Monday, July 6, 2009

BERUK PRODUK BARU PELANCONGAN NEGERI MELAKA?


Bagi sesebuah negeri untuk menarik perhatian awam amat mudah lebih-lebih lagi didalam mengadakan promosi pelancongan ke negeri tersebut. Kalau Ketua Eksekutif pada sesebuah negeri tersebut (MB atau KM) pandai memainkan peranan, maka produk yang baik akan terus dikenang dan diberi sambutan hangat. Tetapi biar apapun produk tersebut, kemasyhuran produk serta nilainya haruslah dipandang tinggi oleh semua penduduk atau masyarakat luar.

Sabtu lalu 4 Julai 2009, di akhbar Utusan Malaysia, Melaka selaku negeri kedua terkecil di Malaysia, yang berketuakan Ketua Menterinya Dato Seri Mohd Ali Rustam sekali lagi memasyhurkan dirinya serta negeri Melaka apabila mahu menjadikan BERUK sebagai produk tarikan terbaru untuk sektor perlancongan negeri tersebut!

Hari ini beliau mengumumkan Taman Buah-Buahan Tropikal di Sungai Udang dekat sini dibuka kepada orang ramai untuk melihat gelagat mencuit hati beruk memetik buah kelapa.

Mohd. Ali berkata, sebagai permulaan kerajaan negeri telah membeli lima ekor beruk dengan harga antara RM400 hingga RM2,000 untuk tujuan tersebut.
Menurutnya, beruk tersebut akan ditempatkan di Taman Buah-Buahan Tropikal dan pertunjukan beruk memanjat serta memetik buah kelapa akan diadakan di situ.

"Bagi tempoh seminggu ini, pelancong dalam dan luar negara tidak dikenakan sebarang bayaran.Selain melihat aksi beruk, pengunjung juga akan diberikan minuman air kelapa muda,"

katanya kepada pemberita selepas menerima seekor beruk betina yang diberi nama Mek Wok di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Negeri Melaka yang cukup terkenal dengan pelbagai kontroversinya pada setiap Ketua Menteri malahan juga pada setiap tahun sekali lagi membuat satu lagi kejutan hasil ciptaan terbarunya dengan meletakkan binatang beruk sebagai salah satu tarikan untuk pelancong berkunjung ke sana.

Perkara sebegini cukup pelik dan 'memeningkan kepala' kita sebagai rakyat kerana apakah sebanyak-banyak benda di Melaka yang lebih dikenali sebagai negeri yang mempunyai status warisan dunia oleh Badan Dunia, Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ali Rustam ini tidak nampak langsung apakah produk-produk terbaru yang boleh dilahirkan untuk dijadikan sebagai produk perlancongan terbaru bagi menarik pelancong ke Melaka?

Memang benar bukannya tidak boleh menjadikan beruk itu sebagai produk perlancongan. Tetapi apakah telah kehabisan benda lain atau binatang lain untuk dijadikan tarikan baru? Ali Rustam selalu mendakwa yang negeri Melaka dibawah pentadbirannya cukup hebat dan berinovatif didalam mencipta kelainan bagi tujuan ekonomi dan malahan beliau selalu mendabik dada apabila perbandingan ini dibuat terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Kelantan.

Namun untuk pengetahuan Ali Rustam dan pimpinan BN Melaka, seteruk-teruk Kelantan yang dikatakan tidak berinovatif didalam mencipta kelainan, rasanya tidak pernah lagi MB TG Nik Aziz Nik Mat menjadikan beruk sebagai produk perlancongannya untuk melariskan sektor perlancongan kesan terhadap ekonomi negeri tersebut. Tetapi TG Nik Aziz lebih memasarkan aspek kerohanian serta ibadah sebagai satu produk perlancongan untuk dikongsikan bersama oleh pelancong samada dari luar negara atau pun pelancong tempatan.

Saya secara peribadi tidak hairan langsung dengan idea yang dangkal lagi 'terlebih' inovatif ini sebagaimana yang digagaskan oleh Ali Rustam sebagai KM Melaka. Ini kerana kalau pembaca masih ingat bagaimana MB Kedah yang lampau Tan Sri Sanusi Junid pernah mewar-warkan idea bodoh lagi bebal apabila memperkenalkan konsep menanam padi diatas bumbung serta kelab mat jenin semata-mata hendak menunjukkan kepada orang luar bahawa negeri Kedah ini hebat serba serbi tetapi tidak masuk akal langsung!

Apakah Melaka mahu melahirkan duta pelancongannya yang terbaru selepas Shah Rukh Khan (SRK) yang dianugerahkan 'Datuk' semata-mata diperkatakan oleh KM Ali Rustam bahawa jasa SRK didalam memperkenalkan Melaka kepada dunia luar khususnya pelancong dari negara India cukup besar, jadi pemberian pingat Datuk itu ada asasnya. Semoga KM Ali Rustam tidak tersilap langkah lagi selepas ini didalam mewujudkan produk-produk terbarunya serta duta-duta perlancongannya selepas ini....

No comments: