Saturday, March 21, 2009

ISU POLITIK WANG: ALI RUSTAM SEHARUSNYA MENCONTOHI ISA SAMAD


Tan Sri Isa Samad, Mantan Naib Presiden Umno 2004

Gambar-gambar ragam penyokong Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ketika pimpinan Pakatan Rakyat Melaka selesai membuat laporan terhadap SPRM di Melaka semalam

Salam pada semua,

Selepas pemilihan tertinggi Umno pada tahun 2004 dahulu, Tan Sri Isa Samad yang ketika berjawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan telah dipaksa melepaskan jawatan setelah beliau didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno dalam isu 'politik wang' atau dengan bahasa mudahnya RASUAH ketika menang jawatan Naib Presiden Umno.

Maka beliau dengan rasa 'gentleman' dan 'macho'nya melepaskan jawatan menteri tersebut walaupun mungkin beliau sendiri terkilan apatah lagi beliau telah menang sebagai ahli parlimen Jempol pada PRU 11 2004 dahulu. Walaupun ramai penyokong-penyokongnya terkilan dengan dua keputusan tersebut, tetapi akhirnya semua bertenang dan dapat diterima dengan baik.

Kini pada tahun 2009, seminggu menjelang perhimpunan agung Umno yang turut mengadakan pemilihan tertinggi Umno, sekali lagi episod yang hampir sama dengan Tan Sri Isa Samad berulang apabila kali ini Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula didapati bersalah dengan isu yang sama politik wang atau bahasa mudahnya RASUAH yang dikesan dilakukan ketika kempen percalonan untuk bertanding jawatan Timbalan presiden Umno.

Yang berbezanya didalam kes yang hampir serupa ini ialah, Isa Samad didapati bersalah selepas menang jawatan Naib Presiden Umno dan terpaksa melepaskan jawatan beliau sebagai menteri tetapi Ali Rustam pula didapati bersalah sebelum pertandingan diadakan dan dihalang bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden Umno serta tidak dipaksa untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka malahan tiada tekanan pula terhadap beliau untuk melepaskan jawatan tersebut sebagaimana menurut kata Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak sendiri.

Yang berbeza lagi, ketika Isa Samad didapati bersalah dahulu kerana kes ini, tiada kedengaran pun tanda protes daripada penyokong-penyokongnya malahan kediaman beliau di Negeri Sembilan tenang dengan dipenuhi penyokong yang berkumpul disekitar kediaman sahaja. Tiada kedengaran adegan penyokong-penyokongnya bertindak kurang ajar terhadap pimpinan Pakatan Rakyat (Ketika itu PKR dan PAS dikenali sebagai Barisan Alternatif, BA) serta penyokong-penyokongnya walaupun turut ada laporan polis dan BPR yang dibuat. Semuanya tenang dan Isa Samad sendiri tenang didalam menerima takdir tersebut apatah lagi untuk merayu pada Lembaga Disiplin Umno.

Kini berlainan yang teramat sangat dengan Ali Rustam yang secara terang memberitahu media bahawa beliau tidak terlibat dengan kes politik wang ini apatah lagi bersalah! Disamping itu juga beliau turut merayu kepada Lembaga Disiplin Umno agar diterima semula untuk bertanding (walaupun ditolak akhirnya). Malahan lagi teruk apabila penyokong-penyokongnya bertindak kurang ajar dengan membaling batu kepada pimpinan pemuda PKR dan PAS Melaka sebaik sahaja selesai membuat laporan kepada SPRM Melaka.

Kenapa menjadi begitu kelam kabut para penyokong beliau? Kenapa Ali Rustam sendiri tidak bertindak menenangkan penyokongnya sebagaimana yang dibuat oleh Isa Samad pada suatu masa dahulu? Beliau sepatutnya bersyukur kerana masih lagi berjawatan Ketua Menteri dan dipertahankan oleh kepimpinan tertinggi Umno untuk terus berada di situ? Semoga Datuk Seri Mohd Ali Rustam dapat menerima ketetapan yang telah termaktub oleh Nya sebagaimana Tan Sri Isa Samad dapat menerimanya dahulu.

No comments: