Wednesday, August 4, 2010

MASALAH 'VOA' : PEMBANGKANG SUDAH INGATKAN SEJAK AWAL PERLAKSANAANNYA!

Langkah kerajaan yang membatalkan serta merta Visa Sewaktu Ketibaan (VOA) kepada pelancong asing beberapa negara adalah kena pada masanya memandang isu menyalahgunakan visa ini sudah begitu kritikal sekarang ini.

Berdasarkan statistik sehingga akhir 2009, jumlah warga asing yang telah tinggal lebih masa dengan menggunakan VOA ini adalah seramai 75,462 orang atau kira-kira 28% daripada 271,391 pemegang visa terbabit yang kebanyakannya dari negara India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan juga China.

Sebagaimana menurut kata TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, langkah ini adalah untuk menjamin keselamatan negara berada didalam keadaan baik serta tujuan untuk tidak lagi memperkenalkan semula visa sewaktu ketibaan (VOA) kepada pelancong asing di pintu masuk negara ini adalah kerana didapati kemudahan berkenaan banyak disalahgunakan sebelum ini oleh pelancong asing.

Justeru langkah menghentikan dan membatalkan terus VOA ini adalah jalan penyelesaian terbaik untuk negara kita sebenarnya.

Untuk rekod tujuan asal VOA ini diperkenalkan pada tahun 2006 sempena untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 sebagai satu mekanisme menggalakkan kedatangan pelancong asing secara mudah ke Malaysia.

Antara negara-negara yang diberi kemudahan ini ialah China, India, Bhutan, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Taiwan dan Kepulauan Comoros.

Sejak meletusnya isu kehilangan hampir 40 ribu pelancong asing terutamanya daripada India, Bangladesh dan Pakistan didalam media tempatan pada tahun lepas, kerajaan mula mengambil langkah menggantung kemudah VOA ini terhadap negara-negara tersebut ekoran terlalu banyak penyalahgunaan sehingga menimbulkan masalah pendatang tanpa izin pula.

Sebenarnya kita daripada kalangan parti-parti pembangkang sejak awal lagi tidak bersetuju dengan langkah ‘terlalu liberal’ kerajaan didalam perlaksanaan VOA walaupun ianya bertujuan baik bagi memudahkan para pelancong memasuki negara ini kerana kita sudah menjangkakan kesannya yang bakal menimpa.

Usahlah kerajaan terlalu memandang keuntungan yang dikaut semata-mata tetapi didalam masa yang sama soal keselamatan negara tidak diambil peduli.

Kita tidak mahu masalah VOA ini akan menambahkan lagi ‘kesengsaraan’ akibat kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara kita selama ini. Masalah PATI yang tidak pernah tahu bila akan sampai ke penghujungnya terus menjadi persoalan sehingga kini.

Oleh itu kita merumuskan, tindakan menghentikan VOA ini adalah langkah yang paling tepat sekali didalam mengekang kebanjiran PATI yang semakin ramai ke negara kita ini dan buat sektor pelancongan pula, usahlah menjadikan pembatalan VOA ini sebagai alasan utama kemerosotan kehadiran pelancong ke negara kita selepas ini!

No comments: