Wednesday, June 16, 2010

PENGUMUMAN PRU PATUT DI BUAT AWAL

Sebagaimana kenyataan oleh Dato Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan tidak bercadang untuk membubarkan Parlimen awal semata-mata untuk memberi laluan bagi diadakan pilihanraya umum (PRU) yang akan datang haruslah dipandang serius.

Menurut beliau lagi, walaupun tahap kepuasan rakyat terhadap kepimpinannya semakin meningkat, itu bukanlah asas yang beliau akan ambil kira bagi membuat keputusan mengadakan pilihanraya umum cepat.

Sememangnya negara kita amat ‘unik’ kerana hanya Perdana Menteri sahaja yang mempunyai ‘kuasa’ dan ‘ilham’ bila pilihanraya umum harus diadakan berdasarkan kesesuaian parti pemerintah Barisan Nasional.

Berbanding di negara lain seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Jepun, USA atau pun United Kingdom, dan lain-lain lagi telah menjadi kebiasaan kerajaan negara tersebut untuk mengumumkan pilihanraya umum negara tersebut sekurang-kurangnya enam bulan sehingga setahun awal bagi memberi peluang kepada parti-parti yang bertanding selain daripada BN untuk mengadakan persiapan pilihanraya masing-masing.

Dengan memberi peluang kepada semua parti pembangkang membuat persiapan pilihanraya awal, ianya dilihat lebih adil sedikit berbanding daripada tindakan kerajaan yang suka mengumumkan pilihanraya berdasarkan kelebihan yang ada pada mereka.

Sebagai pemimpin yang berjiwa besar dan dihormati oleh rakyat, adalah lebih baik sekiranya pilihanraya umum diisytiharkan lebih awal tanpa rasa gementar dan takut untuk beradu di gelanggang pilihanraya.

Tidak perlu lagi kita selaku rakyat bawahan berteka teki untuk mengetahui bila pilihanraya umum akan diadakan kerana seolah menampakkan sangat sikap kebudak-budakkan kerajaan untuk mengumumkan tarikh pilihanraya umum tersebut.

Sudah tiba masanya rakyat negara ini menukar minda dan pandangan mereka bahawa hanya PM sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan kesesuaian bila pilihanraya umum perlu diadakan.

Kita selamanya tidak boleh lagi mempunyai satu kaedah iaitu mengisytiharkan dan mengadakan pilihanraya umum secara mengejut semata-mata mengikut kesesuaian Perdana Menteri. Adalah lebih elok sekiranya waktu yang baik untuk memilih kerajaan ini di umumkan secara terbuka dan awal untuk persiapan yang adil dan saksama.

No comments: