Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan serta bulan yang terbaik untuk melakukan amal jariah tidak kira samada ianya kecil atau pun besar, banyak atau sedikit, yang pentingnya kita ikhlas dan jujur kepada Allah SWT.
Setiap kali kehadiran Ramadhan, bulan ini selalu dirujuk sebagai bulan yang terbaik untuk kita melakukan sedekah jariah atau juga menderma kepada insan yang kurang bernasib baik seperti memberi bantuan kewangan, pakaian atau juga membawa mereka ini untuk majlis berbuka puasa beramai-ramai.
Bukan untuk menidakkan perkara yang baik apatah lagi ianya dilakukan didalam bulan yang mulia ini cuma kita melahirkan kehairanan yang teramat sangat kenapa penekanan ataupun tumpuan untuk bantuan seperti kepada anak-anak yatim, ibu tunggal atau bantuan sumbangan beras, membaiki rumah dan sebagainya lebih di war-warkan oleh kita pada bulan ini sahaja? Kenapa tidak berlaku di bulan-bulan lain?
Saya berkesempatan mengikuti tazkirah yang diberikan oleh seorang ustaz jemputan disebuah surau pada suatu malam di bulan ramadhan ini (tazkirah diadakan selepas solat terawih) ini, beliau menceritakan betapa ‘kesian’nya kepada kanak-kanak seperti di rumah anak yatim atau kelas pengajian tahfiz apabila datangnya ramadhan ini.
Kenapa beliau berkata demikian? Rupanya kata ustaz tersebut lagi ini kerana pada bulan ini kanak-kanak akan dibawa hampir ke semua Majlis Iftar Ramadhan (berbuka puasa) anjuran berbagai organisasi dan orang perseorangan yang menyebabkan masa untuk mereka ini membuat ibadat atau melakukan amalan yang difikirkan perlu seperti bertadarus, solat sunat atau sebagainya menjadi kurang dek kesibukan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
Menurut ustaz tersebut lagi, majlis iftar ini kebiasaannya bermula pada jam 5 petang, jadi persiapan untuk membawa mereka yang terlibat ini perlu dibuat seawal jam 3 petang dan ianya akan berakhir sekitar jam 10 malam selepas berbagai program termasuklah berbuka puasa, penyampaian bantuan pakaian dan duit raya dan berakhirnya dengan melakukan solat terawih secara berjemaah.
Oleh yang demikian, dimana lagi masa untuk mereka melakukan amalan-amalan yang digalakkan ketika ramadhan ini? Hampir setiap hari mereka ini akan dijamu serta diraikan didalam majlis iftar. Bukannya tidak elok tetapi biarlah berpada-pada untuk keselesaan semua pihak.
Sebab itu saya berpandangan, usahlah kita menunggu sehingga ramadhan tiba baru kita hendak melakukan kesemua ini. Kenapa perlu tiba ramadhan baru kita hendak raikan mereka yang kurang bernasib baik ini dengan jamuan yang hebat, memberi bantuan duit raya, bantuan pakaian raya dan sebagainya sedangkan kita sendiri maklum bahawa telah sekian lama mereka ingin merasainya juga?
Akhir kata, jangan kita jadikan hanya bulan ramadhan ini sahaja yang sesuai untuk melakukan ini semua. Kita tidak mahu generasi yang akan datang nanti menganggap bulan ramadhan adalah bulan yang terbaik untuk meminta sesuatu!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment