Thursday, August 26, 2010

SUDAH SAMPAI MASANYA BERUNDUR DENGAN CARA TERHORMAT...

Didalam akhbar Berita Harian hari ini 26 Ogos 2010, menyiarkan pandangan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) Sarawak yang tidak bersetuju dengan hasrat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menyatakan kesediaannya untuk berundur selepas hampir lima dekad aktif dalam politik dan 29 tahun menerajui negeri itu.

Pada pandangan pemimpin BN ini, Taib yang juga Presiden parti Bersatu Bumiputera (PBB) masih diperlukan terutamanya untuk mengetuai negeri itu didalam pembangunan negeri disamping mengekalkan kestabilan politik negeri itu sendiri.

Beberapa orang pemimpin daripada BN Sarawak seperti Setiausaha Agung BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Daud Abdul Rahman (Naib Presiden PBB), Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Wilfred Nissom dan Ahli Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Sylvester Entri Muran secara terbuka menyatakan sokongan daripada parti mereka masing-masing di Sarawak semalam.

Pada mereka kejayaan negeri ini didalam pelbagai bidang adalah kerana kebijaksanaan Taib memimpin dan memacukan ekonomi negeri ini. Justeru itu pada mereka, tidak ada sebab untuk beliau ‘mengikut kehendak’ sesetengah minoriti yang dengki terhadap beliau dan jangan tunduk kepada desakan segelintir pihak yang mempunyai agenda politik tersendiri!

Kita tidak faham apakah ‘keistimewaan’ tertentu yang dimiliki oleh Taib sehinggakan berlumba-lumba para pemimpin daripada kalangan komponen BN Sarawak menghalang daripada Taib berundur daripada terus mengetuai negeri khususnya menjelang Pilihanraya Umum Negeri (PRUN) Sarawak yang bakal menjelang pada bila-bila masa daripada sekarang.

Pada kita hanya satu faktor sahaja yang memungkinkan kenapa Taib masih diperlukan oleh kepimpinan BN Sarawak? Faktor kekuatan Pakatan Rakyat (PR) sebagai ‘seteru utama’ BN makin menyerlah kini terutamanya menjelang PRUN Sarawak. Oleh itu pengaruh serta kekuatan Taib masih lagi diperlukan dan inilah yang diperlukan BN didalam mengimbangi kekuatan PR nanti.

Pada kita usah memaksa untuk seseorang pemimpin daripada terus berada di kerusi empuknya sebagaimana yang berlaku terhadap Taib kini. Sekiranya sudah sampai masa untuk beliau berundur, kita tidak seharusnya menghalang daripada beliau pergi.

Sebagaimana menurut pandangan penganalisis politik, Prof Madya Dr Muhammad Agus Yusoff kesediaan Taib untuk berundur adalah suatu keputusan yang tepat dan bijak bagi keutuhan BN di Sarawak. Keputusan Taib itu juga sudah pasti akan dihormati rakyat dan akan menyatukan banyak pihak yang bertelagah di negeri itu.

Para pemimpin BN Sarawak terutamanya, usah berasa ‘syok’ sendiri dengan terus mendendangkan lagu lama dengan mengatakan rakyat negeri itu masih mengharapkan pemimpin seperti Taib untuk terus menjadi Ketua Menteri Sarawak!

Kekalahan SUPP-BN kepada calon DAP-PR pada pilihanraya kecil Parlimen Sibu tempohari mengesahkan lagi kepada semua bahawa sememangnya kepimpinan Taib kini telah ditolak rakyat Sarawak.

Cukuplah 29 tahun beliau mengetuai negeri ini. Tempoh ini sebenarnya sudah terlalu lama dan namanya sebaris dikalangan mereka yang pernah menjawat jawatan Ketua Menteri / Menteri Besar untuk tempoh yang panjang seperti TS Wan Mokhtar Ahmad (Terengganu) serta TS Isa Samad (N.Sembilan).

Rumusannya, hanya pemimpin-pemimpin parti komponen BN Sarawak sahaja yang sebenarnya masih tetap mahukan Taib sebagai Ketua Menteri Sarawak dan yang pastinya bukan lagi majoriti rakyat negeri Sarawak!

No comments: