Tuesday, April 27, 2010

KEMATANGAN POLITIK KAUM CINA, MENGATASI SEGALANYA

Penolakan kira-kira 75 peratus pengundi kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) didalam pilihanraya kecil P094 Hulu Selangor menunjukkan kepada pimpinan BN bahawa mereka lagi cerdik didalam politik jauh sekali untuk termakan dengan pujukan, helah serta segala 'kelentong’ yang di jaja oleh pemimpin-pemimpin BN khususnya UMNO pada kempen pilihanraya tempohari.

Sebagaimana saranan awal ketika kempen bermula, apabila Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI)‘menasihatkan’ agar para pengundi meminta apa saja daripada BN tetapi ketika mengundi nanti pastikan ianya diberi kepada Pakatan Rakyat, benar-benar telah diikuti oleh pengundi cina ini secara jujur , bijaksana dan lagi berhemah!

Melihat kepada senario ini, adalah diyakini bahawa kaum cina tidak lagi takut untuk membuat keputusan didalam setiap pilihanraya samada pilihanraya kecil ataupun umum yang akan datang berbanding sebelum PRU 12, 2008 lalu.

Mereka kini begitu matang didalam membuat penilaian tanpa mengambil kira langsung setiap tawaran-tawaran samada berbentuk pembangunan, ekonomi dan sebagainya yang dijanjikan oleh pemimpin BN.

Isu kaum cina tidak menyokong BN pada PRK Hulu Selangor di bangkit kembali didalam akhbar Utusan Malaysia hari ini dan secara tidak langsung ianya menuntut agar pemimpin-pemimpin parti kaum cina seperti MCA dan GERAKAN mencari punca dan maksud yang tersirat kenapa kaum cina ini berterusan menolak kepimpinan BN.

Beberapa pemimpin utama UMNO dan NGO Melayu seperti seperti Dato Seri Ali Rustam, Dato Ibrahim Ali (PERKASA) serta Dr Ahmad Zaki Ismail (Permuafakatan Ummah) mempersoalkan kenapa perkara ini masih berlaku lagi walhal segala keperluan dan kehendak kaum cina telah BN tunaikan ketika kempen pilihanraya tersebut seperti peruntukan kewangan sekolah cina, status hak milik tanah kampung baru, isu permohonan PTPTN oleh pemegang Sijil Sekolah Persendiriaan Cina (UEC) dan lain-lain lagi.

Dengan mempersoalkan bantuan, peruntukan dan keperluan yang disediakan oleh kerajaan tetapi didalam masa yang sama mereka tidak mengundi BN adalah merupakan suatu kesilapan sebagai pemerintah atau kerajaan sekiranya terus diperkatakan.

Bantuan atau peruntukan untuk semua kaum adalah merupakan satu tugas yang wajib sebagai pemerintah. Tidak timbul soal bantuan serta peruntukan untuk kaum cina ini perlu digantung terlebih dahulu buat sementara waktu sebagaimana saranan ‘bodoh’ lagi ‘bahlol’ oleh Ibrahim Ali kerana kegagalan kaum cina memberi undi kepada BN!

Malahan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pun turut mencadangkan agar satu bedah siasat dan analisis kenapa penolakan kaum cina terhadap BN berterusan berlaku?

Sebagai mantan Perdana Menteri Ke 4 Malaysia sudah pasti beliau merasakan perkara ini cukup serius yang tidak seharusnya berlaku apatah lagi kepimpinan Dato Seri Najib Tun Razak sebagai PM telah mula di terima ramai.

Apakah penolakan ini berlaku disebabkan kaum cina telah dikelirukan dengan fitnah adu domba oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sebagaimana yang dituduh dan didakwa oleh sesetengah pemimpin BN?

Sebenarnya tidak timbul langsung soal kaum cina telah ‘diracuni’ pemikirannya oleh DSAI kononnya sebagaimana yang di ulaskan oleh pengarang Analisis Utusan Malaysia hari ini. Apakah kaum cina 75 peratus yang menolak BN ini langsung tidak tahu menilai akan ‘kebaikan’ BN walaupun sedikit dan tidak langsung juga tahu akan ‘keburukan’ Pakatan Rakyat walaupun sebesar zarah?

Harus kita ingat, ini bukan soal pemikiran kaum cina telah diracuni oleh DSAI dan pemimpin PR yang lain sebagaimana yang telah perkatakan oleh BN tetapi lebih kepada sifat kaum cina yang tahu berfikir didalam menentukan siapakah yang layak menjadi wakil rakyat mereka.

Pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada Mei nanti akan menyaksikan pula bagaimana pula penerimaan kaum cina terhadap BN di Sibu, apakah perubahan ini akan turut merebak ke sana atau pun tidak.

Disamping itu juga, percaya atau tidak kalau dikatakan kemenangan BN di Hulu Selangor kelmarin hanyalah sementara waktu sahaja menjelang pilihanraya umum ke 13 nanti.

Justeru itu ramai yang meyakini sekiranya pilihanraya umum ke 13 diadakan nanti, kerusi Parlimen Hulu Selangor ini pasti akan melayang kembali ke pangkuan Pakatan Rakyat dengan majoriti yang lebih besar daripada BN perolehi sekarang!

Monday, April 26, 2010

BN MENANG DALAM DUKA, KEADILAN KALAH DALAM TENANG

PKR TUMBANG! Itulah tajuk utama Utusan Malaysia hari ini yang menunjukkan seolah-olah Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN ini seolah-olah telah kalah dan tumbang diseluruh negara!

Kekalahan yang dialami oleh KEADILAN merupakan proses biasa didalam sesebuah pilihanraya apatah lagi didalam pilihanraya kecil (PRK) seperti di P094 Hulu Selangor semalam. Kita menerima setiap kekalahan itu dengan rasa tawadduk dan terbuka kerana semua orang sedia maklum bahawa pilihanraya kecil adalah pilihanraya yang akan menjadi tumpuan diseluruh negara. Justeru itu, kekalahan seumpama ini bukanlah sesuatu yang perlu kita ratapi segala-galanya.

Bertanding di atas tiket pembangkang adalah seumpama mengambil risiko ‘bermain bola diatas padang yang tidak rata’. Ibarat kata orang ‘kekalahan kepada Barisan Nasional (BN) itu sudah pasti tetapi sekiranya kita menang terhadap mereka Barisan Nasional lebih-lebih lagi didalam PRK itu adalah bonus’.

Kenapa saya berkata sedemikian? PRK adalah medan untuk BN memunggah segala jenteranya ke sesuatu pilihanraya kecil diatas nama kempen pilihanraya. Tanpa mengambil kira kadang kala perbuatan mereka yang secara terang-terangan menyalahgunakan jentera dan pelbagai agensi kerajaan maka sudah pastilah perlawanan ini diibaratkan kita bermain bola di atas padang yang tidak rata.

Itu tidak mengambil kira lagi kesangsian kita terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang timbul akibat senarai daftar nama pengundi yang sentiasa berubah tanpa memaklumkan kepada pengundi walaupun itu hak mutlak SPR untuk berbuat demikian.

Dengan undi yang diperolehi oleh calon BN sebanyak 24,997 berbanding calon KEADILAN 23,272, majoriti yang diperolehi oleh P.Kamalanathan ini sebanyak 1,725 sebenarnya tidaklah menunjukkan bahawa itu sebagai satu kemenangan yang cukup besar berbanding dengan apa ‘yang ditaburkan’ oleh BN di sepanjang 8 hari berkempen!

Apa lagi yang tidak di berikan dan di janjikan oleh pemimpin-pemimpin BN khususnya terhadap pengundi di Hulu Selangor tempohari? Dengan berbagai ‘tawaran menarik’ oleh pelbagai agensi dan jabatan apakah dengan undi majoriti sebanyak 1,725 itu sudah cukup besar dan setimpal untuk BN perolehi?

Sepatutnya BN mendapat majoriti yang lebih besar lagi iaitu sebagai contoh 10,000 undi keatas dan barulah ianya benar-benar dikatakan BN itu telah di mula di terima kembali oleh rakyat. Setakat majoriti 1,725 ini apakah benar menunjukkan slogan ‘1MALAYSIA’ serta kepimpinan Najib sebagai PM telah benar-benar di terima oleh rakyat negara ini?

Kemampuan KEADILAN memperolehi undi yang besar dengan pelbagai isu, tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadap calon KEADILAN Dato Zaid Ibrahim seperti isu ‘arak’, ‘judi’, ‘calon orang luar Hulu Selangor’ dan sebagainya, undi yang diperolehi sebanyak 23,272 oleh Zaid didalam pilihanraya kecil ini adalah merupakan kemenangan moral yang pasti memberi impak yang maksima buat Zaid untuk menang dipilihanraya umum yang ke 13 nanti di Hulu Selangor.

Percayalah, kekalahan Zaid di pilihanraya kecil Hulu Selangor ini adalah hampir sama dan mirip kepada kekalahan Tan Sri Khalid Ibrahim ketika di pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2007. Kalau kita ingat kembali bagaimana Khalid yang kalah di sekitar undi 1000 lebih ketika itu tetapi akhirnya menang semula dengan majoriti yang cukup besar di pilihanraya umum ke 12 2008 lalu.

ANALISIS PRK HULU SELANGOR: NAJIB TERPAKSA TURUN PADANG UNTUK KEMENANGAN BN!

Amat jarang dan bukan suatu kelaziman sebenarnya didalam sejarah pilihanraya kecil (PRK) yang diadakan di negara kita apabila Perdana Menteri akan turut sama membantu kempen calonnya secara ‘all out’. Apa yang berlaku di pilihanraya kecil Hulu Selangor ialah apabila Dato Seri Najib Tun Razak walaupun baru pulang dari siri lawatan kerjanya ke Jepun terus bergegas secara tergesa-gesa ke sana semata-mata kononnya untuk bertemu rakyat!

Kita dapati bukan sekali kehadirannya malahan sehingga ke malam terakhir kempen PRK tersebut Najib terus hadir untuk ke program pemimpin bersama rakyat yang turut dihadiri oleh mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad, TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin serta juga P.Kamalanathan sendiri selaku calon BN di PRK Hulu Selangor.

Seingat saya dizaman Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menjawat Timbalan Perdana Menteri dahulu (antara 1993-1998), sekiranya berlaku sebarang pilihanraya kecil, Perdana Menteri ketika itu (Dato Seri Dr Mahathir Mohamad) tidak sesekali akan turun sama berkempen di kawasan pilihanraya kecil tersebut, cukup beliau mengharapkan DSAI sahaja yang mengetuai segalanya bagi menjamin kemenangan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Fenomena ini turut sama berlaku apabila PM Dato Seri Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri, tugasan untuk mengetuai sebarang kempen pilihanraya kecil terus di beri kepercayaan kepada DS Najib Tun Razak ketika itu sebagaimana yang berlaku ketika di PRK Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, dan lain-lain lagi.

Kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh Mahathir dan Pak Lah dahulu kepada kedua-dua timbalannya jelas kelihatan berbanding kini. Apakah keupayaan Muhyiddin selaku Timbalan Perdana Menteri yang ditugaskan untuk mengetuai jentera BN kini sudah kurang diyakini oleh Najib yang memaksanya untuk turun padang bersama?

Berdasarkan kepada ucapan Najib pada hari pertama kehadirannya sejurus kembali dari Jepun, yang mengakui pilihanraya kecil Hulu Selangor ini merupakan medan penting buat dirinya juga bagi menilai penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh kepimpinan beliau.

Tidak dapat tidak katanya lagi, BN perlu menang kerana keputusan itu bakal menentukan samada dasar yang diperkenalkan bagi membangunkan Negara menerusi Model Ekonomi Baru (MEB) atau pun pendekatan 1Malaysia boleh diterima atau tidak oleh masyarakat.

Fenomena yang jarang-jarang berlaku ini seolah-olah menunjukkan bahawa ‘aura’ Najib walaupun sekadar untuk pilihanraya kecil sekali pun amatlah diperlukan kehadirannya. Secara tidak langsung, ianya juga amat perlu bagi menaikkan lagi semangat disamping memberi suntikan baru kepada jentera BN didalam memastikan kerja kuat harus diteruskan lagi untuk menjamin kemenangan BN!

Disamping itu juga apakah mungkin juga kegagalan Muhyiddin sendiri didalam mengemudi jentera Barisan Nasional khususnya menangkis segala ‘serangan’ jentera Pakatan Rakyat memaksa Najib sendiri terpaksa turun ke Hulu Selangor untuk tempoh tiga hari terakhir tersebut?

Alasan Najib selaku Pengerusi BN Negeri Selangor dan seharusnya beliau turun sama ke Hulu Selangor bukanlah alasan yang terbaik untuk didendangkan. Yang pastinya, apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri untuk turun ke padang berkempen bersama-sama seolah-olah memperlihatkan apa yang janjikan kepada beliau sebenarnya adalah retorik semata-mata…

Thursday, April 22, 2010

PRK HULU SELANGOR: MIC YANG BERTANDING, UMNO PULA YANG LEBIH-LEBIH!

Melihat pemimpin-pemimpin UMNO yang lebih ‘terkehadapan’ dan menguasai setiap ruang dan tempat di kempen pilihanraya kecil (PRK) Hulu Selangor seolah-olah membayangkan calon atau wakil Barisan Nasional (BN) didalam PRK kali ini ialah daripada UMNO!
Setelah lima hari kempen ini berjalan, Kita semua perasan atau tidak bahawa setiap hari samada didalam akhbar atau pun televisyen yang kelihatan beria dan bersemangat untuk kempen ini hanyalah pemimpin-pemimpin daripada UMNO sahaja bersama dengan calon P.Kamalanathan daripada MIC.

Persoalannya kini ialah dimana pula pemimpin-pemimpin parti lain seperti MCA, Gerakan dan sudah semestinya pula daripada parti yang diwakili oleh Kamalanathan iaitu MIC? Kenapa pemimpin-pemimpin mereka terutamanya tidak seghairah sebagaimana pemimpin-pemimpin UMNO ini?

Kita melihatkan perkara ini agak pelik sedikit berbanding Pakatan Rakyat (PR). Didalam PR sekiranya antara mana-mana parti yang bertanding dan parti itu dipilih sebagai mewakili PR, maka sudah pastilah parti itu yang akan mendominasikan setiap perkara samada baik mengetuai kempen, mengeluarkan kenyataan-kenyataan serta juga menyediakan berbagai fasiliti seperti pentas ceramah, petugas, dan sebagainya.

Didalam PRK Hulu Selangor ini, sudah pasti Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN sebagai tunggak segala-galanya termasuk didalam hal mengeluarkan arahan, kenyataan serta gerak kerja dengan dibantu oleh PAS dan DAP. Begitu jugalah sebaliknya jika PAS atau DAP yang bertanding sudah pasti parti-parti ini akan mendominasikan segalanya.

Tetapi perkara ini tidak berlaku pada BN. Kita pasti melihat hanya UMNO sajalah yang mendominasikan segala-galanya sehinggakan pemimpin-pemimpin UMNO ini lupa bahawa yang bertanding ialah bukannya calon daripada UMNO tetapi MIC sebagaimana di PRK Hulu Selangor ini!

Bukan sekali, bukan dua kali malahan sudah berkali-kali pun. Sebagai orang luar daripada Barisan Nasional, kita melihatkan perkara ini cukup ganjil dan pelik sekali. Antara lain Kenapa saya berkata sedemikian ialah kerana tugas berkempen ke kawasan kaum Cina dan India sepatutnya diketuai oleh pemimpin-pemimpin MCA, MIC, Gerakan, PPP dan lain-lain parti lagi, tetapi kenapa UMNO juga yang terpaksa ‘dikerahkan’ kesana? Dimanakah yang dikatakan sebagai sifat tolong menolong di antara komponen BN ini?

Semua orang mengakui, sekiranya UMNO yang mewakili BN di sesuatu kerusi kawasan PRK tersebut maka secara automatik UMNO jugalah yang akan ‘menguasai’ segala-galanya di PRK sesuatu kawasan pilihanraya tersebut samada gerak kerja kempen, jentera pilihanraya, mengeluarkan arahan mahu pun kenyataan samada di akhbar ataupun televisyen.

Tetapi sekiranya MCA, MIC, Gerakan ataupun parti komponen lain pula yang bertanding, kita hairan kenapa masih UMNO juga yang perlu mendominasikan didalam setiap hal yang sama? Kenapa tidak membiarkan sahaja parti-parti ini menjadi ketua dan seterusnya UMNO bertindak sebagai watak pembantu sahaja kali ini?

Bukan ke sebagaimana yang selalu diperkatakan oleh Pengerusi Barisan Nasional, YAB Dato Seri Najib Tun Razak bahawa BN mengamalkan konsep perkongsian kuasa serta tolong menolong diantara satu sama lain didalam setiap perkara.

Justeru itu seharusnya didalam setiap kempen pilihanraya, parti masing-masing tahu tugas mereka. Seharusnya konsep tolong menolong ketika PRK ini di praktikkan oleh BN dan bukan hanya membiarkan UMNO sahaja yang ‘bertungkus lumus’ berkempen untuk memenangkan calon BN walaupun yang pastinya bukan daripada parti UMNO sebagaimana yang berlaku di Hulu Selangor sekarang!

Tuesday, April 20, 2010

EPISOD KELUAR PARTI: ‘RENCAH & RAMUAN’ TAMBAHAN SETIAP KALI PILIHANRAYA!

Episod pemimpin-pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN keluar parti dan seterusnya mengisytiharkan diri menyertai kembali UMNO atau komponen parti lain didalam Barisan Nasional (BN) serta juga menjadi ‘Bebas’ kononnya terus berulang sejak seminggu dua ini lebih-lebih lagi ketika kempen pilihanraya kecil (PRK) P094, Hulu Selangor semakin hangat dan rancak berjalan sehingga kini.

Sejak minggu lalu lagi apabila ADUN Bakar Arang, Kedah, Tan Wei Shu memulakan episod ini dengan mengumumkan dirinya keluar parti dan seterusnya menjadi seorang ADUN Bebas hanya beberapa hari sebelum penamaan calon telah menjadikan jumlah wakil rakyat dari KEADILAN yang ‘berambus’ setakat ini sembilan orang kesemuanya!

Langkah ‘jijik’ lagi ‘kotor’ ini turut diikuti oleh kira-kira 200 ahli parti
(sebagaimana yang didakwa oleh UMNO Pulau Pinang) apabila turut bertindak keluar parti kerana kekecewaan mereka kononnya terhadap pucuk pimpinan KEADILAN di Pulau Pinang.

Kelmarin, tindakan keluar parti ini turut melarat kepada dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Shah Alam iaitu Pemangku Ketua dan Pemangku Timbalan Ketua AMK Shah Alam sendiri iaitu Nor’isham Manap dan Muhammad Ali Mukhtar yang turut berbuat demikian.

Semalam, Dr Halili Rahmat yang juga diantara mereka yang terlibat secara langsung di peringkat awal Parti Keadilan Nasional (keADILan) turut mengumumkan dirinya keluar parti dan seterusnya bertindak memasuki kembali UMNO serta merta.

Pengumuman yang dibuat itu cukup mengejutkan ramai pendokong KEADILAN (khususnya orang-orang lama didalam KEADILAN sejak 1999 lagi), apatah lagi beliau yang juga mantan Bendahari KEADILAN Cabang Hulu Selangor juga pernah dua kali menjadi calon KEADILAN ketika pilihanraya umum 1999 dan 2004 di Parlimen Hulu Selangor dan juga DUN Batang Kali.

Dengan ‘mengemukakan’ berbagai alasan kenapa beliau keluar KEADILAN diantara lainnya ialah apabila mendakwa KEADILAN kini bukan lagi sebuah parti politik berasaskan perjuangan tetapi kini lebih condong menjadi parti yang mementingkan kuasa daripada membawa kesejahteraan kepada rakyat walaupun telah diberi mandat untuk mentadbir beberapa negeri.

Untuk mereka semua yang keluar parti, katakanlah apa sahaja alasan walaupun beribu banyaknya, semua tindakan keluar parti ini dilihatkan lebih menjuruskan kepada kepentingan diri sendiri di samping untuk mengambil kesempatan yang ada apatah lagi disaat parti kini sedang berjuang didalam pilihanraya kecil ini!

Dengan mengambil kesempatan (peluang mengisytihar keluar parti) yang ada ini sudah pasti akan memberi dan melonjakkan kembali nama mereka didalam arena politik yang sebelum ini sudah mula dilihat suam-suam kuku pembabitannya.

Sebenarnya episod keluar parti ini adalah asam garam didalam politik. Ianya juga di umpamakan sebagai ‘rencah’ serta ‘ramuan’ tambahan yang pasti akan berlaku di setiap kali pilihanraya diadakan tidak kiralah ketika di pilihanraya kecil atau pun pilihanraya umum.

Pakatan Rakyat (PR) sememangnya sudah menjangkakan akan setiap kemungkinan yang akan berlaku khususnya ketika kempen pilihanraya sedang berlangsung. Kerja-kerja kempen harus diteruskan juga walaupun sedikit kesan daripada yang berlaku semalam.

UMNO dan Barisan Nasional pula sudah pasti melihatkan ‘drama’ keluar parti ini sebagai suatu kemenangan moral walaupun yang pasti diketahui oleh mereka episod sebegini sebenarnya tidaklah mampu membawa kemenangan mutlak calon mereka didalam pilihanraya kecil seperti di Hulu Selangor ini!

Monday, April 19, 2010

SERANG PERIBADI, SENJATA TERAKHIR KEMPEN CARA BN/UMNO!

Setiap kali pilihanraya (terutamanya pilihanraya kecil) diadakan dinegara ini, kempen-kempen yang menjuruskan kepada serangan peribadi atau 'Character Assasinations' calon yang bertanding adalah merupakan suatu perkara yang tidak dapat dielakkan lagi. Lazimnya serangan berbentuk peribadi ini lebih kepada mencari kelemahan peribadi mahu pun kesilapan lampau yang ada pada setiap calon tersebut.

Terkini di pilihanraya kecil (PRK) parlimen Hulu Selangor yang sudah memasuki hari ketiga kempen secara rasmi, amat jelas kelihatan bagaimana serangan terhadap calon Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN sudah ke tahap melampau yang teramat sangat di lakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab!

Membangkitkan berbagai cerita lama berbentuk serangan peribadi seperti menuduh Dato Zaid Ibrahim sebagai ‘peminum arak tegar’ adalah merupakan sesuatu yang tidak bermoral untuk kita pandang kerana sebagaimana yang ditegaskan oleh Zaid sendiri beliau bukanlah Malaikat yang tidak pernah melakukan kesilapan ketika diusia muda dahulu?

Namun begitu keluhuran hati yang dimiliki oleh Zaid ini amat wajar untuk kita puji kerana berani mengaku buat silap namun tidak pernah melarikan diri sebagaimana kata beliau;

“Saya tidak hipokrit macam pemimpin UMNO. Apa yang silap silaplah, dan saya tidak pernah lari. Bila saya salah saya mengaku dan saya minta maaf, tapi mereka (pemimpin UMNO) tidak akan berbuat begitu!”

Kita seharusnya mengambil sikap yang positif didalam hal ini. Sejarah di zaman Rasulullah SAW sendiri telah membuktikannya bagaimana mereka yang suatu ketika dahulu adalah penentang ‘tegar’ kepada Islam seperti Omar Al-Khattab dan Khalid Al-Walid yang akhirnya insaf serta sedar dan akhirnya muncul sebagai tokoh Islam yang disegani.

Kita sebagai manusia biasa sudah pasti tidak akan lari daripada melakukan kesalahan. Kita juga tidak boleh sewenang-wenangnya berterusan untuk menghukum seseorang itu didalam keadaan diri seseorang itu telah pun berubah sepenuhnya.

Serangan yang lebih berbentuk kepada peribadi seseorang ini adalah merupakan suatu kempen yang ‘tidak bermoral’ kerana jelas kelihatan didalam hal ini Barisan Nasional khususnya UMNO seolah-olah sudah tiada idea bagaimana untuk menjelaskan kepada pengundi di Hulu Selangor akan kelebihan Barisan Nasional.

Kita sebenarnya tidak kisah sekiranya dasar parti dijadikan asas untuk kempen PRK ini dengan membandingkan kelebihan dasar parti masing-masing. Kita juga memberi ruang kepada mereka (pemimpin BN) untuk membandingkan cara pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional dengan cara pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat tetapi bukannya berkempen secara tidak berhemah sebagaimana yang berlaku kini.

Untuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional khususnya UMNO, di manakah janji-janji kamu sebagaimana yang telah dikatakan pada awalnya ketika di hari pernamaan calon yang mana kamu semua telah berjanji tidak akan melakukan kempen secara menyerang peribadi calon?

Marilah kita renungkan bersama, apakah kempen seperti ini wajar atau pun tidak? Tiada gunanya parti yang kita sukai menang besar didalam pilihanraya tetapi didalam masa yang sama lawan yang kalah menanggung malu dan kesan yang besar akibat daripada serangan peribadi yang melampau lagi kurang ajar ketika kempen lalu.

FAIRUS SELESAI MEMBAYAR PINJAMAN KERAJAAN - KATA DR MANSOR OTHMAN

Keupayaan mantan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Mohd Fairus Khairuddin membayar pinjaman yang diperolehi daripada kerajaan Pulau Pinang untuk pembelian kereta mewah Mercedes Benz secara mengejut seminggu lalu amatlah dikagumi sebagaimana laporan akhbar THE SUN hari ini bertajuk “Fairus settles govt car loan”.

Menurut Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mansor Othman ketika di satu majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN di Pulau Pinang kelmarin, Fairus telah membayar sebanyak RM 109,000 ke dalam akaun bank Pejabat Kewangan Negeri.

“He had not paid a single sen after he quit. Now suddenly he has paid up everything that he owed and settled his dues in one shot.” – Dr Mansor Othman.

Ini merupakan amalan yang biasa yang diamalkan oleh mana-mana kakitangan kerajaan yang layak untuk membuat pinjaman dengan pembayaran balik pinjaman tersebut biasanya dilakukan dengan pemotongan gaji selagi ianya bertugas sebagai kakitangan kerajaan.

Fairus yang telah meninggalkan KEADILAN secara rasmi pada 28 Februari lalu dan seterusnya menyertai UMNO selepas itu adalah merupakan mantan ADUN Penanti yang telah memenangi kerusi tersebut ketika di pilihanraya umum Mac 2008 lalu.

Beliau menjadikan alasan hilangnya keyakinan beliau terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) bukan sahaja di Pulau Pinang malahan turut di peringkat pimpinan PR Pusat untuk meninggalkan KEADILAN.

Sebenarnya kita tidak mempertikai kemampuan beliau membayar balik semua pinjaman tersebut cuma kita merasakan sedikit ‘ralat’ apabila selama ini beliau menafikan sama sekali beberapa dakwaan antara lainnya seperti isu pembelian kereta mewah ketika menjadi beliau Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang sebagaimana yang di perkatakan oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali tempohari.