Wednesday, June 16, 2010

PENGUMUMAN PRU PATUT DI BUAT AWAL

Sebagaimana kenyataan oleh Dato Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak bercadang untuk membubarkan Parlimen awal semata-mata untuk memberi laluan bagi diadakan pilihanraya umum (PRU) yang akan datang haruslah dipandang serius.

Menurut beliau lagi, walaupun tahap kepuasan rakyat terhadap kepimpinannya semakin meningkat, itu bukanlah asas yang beliau akan ambil kira bagi membuat keputusan mengadakan pilihanraya umum cepat.

Sememangnya negara kita amat ‘unik’ kerana hanya Perdana Menteri sahaja yang mempunyai ‘kuasa’ dan ‘ilham’ bila pilihanraya umum harus diadakan berdasarkan kesesuaian parti pemerintah Barisan Nasional.

Berbanding di negara lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Jepun, USA atau pun United Kingdom, dan lain-lain lagi telah menjadi kebiasaan kerajaan negara tersebut untuk mengumumkan pilihanraya umum negara tersebut sekurang-kurangnya enam bulan sehingga setahun awal bagi memberi peluang kepada parti-parti yang bertanding selain daripada BN untuk mengadakan persiapan pilihanraya masing-masing.

Dengan memberi peluang kepada semua parti pembangkang membuat persiapan pilihanraya awal, ianya dilihat lebih adil sedikit berbanding daripada tindakan kerajaan yang suka mengumumkan pilihanraya berdasarkan kelebihan yang ada pada mereka.

Sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan dihormati oleh rakyat, adalah lebih baik sekiranya pilihanraya umum diisytiharkan lebih awal tanpa rasa gementar dan takut untuk beradu di gelanggang pilihanraya.

Tidak perlu lagi kita selaku rakyat bawahan berteka teki untuk mengetahui bila pilihanraya umum akan diadakan kerana seolah menampakkan sangat sikap kebudak-budakkan kerajaan untuk mengumumkan tarikh pilihanraya umum tersebut.

Sudah tiba masanya rakyat negara ini menukar minda dan pandangan mereka bahawa hanya PM sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kesesuaian bila pilihanraya umum perlu diadakan.

Kita selamanya tidak boleh lagi mempunyai satu kaedah iaitu mengisytiharkan dan mengadakan pilihanraya umum secara mengejut semata-mata mengikut kesesuaian Perdana Menteri. Adalah lebih elok sekiranya waktu yang baik untuk memilih kerajaan ini di umumkan secara terbuka dan awal untuk persiapan yang adil dan saksama.

Thursday, June 10, 2010

RMK 10: JANGAN SEKADAR ATAS KERTAS SEMATA-MATA

Pembentangan untuk Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10) untuk lima tahun yang mendatang (pelan ekonomi 2011-2015) akan tiba lagi esoknya apabila ianya dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak di Parlimen.

Apakah yang difahami dengan RMK tersebut? Ia adalah sebuah perancangan pembangunan ekonomi setiap lima tahun untuk negara kita yang mana ianya memerlukan peruntukan bagi pembinaan projek infrastruktur fizikal.

Justeru itu RMK 10 ini hanyalah merupakan satu lanjutan pembangunan negara daripada RMK 9 yang telah pun di bentang dan di laksanakan kira-kira 5 tahun yang lalu.

Untuk rekod negara kita telah melalui sebanyak 9 kali RMK sejak kita mencapai kemerdekaan daripada penjajah British. Bermula dengan Rancangan Malaya dan seterusnya diteruskan dengan Rancangan Malaysia apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Justeru itu setiap RMK yang dibentangkan ini hanyalah kesinambungan daripada setiap RMK yang dijalankan sebelum itu. Umum mengetahui, sejak RMK 1 lagi, rancangan pembangunan yang bersifatkan pembangunan fizikal lebih menjadi tumpuan berbanding sebaliknya.

Dengan pertambahan penduduk negara ini, amatlah tidak menghairankan kita sekiranya pembangunan bersifat infrastruktur dijadikan sebagai agenda utama didalam setiap RMK yang dilancarkan. Perkara ini tidak dapat kita elakkan dan terbukti didalam Rancangan Malaysia Ke 9 yang akan berakhir pada tahun ini telah diperuntukkan sebanyak 78% daripada jumlah peruntukan keseluruhannya sebanyak RM230 Bilion berbanding hanya 22% sahaja untuk program bukan fizikal.

Amatlah diharapkan sempena pembentangan RMK 10 esok di Parlimen, sesuatu yang lebih baik daripada RMK 9 akan di perolehi. Paling penting ialah setiap RMK yang dibentang serta di rancangkan itu akan mendapat manfaatnya terutama kepada masyarakat bawahan.

Tiada guna pemimpin negara mengumumkan peruntukan ‘berbilion-bilion’ Ringgit setiap kali RMK baru dibentangkan tetapi gagal untuk diterjemahkan serta sampai ke bawah terutamanya kepada golongan miskin luar bandar.

Usah memandang jauh, lihat sahaja di Sabah dan Sarawak bagaimana sistem hubungan jalan raya, telekomunikasi, bekalan air dan elektrik yang berterusan gagal untuk mencapai matlamatnya oleh kerajaan yang memerintah walaupun sudah beberapa kali RMK yang baru setiap lima tahun di bentang dan di umumkan?

Kita amat maklum semua itu. Apakah kegagalan untuk menunaikan setiap perancangan ini kerana wujudnya unsur-unsur ketirisan pada projek tersebut? Ini persoalan yang harus dijawab, bukan sekarang tetapi dulu lagi.

Bagi kita tiada gunanya untuk kita berbangga dengan kepesatan yang berlaku dibandar-bandar besar seperti di Lembah Kelang, Johor Bahru atau Pulau Pinang tetapi didalam masa yang sama masyarakat pendalaman masih tidak merasai ‘kenikmatan’ elektrik, air, telefon, jalanraya apatah lagi untuk kita bercerita tentang ‘internet’, ‘facebook’, ‘twitter’ dan sebagainya? Sama-samalah kita memikirkannnya….

Wednesday, June 9, 2010

ISU LULUS LESEN JUDI: RAKYAT MAKIN KELIRU

Terkejut pun ada apabila mendengar kenyataan PM Dato Seri Najib Tun Razak yang mengatakan lesen perjudian bolasepak sebenarnya masih tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Bukan untuk mempertikaikan kenyataan tersebut apatah lagi kenyataan itu keluar daripada mulut seorang Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Malaysia selaku orang yang berkuasa didalam pemberian kelulusan lesen perjudian itu.

Cuma memikirkan kekeliruan yang timbul. Rakyat Malaysia sudah pasti keliru kerana baru sahaja tiga minggu lepas di maklumkan Kementerian Kewangan telah meluluskan lesen perjudian bolasepak sempena ketibaan Piala Dunia 2010 ini.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Kewangan Dato Chor Chee Heung pada 12 Mei 2010 lalu apabila menyatakan kelulusan tersebut telah diberikan kepada syarikat pengendali judi bolasepak tersebut iaitu Berjaya Group menerusi syarikat Ascot Sports Sdn Bhd.

Sebab itu kenyataan DS Najib ini amat mengejutkan kita semua. Kita juga menjadi semakin keliru apabila Pengerusi Kumpulan Berjaya Tan Sri Vincent Tan sendiri mengesahkan bahawa lesen perjudian bolasepak terbaru telah diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan.

Kita kini keliru. Siapa yang betul siapa yang bohong? Ini bukan perkara main-main. Adakah Vincent Tan yang berbohong? Atau pun Chor Chee Heung yang berbohong? Atau Najib yang berbohong? Kita tidak tahu kini kenyataan siapa yang harus di pakai?

Adakah kenyataan terbaru DS Najib tersebut hanyalah bersifat ingin menutup kemarahan rakyat terutamanya orang Melayu Islam akibat tindakan membenarkan perjudian bolasepak beroperasi sempena Piala Dunia 2010 ini?

Kita tidak mahu kenyataan ini bersifat retorik dan sementara semata-mata dek kerana kecaman serta kemarahan rakyat. Kita mahu kerajaan lebih bertanggungjawab untuk tidak membenarkan sebarang lesen perjudian daripada beroperasi.

Sebagai sebuah negara Islam, eloklah kita mencari sumber pendapatan negara dengan cara yang betul dan di benarkan oleh syarak. Bukannya menjuruskan kepada sumber yang tidak halal menurut Islam. Di manakah keberkatan yang negara mahukan seandainya gejala ‘gila berjudi’ dijadikan sebagai tonggak ekonomi negara kita?

Adalah menjadi harapan kita agar pimpinan kerajaan negara kita terutamanya daripada pemimpin UMNO lebih bersikap bertanggungjawab terhadap agama Islam didalam membuat sesuatu perkara atau dasar.

Akhir kata, Isu lesen judi ini benar-benar merentapkan lagi keyakinan, kepercayaan dan harapan rakyat terutamanya orang Melayu Islam kepada kerajaan dibawah pimpinan UMNO / BN ini.

Monday, June 7, 2010

APABILA JUDI CUBA DI JADIKAN SEBAGAI 'KEBAJIKAN'

Ascot Sports Sdn Bhd adalah merupakan syarikat perjudian terbaru yang diberi hak bertujuan untuk menguruskan lesen pertaruhan sukan bukan sahaja sempena musim bolasepak Piala Dunia yang bakal berlangsung tidak lama lagi tetapi juga bertujuan untuk menguruskan pelbagai pertaruhan sukan dinegara ini pada masa akan datang.

Dengan lulusnya lesen judi terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada bulan lepas, jelas menunjukkan kepada kita semua betapa kerajaan mengambil mudah serta langsung tidak menghormati sensitiviti majoriti perasaan orang Melayu yang juga ummat Islam di negara ini selaku tunggak utama penduduk Malaysia.

Kenyataan terbaru yang dikeluarkan oleh Tan Sri Vincent Tan yang mahu mendermakan RM525 juta hasil penjualan kepentingan dalam Ascot Sports Sdn Bhd kepada Better Malaysia Foundation dilihat seolah-olah sebagai satu cubaan memperjudikan perasaan dan kemarahan rakyat dinegara ini khususnya ummat Islam.

Beliau dilihat seperti terlalu mementingkan diri sendiri untuk hidup kaya raya tetapi didalam masa yang sama juga kesenangan yang dimilikinya itu diperolehi daripada kemusnahan rakyat Malaysia akibat suka berjudi.

Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan lesen pertaruhan sukan kepada Ascot Sports Sdn Bhd mendapat kritikan hebat khususnya dari Pakatan Rakyat kerana seolah-olah memperlihatkan rakyat negara ini begitu kemaruk dengan judi sepanjang masa!

Sebab itu kita melihat tindakan yang dibuat oleh Tan Sri Vincent Tan itu seolah-olah rakyat Malaysia akan termakan serta berterima kasih yang teramat sangat dengan sumbangan RM 525 juta yang diberi diatas nama untuk tabung kebajikan.

Sesungguhnya rakyat negara ini amat tahu untuk menilainya samada setiap perbuatan itu baik atau pun sebaliknya. Yang pasti usahlah terus menggula-gulakan rakyat negara ini diatas nama amal dan kebajikan.

Kita juga merasakan langkah yang dibuat oleh Kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti pertaruhan sukan di negeri-negeri yang terlibat seperti Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang amatlah tepat sama sekali.

Walaupun Tan Sri Vincent Tan sendiri semalam merayu kepada kerajaan-kerajaan negeri dibawah Pakatan Rakyat (PR) agar bersikap adil dan menarik balik larangan dikenakan ke atas premis judi sukan di negeri masing-masing, kita merasa tindakan ini amatlah bertepatan sama sekali dan secara tidak langsung rakyat negara dapat menilai siapakah sikap sebenar pemimpin-pemimpin BN di negara ini?

Keputusan membenarkan judi terbaru ini diadakan juga seolah-olah memperlihatkan kerajaan sudah kehilangan punca untuk mencari dana dan hasil perolehan yang lain secara sah dan halal disisi agama Islam.

Friday, June 4, 2010

NEGARA ISLAM HARUS BERSATU HADAPI ISRAEL DAN SEKUTUNYA

Kekejaman Israel terhadap bangsa bukan Yahudi bukanlah cerita baru kerana ianya telah bermula sejak sekian lamanya. Bagi mereka bangsa Yahudi adalah bangsa yang terpilih disisi tuhan oleh itu bangsa selain daripada Yahudi adalah tidak layak untuk bersama mereka.

Serangan tentera Israel yang diketuai oleh pasukan komandonya terhadap kapal misi bantaun kemanusian ke Gaza – Mavi Marmara pada subuh 31 Mei lalu sehingga mengorbankan 9 sukarelawan dari Turki benar-benar menyerlahkan lagi sifat sombong dan angkuhnya yahudi terhadap mereka walaupun tidak bersenjata.

Didalam serangan tersebut, komando Israel telah menawan kapal ini bersama sukarelawan yang lain termasuklah 12 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi tersebut.

Walaupun misi ini dianggap gagal dari satu aspek kerana tidak dapat mencapai objektif untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza, namun begitu terdapat kejayaan lain disebaliknya.

Kejadian ini menjadikan pencetus gelombang baru kearah mengenepikan atau memulaukan terus Israel dalam lanskap dunia apabila dasar anti Islam mereka terhadap bumi Palestin sepanjang enam dekad nyata memberi kesan yang besar.

Kita juga hairan dengan sikap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang langsung tidak berani untuk mengambil tindakan terhadap tindakan ganas Israel tersebut walaupun untuk mengeluarkan satu kenyataan kecaman rasmi daripada pertubuhan tersebut.

Walaupun jelas insiden tersebut berlaku di perairan antarabangsa, sikap membisu beberapa negara kuasa besar amatlah kita kesali. Didalam masa yang sama juga dilihat beberapa negara Islam (terutamanya negara Arab) memberi reaksi berbelah bagi untuk mengeluarkan kecaman mereka terhadap beberapa negara kuasa besar ini demi menjaga hubungan ‘baik’ kononnya seperti dengan negara Amerika Syarikat yang terang-terangan hanya mengikut sahaja telunjuk Israel didalam hal ini.

Keberanian Turki didalam memenangi insiden keganasan amatlah disanjungi. Kita mahu agar lebih banyak lagi negara-negara Islam bersikap tegas dan tidak takut untuk bangun menentang kejahatan yahudi dan Israel itu. Kita mahu kegemilangan Turki suatu ketika dahulu di era Khalifah Uthmaniyyah berulang lagi di abad ini.

Akhirnya, kita menyeru kepada negara-negara Islam (OIC) agar bersatu didalam memenangi isu keganasan yahudi ini. Sesungguhnya dengan bersatu sahajalah nyawa ummat Islam dijamin selamat dibawah naungan panji-panji Islam sebagaimana suatu ketika dahulu di era kegemilangan pemerintahan Islam.

Thursday, June 3, 2010

RASUAH : IKAN BILIS & IKAN JERUNG

Cuepacs mendakwa 418,200 atau 41% penjawat awam terbabit dengan rasuah pada tahun lalu amatlah mengejutkan. Walaupun telah bermacam langkah telah diambil bagi memastikan perkara ini tidak terus berlaku termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), gejala rasuah ini masih berleluasa sehingga kini.

Bagi kita pembabitan seramai 418,200 orang dengan gejala yang tidak sihat ini begitu membimbangkan kerana ianya melibatkan hampir separuh jumlah keseluruhan kakitangan kerajaan di negara kita.

Kita bimbang sekiranya gejala yang kurang sihat ini dibiarkan berterusan tanpa kawalan dan pencegahan awalnya, kita tidak mahu ianya menjadi seumpama penyakit barah yang merebak tanpa disedari dan sudah pastilah ianya boleh menjejaskan pembangunan negara kita.

Sebagaimana yang di ulaskan oleh Presiden Cuepacs sendiri, Sdr Omar Osman semalam di Temerloh, Pahang, Cuepacs juga tidak akan melindungi penjawat awam yang terbabit dalam pelbagai masalah disiplin termasuklah gejala rasuah ini.

“Kita mahu perangi rasuah di kalangan penjawat awam dan juga laporan kepada SPRM terhadap pihak yang cuba menyogok penjawat awam”

Kenyataan beramaran serta tegas oleh Cuepacs menunjukkan kepada semua bahawa Cuepacs tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan gejala rasuah.

Namun begitu didalam masa yang sama juga, Cuepacs seharusnya terus mencari sebab kenapa ianya berterusan berlaku? Apakah kerana faktor gaji yang masih tidak setimpal atau pun keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan disamping kini faktor kenaikan berbagai jenis harga barang itu adalah penyebabnya?

Dengan pelbagai kemudahan telah disediakan oleh kerajaan seperti penyelarasan gaji yang munasabah disamping beberapa kemudahan elaun khidmat awam serta COLA dan elaun perumahan juga, gejala yang tidak sihat ini masih juga berlaku.

Kadang-kadang kita melihat hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah rasuah ini terutamanya kepada yang berstatuskan 'ikan jerung' begitu tidak munasabah dan amat ringan apatah lagi mengambil kira jumlah wang yang diterimanya begitu besar berbanding kepada mereka ('ikan bilis') yang menerimanya dalam jumlah yang amat kecil tetapi dilihat hukumannya begitu berat dan seolah tidak setimpal.

Bukannya mempersoalkan hukuman yang dijatuhkan tetapi lebih melihat kepada mereka yang bertaraf 'ikan jerung' seolah tidak takut akan hukuman yang diterimanya berbanding dengan kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini. Sepatutnya kepada mereka yang melakukan kesalahan lagi besar, hukuman seharusnya lebih berat dan setimpal dengan perbuatannya itu.

Sebagai akhirnya, kita juga mahu tindakan yang tegas yang bakal diambil oleh pihak yang berwajib seperti SPRM seharusnya tidak memilih bulu. Kita tidak mahu hanya penjawat awam yang berstatus rendah umpama ‘ikan bilis’ sahaja yang boleh di ambil tindakan tetapi didalam masa yang sama mereka yang berstatus ‘ikan jerung’ terus dibiarkan terlepas termasuk juga para menteri dan pemimpin-pemimpin politik negara sekiranya terbukti mereka turut melakukan kesalahan rasuah!

Kepada SPRM, bertindaklah seadil-adilnya tanpa rasa takut kerana ini merupakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat!

Wednesday, June 2, 2010

'UBAHSUAI' KABINET YANG TIDAK MENCERMINKAN ASPIRASI RAKYAT

Entah dimana silapnya pada kebanyakan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) langsung kita tidak ketahui. Apa yang kurang, apa yang tiada pun kita tidak tahu. Yang tahu semua ini hanyalah terletak di bahu Perdana Menteri DS Najib Tun Razak seorang sahaja.

Siapa yang tidak merasa pelik seandainya kebanyakan timbalan-timbalan dan menteri-menteri kabinet dibawah kepimpinan DS Najib kini dilantik melalui ‘pintu belakang’ iaitu menggunakan kuota lantikan sebagai Senator.

Perubahan susunan kabinet yang dilakukan hari ini oleh PM jelas menunjukkan perkara ini berlaku lagi apabila didapati separuh daripada lantikan terbaru yang dibuatnya adalah merupakan daripada kalangan senator.

Sebagaimana menurut Sdr Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, perlantikan hari ini langsung tidak mencerminkan sebagai sebuah 'Kabinet Rakyat'.

Ini kerana katanya pemilihan beberapa senator terbabit bukannya dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya yang lebih demokratik, tetapi dipilih oleh DS Najib kerana untuk memenuhi kepentingan politik sempit pada parti-parti komponen BN sahaja.

Kita juga merasakan apakah dengan perlantikan yang ramai daripada kalangan pemimpin MCA, maka sokongan kaum Cina terhadap BN akan meningkat selepas ini? Jelas menunjukkan perlantikan seperti ini hanyalah sia-sia sahaja kerana yang pasti kesemua perlantikan ini sekadar ingin memenuhi kehendak pihak tertentu semata-mata.

Kepada ahli-ahli parlimen BN terutamanya yang kanan di dalam Dewan Rakyat, kegagalan dipilih oleh PM untuk menganggotai kabinet samada sebagai menteri atau pun timbalan menteri jelas menunjukkan sebagai satu ‘signal’ kepada mereka semua bahawa mereka ini tidak layak serta langsung tiada kredibiliti untuk mengisi tempat tersebut dan kemungkinan juga tiada tempat lagi untuk mereka di pilihanraya umum (PRU) ke 13 nanti!

Adalah baiknya sekira kita mencadangkan kepada DS Najib agar senator-senator yang dilantik ke kabinet ini di beri peluang bertanding di pilihan raya kecil dengan seberapa segera bagi membolehkannya menjadi Ahli Parlimen bagi menggantikan segelintir ahli parlimen BN yang sedia ada ini.

Langkah ini kita rasakan amat sesuai kerana DS Najib boleh menggantikan serta merta mana-mana ahli Parlimen BN yang dirasakannya tidak layak untuk bersamanya. Kita tidak mahu suatu masa kelak, hampir keseluruhan menteri dan timbalan menteri di Kabinet Malaysia hanya dipenuhi oleh senator-senator sahaja yang jelas tidak akan mampu memenuhi aspirasi rakyat yang telah memilih wakil-wakil mereka di PRU secara yang bijaksana.