Thursday, June 3, 2010

RASUAH : IKAN BILIS & IKAN JERUNG

Cuepacs mendakwa 418,200 atau 41% penjawat awam terbabit dengan rasuah pada tahun lalu amatlah mengejutkan. Walaupun telah bermacam langkah telah diambil bagi memastikan perkara ini tidak terus berlaku termasuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), gejala rasuah ini masih berleluasa sehingga kini.

Bagi kita pembabitan seramai 418,200 orang dengan gejala yang tidak sihat ini begitu membimbangkan kerana ianya melibatkan hampir separuh jumlah keseluruhan kakitangan kerajaan di negara kita.

Kita bimbang sekiranya gejala yang kurang sihat ini dibiarkan berterusan tanpa kawalan dan pencegahan awalnya, kita tidak mahu ianya menjadi seumpama penyakit barah yang merebak tanpa disedari dan sudah pastilah ianya boleh menjejaskan pembangunan negara kita.

Sebagaimana yang di ulaskan oleh Presiden Cuepacs sendiri, Sdr Omar Osman semalam di Temerloh, Pahang, Cuepacs juga tidak akan melindungi penjawat awam yang terbabit dalam pelbagai masalah disiplin termasuklah gejala rasuah ini.

“Kita mahu perangi rasuah di kalangan penjawat awam dan juga laporan kepada SPRM terhadap pihak yang cuba menyogok penjawat awam”

Kenyataan beramaran serta tegas oleh Cuepacs menunjukkan kepada semua bahawa Cuepacs tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan gejala rasuah.

Namun begitu didalam masa yang sama juga, Cuepacs seharusnya terus mencari sebab kenapa ianya berterusan berlaku? Apakah kerana faktor gaji yang masih tidak setimpal atau pun keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan disamping kini faktor kenaikan berbagai jenis harga barang itu adalah penyebabnya?

Dengan pelbagai kemudahan telah disediakan oleh kerajaan seperti penyelarasan gaji yang munasabah disamping beberapa kemudahan elaun khidmat awam serta COLA dan elaun perumahan juga, gejala yang tidak sihat ini masih juga berlaku.

Kadang-kadang kita melihat hukuman yang dijatuhkan terhadap pesalah rasuah ini terutamanya kepada yang berstatuskan 'ikan jerung' begitu tidak munasabah dan amat ringan apatah lagi mengambil kira jumlah wang yang diterimanya begitu besar berbanding kepada mereka ('ikan bilis') yang menerimanya dalam jumlah yang amat kecil tetapi dilihat hukumannya begitu berat dan seolah tidak setimpal.

Bukannya mempersoalkan hukuman yang dijatuhkan tetapi lebih melihat kepada mereka yang bertaraf 'ikan jerung' seolah tidak takut akan hukuman yang diterimanya berbanding dengan kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini. Sepatutnya kepada mereka yang melakukan kesalahan lagi besar, hukuman seharusnya lebih berat dan setimpal dengan perbuatannya itu.

Sebagai akhirnya, kita juga mahu tindakan yang tegas yang bakal diambil oleh pihak yang berwajib seperti SPRM seharusnya tidak memilih bulu. Kita tidak mahu hanya penjawat awam yang berstatus rendah umpama ‘ikan bilis’ sahaja yang boleh di ambil tindakan tetapi didalam masa yang sama mereka yang berstatus ‘ikan jerung’ terus dibiarkan terlepas termasuk juga para menteri dan pemimpin-pemimpin politik negara sekiranya terbukti mereka turut melakukan kesalahan rasuah!

Kepada SPRM, bertindaklah seadil-adilnya tanpa rasa takut kerana ini merupakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat!

No comments: