Tuesday, March 31, 2009

RUMUSAN UMNO 2009: GANDINGAN NAJIB-MUHYIDDIN SEUMPAMA TUN RAZAK-TUN DR ISMAIL?

Najib Tun Razak, Presiden Umno yang baru
Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno yang baru
Almarhum Tun Abd Razak Hussein, Mantan Presiden Umno

Almarhum Tun Dr Ismail, Mantan Timbalan Presiden Umno

Salam pada semua,

Kemenangan Muhyiddin Yassin serta Ahmad Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafie Afdal sebagai Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden Umno yang baru beberapa hari lalu tidaklah mengejutkan ramai terutamanya para pemerharti luar.

Kemenangan mereka ini yang disifatkan oleh para ‘pengampu’ Umno kononnya sebagai rangkaian yang teramat baik, berwawasan, muda, dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri pada diri mereka masing-masing apatah lagi diandaikan oleh semua pihak sebagai gandingan mantap bersama Presiden Umno yang baru Najib Tun Razak.

Hakikat yang sebenarnya kemenangan mereka ini tidak menampakkan sebarang petanda bahawa perubahan akan berjalan sebagaimana yang digembar- gemburkan kerana sememangnya diantara mereka ini turut mempunyai ‘sejarah kegemilangannya’ masing-masing didalam politik.

Sememangnya ramai yang menjangkakan pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden akan berlaku dengan lebih sengit seandainya Ali Rustam tidak dihalang daripada meneruskan niatnya untuk bertanding. Semua orang tidak menafikan kemampuan Ali Rustam untuk membuat kejutan pada jawatan ini sekiranya ianya berlaku tetapi nasibnya malang kerana didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno atas kaitannya dengan politik wang beberapa hari sebelum perhimpunan agung Umno ini.

Dengan keunggulan dan kekuatan yang ada pada Muhyiddin Yassin ini, halangannya terhadap Muhamad Mohd Taib hanyalah kecil sahaja apatah lagi kemampuan serta potensi diri Muhyiddin itu lebih dipandang oleh para perwakilan berbanding Muhamad Taib yang cukup ‘kontroversi’ selama ini.

Tetapi apakah jaminan dengan kemenangan besar Muhyiddin pada pemilihan ini sememangnya diri beliau diterima orang? Saya tidak melihat beliau sebagai gandingan yang ‘sesuai’ bersama Najib kali ini kerana Muhyiddin yang kita kenali adalah seorang pemimpin yang cukup teliti serta cermat didalam sebarang tindakan. Beliau seorang yang begitu tegas serta berani berbanding dengan Najib.

Disamping itu juga dengan perbezaan umur beliau yang lebih berusia daripada Najib juga memungkinkan akan timbul konflik dan perbezaaan pendapat dengan Presiden sendiri walaupun konflik ini lebih menjuruskan kebaikan bersama didalam parti Umno. Mungkin orang akan melihat ini adalah perkara biasa tetapi didalam politik istilah ‘aku makan garam lebih dahulu daripada kamu’ atau lebih tua umurnya untuk di hormati, pasti ianya akan berlaku juga.

Sejarah Presiden Umno ke tiga Almarhum Tun Razak Hussein dengan Almarhum Tun Dr Ismail selaku Timbalan beliau pada akhir tahun 60an dulu pasti akan berulang apabila ketika itu Ismail lebih dikenali sebagai nasionalis melayu yang unggul apatah lagi ketika peristiwa 13 Mei 1969 berlaku.


Kehebatan serta keunggulan peribadi Ismail amatlah digeruni oleh semua orang termasuk kaum bukan melayu kerana ketegasannya didalam membuat keputusan apatah lagi terhadap Almarhum Tunku Abd Rahman sendiri ketika beliau menjadi Presiden Umno ke dua.

Ketegasan serta faktor lebih berusia daripada Presiden kali ini berulang kembali apabila Muhyiddin menjadi Timbalan Presiden Umno. Dengan keempat-empat tokoh ini juga sama daripada Pahang dan Johor.

Sebenarnya amatlah sukar didalam sesebuah kapal itu sekiranya masih terdapat satu lagi suara yang turut memiliki ‘aura’ ketegasannya selain daripada Presiden sahaja. Apakah mungkin dengan aura yang dimiliki oleh Timbalan ini hanya akan didiamkan begitu sahaja tanpa menggunakannya?

Secara peribadinya saya berpandangan Muhyiddin tidak mampu lagi untuk mendaki ke kerusi Presiden suatu masa nanti kerana atas faktor usia yang lebih berusia berbanding Najib sendiri dan melihat fenomena ini keyakinan kita bahawa peristiwa gandingan antara ‘biras’ sebagai Presiden dan Timbalan Presiden dan seterusnya sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Tun Razak dan Tun Hussein Onn) pasti akan berulang lagi sekiranya Hishamuddin Hussein yang juga sepupu Najib ini mampu mendaki ke jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan yang akan datang nanti.

Saya tidak melihat perkara ini mustahil. Kalau dahulu siapa dapat menyangka gandingan biras sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Umno berlaku? Atas faktor ini lah saya berkeyakinan juga bahawa suatu hari nanti gandingan dua anak bekas Presiden Umno ini akan bergandingan kembali. Kalau dahulu biras, tetapi kali ini pula sepupu. Namun kemungkinan ini hanya akan berlaku terlebih dahulu didalam Umno sebagai Presiden dan Timbalan Presiden sahaja kerana belum tentu di PRU 13 yang akan datang BN masih mampu memenangi PRU tersebut!

SKETSA UMNO 2009: SARANAN WAKIL KELAB UMNO LUAR NEGARA DANGKAL & TIDAK MASUK AKAL!

Salam pada semua,

Saranan yang dibuat oleh seorang wakil kelab Umno Southampton, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan agar Biasiswa kerajaan ditarik kepada mana-mana pelajar di luar Negara khusunya di Mesir kerana penglibatan mereka dengan parti pembangkang amatlah dangkal serta menyerlah kebodohan beliau sebagai seorang pelajar yang menuntut didalam ijazah Phd.

Ini kah yang dikatakan minda kelas pertama sebagaimana yang diwar-warkan oleh Umno? Untuk pengetahuan beliau dan semua ahli-ahli Umno terutamanya ahli-ahli kelab Umno luar Negara, Setiap sen yang diperolehi melalui biasiswa samada biasiswa penuh kerajaan atau pun badan berkanun itu adalah merupakan wang rakyat.

Mana mungkin beliau boleh menggesa agar kerajaan dapat menarik biasiswa ini semata-mata mahu membendung sokongan pelajar terutamanya di Mesir daripada menyokong pembangkang? Apakah beliau masih tidak tahu bahawa ini merupakan biasiswa kerajaan dan bukannya biasiswa Umno!

Kerajaan adalah Negara, tidak kira samada kerajaan Negara ini diperintah oleh Umno/BN atau pun Pakatan Rakyat. Selagi ianya dinamakan sebagai Kerajaan Malaysia semua penduduk di Negara ini akan dikenakan cukai tidak kira samada mereka ini penyokong Umno/BN atau pun daripada Pakatan Rakyat.

Hanya biasiswa yang keluarkan oleh Umno sahaja yang boleh ditarik bantuan kewangan ini oleh pelajar yang tidak menyokong Umno. Kita sedikit pun tidak hairan andainya Umno berhak menarik biasiswa yang diberikan kepada pelajar tersebut sekira didapati pelajar tersebut tidak menyokong Umno kerana secara jelas biasiswa ini atas nama biasiswa Umno!

Amatlah malang buat Umno kerana usul dan pembahasan pelajar seperti Wan Md Hazlin ini tidak menggambarkan kepintaran serta kepandaian beliau sebagai seorang penuntut diperingkat Phd. Beliau masih tidak mampu untuk membezakan kepada perkara asas, tidak mampu membezakan apa yang kerajaan miliki dan apa yang parti miliki?

Tahap pemikiran pelajar ini begitu lemah. Inikah yang dikatakan sebagai melayu glokal sebagaimana yang diperkatakan oleh Presiden Umno yang baru, Najib Razak? Amat malang sekali sekiranya Umno memiliki seorang ahlinya yang begitu rendah tahap pengetahuan am yang dimilikinya.

Kenyataan beliau ini juga telah mengesahkan kepada Umno bahawa kebanyakan pelajar kini terutamanya di luar Negara tidak semudah ‘memberi gula-gula’ untuk dipengaruhi. Dengan dunia tanpa sempadan serta maklumat dihujung jari, para pelajar terutamanya yang berada di luar Negara pasti akan sentiasa memantau perkembangan bukan sahaja ekonomi dan kemanusiaan malahan juga akan turut mengikuti perkembangan senario politik tanah air.

Apakah para pelajar ini boleh dipaksa-paksa agar berterusan untuk menyokong Umno/BN khusunya tanpa mengambil kira pelbagai faktor semasa serta senario politik kini?

Tidak timbul istilah kacang melupakan kulitnya sekira para pelajar ini membuat keputusan untuk menyokong pembangkang! Adalah telah menjadi tugas kerajaan untuk menyediakan segala kemudahan termasuk biasiswa kepada pelajar yang cemerlang untuk pembiayaan pelajarannya tanpa mengambil kira siapa yang kamu undi dan parti mana yang di sokong?

Ini merupakan tugas sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Sebab itu diawal tadi saya sudah mengatakan, parti perlu dibezakan dengan kerajaan dan bukannya menganggap kerajaan Malaysia ini hak kepunyaan Umno/BN sahaja!

Kerajaan Malaysia akan tetap wujud selagi dunia belum kiamat walaupun parti yang bertanding pada setiap PRU silih berganti menerajuinya. Begitu juga dengan dasar serta polisinya tetap sama melainkan dipinda kerana ianya dinamakan atas polisi kerajaan dan bukan atas nama polisi sesebuah parti! Ahli Umno seperti wakil pelajar kelab Umno luar Negara ini seharusnya tahu sesungguhnya kerajaan Negara ini kepunyaan semua orang tanpa mengira ideologi politiknya dan bukan hak milik serta kepunyaan Umno/BN sahaja!

Thursday, March 26, 2009

DIMANA PERUBAHAN?: PEMIMPIN BARU, POLISI UMNO TETAP LAMA

Khairi Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Malaysia 2008-2011

Sharizat Jalil, Ketua Wanita Umno Malaysia 2008-2011
Rosnah Rashid, Ketua Puteri Umno Malaysia 2008-2011

Salam pada semua,

Kemenangan khairi Jamaluddin, Sharizat Jalil dan Rosnah Rashid pada perebutan jawatan Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri Umno tetap tidak menghadirkan sebarang perubahan kepada semua sayap-sayap parti berteraskan kaum melayu ini.

Ramai penganalisis politik membuat andaian yang lebih berbentuk mengampu didalam mengupas isu sebenar didalam Umno ini. Kisah yang baik-baik serta gembira didalam Umno ini dijadikan asas untuk diangkat pada parti ini apatah lagi kepada pemimpin-pemimpin yang baru memenangi jawatan didalam sayap ini.

Semuanya mengatakan dengan kemenangan mereka ini sudah pasti sayap-sayap ini akan mengalami perubahan yang mendadak apatah lagi kini ianya telah diketuai oleh pemimpin baru yang masih segar bugar serta mempunyai visi yang jauh.

Bagi saya perubahan yang berlaku didalam Umno seharusnya disambut baik oleh semua pihak tetapi perubahan itu seharusnya dipandang daripada beberapa segi. Antaranya perubahan yang melibatkan pemimpin atau ketua pada satu-satu gerakan hanyalah melibatkan style atau cara ianya dipandu sahaja sedangkan hakikat dasar dan polisi garakan tersebut masih tidak berubah!

Umno secara jelasnya pada hari ini telah berubah pemimpin segala-galanya dari semua peringkat samada diperingkat pemuda, wanita, puteri malahan Presiden dan Timbalan Presiden juga. Tetapi apakah dasar parti ini turut berubah dengan perubahan pucuk pimpinan ini?

Usah kita nafikan perubahannya tetap ada tetapi apakah ini boleh dijadikan asas terhadap perubahan yang berbentuk menyeluruh? Saya tidak nampak dasar Umno itu akan berubah walaupun berkali-kali parti ini berubah pemimpinnya.

Kerana apa saya berpandangan sedemikian? Umno dengan semangat kebangsaan sebagai teras didalam parti ini sudah pasti akan berterusan dengan fahaman bangsa sebagai panduannya. Dengan isu yang sama sejak pra-kemerdekaan negara sehingga kini, kehidupan didalam Umno tidak pernah terbuka untuk menerima realiti yang ada didalam konteks negara kita sebagai negara majmuk.

Walaupun bertukar pemimpinnya, selagi dasar yang tidak pernah berpandukan hukum Allah sebagai panduan (Islam) ianya tetap tidak akan merubahkan apa-apa pada keseluruhan ahlinya. Didalam hal ini ianya berbeza dengan Pas yang tetap dengan Islam sebagai panduan didalam membawa obor perjuangan pasti Pas ini.

Umno tetap diyakini tidak akan berubah lagi sekiranya budaya ketakutan terus ditanam didalam minda orang melayu dan bumiputra. Sikap yang menakutkan kita sekiranya Umno tidak kuat maka orang melayu akan hilang adalah merupakan kesilapan yang berterusan. Ianya juga tidak akan berubah haluannya sekiranya apa yang berlaku didalam Umno masih tetap wujud seperti budaya mencantas, budaya politik wang atau RASUAH didalam parti serta bersikap kepuak-puakan didalamnya.

Biarlah hadirnya Khairi Jamaluddin dengan imej pemuda gagah berani, hadirnya Sharizat Jalil dengan imej yang lembut dan mesra serta hadirnya Rosnah Rashid berimejkan tenang dan berwawasan, Umno tetap ditakuk lama. Selagi Umno tidak berubah dengan polisi yang ada, Umno tetap tidak akan kemana. Umno masih lagi dibuai dengan kenangan silam, kenangan kehebatan mentadbir negara serta masih berlagukan hanya Umno sahaja yang mampu mentadbir negara!

Umno tidak akan berubah biar pun berkali pemimpin bertukar selagi tiadanya roh atau jiwa pada semua pendokongnya untuk berubah! Umno perlu berubah segalanya kalau mahu ianya diterima rakyat serta orang melayu khususnya dasar parti itu sendiri. Umno perlu tahu dan serius untuk melakukan semua ini. Bukan sekadar bercakap atau bertempik terlolong untuk berkata kami mahu berubah!

Umno perlu benteraskan segala kehidupan yang negatif didalamnya seperti rasuah atau politik wang, seperti Umno lubuk wang untuk pencari 'harta karun' didalamnya atau seperti umno tempat segala-galanya untuk kemewahan atau kesenangan didalam kehidupan.

Yang pastinya, kalau Umno gagal untuk berubah, tiada gunanya juga Umno mengadakan pemilihan untuk mencari pemimpin yang baru disetiap kali ada perhimpunan permilihan parti.

Saturday, March 21, 2009

ISU POLITIK WANG: ALI RUSTAM SEHARUSNYA MENCONTOHI ISA SAMAD


Tan Sri Isa Samad, Mantan Naib Presiden Umno 2004

Gambar-gambar ragam penyokong Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika pimpinan Pakatan Rakyat Melaka selesai membuat laporan terhadap SPRM di Melaka semalam

Salam pada semua,

Selepas pemilihan tertinggi Umno pada tahun 2004 dahulu, Tan Sri Isa Samad yang ketika berjawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah dipaksa melepaskan jawatan setelah beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno dalam isu 'politik wang' atau dengan bahasa mudahnya RASUAH ketika menang jawatan Naib Presiden Umno.

Maka beliau dengan rasa 'gentleman' dan 'macho'nya melepaskan jawatan menteri tersebut walaupun mungkin beliau sendiri terkilan apatah lagi beliau telah menang sebagai ahli parlimen Jempol pada PRU 11 2004 dahulu. Walaupun ramai penyokong-penyokongnya terkilan dengan dua keputusan tersebut, tetapi akhirnya semua bertenang dan dapat diterima dengan baik.

Kini pada tahun 2009, seminggu menjelang perhimpunan agung Umno yang turut mengadakan pemilihan tertinggi Umno, sekali lagi episod yang hampir sama dengan Tan Sri Isa Samad berulang apabila kali ini Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula didapati bersalah dengan isu yang sama politik wang atau bahasa mudahnya RASUAH yang dikesan dilakukan ketika kempen percalonan untuk bertanding jawatan Timbalan presiden Umno.

Yang berbezanya didalam kes yang hampir serupa ini ialah, Isa Samad didapati bersalah selepas menang jawatan Naib Presiden Umno dan terpaksa melepaskan jawatan beliau sebagai menteri tetapi Ali Rustam pula didapati bersalah sebelum pertandingan diadakan dan dihalang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden Umno serta tidak dipaksa untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka malahan tiada tekanan pula terhadap beliau untuk melepaskan jawatan tersebut sebagaimana menurut kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak sendiri.

Yang berbeza lagi, ketika Isa Samad didapati bersalah dahulu kerana kes ini, tiada kedengaran pun tanda protes daripada penyokong-penyokongnya malahan kediaman beliau di Negeri Sembilan tenang dengan dipenuhi penyokong yang berkumpul disekitar kediaman sahaja. Tiada kedengaran adegan penyokong-penyokongnya bertindak kurang ajar terhadap pimpinan Pakatan Rakyat (Ketika itu PKR dan PAS dikenali sebagai Barisan Alternatif, BA) serta penyokong-penyokongnya walaupun turut ada laporan polis dan BPR yang dibuat. Semuanya tenang dan Isa Samad sendiri tenang didalam menerima takdir tersebut apatah lagi untuk merayu pada Lembaga Disiplin Umno.

Kini berlainan yang teramat sangat dengan Ali Rustam yang secara terang memberitahu media bahawa beliau tidak terlibat dengan kes politik wang ini apatah lagi bersalah! Disamping itu juga beliau turut merayu kepada Lembaga Disiplin Umno agar diterima semula untuk bertanding (walaupun ditolak akhirnya). Malahan lagi teruk apabila penyokong-penyokongnya bertindak kurang ajar dengan membaling batu kepada pimpinan pemuda PKR dan PAS Melaka sebaik sahaja selesai membuat laporan kepada SPRM Melaka.

Kenapa menjadi begitu kelam kabut para penyokong beliau? Kenapa Ali Rustam sendiri tidak bertindak menenangkan penyokongnya sebagaimana yang dibuat oleh Isa Samad pada suatu masa dahulu? Beliau sepatutnya bersyukur kerana masih lagi berjawatan Ketua Menteri dan dipertahankan oleh kepimpinan tertinggi Umno untuk terus berada di situ? Semoga Datuk Seri Mohd Ali Rustam dapat menerima ketetapan yang telah termaktub oleh Nya sebagaimana Tan Sri Isa Samad dapat menerimanya dahulu.

ISU LIMBANG: APA NAK JADI DENGAN MEDIA MALAYSIA?

Dato Sri Dr Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abd Taib Mahmud

Salam pada semua,

Dalam riuh rendah orang ramai membicarakan tentang tindakan Lembaga disiplin Umno memberi amaran, menggantung dan menghalang beberapa orang pemimpin Umno untuk meneruskan niatnya bertanding di pemilihan Umno yang akan bersidang pada perhimpunan agung Umno mulai 24 mac ini, tiba-tiba kita dikejutkan dengan berita berkaitan Limbang di Sarawak.

Beberapa hari sebelum ini menerusi TV3 dan beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan Malaysia (menerusi akhbar-akhbar utama negara) seperti Dato Sri Dr Rais Yatim selaku menteri Luar serta daripada Perdana Menteri sendiri, Pak Lah dan tidak ketinggalan juga oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abd Taib Mahmud. Semuanya berbicara pada topik yang sama iaitu "Kerajaan Brunei sudah bersetuju untuk mengugurkan tuntutan keatas Limbang" yang telah dijajakan seluruh negara tentang 'kejayaan' kerajaan Malaysia sekarang.

Namun begitu semalam kita sekali lagi 'mendapat kejutan' terbaru apabila Menteri Luar & Perdagangan Kedua Negara Brunei Darussalam, Datuk Seri Lim Jock Seng menafikan isu pengguguran terhadap tuntutan Limbang itu dibincang ketika pertemuan bersama antara kedua-dua pemimpin utama negara masing-masing. Kenyataan ini disahkan sebagaimana yang dikeluarkan oleh akhbar utama (Borneo Bulletin) negara tersebut;

Brunei’s Second Minister of Foreign Affairs and Trade Datuk Seri Lim Jock Seng had after the Brunei legislative council meeting on Tuesday said the discussion that led to the signing of the Letters of Exchange (LoE) in Bandar Seri Begawan on Monday was on the demarcation of land boundaries on the whole."

"Certain press reports yesterday (Monday) claimed that Brunei has dropped claims over Limbang. In fact, the claim on Limbang was never discussed,"


Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Brunei ini sama sekali telah menafikan kenyatan sebagaimana yang dikeluarkan oleh akhbar Malaysia yang mengatakan Brunei telah menggugurkan isu tuntutan terhadap Limbang dan telah sah menjadi hak milik Malaysia sekarang.

Apa sudah jadi dengan laporan berita yang dibuat oleh akhbar-akhbar negara kita sekarang ini? Isu yang melibatkan kepentingan antara kedua buah negara pun boleh dibuat sebagai mainan bagi kepetntingan politik pemimpin-pemimpin tertentu negara kita?

Akhbar dan pemimpin-pemimpin negara kita sepatutnya malu kepada masyarakt luar dengan melaporkan berita yang tidak benar. Inilah akibatnya apabila media negara kita selalu sangat menipu dan membuat ulasan yang tidak benar demi melariskan jualan mereka berkaitan hal dalaman negara kita sehingga sanggup pula untuk menipu juga dengan menyiarkan fakta yang tidak benar walaupun melibatkan negara orang lain.

Thursday, March 19, 2009

WANG BUKAN RAJA SEGALANYA

Calon Ketua Pemuda Umno, Sdr Khairi Jamaluddin
Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka

Salam pada semua,

Hukuman yang berbeza pada kesalahan yang sama amat lah menghairankan kita semua. Apakah motif disebalik hukuman yang berbeza itu. Dalam kes yang melibatkan dua orang 'personaliti politik wang' didalam Umno ini cukup memelikkan kepada semua, bukan sekadar kepada kedua-dua penyokong masing-masing serta ahli-ahli Umno, malahan juga kepada rakyat serta pemerhati politik tanah air kita ini.

Berdasarkan Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO kerana kesalahan rasuah dan politik wang, Sdr Khairi Jamaluddin dan Datuk Seri Ali Rustam kedua ini sememangnya membuat kesalahan yang sama tetapi hukuman yang dijatuhkan cukup berbeza, seorang didapati bersalah tetapi sekadar dikenakan amaran sahaja tetapi seorang lagi didapati salah dan dikenakan hukuman dilarang bertanding!

Apakah alasan yang telah diberikan oleh Lembaga Disiplin Umno ini memanglah tidak diketahui oleh kita semua termasuk ahli Umno kerana sememangnya alasan yang diberikan cukup dangkal sama sekali.

Bagi saya yang pastinya kedua mereka telah disahkan kerana terlibat dengan politik wang dan ini cukup pasti kerana apa yang didengari selama ini telah pun disahkan oleh Lembaga Disiplin Umno tersebut cuma cara hukuman yang dijatuhkan menjadi persoalan apakah hukuman ini sekadar memberi kelebihan kepada Umno bahawa parti ini amat tegas terhadap isu politik wang?

Semua orang tahu selama ini setiap kali adanya pertandingan didalam Umno, maka berlimpah ruah lah 'rezeki' tambahan tiga atau empat tahun sekali ini kepada ahli Umno yang tidak mengerti erti kekejian terhadap rasuah!

Sejarah Umno yang dikuasai oleh guru-guru seperti Allahyarham Tun Ghaffar Baba dan para petani, nelayan dan sebagainya diperingkat awal cukup ikhlas dan jujur didalam memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Orang melayu ketika pra-kemerdekaan negara hampir kesemuanya melihatkan hanya Umno sahaja yang mampu mengangkat maruah melayu sehinggalah ke era awal 80an.

Sejarah tidak pernah melupakan kita tetapi kita terutamanya ahli-ahli Umno seperti pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan gejala politik wang ini lah yang selalu melupakan sejarah. Tidak pernah kedengaran suatu masa dahulu pada zaman ibubapa serta datuk nenek kita mengadu yang ahli-ahli Umno terdahulu telah terlibat dengan politik wang atau dengan bahasa mudahnya RASUAH!

Baik Sdr Khairi atau Ali Rustam serta mereka yang tersenarai antara 29 orang yang secara jelas terlibat didalam politik wang ini, hanya Allah SWT sahaja tahu samada perkara ini benar-benar berlaku atau pun tidak.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin Umno tersebut masih ringan kerana masing-masing tiada yang diarahkan melepaskan jawatan seperti Ketua Menteri, Wakil-wakil rakyat ataupun jawatan politik yang disandang oleh mereka sekarang.

Cukuplah peringatan yang dikenakan terhadap mereka ini semua. Janganlah jadikan wang untuk mencari kuasa. Ada hikmahnya apabila dihalang untuk meneruskan niat untuk bertanding ke peringkat jawatan yang lebih tinggi dan ada hikmah juga kepada mereka yang tidak dihalang untuk bertanding ini kerana hukuman walaupun berbentuk amaran sahaja adalah peringatan untuk mereka agar jangan terus menjadikan wang sebagai raja segala-galanya untuk mencari kuasa...

Wednesday, March 18, 2009

APA LAGI YANG BOLEH KITA HARAPKAN?

Salam pada semua,

Tindakan yang dikenakan terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (dalam gambar) yang dihalang daripada meneruskan niatnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada perhimpunan agung Umno minggu depan benar-benar mencetuskan dimensi baru didalam Umno.

Keputusan ini yang diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen semalam mendapati beliau bersalah bersama dengan tiga ejennya tersebut didalam isu politik wang.

Sebagaimana yang diperkatakan sebelum ini, sememangnya Umno dan rasuah walaupun dinamakan apa sekali pun samada sebagai politik wang atau pun tidak, ia tetap tidak boleh berpisah seumpama lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan.

Walaupun tindakan yang dibuat oleh lembaga ini terhadap beberapa orang yang lain lagi dipandang tinggi oleh rakyat kerana pembenterasan berbentuk rasuah, ianya sedikit pun tidak mengejutkan orang ramai kerana kita telah sedia maklum bahawa isu yang berkaitan dengan rasuah ini sememangnya berlaku didalam parti 'keramat' ini.

Isu rasuah didalam Umno sebenarnya bukan perkara baru kerana ianya telah berakar umbi sejak 20 tahun lalu didalam Umno terutamanya dan perkara ini akan berlaku setiap kali adanya pemilihan didalam parti samada diperingkat cawangan, bahagian malahan ke peringkat tertinggi (MT).

Dengan fenomena ini, adalah tidak menghairankan kepada kita sekiranya bentuk rasuah ini turut diterjemahkan ketika pilihanraya samada pilihanraya kecil atau umum. Cuma bentuk atau caranya sahaja berbeza. Diperingkat parti terutamanya didalam Umno atau komponen BN yang lain ianya lebih dikenali sebagai politik wang tetapi sekiranya ketika pilihanraya ianya dinamakan pula sebagai pembangunan! Yang pasti keduanya adalah rasuah!

Disamping itu rakyat turut merasa kesal dengan penglibatan seorang wakil rakyat yang bertaraf Ketua Menteri disebuah negeri dengan gejala yang tidak bermoral ini. Apa lagi yang kita boleh harapkan kepada pemimpin-pemimpin seumpama ini didalam membentuk budaya bermoral serta berakhlak disesebuah negeri kepada rakyatnya sekiranya beliau sendiri yang melakukan perkara keji ini?

Rakyat diluar sentiasa memerhati tingkah laku para pemimpin. Kita memerlukan pemimpin yang baik serta dipandang tinggi bukan sahaja pada kelulusannya sahaja malahan kita tidak mahu pemimpin yang 'mabuk' pada kuasanya sehingga lupa kepada ajaran Islam yang syumul. Jangan kita jadikan prinsip 'matlamat menghalalkan cara' sebagai pedoman.