Monday, May 18, 2009

KHIDMAT RAKYAT DAN PEMULIHAN EKONOMI DIUTAMAKAN?

Salam pada semua,

"Oleh kerana BN lebih utamakan khidmat kepada rakyat dan usaha-usaha memulihkan ekonomi negara, maka kita memutuskan tidak meletakkan calon pada pilihanraya kecil Dun Penanti"

Itulah antara alasan dan sebab utama yang diberikan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini (18 Mei 2009). Mesyuarat selama dua jam yang pengerusikan oleh Dato Sri Najib Tun Razak telah membuat keputusan bahawa BN melalui komponen utamanya Umno tidak akan meletakkan calonnya di pilihanraya kecil (PRK) Dun Penanti, Pulau Pinang.

Dengan memainkan isu utama sebagai alasan kenapa BN tidak perlu bertanding iaitu pilihanraya ini seharusnya tidak disertai oleh BN kerana ianya adalah ciptaan Pakatan Rakyat (PR) untuk menyelesaikan masalah dalaman parti terutamanya kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) didalam menyelesaikan kemelut untuk mencari bakal Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, oleh yang demikian kenapa perlunya BN dan Umno untuk terlibat sama didalam pilihanraya kecil ini?

Disamping itu juga Najib dalam sidang akhbarnya menegaskan keputusan yang diambil ini kerana pilihanraya kecil ini hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukanlah disebabkan keperluan mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

"Kekosongan ini disebabkan PKR hendak selesaikan masalah dalaman mereka. Ianya satu permainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan keperluan sebagaimana peruntukan perlembagaan."

Apakah diatas sebab yang dinyatakan itu maka BN pada kali ini telah berada di 'landasan yang teramat tepat' untuk tidak mahu 'bersekongkol sama' dengan idea yang di bawa oleh Pakatan Rakyat ini? Sebagaimana didalam artikel saya yang terdahulu, sesungguhnya BN khususnya Umno begitu mudah untuk melupakan dengan apa yang telah dilakukan dan diciptakan oleh mereka terlebih dahulu!

Kalau diperingkat awalnya, BN mengembar gemburkan dengan alasan PRK ini membazirkan wang rakyat sebagai sebab utama tidak mahu bertanding di Penanti tetapi hari ini alasan yang baru direkacipta seumpama ahli sains dan penyelidik yang sentiasa mencari dan membuat kajian terbarunya dengan alasan terlebih dangkal lagi!

Sekiranya di renungi kembali atau di ingati semula apakah suatu ketika dahulu dipertengahan 90an BN dan Umno khususnya tidak mencipta sesuatu yang dikira demi menyelesaikan kemelut pencarian seorang MB di Selangor sehinggakan terpaksa mengorbankan kerusi Dun dan Parlimen untuk disilang-tanding semata-mata demi pencarian MB baru itu dapat dinoktahkan dengan kaedah seperti ini?

Atau Umno khususnya masih lupa lagi apabila pihak pembangkang yang masih tidak bernama sebagai Pakatan Rakyat ketika itu (tahun 2007) bertindak menarik diri dan tidak bertanding di Dun Batu Talam, Raub dan apakah yang dihamburkan oleh BN khususnya Umno yang membuat bermacam tuduhan kononnya Pas khususnya tidak menghargai hasrat ahlinya yang sepatutnya bertanding dan mengundi Pas disitu dan menuduh kononnya Pas tidak tahu erti demokrasi dan bermacam tuduhan lagi?

Untuk perhatian pembaca, alasan pembangkang ketika itu cukup mudah dan jelas, pembangkang tidak meyakini langsung dengan daftar pengundi yang sedia ada yang menurut Pas terutamanya perlu dibersihkan lagi dan ini secara tidak langsungnya telah memberi signal yang jelas terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri agar SPR dapat bertindak sekiranya demokrasi itu mahu diteruskan.

Tetapi hari ini apakah alasan yang dibangkitkan oleh Pengerusi BN ketika sidang media tadi yang secara jelas dan terang 'melagukan' sebab-sebab utamanya adalah kerana tidak mahu terikut-ikut serta bersengkongkol dengan 'penyelesaian' kemelut didalam Pakatan Rakyat sehinggakan terpaksa diadakan pilihanraya kecil ini.

Hakikatnya semua orang tahu, BN kini begitu takut dengan pilihanraya samada kecil atau umum apatah lagi untuk mereka bertindak berani untuk membubarkan parlimen atau dun sebagaimana apa yang dimahukan oleh rakyat serta orang ramai agar dun Perak dibubarkan segera demi mencari penyelesaian kemelut politik Perak.

No comments: