Wednesday, June 23, 2010

MENDIDIK, BUKAN MENGAJAR : TERUSKAN UPSR, MANSUHKAN PMR

Malam tadi saya di hubungi dan diminta oleh ‘seseorang’ yang juga mantan guru saya ketika menuntut di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu pada tahun 80an dahulu agar kiranya boleh, dapat saya ulaskan pandangan didalam blog saya tentang cadangan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR sebagai penentu tahap percapaian pelajar sekolah.

Secara peribadi, pertamanya saya melihat konsep atau sistem pendidikan di negara kita lebih kepada menentu percapaian pelajar secara ‘exam oriented’ semata-mata. Membuat perbandingan terus dengan sistem pembelajaran di negara-negara maju seperti USA, UK, Australia, Perancis malahan Jepun dan Korea Selatan pun sebelah Asia, sistem pembelajaran mereka lebih menumpukan kepada cara mendidik pelajar dan bukannya sebagaimana kita di sini lebih kepada mengajar pelajar.

Apabila dikatakan sebagai mengajar, sudah pasti ianya seakan mengajar semata-mata berdasarkan apa yang telah ditetapkan dan tertulis didalam buku! Apa yang boleh difahami oleh kita ialah ‘mengajar’ ini secara tidak langsungnya telah membentuk para pelajar seolah-olah hanya bersedia untuk diajar bagi menghadapi sesuatu peperiksaan semata-mata.

Dalam erti kata lain pelajar belajar semata-mata untuk peperiksaan dan pelajar perlu bersedia untuk belajar dengan tekun agar memperolehi kejayaan yang cemerlang!

Ini berbeza dengan cara ‘mendidik’ pelajar, yang mana akan membentuk kecemerlangan pelajar itu secara keseluruhannya dan bukan sekadar untuk berjaya didalam peperiksaannya semata-mata, malahan juga berjaya dalam keperibadian serta sahsiah diri, membentuk menjadikan pelajar lebih berdaya maju yang boleh mencetuskan pemikiran pelajar berfikir lebih hebat berdasarkan kreativiti pelajar itu sendiri.

Keduanya, berbalik kita kepada keperluan samada Ujian Percapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) perlu diteruskan atau pun dimansuhkan terus oleh Kementerian Pelajaran Malaysia?

Sebagai mantan pelajar daripada Sekolah Berasrama penuh (SBP) yang terpilih berdasarkan sistem peperiksaan di sekolah rendah (pada zaman saya ianya di panggil Peperiksaan Penilaian Darjah Lima –PPDL, sebelum PPDL di gantikan dengan UPSR yang perlu diduduki pada tahun enam pada tahun 1987) di peringkat sekolah rendah.

Semua peperiksaan ini dijalankan secara tidak langsungnya sebagai penentu ke manakah pelajar itu bakal ‘pergi’ apabila seseorang itu memasuki tingkatan satu nanti.

Justeru itu apabila ditanya kepada saya apakah wajar UPSR ini di kekalkan, terus terang saya katakan bahawa UPSR adalah sebagai penanda aras untuk menguji tahap percapaian pelajar di sekolah rendah dan sudah pastilah ianya perlu dikekalkan untuk digunakan sebagai ‘laluan’ ke sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau pun juga sekolah-sekolah rancangan khas (RK) yang terpilih dibawah kelolaan kerajaan negeri masing-masing.

Berbeza pula dengan PMR ianya adalah suatu perkara yang berlainan sama sekali dengan UPSR. Ini kerana peperiksaan di tingkatan tiga seperti PMR sekarang amat berbeza konsepnya ketika peperiksaan dizaman saya yang dikenali sebagai Sijil Rendah pelajaran (SRP). Kenapa saya katakan berbeza?

Ini kerana SRP di zaman saya ialah di samping sebagai penentu samada berjaya atau tidak untuk menaiki kelas ke tingkatan empat, ianya juga adalah bertindak sebagai penentu aliran apabila memasuki tingkatan empat nanti. Seandainya gagal di peperiksaan SRP, seseorang pelajar itu perlu mengulang belajar di tingkatan tiga dan perlu menduduki kembali peperiksaan tersebut sehingga lulus dan barulah boleh menaiki ke tingkatan empat.

Berbeza sekarang PMR hanyalah dijadikan sebagai tempat untuk ‘menguji’ penerimaan pelajar selama tiga tahun pertama mereka belajar di sekolah menengah samada boleh atau tidak menerima dengan apa yang telah diajar selama ini. Yang pastinya, sebarang keputusan yang diperolehi pada PMR pelajar masih tetap boleh meneruskan pelajarannya ke tingkatan empat.

Untuk akhirnya, peperiksaan seperti UPSR masih diperlukan tetapi didalam masa yang sama PMR harus di mansuhkan terus agar pelajar-pelajar di peringkat menengah hanya perlu menumpukan satu peperiksaan sahaja di akhir tingkatan lima nanti iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

No comments: