Friday, December 18, 2009

EMAS BOLASEPAK SUKAN SEA 2009 & KONSEP 1 MALAYSIA

Kemenangan 1-0 skuad bolasepak kebangsaan Malaysia di Sukan SEA 2009 ketika perlawanan akhir menewaskan Vietnam malam tadi adalah merupakan percapaian terbaik negara didalam acara bolasepak semenjak kali terakhir merangkul kejuaraan pingat emas bolasepak Sukan SEA kira-kira 20 tahun lalu di Kuala Lumpur.

Pengalaman saya sendiri ketika berada di Stadium Merdeka menyaksikan final acara bolasepak itu pada sukan SEA 1989 masih lagi segar di ingatan kerana itulah satu-satunya kejuaraan untuk perebutan pingat emas terakhiri yang telah berjaya kita rebut pada malam tersebut. Lebih manis lagi skuad negara kita yang ditunjangi oleh Ahmad Yusof selaku ketua pasukan telah bermain dengan baik bersama rakan-rakannya untuk merakamkan kemenangan yang cukup bersejarah ketika itu dihadapan kira-kira 45,000 penonton yang berada di Stadium Merdeka.

Saya yang ketika itu yang masih menuntut di Tingkatan empat berpeluang untuk bersama-sama merasai kehangatan dan kehebatan skuad negara kita mengalahkan Singapura yang diketuai oleh pemain terkemuka mereka Fandi Ahmad dengan keputusan 3-1 yang mana stadium gamat dengan sokongan peminat berbagai kaum apatah lagi di malam itu juga adalah malam penutup acara sukan SEA 1989 Kuala Lumpur.

Sebenarnya skuad negara sudah seharusnya memiliki pingat emas lebih awal daripada sukan SEA Loas 2009 ini untuk acara final bolasepak tetapi kekalahan tipis 1-0 gol pada minit-minit terakhir final bolasepak sukan SEA 2001 Kuala Lumpur kepada Thailand telah menyebabkan kita hampa yang teramat sangat untuk menerima keputusan itu.

Detik dan saat kehampaan ini turut dirasai oleh saya yang bersama-sama dengan peminat bolasepak negara menyaksikan perlawanan akhir tersebut di Stadium Shah Alam, Selangor. Bayangkanlah bagaimana sedikit sahaja kealpaan oleh pemain kita menyebabkan kita terpaksa tunduk kepada Thailand pada minit-minit terakhir dimasa tambahan perlawanan itu.

Sebab itulah apabila melihat kehampaan yang dialami Vietnam malam tadi melalui jaringan yang dikatakan jaringan sendiri pemain mereka (betul ke itu di tafsirkan sebagai jaringan sendiri pemain Vietnam? hakikatnya pemain Malaysia yang mula menendang bola kearah gol tetapi ianya tidak bernasib baik apabila bola tersebut ‘terkena’ kepada badan pemain Vietnam terus menerjah ke mulut gol Vietnam) kita amat memahami perasaan mereka . Kehampaan dan kekecewaan yang jelas diraut wajah pemain Vietnam akibat jaringan gol untuk Malaysia pada minit-minit terakhir perlawanan itu adalah sama situasinya ketika Malaysia kalah di tangan pasukan Thailand pada tahun 2001 dahulu.

Mengingati kembali ketika final 2001, bukan setakat pemain yang kecewa malahan seluruh peminat negara yang berada di Stadium Shah Alam pada malam tersebut disamping seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan final bolasepak sukan SEA secara langsung melalui kaca TV turut hampa.

Hanya kata-kata penyedap hati umpamanya ‘malam ini bukan rezeki kita lagi’ sahaja yang mampu terpancul daripada mulut peminat untuk menerima hakikat bahawa skuad negara masih gagal untuk menghadirkan sebutir emas bagi acara kegemaran sukan di seluruh dunia ini di sukan SEA 2001 dahulu.

Kini dengan perkembangan mantap skuad bolasepak negara apatah lagi dengan kemenangan pingat emas malam tadi telah menjadi bahan bicara di kedai-kedai kopi sejak awal lagi sebaik sahaja skuad negara menewaskan Thailand didalam perlawanan ‘hidup mati’ Malaysia yang menyaksikan Thailand pula tersingkir daripada arena separuh akhir buat kali pertama sejak 36 tahun lalu!

Sebenarnya kemenangan skuad negara ini telah menghadirkan satu suasana atau ‘feel’ yang tenang serta damai disebalik kocakan suasana politik yang sentiasa ‘panas’ dinegara kita, sungguhpun ianya sekadar untuk sementara waktu seminggu dua ini tetapi sudah cukup memberi kesan yang cukup positif bukan hanya kepada pemimpin-pemimpin politik samada daripada Barisan Nasional (BN) atau juga daripada Pakatan Rakyat (PR) sahaja malahan kepada penyokong-penyokong bawahan parti-parti ini.

Sukan seperti bolasepak adalah merupakan satu medan yang cukup baik untuk dijadikan tempat ‘melampias’ sementara sikap amarah yang sentiasa meluap-luap diantara kita samada ada dikalangan pemimpin-pemimpin politik atasan atau ahli-ahli di peringkat bawahan atau juga dikalangan penyokong-penyokong kedua-dua belah pihak ini.

Pengalaman saya sendiri malam tadi berada bersama rakan-rakan daripada pelbagai ideologi parti politik amat ‘enjoy’ serta ‘ralit’ sangat apabila berada di hadapan skrin besar kedai mamak sambil bersorak bersama sepanjang 90 minit perlawanan itu untuk memberi sokongan tanpa menghirau langsung perkara yang berkaitan dengan politik walaupun cuma seketika waktu sahaja.

Bermacam ragam peminat yang turut ada bersama semalam. Ada melayu, ada cina, ada india, ada juga rakan-rakan dari Sabah Sarawak berketurunan kadazan, murut, iban, melanau bersama menyokong pasukan negara kita. Tiada siapa pun yang memaksa kami semua untuk memberi sokongan apatah lagi tiada sesiapa pun juga yang memaksa kami agar menghabiskan masa serta minum di kedai mamak itu melainkan semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan bolasepak negara!

Itulah uniknya hubungan antara kaum di negara kita ini tanpa rasa takut atau gusar untuk ‘melepak’ bersama sambil melayan bola. Secara umumnya, melalui sukan kita boleh membentuk penyatuan ataupun memupuk kearah perpaduan antara rakyat dinegara ini tanpa mengira latar belakang ideologi, kaum, agama serta kepercayaan masing-masing.

Hanya tindakan segelintir pihak tertentu sahaja yang berterusan mencanang bahawa telah wujud kini perasaan tidak harmoni serta kekusutan dengan mengaitkan unsur perkauman didalam masyarakat negara kita kini sebagai asas dakwaan tersebut.

Untuk akhirnya, percayalah konsep perpaduan serta hubungan antara kaum di negara ini jelas lebih ‘jujur’ seperti yang ditunjukkan melalui sukan bolasepak contohnya kerana ianya telah terlebih dahulu merungkai segala salah faham berbanding dengan apa yang di katakan Konsep 1Malaysia itu lebih menjuruskan kepada sikap dibuat-buat kononnya inilah perpaduan ala Konsep 1Malaysia!

Thursday, December 17, 2009

BN BERNASIB BAIK KALI INI,TAPI TIDAK SELAMANYA

Tiada yang lebih mendebarkan Barisan Nasional (BN) selain daripada apa yang ditafsirkan oleh sesetengah pemimpin serta Ahli Parlimen BN ialah cubaan pembangkang untuk menggagalkan Bajet 2010 daripada diluluskan Parlimen kelmarin diketahui lebih awal oleh pihak BN.

Dengan kemenangan sekadar tipis sahaja majoriti tiga undi iaitu 66 menyokong BN sementara 63 pula menolak daripada kalangan pembangkang ketika bacaan kali ketiga bajet 2010 adalah merupakan suatu amaran dan pengajaran yang amat berguna terutamanya kepada pemimpin-pemimpin BN agar perlu bersedia dan perlu sentiasa memikirkan setapak kehadapan.

Sebagaimana diulaskan oleh Menteri di JPM, Dato Sri Nazri Aziz ialah;

“Kita tidak boleh sentiasa mengharapkan bernasib baik pada setiap waktu. Kita mesti berfikiran setapak kehadapan dan sentiasa bersedia”

Akibat daripada usul undian belah bahagian oleh YB M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) pada ketika bacaan kali ketiga tersebut setelah beliau mendapati kehadiran ahli-ahli parlimen pada ketika itu tidak ramai, maka kita boleh melihat betapa tergesa-gesanya kehadiran yang ‘terpaksa’ dilakukan demi menyelamatkan daripada tumbangnya BN selaku pemerintah Kerajaan Malaysia walaupun jam sudah menghampiri 11.30 malam.

Apakah yang dikatakan undi belah bahagian itu? Undi belah bahagian bermaksud setiap ahli yang ada didalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju ataupun tidak.

Bukan setakat TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelam kabut hadir pada malam tersebut malahan PM Dato Sri Najib Tun Razak pun sendiri terpaksa bergegas sama ke Parlimen walaupun hari sudah jauh malam.

Kita melihatkan perkembangan yang berlaku pada suasana politik Negara kini amat jelas menunjukkan betapa Pakatan Rakyat (PR) lebih kehadapan tahap pemahamannya serta pertanggungjawaban mereka kepada Parlimen yang dihadiri.

BN perlu ingat bahawa suasana di Parlimen sekarang bukannya seperti dahulu lagi yang sentiasa dianggap sebagai medan ‘angguk’ sahaja seumpama ‘Rubber Stamp’ peranannya untuk tujuan mengesahkan setiap tindakan yang kadang kala diluar batasan akal pemikiran rakyat.

Sebab itu apabila Setiausaha Agung BN yang juga Setiausaha Agung UMNO, Dato Sri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengecam serta menuduh Dato Sri Anwar Ibrahim (DSAI) dan barisan pembangkang sebagai mengamalkan politik samseng dengan menjadikan Bajet 2010 sebagai ‘punca’ menggulingkan kerajaan adalah suatu kenyataan yang tidak tepat serta amat dangkal.

Bagaimana beliau boleh menuduh PR ‘bermain kasar’ dengan dikatakan mengamalkan politik kotor? Apakah tindakan undi belah bahagian ini salah menurut perlembagaan atau peraturan Dewan Rakyat yang mulia ini?

Kenapa Tengku Adnan mengatakan PR seperti ‘gangster ‘ untuk melakukan apa cara pun untuk mendapatkan kuasa dengan cara sedemikian dan turut dikata sebagai menghina Dewan Rakyat? Kenapa perlu marah kepada PR kerana tidak memaklumkan terlebih awal dahulu kepada Dewan Rakyat sekiranya hendak mengadakan pengundian seperti tersebut bagi penentuan Bajet 2010?

Cuba tanya ahli-ahli parlimen BN, kenapa mereka tidak hadir? Kenapa mereka ponteng? Dimanakah tanggungjawab mereka sebagai ahli parlimen perlu memberi tumpuan kepada Dewan Rakyat setiap kali bersidang selaras dengan saranan PM Najib Tun Razak sendiri kepada wakil-wakil rakyat BN ini?

Salahkah Dewan Rakyat didalam hal ini? Berdasarkan konvensyen sesebuah negara berparlimen, sekiranya Bajet itu tidak diluluskan, didalam hal seperti negara kita ini Kerajaan pimpinan BN terpaksa dibubarkan dan satu pilihanraya baru terpaksalah diadakan.

Adakah ketidaksungguhan wakil-wakil rakyat kerajaan BN untuk tidak menghadirkan diri ke Dewan Rakyat ini sebagai bukti bahawa mereka ini juga tidak menyokong Bajet 2010? Yang pasti perkara ini bukan isu kecil dan BN harus ingat ‘faktor nasib’ bukannya selalu hadir dan menjamin keputusan menyebelahi BN selamanya…

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1431

SELAMAT MENYAMBUT MA'AL HIJRAH 1431
18 Disember 2009 / Juma’at


Assalamualaikum WBT

Semoga tahun baru ini membawa keberkatan pada diri kita semua dan seluruh ummat Islam

Bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Justeru itu, kita harus faham erti hijrah agar ianya selari dengan penghijrahan kita daripada kita begitu mudah terpengaruh untuk menyokong dan mengiyakan sahaja apa-apa perkara yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai moral dan kehidupan kepada memastikan agar setiap perkara yang disokong itu berlandaskan hukum serta nilai kemanusiaan sejagat!

Jazakallahu Khairan Kathiran

Tuesday, December 8, 2009

INDIKATOR “NEGERI MAJU” PADA PANDANGAN IBRAHIM ALI

Kecaman secara terbuka oleh Dato Ibrahim Ali ketika menghadirkan diri untuk menyampaikan ceramah isu-isu semasa tanahair di Batu Kurau, Perak malam kelmarin terhadap beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) amatlah dikesali sama sekali.

Didalam ceramah tersebut, beberapa pemimpin daripada PKR seperti Dato Sri Anwar Ibrahim (DSAI) serta Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat (PAS) serta pimpinan DAP turut di ‘hina’ sedemikian rupa oleh Ibrahim Ali ini yang mengaitkan kerjasama pakatan pembangkang ini sebagai ‘penghancur melayu’!

Sesungguhnya insan yang bernama Ibrahim Ali ini sememangnya seorang yang mudah lupa akan pertolongan orang lain yang telah mengangkatnya kembali ke persada politik tanah air ini apabila tidak habis-habis terus ‘menyerang’ TG Nik Aziz sehingga berani beliau mengatakan pemimpin-pemimpin PAS kini berada ditahap ‘masuk wad gila’ dek kerana kenyataan-kenyataan yang dikatakan ‘mengarut’ terutamanya sebagaimana yang dikeluarkan oleh TG Nik Aziz sendiri.

Beliau juga berani mempertikai soal kerberkatan doa Tok Guru apabila dengan selambanya berkata;

“kalau benar doa tok guru berkat sudah tentu Kelantan kini sudah menjadi negeri yang paling maju dan mungkin sudah ada 10 menara berkembar seperti menara Petronas kini”

Alangkah ‘mundur’nya tahap pemikiran dan IQ Ibrahim Ali ini apabila menjadikan menara berkembar Petronas sebagai KPI atau indikator kemajuan pada sesebuah negeri. Maknanya kalau mampu membina sekurang-kurangnya 2 atau 3 menara sebesar dan setinggi menara berkembar Petronas, maka negeri itu sudah terlalu maju!

Ibrahim Ali ini turut mengulangi kenyataan yang hampir sama dan miripnya sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Umno apabila berterusan mengaitkan pimpinan PAS seperti mantan MB Perak DS Nizar Jamaluddin adalah seorang yang telah ‘diperkudakan’ oleh DAP ketika memimpin kerajaan PR Perak selama hampir setahun lalu.

Apa yang paling ‘kurang ajar’ sekali ialah apabila Ibrahim Ali secara berani menuduh dan mengatakan DSAI ini adalah benar-benar pengkhianat kepada orang melayu dan orang melayu akan hancur sekiranya berterusan memberikan sokongan kepada DSAI dan ‘kuncu-kuncunya’ (PAS & DAP) di pilihanraya yang akan datang.

Untuk apa beliau berterusan mengungkit jasa Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap DSAI selama DSAI berada didalam kabinet sejak 1982 sehinggalah dipecat pada 02 September 1998? Apakah kerana jasa ini seseorang itu tidak boleh bersuara atau berbeza pendapat dek kerana ‘budi’ yang telah bertahun disemai terhadap DSAI walaupun ketidakadilan dan kezaliman dilakukannya berada didepan mata?

Sebenarnya Ibrahim Ali sendiri lupa bahawa DSAI sendiri pun pernah menolong beliau dan membantu beliau secara tidak langsungnya sebagai ahli dan pemimpin Umno pada suatu ketika dahulu. Semua orang tahu perkara ini cuma pada perkiraan DSAI untuk apa kita mengungkit semua ini kalau sekadar untuk ‘mempertahankan’ diri daripada dakwaan yang remeh temeh ini sebagaimana yang didakwa oleh Ibrahim Ali?

Tuduhan yang berterusan mengatakan DAP ini sebagai ‘musuh’ utama orang melayu dengan menuduh DAP bersikap perkauman yang ekstrim juga adalah suatu perkara yang tidak masuk akal manusia normal seperti kita.

Kenapa Ibrahim Ali hanya berani menuduh DAP sahaja yang menghina raja-raja melayu, menyamakan Islam dengan agama yang lain serta memperlekehkan bahasa melayu? Apakah perkara ini benar? Sejarah tidak pernah membohongi kita semua rakyat Malaysia terutamanya orang melayu yang ada akal.

Siapakan yang berani menentang raja-raja melayu secara terbuka samada menghentam didalam akhbar dan media elektronik seperti TV dan radio kalau tidak Umno (termasuk juga Ibrahim Ali) ini yang memulakannya bukan sahaja kini tetapi sejak tahun 60an – 70an lagi pun dan kemuncaknya adalah pada tahun 1983 dan 1993 sehingga ada seorang pemimpin Umno yang berani ‘menabal’ sultan baru di tengah padang walhal sultan yang sedia ada itu masih ada sehingga kini.

Siapakah yang memperlekehkan bahasa melayu kalau tidak Umno juga yang melakukannya? Siapa yang beria untuk melaksanakan PPSMI yang menjadikan subjek bahasa Inggeris sebagai bahasa yang digunakan untuk mengajar Sains dan Matematik! Bukankah ke semuanya kerana Umno? Kenapa DAP pulak yang dipersalahkan oleh Ibrahim Ali ini?

Wahai Ibrahim Ali, usahlah kamu menjadi seumpama ‘lebih kuah dari sudu’. Kalau benar-benar mahu kembali kepada Umno, usahlah kita ‘memuji serta mengangkat’ kebaikan Umno secara berlebihan sangat. Janganlah berterusan ‘memancing’ Presiden dan Timbalan Presiden Umno agar permohonan Dato Ibrahim Ali ini dapat diterima masuk kembali menjadi ahli Umno tanpa syarat dan seterusnya diberi kembali kerusi Ketua Umno Bahagian Pasir Mas!

Kalau nak puji Umno pun, sikit-sikit sudahlah wahai Ibrahim Ali…usahlah menjadi juru kempen tidak bertauliah bagi pihak Umno apabila menyeru orang melayu kembali ‘berpayung’ dibawah Umno dengan menyokong parti Umno ini dan menegaskan orang melayu perlu bersatu dan teguh berada dibawah payung Umno dan Barisan Nasional selamanya….untuk Dato Ibrahim Ali, terima kasih sahajalah pelawaan kamu itu!

Monday, December 7, 2009

'TRAGEDI KB MALL' DARI SUDUT PENGAMALAN KEJURUTERAAN...

Kejadian kereta terjunam dari tempat meletak kereta di bahagian bumbung KB Mall semalam sehingga meragut 2 nyawa disamping mangsa yang masih parah sehingga kini adalah sesuatu yang diluar jangkaan berlaku seumpama itu.

Kejadian itu yang mungkin pertama kali berlaku dinegara ini apatah lagi didalam kompleks membeli belah itu telah menarik perhatian rakyat Malaysia untuk mengetahui kenapa dinding penahan yang seharusnya kukuh boleh berkecai dengan begitu mudah sahaja?

Kejadian yang berlaku ini sudah pasti akan menimbulkan persoalan baru kepada orang ramai apakah keselamatan orang awam akan terjamin walaupun sekadar untuk datang ‘window shopping’ di sesebuah kompleks membeli belah?

Secara peribadi, saya begitu hairan kenapa benteng penahan pada tempat meletak kereta di KB Mall itu terlalu ‘rapuh’ sehinggakan rempuhan sebuah kereta yang terlalai dan cuai pada pemanduan ketika itu dengan mudah boleh ‘terlepas’ daripada tembok penahan tersebut?
Sebagai salah seorang pengamal kejuruteraan serta sudah terlibat didalam banyak projek pembinaan (Construction Field) samada didalam atau diluar negara merasakan ‘semacam’ ada sesuatu yang tidak kena pada pembinaan tembok penahan tersebut berdasarkan kepada serpihan binaan yang berkecai.

Terus terang saya katakan, kebiasaan tembok penahan di mana-mana tempat pun samada tembok penahan di tempat meletak kereta atas bumbung bangunan atau juga dibawah, kaedah yang terbaik untuk pembinaan tembok tersebut ialah dengan menggunakan kaedah binaan secara ‘RC Wall’ dan bukannya kaedah ‘mengikat batu-bata’ (Brick Laying).

Amalan membina tembok penahan melalui kaedah ‘RC Wall’ adalah merupakan keadah yang terbaik untuk dinding penahan didalam sesuatu pembinaan apatah lagi pada bangunan tinggi. ‘RC Wall’ ; ‘Reinforce Concrete Wall’ (Konkrit Bertetulang) adalah terdiri daripada kaedah penggunaan besi dari beberapa jenis yang dipanggil besi ‘Y’ sebagai asas dan besi ‘R’ sebagai besi pengikat.

Selalunya saiz minima yang digunakan pada besi tersebut ialah bersaiz Y10 dan R8 untuk kaedah pembinaan ini dengan kebiasaanya akan di konkrit (casting) pada Gred 30 mengikut Piawaian BS Standard serta sebagaimana juga spesifikasi yang dikeluarkan oleh JKR.

Didalam gambar ditempat kejadian tersebut juga jelas menunjukkan bagaimana serpihan tembok penahan itu telah dibina tidak mengikut spesifikasi yang sepatutnya kerana didapati kaedah mengikat batu-bata ini telah dimulakan sejak diatas lantai (Slab) lagi kerana yang pasti kaedah ini jelas tidak mempunyai asas penahan yang kuat walaupun ianya dipasang bersama ‘starter bar’kemungkinannya.

Seharusnya ikatan batu bata ini hanyalah diteruskan atau disambung selepas sekurang-kurangnya setengah meter (500 mm) ketinggian tembok penahan dibina secara kaedah konkrit ‘RC Wall’ terlebih dahulu dibuat. Binaan tembok penahan ini terpaksa dihadkan ketinggiannya berdasarkan kesesuaian tempat bagi mengelakkan lebihan beban (Over Load) pada sesebuah bangunan seperti KB Mall ini.

Saya juga terpanggil untuk bertanya apakah kaedah mengikat batu-bata ini telah dipasang mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan JKR serta Piawaian BS Standard yang lazimnya di praktikkan didalam pengamalan kejuruteraan pembinaan selama ini?

Apakah ikatan batu bata ini turut di pasang pada setiap empat lapisan dengan jaring besi ‘Exmet’? Ini kerana dengan pemasangan Exmet sepatutnya sudah pasti akan mengukuhkan ikatan batu-bata tersebut daripada bersepai dengan mudah sebagaimana yang berlaku ini!
Disamping itu juga sekiranya ikatan batu bata sudah melebihi ketinggian 2500mm (Berdasarkan gambar yang disiarkan kita tidak pasti samada ketinggian antara slab dan bumbung pada tempat meletak kerata di KB Mall ini masih berada dibawah paras ketinggian 2500mm ataupun tidak), tetapi sekiranya sudah melebihi 2500mm maka tembok penahan ini sudah sepatutnya mempunyai ‘Lintol’ dan ‘Stiffener’ sebagaimana Piawaian BS Standard yang diamalkan didalam kejuruteraan.

Akhir kata, didalam hal ini siapakah yang seharusnya bertanggungjawab? Apakah Konsultan yang terdiri daripada sekumpulan Arkitek, Jurutera (Samada C&S/ M&E), Juru Ukur Bahan dan sebagainya yang terlibat secara langsung dengan reka bentuk serta bajet bangunan ini seharusnya perlu dipertanggungjawabkan ? Ataupun pihak lain seperti kontraktor utama (Main Contractor) atau Pemilik KB Mall (Owner) sendiri atau pun pihak berkuasa di Kota Bharu yang memberi kelulusan menduduki bangunan ini juga perlu bertanggungjawab sama?

Saturday, December 5, 2009

SELAMAT BERSARA & TERIMA KASIH!

Perletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dato Seri Ahmad Said Hamdan sepatutnya diterima oleh semua pihak serta seharusnya dihargai sebagai satu tindakan yang cukup baik kerana menunjukkan suatu sikap pertanggungjawaban sebagai kakitangan kerajaan.

Walaupun tindakan beliau ini yang sepatutnya mengakhiri kontrak perkhidmatannya pada 31 Mei 2010 mungkin akan dipandang sinis kerana kerana pandangan awam sudah pasti perletakan ini disebabkan tekanan yang luar biasa sejak akhir-akhir ini apatah lagi dengan kes ‘sensasi’ yang berkaitan dengan SPRM dan Teoh Beng Hock masih tidak ada pemutusnya.

Mungkin juga orang akan bertanya apakah perletakan jawatan mengejut ini juga adalah kerana ada kaitan dengan keputusan ‘post mortem’ terhadap mayat Teoh yang dijangka akan diketahui didalam tempoh terdekat ini atau disebabkan hasrat SPRM untuk 'menyiasat' beberapa kes yang melibatkan orang besar yang berkaitan dengan ahli-ahli politik daripada Umno / BN terutamanya, entahlah?

Memang kita akui , banyak ‘perubahan dan tindakan’ yang telah berlaku kepada SPRM ini semenjak Badan Pencegah Rasuah (BPR) bertukar nama menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mana model suruhanjaya ini ditiru sebagaimana Suruhanjaya Anti Rasuah Hong Kong yang begitu cemerlang sekali bertindak pada kes-kes rasuah di wilayah bekas jajahan British itu antaranya ialah berbanding ketika dizaman BPR, SPRM kini lebih dilihat sebagai satu tempat untuk melindungi ahli-ahli politik atau orang yang condong kepada Umno / Barisan Nasional (BN) daripada didakwa dengan kes rasuah walaupun terang-terangan berlaku didepan mata kita sebagaimana dakwaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor terhadap mantan Menteri Besar (MB) Dato Seri Khir Toyo.

Selain itu juga kita melihatkan SPRM kini lebih tertumpu kepada siasatan kepada ahli-ahli politik atau wakil rakyat daripada kalangan PR sahaja berbanding wakil-wakil rakyat BN walaupun ianya hanya melibatkan nilaian serendah RM 2,400.00 sahaja berbanding kes nilaian sebagaimana didakwa kepada wakil-wakil rakyat atau ahli politik BN setinggi RM 24 Juta!

Kita juga melihat SPRM kini bertindak pada kes-kes terpilih sahaja, dengan kata lain kebanyakan dakwaan salah guna kuasa atau peruntukan terhadap wakil-wakil rakyat atau ahli politik PR dengan segera diberi perhatian untuk siasatan walaupun sekadar ‘dengar-dengar ‘ sahaja, khabar angin serta juga melalui surat layang atau sebaran blog-blog di internet yang ada kini.

Kita merasakan suatu yang tidak adil yang telah dilakukan oleh SPRM kerana walaupun telah beratus laporan samada laporan polis atau laporan terus kepada SPRM akan ‘kemusykilan’ PR untuk orang-orang tertentu Umno / BN ini disiasat tetapi kita melihatkan ianya amat sukar untuk diteruskan. Apakah ianya kerana tekanan pihak-pihak tertentu?

Rakyat jelas melihat kegagalan SPRM yang diketuai oleh Dato Seri Ahmad Said Hamdan ini didalam berlaku adil untuk setiap tindakan yang dibuat. Kita melihat bagaimana isu sumbangan lembu korban sempena hari raya haji tahun lalu telah dimanipulasikan secara ‘mengila’ oleh Umno / BN sedangkan bila sumbangan lembu dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar umno / BN yang pasti melebihi jumlah yang pernah disumbangkan oleh MB Selangor TS Khalid Ibrahim sebanyak 42 ekor dulu, tidak pula ada pihak SPRM datang untuk membuat siasatan walaupun ianya terang-terangan ‘boleh dikatakan menimbulkan syak’ akan sumbangan tersebut menurut pandangan orang ramai.

Begitu juga dengan kes terbaru kononnya ada salah guna kuasa oleh CEO PMBK Ariffahmi yang juga menantu TG Nik Aziz Nik Mat (MB Kelantan), kita boleh melihat bagaimana ‘lajunya’ SPRM ini bertindak dan segera kertas siasatan dibuka walaupun ianya sekadar dakwaan yang tersebar di internet sahaja.

SPRM kini semakin di ‘kenali di seluruh Negara sebagai badan yang benar-benar efisyen dimata rakyat Negara ini. Ini adalah kerana SPRM dilihat lebih kepada tindakan yang berbentuk terpilih sahaja samada siasatan atau pendakwaan.

Ketika bernama SPRM ini jugalah, pihak mahkamah telah menetapkan siasatan oleh pegawai-pegawai SPRM hanya boleh dilakukan ketika waktu pejabat sahaja. Kematian Teoh telah membuka mata semua pihak kini terhadap tatacara, prosedur dan waktu siasatan itu dijalankan. Walaupun ianya dilihat membatasi waktu siasatan tersebut oleh pihak SPRM, kita juga mengharapkan ianya bukan satu alasan pendakwaan sesuatu kes lambat untuk didakwa.

Itulah sahaja antara beberapa ‘kisah’ suka duka tentang SPRM sepanjang berada dibawah ketua, Dato Seri Ahmad Said Hamdan yang prestasinya kelihatan tidak konsisten serta makin diperkatakan oleh orang ramai akan peranan badan ini sejak akhir-akhir ini.

Kita harapkan dengan perletakan jawatan Dato Seri Ahmad Said Hamdan ini dan perlantikan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM sekarang Dato Abu Kassim sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru pada 01 januari 2010 ini akan membuka suatu lembaran yang baru terhadap SPRM bagi menjamin terus keutuhannya sebagai satu badan tunggal pencegahan rasuah di Negara ini.

Paling penting kita mahu, SPRM dilihat adil kepada semua dan jangan hanya memilih ikan bilis sahaja tetapi melepaskan ikan jerung untuk disiasat dan didakwa.

Thursday, December 3, 2009

JANJI KETIKA BAJET 2008 DULU "PENDIDIKAN PERCUMA UNTUK SEMUA", TAPI TAHUN 2010 KENA BAYAR....

Keputusan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk mengenakan sedikit bayaran tambahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun depan amatlah mengejutkan kita semua.

Kalau kita imbas kembali kenyataan mantan Menteri Pelajaran (pada pertengahan Disember 2008) ketika itu Dato Sri Hishamuddin Tun Hussein telah bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang bayaran tambahan lagi untuk pelajar bagi mengurangkan beban kewangan ibubapa yang menanggung perbelanjaan sekolah anak-anak dan ianya sejajar dengan janji PM ketika itu Dato Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi ketika pembentangan Bajet 2008 bertajuk “Pendidikan Percuma untuk Semua”

“Kerajaan komited melaksanakan langkah progresif untuk meningkatkan akses dan mengurangkan kos pendidikan. Pada tahun lalu, saya telah mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sebagai tambahan, saya ingin mengumumkan yuran peperiksaan bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia akan dimansuhkan. Dengan itu, yang tinggal hanya yuran tahunan sekolah rendah dan menengah. Saya juga sukacita mengumumkan, mulai tahun 2008, yuran sekolah ini turut dimansuhkan”

Walaupun didalam kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (dalam gambar) dipetik berkata, bayaran ini tidaklah membebankan ibubapa dan pelajar dan jumlah bayaran ini akan diumumkan sedikit masa nanti dengan pembayarannya bolehlah dijelaskan apabila sesi persekolahan bermula awal januari 2010 nanti.

“Bayaran ini akan digunakan untuk kemudahan dan aktiviti pelajar juga. Sebagai contoh duit bayaran ini akan digunakan sebagai insurans serta juga untuk menjayakan aktiviti kurikulum pelajar sepanjang sesi persekolahan nanti”

Saya merumuskan ianya sebagai suatu tindakan yang begitu terburu-buru untuk mengenakan bayaran tambahan kepada pelajar nanti walaupun jaminan kementerian sendiri ianya tidak begitu membebankan , seharusnya perlu mencari jalan atau alternatif yang terbaik bagi menampung kewangan seperti insurans atau perbelanjaan aktiviti dan bukannya menjadikan ibubapa sebagai ‘institusi kewangan’!

Mungkin orang akan berkata, apalah sangat kita hendak ‘berkira’ soal duit lagi pun untuk persekolahan anak-anak kita kerana ianya telah menjadi tanggung jawab ibubapa untuk menyediakan apa yang sepatutnya kepada anak-anak.

Secara peribadinya saya lebih memandang jauh kehadapan didalam soal ini. Saya lebih memikirkan diandaikan sesebuah keluarga mempunyai anak yang ramai dan bersekolah antara lima hingga enam orang serentak didalam satu-satu masa, bagaimana dan berapa banyakkah ibubapa harus menyediakan apa yang ditafsirkan oleh KPM ‘sedikit’ bayaran tambahan itu?

Kita juga persoalkan dimana pula tanggung jawab sosial kerajaan untuk penyediaan seperti insurans pelajar-pelajar serta yang paling penting ialah menampung perbelanjaan aktiviti pelajar-pelajar? 'Apalah sangat' setakat RM 10-20 Juta untuk disumbangkan bagi tujuan tadi kerana ianya adalah untuk kebaikan pelajar juga akhirnya.

Seharusnya sebagai kerajaan yang dikatakan bertimbang rasa, mengambil berat serta sentiasa peka dan peduli dengan keluhan rakyat perlu mencari kaedah lain bagi pembiayaan dua penting ini dan bukannya berterusan menjadikan ibubapa sebagai ‘tabung penyelamat Kewangan bagi KPM’ yang baru...