Thursday, March 19, 2009

WANG BUKAN RAJA SEGALANYA

Calon Ketua Pemuda Umno, Sdr Khairi Jamaluddin
Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka

Salam pada semua,

Hukuman yang berbeza pada kesalahan yang sama amat lah menghairankan kita semua. Apakah motif disebalik hukuman yang berbeza itu. Dalam kes yang melibatkan dua orang 'personaliti politik wang' didalam Umno ini cukup memelikkan kepada semua, bukan sekadar kepada kedua-dua penyokong masing-masing serta ahli-ahli Umno, malahan juga kepada rakyat serta pemerhati politik tanah air kita ini.

Berdasarkan Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO kerana kesalahan rasuah dan politik wang, Sdr Khairi Jamaluddin dan Datuk Seri Ali Rustam kedua ini sememangnya membuat kesalahan yang sama tetapi hukuman yang dijatuhkan cukup berbeza, seorang didapati bersalah tetapi sekadar dikenakan amaran sahaja tetapi seorang lagi didapati salah dan dikenakan hukuman dilarang bertanding!

Apakah alasan yang telah diberikan oleh Lembaga Disiplin Umno ini memanglah tidak diketahui oleh kita semua termasuk ahli Umno kerana sememangnya alasan yang diberikan cukup dangkal sama sekali.

Bagi saya yang pastinya kedua mereka telah disahkan kerana terlibat dengan politik wang dan ini cukup pasti kerana apa yang didengari selama ini telah pun disahkan oleh Lembaga Disiplin Umno tersebut cuma cara hukuman yang dijatuhkan menjadi persoalan apakah hukuman ini sekadar memberi kelebihan kepada Umno bahawa parti ini amat tegas terhadap isu politik wang?

Semua orang tahu selama ini setiap kali adanya pertandingan didalam Umno, maka berlimpah ruah lah 'rezeki' tambahan tiga atau empat tahun sekali ini kepada ahli Umno yang tidak mengerti erti kekejian terhadap rasuah!

Sejarah Umno yang dikuasai oleh guru-guru seperti Allahyarham Tun Ghaffar Baba dan para petani, nelayan dan sebagainya diperingkat awal cukup ikhlas dan jujur didalam memperjuangkan bangsa, agama dan negara. Orang melayu ketika pra-kemerdekaan negara hampir kesemuanya melihatkan hanya Umno sahaja yang mampu mengangkat maruah melayu sehinggalah ke era awal 80an.

Sejarah tidak pernah melupakan kita tetapi kita terutamanya ahli-ahli Umno seperti pemimpin-pemimpin yang terlibat dengan gejala politik wang ini lah yang selalu melupakan sejarah. Tidak pernah kedengaran suatu masa dahulu pada zaman ibubapa serta datuk nenek kita mengadu yang ahli-ahli Umno terdahulu telah terlibat dengan politik wang atau dengan bahasa mudahnya RASUAH!

Baik Sdr Khairi atau Ali Rustam serta mereka yang tersenarai antara 29 orang yang secara jelas terlibat didalam politik wang ini, hanya Allah SWT sahaja tahu samada perkara ini benar-benar berlaku atau pun tidak.

Hukuman yang dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin Umno tersebut masih ringan kerana masing-masing tiada yang diarahkan melepaskan jawatan seperti Ketua Menteri, Wakil-wakil rakyat ataupun jawatan politik yang disandang oleh mereka sekarang.

Cukuplah peringatan yang dikenakan terhadap mereka ini semua. Janganlah jadikan wang untuk mencari kuasa. Ada hikmahnya apabila dihalang untuk meneruskan niat untuk bertanding ke peringkat jawatan yang lebih tinggi dan ada hikmah juga kepada mereka yang tidak dihalang untuk bertanding ini kerana hukuman walaupun berbentuk amaran sahaja adalah peringatan untuk mereka agar jangan terus menjadikan wang sebagai raja segala-galanya untuk mencari kuasa...

No comments: