen-komponen parti Barisan Nasional pun perlu dibubarkan dan ahli-ahlinya boleh memilih untuk menyertai mana-mana parti didalam Pakatan Rakyat (PR) sebagai gantinya.

Menurut sebagaimana kata-kata Dato Mahfuz Omar yang juga Ketua Penerangan PAS Malaysia ketika memberi komen tentang ‘bubar membubarnya sayap parti Umno ini’, apa kata beliau? “Saya terkejut, kenyataan Tengku bunyinya macam nak bubarkan Umno sahaja….Bila sayap dimusnahkan, tak boleh terbang lagi untuk cari makan, Akhirnya akan mati…sebab itu lah cadangan itu sebenarnya cadangan supaya Umno dihapuskan terus tetapi Tengku Ahmad Rithaudeen tak sampai hati nak minta Umno dihapuskan terus”

Senang cerita, sudah sampai masa sebenarnya Umno dan BN patut dibubarkan demi keharmonian parti-parti Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pemerintahan negeri dan negara di PRU ke 13 nanti. Fikir-fikirkan lah….

Tuesday, January 20, 2009

SALAM DARI KEJAUHAN!




Salam pada semua,

Sudah hampir sebulan rasanya saya tidak berpeluang dan berkesempatan untuk menulis artikel didalam blog ini. Kepadatan yang amat melampau dengan tugasan kerja serta perlu menyelesaikan beberapa perkara yang berkaitan adalah salah satu penyebabnya...namun begitu tidak terlewat untuk saya mengucapkan SELAMAT MAAL HIJRAH 1430H, SELAMAT TAHUN BARU 2009 dan tidak lama lagi kita akan turut meraikan perayaan CHINESE NEW YEAR pada 26 Januari 2009 ini.

Dikesempatan ini juga saya ucapkan tahniah kepada PAS diatas kemenangan yang cukup bergaya di Pilihanraya Kecil Parlimen 036 Kuala Terengganu tempohari, sesungguhnya kemenangan Pas khasnya dan pakatan Rakyat amnya telah 'membuka' lagi mata kepada semua para pendokong UMNO dan BARISAN NASIONAL amnya bahawa kini era politik baru di negara kita bukan lagi berteraskan omongan kosong yang selalunya dijanjikan kebendaan serta sifat material sebagai bahan kempennya!

Barisan Nasional khasnya Umno kini bukan lagi menjadi pilihan pengundi untuk semua rakyat Malaysia, kemenangan yang dijanakan dengan sifat keyakinan kepada Pakatan Rakyat serta pemimpinnya yang tidak bertunjangkan rasuah, kronisme dan 'sama-sama merasa' inilah yang diperlukan oleh rakyat negara kita.

Sebagai mukadimah di tahun 2009 ini, saya pasti dan terus meyakini bahawa Pakatan Rakyat akan terus bersinar di seluruh negara dan yang pastinya kemenangan Pas itu sendiri telah memberi petanda yang jelas, Rakyat Malaysia telah muak dengan pimpinan BN yang kadang kala tidak mahu belajar dengan apa yang telah dijelmakan oleh pengundi pada PRU ke 12 08 Mac 2008 yang lalu!

Sesungguhnya, "Kita hanya merancang, Allah pun merancang, tetapi setiap perancangan itu adalah ketetapan dari Allah SWT jua..."

Tuesday, December 23, 2008

IJN MENJUAL KEPENTINGAN RAKYAT!



Hasrat Kerajaan yang membenarkan saja IJN Holdings Sdn Bhd (Kerajaan mempunyai kepentingan 99.99% yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan) untuk menjual kepentingannya sebanyak 51% merupakan satu lagi ‘malapetaka’ yang bakal dihadapi oleh rakyat Malaysia di masa depan.

Didalam keadaan sekarang pun IJN yang dipunyai oleh kerajaan bayaran untuk melakukan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pun sudah teramat tinggi, inikan pula sekiranya kerajaan membiarkan sahaja kepentingan ini dibeli oleh Sime Darby Bhd. IJN yang dikenali umum oleh masyarakat antarabangsa adalah merupakan pusat perubatan jantung yang utama di rantau ini.

Cakap-cakap Perdana Menteri mengatakan, “memang ada kebaikan sebaliknya sekira ada syarikat kerajaan seperti Sime Darby yang juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ingin membantu” adalah cakap-cakap kosong sahaja demi kepuasan puak-puak tertentu tanpa mengambil kira langsung pandangan rakyat Malaysia yang masih lagi mengharapkan agar kerajaan sedar dan jangan bertindak melulu!

Ketika ditanya oleh wartawan adakah pengambilalihan ini disebabkan kerajaan tidak mampu lagi untuk menanggung kos IJN? Pak Lah menafikannya “Kerajaan masih boleh tanggung, bukan tidak boleh tanggung, kalau kita tanggung, kita tanggunglah”
Sime Darby dikatakan telah membayar harga premium melebihi penilaian hospital biasa sebanyak 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) memandangkan IJN ini merupakan pusat pakar jantung yang terkenal di rantau ini.

Yang pastinya dan berdasarkan pengalaman lepas-lepas, sekiranya sesuatu kepentingan kerajaan diambil alih oleh syarikat-syarikat yang berkaitan kerajaan atau dengan bahasa mudah ‘diswastakan’ maka bayaran perkhidmatan akan menjadi lebih tinggi dan ini secara tidak langsung tidak dapat dinikmati serta dibiayai oleh golongan yang susah dan miskin.

Alasan mengatakan bidang perubatan memerlukan kos yang tinggi serta besar kerana memerlukan peralatan yang canggih serta memerlukan ubat-ubatan serta pakar-pakar perubatan yang terbaik juga tidak dapat diterima langsung. Sebagai kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan bertanggung jawab kepada rakyat disesebuah Negara, semua ini perlulah dilakukan secara cermat dan berhemah dengan mengambil kira semua kepentingan. Apa erti sesebuah kerajaan sekiranya tidak mampu menyediakan ini semua untuk rakyat?

Walaupun apa alasan yang diberikan sebagaimana menurut kata Menteri Kesihatan, Dato Liow Tiong Lai “ modus operandi serta objektif IJN akan kekal sebagai pusat jantung yang berkhidmat untuk rakyat walaupun diambil alih pada masa depan” adalah cakap-cakap untuk ‘menyedapkan hati’ rakyat sahaja.

Kenapa kerajaan begitu mudah mengelak tanggungjawab sosialnya untuk kepentingan rakyat Negara ini? Itu satu persoalan yang cukup pelik kerana setiap kali Bajet Negara yang dibentangkan setiap tahun, Kerajaan telah memperuntukkan bajet yang cukup besar untuk Kementerian Kesihatan ini. Apakah semua bajet-bajet ini telah digunakan untuk tujuan yang lain? Kerajaan selalu mendakwa bahawa Kerajaan BN adalah kerajaan yang cukup menjaga hak-hak rakyat serta begitu bertanggung jawab untuk setiap nyawa rakyat Negara

Thursday, December 18, 2008

GARA-GARA PRK KUALA TERENGGANU:DULU WANG EHSAN SEKARANG ROYALTI KEMBALI

Gambar 1) YAB Dato Ahmad Said, MB Terengganu sekarang

Gambar 2) YAB Dato Seri Najib Tun Abd Razak, 'Bakal' Perdana Menteri Mac 2009

Gambar 3) Mantan MB Terengganu Dato Seri Idris Jusuh bersama 'Bakal' Mantan PM Dato Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi


Salam pada semua,

Saya tersenyum sendiri apabila mendengar kini Kerajaan Terengganu sudah mula memperolehi kembali Royalti Minyak semalam. Suatu ketika dahulu, kalau tak salah ingatan saya pada tahun 2001 kecoh satu negara gara-gara 'pertelingkahan' berkenaan dengan royalti minyak ini diantara kerajaan Terengganu pimpinan PAS ketika itu dengan kerajaan Persekutuan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Berbagai hujah yang dikemukakan oleh 'pemuka-pemuka' didalam Umno serta BN samada dari luar Terengganu atau dari dalam negeri Terengganu itu sendiri. Masih terbayang-bayang saya bagaimana ketika itu Dato' Seri Rais Yatim bermati-matian memperkatakan bahawa

"Tiada perjanjian sebenar-benarnya antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Terengganu dalam hal pembayaran wang royalti minyak ini. Semuanya hanyalah pemberian ehsan daripada kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Terengganu kerana minyak ini dijumpai di persisiran pantai Terengganu. Yang ada hanyalah cuma 'Perjanjian Persefahaman atau pun MOU!"

Begitu juga lah apabila Tengku Razaleigh sendiri pernah ditanya perkara ini oleh wartawan turut mengiyakan perkara ini. Jawapan ini secara tidak langsung telah mengesahkan serta menguatkan lagi fakta bahawa sememangnya tiada perjanjian yang khusus tentang pembayaran wang royalti kepada kerajaan Terengganu. Tengku Razaleigh sebagai bekas Menteri Kewangan serta bekas Pengerusi Petronas diawal penubuhan syarikat petroleum negara ini sudah tentulah mengetahui begitu banyak berkaitan pembayaran ini dan semestinya kenyataan beliau itu ada 'asas'nya menurut wartawan lagi.

Kenyataan-kenyataan yang menafikan hak kerajaan Terengganu ini juga turut berkumandang lagi apabila beberapa pemimpin dari Terengganu sendiri seperti Dato Seri Idris Jusuh yang ketika itu adalah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu yang begitu lantang sekali agar royalti minyak ini di tarik kerana pada pandangan beliau dan juak-juak UMNO Terengganu kononnya kerajaan Terengganu pimpinan PAS tidak pandai hendak menguruskan wang ini malahan dipercayai akan turut 'menyalurkan' wang royalti ini kepada PAS pusat serta memperkuatkan PAS di semua negeri-negeri di Malaysia!

Akhirnya, Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu pun menarik kesemua royalti yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan Terenggau pada setiap suku tahun serta merta. Itulah kerja puak-puak UMNO ini yang begitu mementing politik mereka daripada memberi peluang untuk kerajaan yang sah ketika itu menguruskan wang royalti ini. Mulai 2002 maka kesemua royalti itu telah ditukarkan namanya kepada 'wang ehsan' yang mana terus disalurkan oleh kerajaan pusat melalui jabatan-jabatan kerajaan persekutuan di Terengganu serta turut juga disalurkan melalui UMNO negeri yang di pimpin oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu ketika itu.

Akibat kaedah wang ehsan ini jugalah pihak kerajaan Terengganu pimpinan PAS ketika itu telah mengambil tindakan mahkamah untuk penyelesaiannya sehingga ke hari ini masih lagi belum mencapai kata putus dan tiada keputusan oleh pihak berkenaan. Ketika BN berjaya mengambil alih kerajaan Terengganu pada PRU 11 2004 lalu, kaedah pembayaran masih lagi diteruskan melalui wang ehsan namun perbelanjaan yang begitu 'kasar' serta tidak diketahui langsung oleh sesetengah YB-YB BN sendiri telah 'memerangkap' Menteri Besar sendiri iaitu Dato Seri Idris Jusuh! Berbagai pembangunan kononnya untuk rakyat Terengganu telah dibuat walaupun hakikatnya langsung tidak beri manafaat kepada rakyat Terengganu seperti Monsoon Cup yang diadakan setiap tahun disana.

Ini di buktikan melalui kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar barunya Dato Ahmad Said apabila diminta mengulas berkenaan wang ehsan dan cara ianya dibelanjakan. Beliau sendiri mengakui tidak di ketahui kemana di belanjakan, untuk tujuan apa dan kadang-kadang apabila projek yang diadakan di negeri sendiri pun begitu pelik dan tidak sepatutnya diadakan menurut kehendak rakyat Terengganu itu sendiri!

Sejak dari itu, kerajaan Terengganu mulai 'bermimpi' agar wang royalti ini dapat diberi serta diuruskan sendiri oleh kerajaan pimpinannya. Menerusi kenyataannya yang terbaru pada awal November lalu apabila ditanya oleh wartawan sebaik sahaja beliau selesai menemui Perdana Menteri bagi membincangkan tentang wang royalti ini, beliau hanya mampu berkata paling awal kerajaan negeri akan memperolehi secara terus wang royalti ini hanyalah Mac 2009 nanti!

Tetapi di takdir Allah SWT, Kita hanya merancang tetapi Allah jua yang menentukan......Kematian Allahyarham Dato Razali (Timbalan Menteri Pelajaran merangkap Ahli Parlimen K.Terengganu) telah menukarkan segala-galanya. Akibat daripada Pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang bakal berlangsung pada 17 Januari 2009 nanti, tidak semena-mena wang royalti dapat di kembalikan kepada kerajaan Terengganu. Ibarat sedikit kata-kata Timbalan Perdana Menteri ketika di penyerahan 'Mock-up Cheque' baru-baru ini ;

" Kerajaaan Pusat akan membayar secara terus wang royalti ini bagi memudahkan kerajaan Terengganu berbelanja serta menyusun pembangunan yang perlu dibuat di negeri ini demi rakyat negeri dan mahu rakyat menikmatinya"
"Dengan adanya pitih ini maka mudahlah kerajaan Terengganu menguruskannya sendiri..."

keputusan yang dibuat ini benar-benar memeranjatkan kita semua kerana kalau dahulu ditahun-tahun awal kemenangan PAS menguasai kerajaan Terengganu, bermacam helah dan hujah yang dikemukakan sehingga ada yang mendakwa tiadanya perjanjian khusus berkaitan wang royalti ini, yang ada cuma belas ehsan kerajaan Persekutuan sahaja terhadap negeri Terengganu untuk memberinya.....itu UMNO oh UMNO....demi pilihanraya dan umpan untuk rakyat, segala-galanya boleh berubah sekelip mata!

Wednesday, December 17, 2008

TRAGEDI BUKIT ANTARABANGSA MEDAN PEMIMPIN UMNO / BN MEMPOPULARKAN DIRI

1) Suasana runtuhan tanah daripada atas bukit.

2) Keadaan sebuah rumah yang hampir ranap sepenuhnya akibat runtuhan tanah


Tragedi tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 lalu telah dijadikan oleh para pemimpin UMNO / BN medan untuk mempopularkan diri kepada rakyat kononnya mereka inilah yang prihatin serta mengambil tahu masalah yang di hadapi oleh rakyat. Apabila kita melihat kehadiran mereka ini yang kadang-kala kehadiran mereka ini boleh dipertikai tentang apakah peranan mereka serta untuk apa sepatutnya hadir kesitu.

Sebagai contohnya apabila para menteri serta pemimpin-pemimpin utama dari pelbagai parti komponen BN ini yang hadir dengan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan sehingga boleh mengelirukan orang ramai dan menjadi satu medan untuk mereka pula mengambil kesempatan untuk mempromosikan diri masing-masing. Kehadiran yang ramai baik daripada Menteri-menteri serta wakil-wakil rakyat BN, Kawasan kejadian ini juga turut dihadiri oleh para pemimpin semua peringkat seperti Pemuda, Wanita dan juga Puteri. Semuanya mempunyai matlamat yang satu.

Seperti kehadiran Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Ali Rustam yang juga calon Timbalan Presiden UMNO yang datang dari jauh semata-mata ‘kononnya’ begitu prihatin tentang apa yang menimpa penduduk di Bukit Antarabangsa ini. Apakah masalah rakyat di negeri Melaka telah selesai yang membolehkan Ketua Menteri ini hadir dari jauh semata-mata kerana bersimpati kepada penduduk disini?

Bagi saya, Selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kehadiran beberapa orang yang cukup dikenali ini seperti antara lain lagi, Tan Sri Mohamad Mohamad Taib juga calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (calon Timbalan Presiden UMNO) , Dato’ Ahmad Sabery Chik (calon MT UMNO), Dato’ Halimah Sadiq (calon MT UMNO), serta beberapa orang tokoh menteri serta yang berjawatan didalam UMNO terutamanya hanyalah sekadar mempromosikan diri masing-masing menjelang pemilihan didalam UMNO terutamanya yang melibatkan jawatan no 2 didalam parti itu sendiri.

Kehadiran Mukhriz Mahathir biar pun atas nama NGO Aman Malaysia, itu juga adalah medan masing-masing untuk mempromosikan diri untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan yang akan datang. Apakah sumbangan yang boleh dilakukan oleh Dato Seri Khir Toyo dan juga Khairi Jamaluddin ke sana? Kalau tidak medan untuk mereka mempromosikan diri untuk jawatan yang sama?

Mungkin kehadiran Khir Toyo sedikit menonjol kali ini dengan hadirnya beliau semata-mata untuk ‘menghentam’ kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak pandai serta reti untuk memantau segala projek-projek yang sedang dijalankan dilereng-lereng bukit di Bukit Antarabangsa itu sendiri? Mereka semua ini hadir dengan niat yang sama, iaitu ‘menolong’ orang yang didalam kesusahan. Keprihatinan mereka yang melampau ini telah dijadikan isu yang cukup hebat di berita-berita media utama negara ini. Mereka lah semuanya yang begitu mengambil berat tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di sana.

Namun Khir Toyo lupa agaknya apabila apabila 99 projek yang berada dilereng bukit adalah diluluskan oleh kerajaan lalu dan satu persoalan yang diketahui semua ialah bagaimana projek-projek ini boleh diluluskan sedangkan pada tahun 2001 sudah ada garis panduan yang diwartakan yang disebut 'Total Planning Guide Line' yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dalam garis panduan tersebut telah menetapkan pembangunan di kategori tiga iaitu cerun diatas 25 darjah dan empat iaitu cerun diatas 35 darjah mestilah dihentikan serta merta. Garis panduan serta undang-undang ini sudah ada sejak 2001 tetapi kelulusan masih diberikan untuk semua projek-projek ini pada tahun 2004 sehingga 2007. Maknanya undang-undang tidak dihormati!

Apa pula peranan calon Ketua Wanita UMNO Dato Seri Sharizat Jalil kalau tidak mempunyai matlamat yang sama? Ini semua telah dijadikan modal oleh mereka terutamanya menjelang pemilihan UMNO nanti. Kenapa ketika rakyat yang kehilangan tempat tinggal akibat operasi meroboh rumah di Plentong dan Batu Berembang tidak dihadiri oleh mereka semua ini? Alangkah bagusnya kalau masalah rakyat yang ‘terlebih’ bawah ini di bantu dan diberikan keutamaan kerana mereka ini orang biasa yang tiada harta benda untuk memungkinkan mereka berada di tempat yang ‘high class’ seperti di Bukit Antarabangsa itu sendiri.

Saya juga berasa pelik apabila ramai para pemimpin UMNO ini begitu ‘pandai’ mengeluarkan berbagai kenyataan yang berbentuk teknikal dari sudut kejuruteraan. Bermacam kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah perkara yang berlaku ini adalah kerana sistem perlaksanaan dan penyelenggaraan yang berlaku di lereng-lereng bukit ini tidak mematuhi piawaian yang telah di tetapkan. Ada juga membuat kenyataan yang begitu lucu bunyinya sedangkan para pengamal kejuruteraan begitu cermat sekali mengeluarkan kenyataan dari pelbagai aspek.

Saya sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung didalam bidang kejuruteraan ini merasakan kenyataan yang dibuat oleh mereka (pemimpin UMNO / BN) ini kadang-kadangnya merasa hairan kerana mereka ini semuanya berani mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan rasa gundah dan ketakutan penduduk yang berhampiran dengan tempat kejadian tersebut.

Begitu juga bila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Seri Ong Ka Chuan yang turut memberikan kenyataan yang bersifat tidak matang apabila menafikan kejadian yang berlaku ini adalah berpunca daripada kecuaian manusia! Mungkin kenyataan beliau ini juga adalah bagi menunjukkan kepada Perdana Menteri bahawa beliau seorang yang buat kerja walaupun telah kalah didalam pemilihan Timbalan Presiden MCA baru-baru ini. Tidak semestinya yang kalah tidak boleh dikekalkan sebagai menteri lagi?

Secara peribadi, hanya kenyataan daripada Menteri Kerja Raya, Dato Ir Mohd Zin Mohamad sahaja yang saya rasa boleh dipakai serta diambil kira berdasarkan pandangan beliau sebagai seorang yang pernah terlibat sebagai pengamal kejuruteraan. Beliau mengakui bahawa segala yang berlaku di Bukit Antarabangsa ini adalah berpunca daripada kecuaian manusia. Kenyataan beliau ini telah disambut oleh semua penduduk di Bukit Antarabangsa ini sebagai kenyataan yang tidak terburu-buru apatah lagi untuk menyalahkan faktor alam semata-mata.

Itulah hakikat apabila kehadiran mereka semua ini hanyalah sekadar medan untuk mempopularkan diri sahaja. Itulah jadinya apabila ada beberapa orang dikalangan mereka ini yang begitu ghairah mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk ‘teknikal’ secara tidak langsung telah menonjolkan mereka ini kepada umum yang kononnya mereka begitu mengambil tahu serta arif sangat-sangat tentang apa yang berlaku serta bakal berlaku! Secara tidak langsung juga mereka ini mengambil berat yang ‘teramat sangat’ kepada rakyat. Oleh yang demikian inilah pemimpin yang perlu ada dan perlu diberi jawatan ketika pemilihan UMNO Mac 2009 nanti pada pandangan ‘puak-puak’ UMNO ini. Inilah yang dikatakan pemimpin bersama rakyat setiap masa kononnya.

Monday, December 15, 2008

KORBAN EID ADHA 1429

1) Sedang melapah daging lembu yang telah disembelih.

2) Penduduk setempat yang turut hadir ketika korban di lakukan


3) Lembu yang telah selesai disembelihkan

4) Suasana ketika lembu di tumbangkan untuk di sembelih sempena korban 1429 ini.


Korban sempena Eid Adha amat besar pengertiannya. Alhamdulillah, sebanyak 5 ekor lembu di korbankan sempena menyambut kedatangan eid adha tahun ini. Majlis korban yang dimulakan sebaik sahaja selesai menunaikan solat sunat eid adha ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat yang turut mengambil tugas masing-masing dengan menyembelih, melapah daging serta mengagih-agihkan daging korban tersebut.