Thursday, July 23, 2009

APABILA IBRAHIM ALI MEMANGGIL 'HUJAN'....


Sebagaimana yang di war-war kan oleh Gerakan Mansuh ISA (GMI)sejak kebelakangan ini, 1 Ogos 2009 ini pihak penganjuran GMI yang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan mengadakan berdemontrasi dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mereka. GMI yang merupakan NGO yang begitu aktif didalam gerakan pemansuhan ini turut disokong oleh beberapa lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain serta gerakan parti politik seperti PKR, PAS dan DAP akan turut bersama didalam perhimpunan ini.

Namun begitu kita di kejutkan dengan kenyataan yang dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang memberi kata dua kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) supaya membatalkan demonstrasi dan perarakan ke Istana Negara bagi membantah akta itu pada 1 Ogos ini.

Presiden Perkasa iaitu Dato' Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas yang bertanding atas tiket PAS di PRU 12 2008 lalu telah memberi kata dua terhadap perhimpunan ini supaya membatalkan demonstrasi menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadual berlangsung pada tarikh tersebut.

Ibrahim Ali yang lebih popular dengan 'keaktifannya' melompat parti ke parti yang lain turut 'menyeru' agar rakyat negara ini supaya turut serta menyertai perarakan serta demonstrasi yang diketuai olehnya sekiranya kata dua beliau kepada GMI agar rancangan ini dibatalkan tidak diendahkan.

Beliau mendesak pihak berkuasa memastikan rancangan GMI itu digagalkan bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.Beliau juga didalam sidang akhbarnya turut menegaskan antara lain ialah;

"Perkasa tak pernah turun ke jalan raya tunjuk perasaan, namun apabila kita komited kita akan genggam bara api sampai jadi arang, kita bukan turun (berdemonstrasi) untuk main- main.

"Saya sendiri sudah lama tak berucap pada acara tunjuk perasaan tapi kalau saya sudah mula, saya tidak akan berhenti,"


Sebenarnya sikap Ibrahim Ali kini semakin menunjukkan belangnya terhadap kecondongan beliau pada Umno dan BN dengan terus bersengkongkol dan menyokong akta yang zalim itu sedangkan didalam Islam itu sendiri telah menjelaskan Hukum membicarakan pesalah itu tanpa bicara adalah jelas salah disisi agama Islam.

Tidak menghairankan apabila Ibrahim Ali terus mencari 'idea songsangnya' untuk mempopularkan dirinya kembali didalam arena politik tanah air dengan membuat berbagai kenyataan akhbar serta mengadakan berbagai aktiviti yang betul-betul boleh 'mengangkat' dirinya sendiri. Kehebatan ini juga telah menyebabkan kini Ibrahim Ali selalu diberi ruang di dalam akhbar Utusan Melaysia untuk menyampaikan segala 'idealismenya'terutamanya pada isu-isu berbentuk perkauman.

Adalah tidak menghairankan kita sekiranya 'kehebatan' Ibrahim Ali didalam melakukan 'kerja-kerja' sebegini yang jelas bercanggah dengan polisi serta dasar Pakatan Rakyat akan 'menarik minat' Umno terutamanya untuk menjemput beliau kembali kedalam parti tersebut.

Dengan rekod beliau yang begitu 'cemerlang' didalam acara 'lompat melompat' pada parti ini, tidak syak lagi akan memberi kelebihan atau kredit yang bukan sedikit kearah tujuan itu. Ibrahim Ali sememangnya tokoh yang begitu cepat naik didalam politik negara ini apatah lagi kehebatan beliau ini disertakan bersama dengan pakej 'melompat parti'.

Bermula didalam politik dengan menyertai Berjasa, kemudiannya menyertai Umno dan seterusnya memasuki Semangat 46 dan kemudiannya kembali kepada Umno dan akhirnya dipecat oleh kepimpinan yang lalu di era Pak Lah oleh parti Umno dan hampir-hampir pada suatu ketika untuk bersama didalam parti PKR atau pun PAS disaat-saat PRU ke 12 2008 semakin hampir namum tidak menjadi kenyataan pun.

Alhamdulillah mungkin rahmat Allah SWT untuk menunjukkan kepada kita, sekiranya beliau menyertai PKR atau pun PAS dan apatah lagi dengan menyandang kembali jawatan MP Pasir Mas apakah kebarangkalian untuk beliau melompat dengan 'menjaja' jawatan beliau selaku MP Pakatan Rakyat, akan menyebabkan kita sekali lagi akan tertipu oleh perlakuannya itu? Ingatkah kita bagaimana pada sekitar awal 90an dahulu apabila Ibrahim Ali memenangi jawatan MP Pasir Mas yang bertanding atas tiket Semangat 46 telah tiba-tiba melompat semula kedalam Umno dengan memberi seribu alasan 'bodoh dan tolol' kenapa beliau kembali melompat ke dalam Umno?

Bagi kita sikap 'gedebe serta samsengnya' Ibrahim Ali ini didalam kenyataan yang membela ISA ini amatlah jelek sementelah lagi apakah beliau tidak ingat akan keihlasan TG Nik Aziz Nik Mat yang memberi laluan serta membenarkan Ibrahim Ali untuk bertading di Pasir Mas atas tiket PAS? Lupakah beliau pengorbanan Ustaz Ismail Noh mantan MP Pasir Mas penggal lalu dari PAS yang memberi laluan kembali kepada beliau untuk bertanding di Pasir Mas?

Tetapi inilah sikap beliau yang sememangnya amat bangga serta 'tidak kisah atau peduli langsung' dengan berbagai tindak tanduk nya yang kadang-kadang amat menyedihkan kita...betullah kata pepatah melayu....menolong Ibrahim Ali ini yang tersepit suatu ketika dahulu setelah dipecat Umno seumpama menolong melepaskan seekor anjing yang tersepit....

Friday, July 17, 2009

SATU UNDI PUN TETAP MENANG!

YB Fauzi Abdullah, Adun Manek Urai
Tun Dr Mahathir Mohamad, Mantan PM Malaysia
Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia


Kekalahan tipis majoriti sebagaimana yang didakwa oleh Umno / BN telah dijadikan isu yang teramat hebat oleh parti tersebut apabila mengatakan 65 majoriti yang dimenangi oleh Pas ini telah menunjukkan bahawa sokongan rakyat kepada parti Umno dan BN telah kembali.

Sebagaimana yang didakwa oleh beberapa pemimpin BN seperti Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi (Menteri pertahanan), Dato Seri Mohamad Hassan (MB Negeri Sembilan) serta beberapa orang lagi pemimpin Umno dan BN yang lain sependapat dengan komen yang kononnya telah ada perubahan rakyat terhadap pimpinan BN kini.

Apakah benar sokongan terhadap kerajaan pimpinan BN ini telah meningkat berasaskan andaian kurangnya jumlah undi yang diperolehi oleh PAS? Apakah pemimpin ini sedar atau pun tidak terhadap komen serta kenyataan yang dibuat ini benar-benar berasas?

Perlu diingat, PRK di Manek Urai tempoh hari parti dari Pakatan Rakyat ini bukan sekadar berhadapan dengan Umno malahan terpaksa berhadapan dari segenap peringkat dengan pelbagai jentera serta isu yang sengaja disensasikan apatah lagi turut menerima berbagai asakan yang cukup kuat yang telah 'dipunggah' ke Manek Urai semata-mata untuk meraihkan sokongan pengundi oleh BN!

Tidak ada yang peliknya pada setiap PRK segala jenis menteri serta berbagai agensi kerajaan pusat telah digunakan serta dibawa kesana dengan mewujudkan program yang 'tiba-tiba terpaksa diadakan' disana seperti Perayaan Hari Guru peringkat negeri Kelantan yang tiba-tiba sahaja terpaksa diadakan di Manek Urai semata-mata untuk meraihkan sokongan para guru. Begitu juga berbagai aktiviti dan perlancaran turut diadakan disana seperti yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi dan Pengguna, Kementerian Asas Tani serta yang Kementerian lain dengan melancarkan berbagai skim kepada pengundi disana.

Itu tidak termasuk lagi dengan berbagai janji segera yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 'Janjian sensasinya' seperti menjanjikan pembinaan jambatan baru di Manek Urai dan program Dun angkat dan dun emas nasional serta pelbagai yang lain lagi.

Lihatlah wahai para pemimpin BN terutamanya Umno bagaimana berbagai perkara yang telah dilakukan selama tempoh berkempen disana namun tetap masih gagal untuk menawan hati pengundi disana.

Kalau kekalahan tipis mereka ini telah dijadikan asas yang kuat mengatakan BN telah diterima kembali oleh rakyat di negara ini, apa kata Dun Perak yang dikuasai secara 'pintu belakang' oleh Umno dan BN ini dibubarkan dengan segera dan serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk membuktikan sebenar-benarnya bahawa BN kini telah diminati kembali oleh rakyat negara ini. Dan kita lihat nanti apakah benar dan berasas BN itu di terima kembali rakyat?

Secara hakikatnya, 'mitos' yang direka oleh pemimpin-pemimpin BN ini mengatakan mereka telah diterima kembali serta rakyat telah berjaya diyakini semula kepada pemerintahan yang dipimpin oleh PM Dato Seri Najib Tun Razak hanyalah sekadar untuk menutup malu mereka terhadap kekalahan terbaru mereka didalam siri pilihanraya kecil (PRU) selepas Mac 2008 kepada agregat 6-0 (berdasarkan PRU di Semenanjung Malaysia sahaja) selepas Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti dan kini....Manek Urai pula.

Secara asasnya, kekalahan tipis yang digembar gemburkan ini oleh pemimpin Umno dan BN ini mengingatkan saya kepada kenyataan yang pernah dikatakan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu;

"Dalam politik demokrasi seperti negara kita ini, walaupun pada pilihanraya tersebut calon hanya menang dengan majoriti hanya satu undi sahaja, ianya tetap diisytiharkan menang kepada yang memperolehi kelebihan satu undi tersebut dan calon tersebut tetap dikira sebagai pemenangnya"

Wahai pemimpin-pemimpin Umno dan BN, hayati lah kata-kata Tun Dr Mahathir tersebut semoga ianya boleh dijadikan 'bekal' untuk mengenali erti demokrasi dan erti pilihanraya itu dengan lebih dekat lagi.

Monday, July 6, 2009

BERUK PRODUK BARU PELANCONGAN NEGERI MELAKA?


Bagi sesebuah negeri untuk menarik perhatian awam amat mudah lebih-lebih lagi didalam mengadakan promosi pelancongan ke negeri tersebut. Kalau Ketua Eksekutif pada sesebuah negeri tersebut (MB atau KM) pandai memainkan peranan, maka produk yang baik akan terus dikenang dan diberi sambutan hangat. Tetapi biar apapun produk tersebut, kemasyhuran produk serta nilainya haruslah dipandang tinggi oleh semua penduduk atau masyarakat luar.

Sabtu lalu 4 Julai 2009, di akhbar Utusan Malaysia, Melaka selaku negeri kedua terkecil di Malaysia, yang berketuakan Ketua Menterinya Dato Seri Mohd Ali Rustam sekali lagi memasyhurkan dirinya serta negeri Melaka apabila mahu menjadikan BERUK sebagai produk tarikan terbaru untuk sektor perlancongan negeri tersebut!

Hari ini beliau mengumumkan Taman Buah-Buahan Tropikal di Sungai Udang dekat sini dibuka kepada orang ramai untuk melihat gelagat mencuit hati beruk memetik buah kelapa.

Mohd. Ali berkata, sebagai permulaan kerajaan negeri telah membeli lima ekor beruk dengan harga antara RM400 hingga RM2,000 untuk tujuan tersebut.
Menurutnya, beruk tersebut akan ditempatkan di Taman Buah-Buahan Tropikal dan pertunjukan beruk memanjat serta memetik buah kelapa akan diadakan di situ.

"Bagi tempoh seminggu ini, pelancong dalam dan luar negara tidak dikenakan sebarang bayaran.Selain melihat aksi beruk, pengunjung juga akan diberikan minuman air kelapa muda,"

katanya kepada pemberita selepas menerima seekor beruk betina yang diberi nama Mek Wok di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Negeri Melaka yang cukup terkenal dengan pelbagai kontroversinya pada setiap Ketua Menteri malahan juga pada setiap tahun sekali lagi membuat satu lagi kejutan hasil ciptaan terbarunya dengan meletakkan binatang beruk sebagai salah satu tarikan untuk pelancong berkunjung ke sana.

Perkara sebegini cukup pelik dan 'memeningkan kepala' kita sebagai rakyat kerana apakah sebanyak-banyak benda di Melaka yang lebih dikenali sebagai negeri yang mempunyai status warisan dunia oleh Badan Dunia, Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ali Rustam ini tidak nampak langsung apakah produk-produk terbaru yang boleh dilahirkan untuk dijadikan sebagai produk perlancongan terbaru bagi menarik pelancong ke Melaka?

Memang benar bukannya tidak boleh menjadikan beruk itu sebagai produk perlancongan. Tetapi apakah telah kehabisan benda lain atau binatang lain untuk dijadikan tarikan baru? Ali Rustam selalu mendakwa yang negeri Melaka dibawah pentadbirannya cukup hebat dan berinovatif didalam mencipta kelainan bagi tujuan ekonomi dan malahan beliau selalu mendabik dada apabila perbandingan ini dibuat terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Kelantan.

Namun untuk pengetahuan Ali Rustam dan pimpinan BN Melaka, seteruk-teruk Kelantan yang dikatakan tidak berinovatif didalam mencipta kelainan, rasanya tidak pernah lagi MB TG Nik Aziz Nik Mat menjadikan beruk sebagai produk perlancongannya untuk melariskan sektor perlancongan kesan terhadap ekonomi negeri tersebut. Tetapi TG Nik Aziz lebih memasarkan aspek kerohanian serta ibadah sebagai satu produk perlancongan untuk dikongsikan bersama oleh pelancong samada dari luar negara atau pun pelancong tempatan.

Saya secara peribadi tidak hairan langsung dengan idea yang dangkal lagi 'terlebih' inovatif ini sebagaimana yang digagaskan oleh Ali Rustam sebagai KM Melaka. Ini kerana kalau pembaca masih ingat bagaimana MB Kedah yang lampau Tan Sri Sanusi Junid pernah mewar-warkan idea bodoh lagi bebal apabila memperkenalkan konsep menanam padi diatas bumbung serta kelab mat jenin semata-mata hendak menunjukkan kepada orang luar bahawa negeri Kedah ini hebat serba serbi tetapi tidak masuk akal langsung!

Apakah Melaka mahu melahirkan duta pelancongannya yang terbaru selepas Shah Rukh Khan (SRK) yang dianugerahkan 'Datuk' semata-mata diperkatakan oleh KM Ali Rustam bahawa jasa SRK didalam memperkenalkan Melaka kepada dunia luar khususnya pelancong dari negara India cukup besar, jadi pemberian pingat Datuk itu ada asasnya. Semoga KM Ali Rustam tidak tersilap langkah lagi selepas ini didalam mewujudkan produk-produk terbarunya serta duta-duta perlancongannya selepas ini....

Wednesday, July 1, 2009

ANTARA H1N1, INFLUEZA 'A' ATAUPUN SELESEMA BABI

Dato Seri Rais Yatim, Menteri Penerangan

Tan Sri Ismail Merican, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Sehingga artikel ini ditulis malam ini, dilaporkan sudah 196 kes yang berkaitan dengan H1N1 atau Influeza A ataupun selesema babi telah direkodkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Wabak yang semakin melanda diseluruh dunia kini telah menjadikan Malaysia antara negara yang tersenarai oleh pihak kesihatan dunia (WHO) sebagai negara yang turut menerima kesan yang begitu hebat akibat wabak yang melanda ini.

Walaupun telah berbagai langkah dan usaha telah dibuat oleh badan dunia itu, kesan yang menjalar ini semakin menakutkan orang ramai diseluruh dunia kini. Begitu juga dinegara kita sejak ianya melanda, berbagai langkah yang proaktif telah diambil oleh kerajaan didalam menyekat gejala serta virus yang melanda ini.

Antara langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa negara ini ialah dengan membuat berbagai peraturan yang khususnya didalam menghalang ianya berlarutan seperti melarang seboleh-bolehnya daripada penduduk negara ini ke luar negara sekiranya tiada urusan yang penting, melakukan penutupan dibeberapa sekolah rendah dan menengah di beberapa tempat khususnya menyekat penyebaran wabak ini kepada pelajar sekolah serta juga dipihak institusi pengajian tinggi awam atau swasta sendiri dimestikan mengada proses saringan kesihatan ketika dihari pendaftaran pelajar baru yang mengambil sesi pengambilan pelajar tahun ini dan langkah ini lebih diutamakan kepada pelajar-pelajar dari luar negara yang menyambung pengajian mereka di negara ini.

Kita memandang langkah ini sungguh baik dan boleh mengurangkan serba sedikit risiko keatas jangkitan wabak ini yang semakin hebat melanda di negara kita. Kita juga turut dilaporkan tentang proses mencari kaedah serta penawarnya didalam menghadapi wabak ini. Dilaporkan juga bagaimana para pakar perubatan luar negara mengatakan kemungkinan penawar terhadap wabak ini hanya boleh diperolehi sekitar tahun depan!
Walaupun agak terkejut dengan kenyataan tersebut, harapan serta keyakinan orang awam diseluruh dunia terhadap kenyataan tetap melegakan hati. Semoga ianya berjaya didalam mengatasi masalah yang semakin berlarutan sejak tiga bulan kebelakangan ini.

Kesan jangka panjang terhadap sesebuah negara yang menerima serangan wabak ini turut dirasai terutamanya dari sudut ekonomi serta keselamatan negara itu sendiri. Akhbar dinegara ini semalam turut menyiarkan bagaimana para pelancong dari beberapa negara Asia Timur telah membatalkan kehadiran mereka untuk melancong ke negara kita. Justeru itu pihak kerajaan seharusnya mengambil langkah yang berani didalam memenangi gejala ini khususnya disektor pelancongan.

Untuk akhirnya kepada pihak yang suka bertelagah didalam isu istilah terhadap wabak ini, tak kisahlah ianya dinamakan sebagai apa sekali pun, walaupun dikenali sebagai H1N1, Influeza A ataupun Selesema Babi tetapi jika ianya masih tiada penyelesaian didalam memerangi wabak yang kian menggila ini, ianya tetap tiada bezanya, umpama penukaran istilah mat rempit kepada samseng jalanan....ianya tetap wujud dan mengganas sehingga kini dijalanraya tanah air kita yang tercinta ini.

Monday, June 22, 2009

KERAJAAN PERPADUAN : 1 UNTUK PR, BUKAN 1 UNTUK UMNO / BN!

Sidang Media Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat

Sidang media bersama yang dibuat oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) di Bangunan Parlimen tadi adalah suatu keputusan yang berani terutamanya disaat-saat Umno menjadikan isu 'Kerajaan Perpaduan' (Unity Govenment) sebagai satu modal politik baru untuk mereka.

Isu yang pada awal ini yang lontarkan ideanya oleh Presiden PAS sendiri, Dato Seri Tuan Guru Hj Hadi Awang ini ketika Muktamar Tahunan PAS awal bulan Jun lalu telah kini dijadikan modal atau isu lebih kepada berbentuk politik oleh tunjang utama Barisan Nasional (BN) terutamanya Umno sendiri.

Dalam sidang media bersama ini yang dihadiri oleh Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR, Dato Seri Hj Hadi Awang (Presiden PAS) dan Sdr Lim Kit Siang (Penasihat DAP) telah bersetuju untuk menolak bersama sebarang bentuk yang diperkatakan oleh rakyat Malaysia sejak 2 minggu kebelakangan ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ketika bermesyuarat petang tadi telah sepakat menolak sebarang perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno atau Barisan Nasional.

Pemimpin daripada tiga parti ini PKR, PAS dan DAP sekali lagi mengulangi pendirian mereka untuk meneguhkan kerjasama dalam gabungan Pakatan Rakyat dengan hasrat mengambil alih kerajaan persekutuan suatu masa nanti.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan mereka ini telah ditandatangani oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dato' Seri Hj Hadi Awang dan juga Sdr Lim Kit Siang.

Bagi Hj Hadi Awang, segala idea yang dilontarkan olehnya telah diputar belit oleh Umno serta media massa kepunyaan mereka semaksima mungkin dengan berniat jahat untuk menjadikan keutuhan serta kerjasama PR sebagai mangsa fitnah dan adu domba mereka.

"Dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan"


Manakala Anwar Ibrahim pula dengan nada tegasnya yang mewakili Pakatan Rakyat ketika membaca kenyataan rasmi ini jelas mengatakan penolakan terhadap kewujudan Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang digembar gemburkan sebelum ini

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang"

Namun begitu pimpinan Pakatan Rakyat bersikap terbuka didalam hal lain seperti bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu- isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat, contohnya usaha- usaha memulihkan soal ekonomi atau lebih bersikap mengutamakan kepentingan rakyat pada setiap perbincangan itu.

Monday, May 18, 2009

KHIDMAT RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI DIUTAMAKAN?

Salam pada semua,

"Oleh kerana BN lebih utamakan khidmat kepada rakyat dan usaha-usaha memulihkan ekonomi negara, maka kita memutuskan tidak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Dun Penanti"

Itulah antara alasan dan sebab utama yang diberikan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini (18 Mei 2009). Mesyuarat selama dua jam yang pengerusikan oleh Dato Sri Najib Tun Razak telah membuat keputusan bahawa BN melalui komponen utamanya Umno tidak akan meletakkan calonnya di pilihanraya kecil (PRK) Dun Penanti, Pulau Pinang.

Dengan memainkan isu utama sebagai alasan kenapa BN tidak perlu bertanding iaitu pilihanraya ini seharusnya tidak disertai oleh BN kerana ianya adalah ciptaan Pakatan Rakyat (PR) untuk menyelesaikan masalah dalaman parti terutamanya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) didalam menyelesaikan kemelut untuk mencari bakal Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, oleh yang demikian kenapa perlunya BN dan Umno untuk terlibat sama didalam pilihanraya kecil ini?

Disamping itu juga Najib dalam sidang akhbarnya menegaskan keputusan yang diambil ini kerana pilihanraya kecil ini hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukanlah disebabkan keperluan mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

"Kekosongan ini disebabkan PKR hendak selesaikan masalah dalaman mereka. Ianya satu permainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan keperluan sebagaimana peruntukan perlembagaan."

Apakah diatas sebab yang dinyatakan itu maka BN pada kali ini telah berada di 'landasan yang teramat tepat' untuk tidak mahu 'bersekongkol sama' dengan idea yang di bawa oleh Pakatan Rakyat ini? Sebagaimana didalam artikel saya yang terdahulu, sesungguhnya BN khususnya Umno begitu mudah untuk melupakan dengan apa yang telah dilakukan dan diciptakan oleh mereka terlebih dahulu!

Kalau diperingkat awalnya, BN mengembar gemburkan dengan alasan PRK ini membazirkan wang rakyat sebagai sebab utama tidak mahu bertanding di Penanti tetapi hari ini alasan yang baru direkacipta seumpama ahli sains dan penyelidik yang sentiasa mencari dan membuat kajian terbarunya dengan alasan terlebih dangkal lagi!

Sekiranya di renungi kembali atau di ingati semula apakah suatu ketika dahulu dipertengahan 90an BN dan Umno khususnya tidak mencipta sesuatu yang dikira demi menyelesaikan kemelut pencarian seorang MB di Selangor sehinggakan terpaksa mengorbankan kerusi Dun dan Parlimen untuk disilang-tanding semata-mata demi pencarian MB baru itu dapat dinoktahkan dengan kaedah seperti ini?

Atau Umno khususnya masih lupa lagi apabila pihak pembangkang yang masih tidak bernama sebagai Pakatan Rakyat ketika itu (tahun 2007) bertindak menarik diri dan tidak bertanding di Dun Batu Talam, Raub dan apakah yang dihamburkan oleh BN khususnya Umno yang membuat bermacam tuduhan kononnya Pas khususnya tidak menghargai hasrat ahlinya yang sepatutnya bertanding dan mengundi Pas disitu dan menuduh kononnya Pas tidak tahu erti demokrasi dan bermacam tuduhan lagi?

Untuk perhatian pembaca, alasan pembangkang ketika itu cukup mudah dan jelas, pembangkang tidak meyakini langsung dengan daftar pengundi yang sedia ada yang menurut Pas terutamanya perlu dibersihkan lagi dan ini secara tidak langsungnya telah memberi signal yang jelas terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri agar SPR dapat bertindak sekiranya demokrasi itu mahu diteruskan.

Tetapi hari ini apakah alasan yang dibangkitkan oleh Pengerusi BN ketika sidang media tadi yang secara jelas dan terang 'melagukan' sebab-sebab utamanya adalah kerana tidak mahu terikut-ikut serta bersengkongkol dengan 'penyelesaian' kemelut didalam Pakatan Rakyat sehinggakan terpaksa diadakan pilihanraya kecil ini.

Hakikatnya semua orang tahu, BN kini begitu takut dengan pilihanraya samada kecil atau umum apatah lagi untuk mereka bertindak berani untuk membubarkan parlimen atau dun sebagaimana apa yang dimahukan oleh rakyat serta orang ramai agar dun Perak dibubarkan segera demi mencari penyelesaian kemelut politik Perak.

Tuesday, May 12, 2009

KEMBALIKAN LAH KUASA KEPADA RAKYAT!

Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin

Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir

Salam pada semua,

Semalam 11 Mei 2009 keputusan penghakiman yang dibuat memperakui akan kedudukan Dato Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar (MB) Perak yang sah. Hari ini pula 12 Mei 2009 pihak Mahkamah Rayuan membenar pula permohonan daripada Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan yang dibuat semalam!

Kartun bukan? Entahlah kenapa sampai begitu sekali perjalanan politik dinegeri Perak kini yang telah berlarutan sejak tiga bulan lalu. Sepatutnya pihak Barisan Nasional (BN) yang diketuai oleh Zambry perlu menghormati keputusan yang dibuat semalam demi mengutamakan rakyat di negeri Perak dan bukannya mengambil langkah seperti hari ini.

Sekiranya beliau dan barisan exconya dari kalangan BN lebih mementingkan rakyat, sepatutnya beliau membiarkan sahaja niat asal dan murni yang dibuat oleh Nizar untuk memohon kepada Paduka Seri Tuanku Sultan Perak bagi membubarkan DUN Perak dengan kadar segera dan menyerahkan mandat kembali kepada rakyat untuk membuat keputusan samada mahu berkerajaankan Pakatan Rakyat (PR) atau pun Barisan Nasional (BN)!

Kalau sebelum ini Barisan Nasional dan khususnya Umno selalu mendakwa mereka diterima rakyat dan kuat serta berani menghadapi cabaran untuk menghadapi PR, kenapa pula gentar untuk menerima cadangan PR bagi membubarkan semula DUN Perak untuk bersama-sama bertarung didalam pilihanraya peringkat negeri?

Memetik kenyataan yang dikeluarkan di media online Malaysia Kini, parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan juga mahukan agar pilihanraya yang baru diadakan didalam menyelesaikan kemelut politik Perak ini.

MCA, Gerakan want fresh polls!

"As the imbroglio in Perak grows messier with each passing day, Barisan Nasional leaders are also growing weary and some agree with Pakatan Rakyat’s demand for a fresh polls."


Dengan berbagai isu yang semakin melarat, hanya membubarkan dun dan seterusnya membuat pilihanraya baru sahaja lah keadaan politik di Perak akan dapat dipulihkan kembali.

Kini semakin ramai yang menyuarakan cadangan yang sama termasuk lah daripada veteran politik umno Ku Li serta pihak Suhakam sendiri yang mahu agar kes Perak ini dapat diselesaikan melalui pilihanraya.

Sepatutnya sebaik sahaja Nizar diisytiharkan sebagai MB yang sah, seharusnya Zambry dengan langkah yang 'gentleman' dan mengambil kira faktor keutamaan kepada rakyat Perak, beliau mesti mengambil langkah yang sama untuk bersama membubarkan dun Perak dan bukannya membawa ke mahkamah!

Alangkah eloknya kalau Zambry bersama Nizar berunding dan seterusnya bersama-sama mengadap Tuanku Sultan untuk menyegerakan pembubaran dun dan serahkan mandat kembali kepada rakyat Perak? Kalau benar sebagaimana kata Zambry dan juga PM Dato Seri Najib Razak sendiri yang mengatakan kepentingan rakyat harus didahulukan serta diutamakan sepatutnya dengan berbuat demikian dan menyokong saranan Nizar untuk membubarkan Dun harus dibuat!

Tetapi oleh kerana atas kepentingan peribadi dan politik BN maka perkara yang diinginkan oleh semua pihak didalam menyelesaikan kemelut politik Perak ini rupanya tidak menjadi lagi sehingga kesuatu masa yang tidak pasti.

Pemimpin BN seharusnya berani untuk mengikut serta memperakui sebagaimana kata-kata pemimpin PR yang jelas mengatakan;

"kami serah kepada rakyat Perak untuk membuat keputusan dan sekiranya keputusan tidak menyebelahi kami pada pilihanraya baru nanti, kami akur sebab itu semua keputusan rakyat, kami akan hormatinya"

Masalahnya, bukan PR yang tidak mahu pilihanraya baru ini diadakan segera tetapi BN khususnya Umno sendiri takut untuk bertarung di gelanggang pilihanraya apatah lagi berdasarkan keputusan demi keputusaan di pilihanraya kecil akhir-akhir ini menyebelahi PR. Sebab itu seboleh-bolehnya pilihanraya perlu dielakkan!

Janganlah kita terlalu mementingkan diri sendiri apatah lagi demi kepentingan politik BN ini sehinggakan kita mengabai tugas kita untuk kebajikan rakyat yang memilih kita....