Tuesday, June 29, 2010

HAL DALAM KEADILAN, UMNO PULAK YANG TERLEBIH 'SAWAN'

Keputusan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang melakukan sedikit perubahan pada Pengerusi MPN KEADILAN Selangor dan Wilayah Persekutuan kelmarin telah menimbulkan berbagai reaksi terutamanya kepada pimpinan UMNO khususnya.

Dengan Azmin Ali di beri tanggungjawab kembali untuk mengetuai MPN Selangor dan Dato Zaid Ibrahim pula diamanahkan sebagai Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan yang baru. Didalam masa yang sama TS Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor (mantan Pengerusi MPN Selangor sebelum ini) di pertanggungjawabkan untuk mengukuhkan lagi ekonomi dan pentadbiran kerajaan Selangor.

Keputusan ini dilihat begitu baik untuk mengukuhkan kedudukan parti terutamanya di dua kawasan utama di Lembah Kelang apatah lagi ianya juga adalah dimana kekuatan KEADILAN tertumpu disini selain daripada Pulau Pinang.

Namun begitu, keputusan yang melantik Azmin kembali untuk menjadi Pengerusi MPN Selangor telah mengundangkan reaksi yang berbeza apabila pimpinan UMNO samada di peringkat negeri Selangor ataupun Pusat melihat ianya seolah-olah sebagai tapak untuk dan ‘laluan’ kepada Azmin untuk beliau menjawat jawatan MB Selangor pada suatu masa kelak.

Hampir kesemua pimpinan UMNO kelihatan ‘tidak bersetuju’ terhadap keputusan KEADILAN yang dikatakan mereka meminggir TS Khalid Ibrahim. Kata mereka lagi ianya kelihatan seolah KEADILAN tidak berlaku adil terhadap Khalid tetapi lebih mengutamakan ‘anak emas’ nya Azmin Ali didalam semua perkara.

Kita sebenarnya merasa pelik dan hairan kerana apa yang pimpinan KEADILAN lakukan untuk memperkuatkan pentadbiran kerajaan negeri Selangor serta memperkuatkan parti juga telah di bangkang habis-habisan oleh UMNO.

Seolah-olah pertukaran jawatan ini telah menyebabkan pentadbiran negeri menjadi kucar kacir serta tiada hala tuju dilihatnya. UMNO dilihat seperti kepanasan apabila berterusan membangkitkan isu dua ‘kapten’ didalam sesuatu negeri boleh merencatkan segala perancangan kerajaan negeri.

Isunya sekarang ialah apakah tindakan ini salah menurut perlembagaan negeri dan persekutuan? Tidak menjadi kemestian seseorang Menteri Besar mestilah juga Pengerusi Perhubungan sesebuah parti politik di sesuatu negeri.

Justeru itu didalam hal ini, apakah tindakan kerajaan negeri Terengganu yang mempunyai Menteri Besarnya bernama Dato Ahmad Said juga salah dan adakah boleh di katakan juga sebagai mempunyai 2 ‘kapten’ dalam negeri tersebut kerana sebagaimana di ketahui umum Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu sekarang ialah Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein (Naib Presiden UMNO) dan sudah semestinya bukan Dato Ahmad Said sebagaimana kebiasaan tradisi yang UMNO lakukan di negeri-negeri dibawah pimpinannya MB itu Pengerusi UMNO Negeri!

Thursday, June 24, 2010

UMNO MEMBUKA JALAN PADA ULAMA, ADAKAH ITU TANDA-TANDA PRU 13 BAKAL MENJELMA?

40 Ulama Ph.D sertai UMNO esok – Shahidan ; Itu antara kenyataan yang didakwa oleh mantan Menteri Besar Perlis Dato Seri Shahidan Kassim didalam Utusan Malaysia hari ini 24 Jun 2010 (m/s:7).

Menurut beliau lagi, satu pertemuan bersama 40 Ulama berkelulusan PhD tersebut dan kesemuanya telah menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO kepada Perdana Menteri sendiri pada hari jumaat ini.

Kita amat berharap agar tindakan dan pendirian ulama-ulama tersebut untuk menyertai UMNO dapat memberi suatu impak yang sebaik mungkin pada parti tersebut dan ini selaras dengan pendirian mereka yang dinyatakan sendiri didepan Shahidan Kassim sebelum itu.

“Mereka menyatakan pendirian mahu berada dalam UMNO untuk terus menggerakkan dakwah. Jika UMNO silap mereka akan tegur dan jika yang baik mereka akan memujinya”

Melihat kepada hasrat dan harapan ulama-ulama mengingatkan saya kembali terhadap beberapa orang yang dilihatkan begitu berpengaruh sebelum menyertai UMNO akhirnya ‘kecundang’ juga dek kerana usaha untuk menjalankan misi dakwah serta pembersihan UMNO daripada dalam gagal akibat tiadanya sokongan pemimpin-pemimpin utama UMNO ketika itu untuk bersama-sama dengan ulama-ulama ini.

Sejarah awal UMNO suatu ketika dahulu memperlihatkan bagaimana para ulama ramai dinafikan peranannya didalam usaha membawa UMNO kearah yang lebih baik. Lihat saja bagaimana kecewanya para ulama yang berada didalam UMNO ketika itu apabila Loteri Kebajikan yang dibantah sekeras-kerasnya oleh ulama ini terus dibenarkan dengan alasan mencari dana untuk parti!

Pada akhir tahun 70an sehingga kini, kehadiran mereka yang mempunyai kelayakan yang tinggi didalam bidang agama berterusan menyertai UMNO ini antaranya seperti Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (mantan MB Terengganu 1974-1999), Tan Sri Yusuf Nor, Dato Dasuki Ahmad, Tan Sri Abdul Hamid Othman, Dato Nakhaei Ahmad (Mantan Naib Presiden PAS), Tan Sri Asri Muda (Mantan Presiden PAS) dan lain-lain lagi sehinggalah kepada penyertaan Dato Abdullah Zin (MP Besut & mantan Menteri di JPM), Dato Firdaus (Mantan Imam Besar Masjid Negara), Dato Dr Masyitah dan juga Dato Seri Brig.Jen (B) Jamil Khir yang merupakan Timbalan dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama).

Secara umumnya, sejarah para ulama yang berada didalam UMNO sebenarnya tidaklah membawa kemana akhirnya. Ini kerana dengan ruang yang ada didalam parti seperti itu, keterbatasan ulama untuk bersuara kadang kala dinafikan dan lebih menyedihkan lagi ianya terus dipandang sepi saja.

Dengan isu yang terus menerus timbul seperti isu memberi lesen perjudian bolasepak Piala Dunia 2010, ianya dilihatkan langsung tidak diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin utama UMNO malahan ada dikalangan pemimpin-pemimpin beragama Islam didalam UMNO sendiri yang berani untuk menyatakan sokongan agar judi bolasepak ini dibenarkan beroperasi!

Kita melihat bahawa sejak dahulu lagi, penyertaan ulama didalam UMNO ini hanyalah bertujuan untuk memberi saingan kepada PAS terutamanya didalam menyatakan ‘kebenaran’ diatas setiap tindakan yang dibuat oleh UMNO.

Pada kita walaupun menerima seramai 40 orang ulama baru kedalam UMNO, kebimbangan kita sekiranya ulama yang ada ini tidak mampu untuk menegur kesalahan pimpinan utama UMNO dan negara sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini tetap ada. Akhirnya jadilah ulama-ulama tersebut sekadar tukang angguk dan pengampu pimpinan semata-mata demi prinsip perut masing-masing perlu didahulukan.

Yang pastinya, kita tidak nampak bahawa dengan penyertaan 40 orang ulama ini mampu mengugat kekuatan yang ada didalam Pakatan Rakyat khususnya PAS pada pilihanraya umum ke 13 nanti kerana rakyat melihat ‘kebusukan dan kebobrokan’ yang ada pada UMNO itu sendiri sudah cukup memualkan dan ini secara tidak langsungnya penolakan terhadap ulama muda UMNO tersebut pasti turut sama berlaku!

Wednesday, June 23, 2010

MENDIDIK, BUKAN MENGAJAR : TERUSKAN UPSR, MANSUHKAN PMR

Malam tadi saya di hubungi dan diminta oleh ‘seseorang’ yang juga mantan guru saya ketika menuntut di Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu pada tahun 80an dahulu agar kiranya boleh, dapat saya ulaskan pandangan didalam blog saya tentang cadangan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR sebagai penentu tahap percapaian pelajar sekolah.

Secara peribadi, pertamanya saya melihat konsep atau sistem pendidikan di negara kita lebih kepada menentu percapaian pelajar secara ‘exam oriented’ semata-mata. Membuat perbandingan terus dengan sistem pembelajaran di negara-negara maju seperti USA, UK, Australia, Perancis malahan Jepun dan Korea Selatan pun sebelah Asia, sistem pembelajaran mereka lebih menumpukan kepada cara mendidik pelajar dan bukannya sebagaimana kita di sini lebih kepada mengajar pelajar.

Apabila dikatakan sebagai mengajar, sudah pasti ianya seakan mengajar semata-mata berdasarkan apa yang telah ditetapkan dan tertulis didalam buku! Apa yang boleh difahami oleh kita ialah ‘mengajar’ ini secara tidak langsungnya telah membentuk para pelajar seolah-olah hanya bersedia untuk diajar bagi menghadapi sesuatu peperiksaan semata-mata.

Dalam erti kata lain pelajar belajar semata-mata untuk peperiksaan dan pelajar perlu bersedia untuk belajar dengan tekun agar memperolehi kejayaan yang cemerlang!

Ini berbeza dengan cara ‘mendidik’ pelajar, yang mana akan membentuk kecemerlangan pelajar itu secara keseluruhannya dan bukan sekadar untuk berjaya didalam peperiksaannya semata-mata, malahan juga berjaya dalam keperibadian serta sahsiah diri, membentuk menjadikan pelajar lebih berdaya maju yang boleh mencetuskan pemikiran pelajar berfikir lebih hebat berdasarkan kreativiti pelajar itu sendiri.

Keduanya, berbalik kita kepada keperluan samada Ujian Percapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) perlu diteruskan atau pun dimansuhkan terus oleh Kementerian Pelajaran Malaysia?

Sebagai mantan pelajar daripada Sekolah Berasrama penuh (SBP) yang terpilih berdasarkan sistem peperiksaan di sekolah rendah (pada zaman saya ianya di panggil Peperiksaan Penilaian Darjah Lima –PPDL, sebelum PPDL di gantikan dengan UPSR yang perlu diduduki pada tahun enam pada tahun 1987) di peringkat sekolah rendah.

Semua peperiksaan ini dijalankan secara tidak langsungnya sebagai penentu ke manakah pelajar itu bakal ‘pergi’ apabila seseorang itu memasuki tingkatan satu nanti.

Justeru itu apabila ditanya kepada saya apakah wajar UPSR ini di kekalkan, terus terang saya katakan bahawa UPSR adalah sebagai penanda aras untuk menguji tahap percapaian pelajar di sekolah rendah dan sudah pastilah ianya perlu dikekalkan untuk digunakan sebagai ‘laluan’ ke sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) atau pun juga sekolah-sekolah rancangan khas (RK) yang terpilih dibawah kelolaan kerajaan negeri masing-masing.

Berbeza pula dengan PMR ianya adalah suatu perkara yang berlainan sama sekali dengan UPSR. Ini kerana peperiksaan di tingkatan tiga seperti PMR sekarang amat berbeza konsepnya ketika peperiksaan dizaman saya yang dikenali sebagai Sijil Rendah pelajaran (SRP). Kenapa saya katakan berbeza?

Ini kerana SRP di zaman saya ialah di samping sebagai penentu samada berjaya atau tidak untuk menaiki kelas ke tingkatan empat, ianya juga adalah bertindak sebagai penentu aliran apabila memasuki tingkatan empat nanti. Seandainya gagal di peperiksaan SRP, seseorang pelajar itu perlu mengulang belajar di tingkatan tiga dan perlu menduduki kembali peperiksaan tersebut sehingga lulus dan barulah boleh menaiki ke tingkatan empat.

Berbeza sekarang PMR hanyalah dijadikan sebagai tempat untuk ‘menguji’ penerimaan pelajar selama tiga tahun pertama mereka belajar di sekolah menengah samada boleh atau tidak menerima dengan apa yang telah diajar selama ini. Yang pastinya, sebarang keputusan yang diperolehi pada PMR pelajar masih tetap boleh meneruskan pelajarannya ke tingkatan empat.

Untuk akhirnya, peperiksaan seperti UPSR masih diperlukan tetapi didalam masa yang sama PMR harus di mansuhkan terus agar pelajar-pelajar di peringkat menengah hanya perlu menumpukan satu peperiksaan sahaja di akhir tingkatan lima nanti iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Monday, June 21, 2010

LESEN JUDI BOLA SEPAK: APABILA MENTERI BUKAN ISLAM SOKONG DITANGGUH DULU!

Amat malang sekiranya seseorang yang berjawatan Menteri, seorang Melayu beragama Islam pula dan sentiasa bercakap bahawa parti UMNO adalah pejuang tulen yang mempertahankan ketuanan Melayu dan berterusan juga memperkatakan bahawa pimpinan UMNO jugalah yang bermati-matian mempertahankan syiar Islam di negara ini TETAPI di dalam masa yang sama Menteri ini jugalah yang beria-ria menyatakan sokongan lesen judi untuk Piala Dunia 2010 ini!

Apa lagi yang kita boleh harapkan kepada UMNO sebenarnya? Kalau perkara yang melibatkan soal hukum hakam agama pun boleh dipersendakan sedemikian rupa, apa lagi perkara lain yang mampu UMNO lakukan?

Didalam Mingguan Malaysia semalam 20 Jun 2010, m/s 3 dengan jelas Dato Seri Nazri Aziz selaku Menteri di JPM mengatakan;

“Langkah kerajaan memberikan lesen menjalankan perniagaan PERJUDIAN kepada Ascott Sport Sdn Bhd adalah bagi menghormati hak masyarakat bukan Islam dinegara ini. Ini kerana kerajaan mengambil kira kepentingan semua pihak dan bukannya masyarakat beragama Islam sahaja kerana amalan bertaruh merupakan sebahagian daripada cara hidup bagi sesetengah masyarakat bukan Islam”

Saya pun ada ramai kawan yang bukan beragama Islam samada daripada kalangan kaum Cina, India, Serani, Siam, Iban, Kadazan, Orang Asal serta berbagai keturunan lagi tetapi apabila di utarakan kepada mereka kenyataan Nazri Aziz ini tentang apa yang dikatakan sebagai ‘cara hidup sesetengah masyarakat bukan Islam’ ini, masing-masing menunjukkan reaksi yang memeranjatkan dan menafikan sekeras-kerasnya!

Terus terang katakan disini, Nazri Aziz telah melukakan hati masyarakat bukan Islam dinegara ini dengan kenyataan tersebut semata-mata untuk mempertahankan seorang tauke judi agar perjudian secara ‘halal’ dan berlesen ini boleh dijalankan dengan kadar segera tanpa wujudnya halangan.

Judi samada di lesenkan atau pun tidak di lesenkan, dimainkan secara sah atau pun tidak sah, yang pastinya ia HARAM tetap HARAM! Sebagaimana kata seorang lagi Menteri di JPM, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga semalam;

“Keputusan kerajaan menangguhkan pemberian lesen judi itu amatlah di alu-alukan. Baginya pemberian lesen judi itu hanya menambahkan ruang buat masyarakat terlibat dalam aktiviti pertaruhan. Kegiatan judi juga boleh mendatangkan kesusahan hidup kepada sesiapa yang terlibat termasuk masalah moral dan sosial. Selama ini juga GERAKAN mengambil pendirian menentang aktiviti promosi pertaruhan dan perjudian kerana kita adalah para penganut agama-agama terhebat di dunia”

Nah wahai Nazri! Lihatlah kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang Menteri bukan Islam yang terus terang menentang perjudian ini. Presiden Parti GERAKAN sendiri memberitahu bahawa sebagai penganut agama-agama terhebat di dunia, sudah pasti kita perlu menentang sebarang perjudian!

Tetapi tidak kepada Nazri Aziz seorang pemimpin daripada parti UMNO yang selalu mendakwa mempertahankan Islam ini. Sebenarnya amat malang dan kita berasa sedaih kerana mempunyai seorang Menteri yang beragama Islam tetapi dilihat turut bersama untuk mempertahan serta mempromosikan judi bolasepak ini.

Apa lagi sebenarnya yang boleh diharapkan oleh kita semua terhadap UMNO? Sama-samalah kita berfikir kewajarannya ini….

Sunday, June 20, 2010

PILIHANRAYA UMUM AWAL: JADIKANNYA KEWAJIPAN & BUKANNYA 'PESTA'

Masing-masing sudah mula bercerita tentang pilihanraya umum (PRU) yang ke 13. Samada daripada pihak parti Barisan Nasional (BN) atau pun juga daripada Pakatan Rakyat(PR) sendiri.

Semenjak daripada PRU 12 pada tahun 2008 dahulu, berbagai spekulasi kemungkinan PRU 13 telah pun kedengaran terutamanya apabila memasuki era selepas dua setengah tahun daripada PRU 12 tersebut.

Faktor apa yang diperkatakan sebagai kestabilan ekonomi Malaysia kini adalah merupakan faktor yang paling sesuai untuk disegerakan pilihanraya umum yang ke 13 juga telah dijadikan asaanya. Apakan kesan ekonomi yang begitu memberangsangkan sekarang adalah peluang terbaik untuk diadalan PRU 13 ini?

Pandangan Dato Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri seharusnya di rungkai secara mendalam. Pada pandangan beliau untuk apa disegerakan pilihanraya sekiranya tempoh 5 tahun mandat untuk memimpin negara masih lagi panjang dan dibenarkan sebagaimana yang diperuntukkan didalam perlembagaan.

Semua parti samada BN ataupun juga PR masing-masing boleh mendakwa bahawa mereka sudah cukup kuat dan sudah bersedia untuk bertarung didalam pilihanraya umum akan datang, tetapi apakah benar itu hakikatnya?

Perkembangan yang mutakhir ini lebih menjuruskan kepada ‘penghijrahan’ beberapa orang wakil-wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat ke ‘sebelah sana’ (Barisan Nasional) samada sebagai wakil bebas yang mesra BN atau bertindak menyertai mana-mana parti komponen BN yang sedia ada menguatkan lagi kemungkinan PRU 13 di segerakan.

Senario didalam Pakatan Rakyat ini dilihatkan sebagai satu konflik dalaman parti yang ‘serius’ dan sudah pasti ini adalah isu yang seharusnya digunakan oleh pihak Barisan Nasional semaksimum mungkin didalam mencari sokongan untuk PRU ke 13 nanti.
Bagi kita apakah asas ini juga boleh dijadikan penyebab utama kepada Perdana Menteri khususnya parti pemerintah Barisan Nasional untuk mengadakan pilihanraya umum ke 13 secara mengejut?

Mungkin pada sebelah pihak akan mengatakan inilah masa terbaik untuk Perdana Menteri mendapatkan mandat terbaru pimpinannya disamping memilih wakil rakyat terbaik untuk bekerja bersamanya.

Tetapi didalam masa yang sama juga, mempercepatkan pilihanraya umum juga adalah ada salah satu cara terbaru untuk menjimatkan kos bagi mengadakan pilihanraya umum negeri Sarawak secara serentak dengan peringkat Pusat, justeru itu peluang ini perlu di adakan bersama.

Pada satu sudut yang lain, sekiranya benar kerajaan berhasrat untuk mengadakan PRU 13 didalam tempoh terdekat ini sewajarnya ia di pertimbangkan kembali. Ini kerana dengan tempoh mandat 5 tahun yang diperuntukkan untuk memerintah masih lagi jauh untuk berakhir, kenapa kerajaan begitu ‘gelojoh’ untuk mengadakannya secara tergesa-gesa?

Walau apa pun, segalanya terletak ditangan PM selaku orang yang berhak untuk menentukan bila kewajarannya untuk mengadakan pilihanraya umum perlu diadakan.

Friday, June 18, 2010

TIADA LAGI NILAI & KEWARASAN SEBAGAI SEORANG SAHABAT

Dimanakah lagi nilai kewarasan sebagai seorang sahabat yang saling mengenali sebagaimana yang didakwakan sebelum ini sekiranya berterusan menghambur kata-kata yang berunsurkan fitnah terhadap rakan baiknya sendiri?

Sesungguhnya didalam politik kita tiada istilah kawan atau musuh yang sejati secara peribadinya. Yang ada Cuma permusuhan kekal terhadap ideologi, pandangan atau pun perjuangan parti yang disertai itu.

Mutakhir ini, serangan berbentuk peribadi yang mengaitkan berbagai salah laku terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) berterusan lagi. Kalau dahulu mereka yang begitu ‘galok’ memfitnah serta ‘menyundal’ dengan berbagai kata nista terhadap DSAI adalah mereka yang secara terang dan jelas ialah ‘musuh politik’ DSAI didalam UMNO.

Kini selepas 12 tahun daripada peristiwa tersebut, posisi untuk memfitnah, menghambur kata nista dengan dakwaan yang cukup meloyakan telah diambil alih oleh mereka yang ‘kecewa’ terhadap perjuangan Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN ini.

Siapa yang boleh menduga selepas sekian lama bersama-sama mengharungi suka duka, saat getir bersama kesusahan didalam pejuangan KEADILAN sejak ianya ditubuhkan pada 04.04.1999 mereka ini sanggup pula bersama-sama melakukan penyundalan yang paling besar didalam diri mereka untuk memfitnah dan menuduh DSAI dengan berbagai versi dan ceritera yang penuh dengan tipu daya dan muslihat?

Itu lah Datuk Seri Zahrain Hashim, itu lah juga Sdr Zulkifli Nordin, Itu lah juga Sdr Wee Choo Keong, Itu lah juga Sdr Ezam Mohd Nor, Itu lah juga Dato Nallakarupan serta beberapa yang lain lagi yang selalu mendakwa mereka ini adalah ‘sahabat yang akrab’ bersama dengan DSAI bukan sekarang tetapi sejak dahulu lagi.

Menimbulkan dakwaan yang diragui serta pelbagai pengakuan untuk membuktikan apa yang dikatakan ini semuanya benar adalah tidak sukar. Dengan sekadar membaca skrip yang telah siap di olah, sesiapa yang hilang kewarasan dan harga diri pun boleh membacanya seumpama lembu yang dicucuk hidung tanpa membangkang kehendak tuannya itu!

Dengan isu kononnya DSAI adalah penggalak dan menyokong judi dibawa masuk ke Sabah ketika menjawat Menteri Kewangan dahulu sehinggalah kepada isu terbaru sebagaimana yang didakwa didalam BH m/s 8 ; 18 Jun 2010 kononnya DSAI ada memiliki dan turut juga menonton video seks ADUN KEADILAN (YB Elizabeth Wong)?

Politik jenis apakah yang sedang dibawa oleh mereka ini yang selalu mendendang dan mendakwa sebagai sahabat DSAI sejak berpuluh tahun dahulu? Sama-samalah kita fikirkan…

KENAPA PERLU BANGUNAN PARLIMEN BARU?

Bangunan Parlimen Malaysia adalah tempat untuk ahli-ahli Dewan Rakyat bersidang, berbahas di samping menggubalkan undang-undang negara kita.

Saya tidak faham kenapa isu dan cadangan untuk memindahkan serta membina Bangunan Parlimen baru berterusan diberi perhatian?

Bermula dengan cadangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Nazri Aziz agar bangunan baru untuk Parlimen dibina di Putrajaya dan didalam masa yang sama pula dibaik pulih untuk dijadikan sebagai galeri sejarah.

Isu ini terus diberi perhatian serius apabila Kementerian Kerjaraya melalui Menterinya Dato Shaziman Mansor turut mengulas akan cadangan pembinaan Bangunan Parlimen yang baru dan berhasrat untuk di kemukakan kepada Kabinet dalam tempoh dua bulan daripada sekarang tentang beberapa cadangan yang difikirkan sesuai.

Kita tidak faham, kenapa negara kita tidak boleh meniru langkah sebagaimana Negara lain yang begitu menyanjung tinggi Bangunan Parlimennya walaupun telah berusia melebih beratus tahun sebagaimana di United Kingdom, Amerika Syarikat, India, Jepun dan sebagainya.

Dinegara lain, bangunan Parlimen adalah tempat yang mulia untuk dipertahankan sesuai dengan nilai sejarah dan nostalgianya. Lihatlah di UK atau AS sebagai contohnya, bangunan Parlimen mereka sudah berusia begitu lama dan sentiasa di baik pulih serta di jaga dengan rapi.

Bagi kerajaan negara mereka, tiada yang lebih membanggakan selain daripada terus mengekalkan nilai sejarah ini. Menjadi ahli Dewan di kedua negara tersebut sudah pasti membanggakan mereka yang dipilih. Ini kerana nama mereka turut terpahat sama dikalangan mereka yang pernah suatu ketika dahulu yang turut berada di situ walaupun berlainan zaman tetapi tempatnya adalah sama!

Tetapi tidak di Malaysia kerana lebih mementingkan keselesaan kononnya. Hakikatnya untuk apa bangunan baru Parlimen perlu dibina? Sebagaimana menurut Shaziman lagi kos untuk membaik pulih hanyalah sekitar RM 150 Juta, manakala kos untuk membina yang baru mungkin mencecah melebihi RM 600 Juta?

Ada dua persoalan disini, pertamanya kenapa kos membaik pulih memerlukan RM 150 Juta? Bukankah 10 tahun dahulu, bangunan ini sudah di baik pulih serta di ubah suai? Dimana tanggung jawab pihak yang berwajib untuk menyelenggara bangunan ini secara berterusan pada setiap bulan?

Saya yakin sekiranya penyelenggaraan secara sistematik dan konsisten sebagaimana yang diamalkan kepada mana-mana bangunan, kos untuk membaik pulih keseluruhan bangunan ini pasti tidak akan mencecah sehingga RM 150 Juta!

Keduanya, kos pembinaan baru melebihi RM 600 Juta? Kalau kita sudah mengetahui kos pembinaan barunya sebegitu rupa tinggi, kenapa tidak didiamkan sahaja hasrat ini? Atau pun masih berkeras untuk membina bangunan baru demi kepentingan pihak-pihak tertentu didalam mendapatkan kontrak ini?

Justeru itu, bagi saya elok dibatalkan saja niat tersebut samada untuk memindahkan atau pun membina bangunan Parlimen yang baru di Putrajaya. Kita seharusnya mempertahankan bangunan yang sedia ada demi warisan dan nilai sejarah yang penuh dengan nostalgia didalam pembentukan awal negara kita yang merdeka ini dahulu.