Hasrat rakyat Malaysia untuk melihat barisan kabinet dan pimpinan tertinggi negara kita agar mengisytiharkan harta masing-masing kepada umum sebagaimana yang dilakukan kini oleh pimpinan Pakatan Rakyat (PR) di negeri-negeri yang di perintahnya terus tidak menjadi kenyataan.
Gelagat sesetengah pemimpin Barisan Nasional (BN) yang beria-ria menolak sebarang pengisytiharan harta yang perlu dibuat oleh semua anggota kabinet. Kita sebenarnya berasa hairan kenapa permintaan yang semudah ini cuba dielakkan oleh seorang yang bertaraf menteri dengan mengatakan permintaan ini sebagai tidak sepatutnya dipenuhi?
Apakah saranan dan permintaan oleh Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), DS Abu Kassim Mohammed cukup menggerunkan mereka dan perbuatan mereka mengelak untuk tidak mahu mengisytiharkan harta meraka kepada umum adalah satu cubaan untuk menutup sebarang salah laku sekiranya ia berlaku?
Sebenarnya permintaan ini cukup baik dan ianya selari dengan kehendak yang telah dicadangkan oleh Presiden Majlis Peguam, S.Ambiga supaya aset semua ahli politik terutamanya di kalangan anggota kabinet dan kehakiman didedahkan kepada umum sebagai menunjukkan ketelusan.
Tidak ada yang perlu digusarkan oleh barisan jemaah menteri serta pimpinan tertinggi negara sekiranya mereka tidak melakukan sebarang kesalahan seperti salah guna kuasa serta membolot harta kekayaan yang jelas tidak sepadan dengan pendapatan yang sepatutnya diperolehi semasa menjaadi seorang wakil rakyat serta berjawatan didalam kabinet sekali pun.
Sekiranya mereka benar-benar telus, mereka tidak akan gentar jauh sekali untuk mencipta berbagai alasan untuk menolak daripada berbuat demikian!
Usaha untuk menolak saranan ini turut dikaitkan kononnya di negara asing tidak pernah pun ada anggota kabinetnya yang mengisytiharkan harta atau aset kepada umum disepanjang menjadi menteri atau menganggotai kabinet negara mereka kecuali pengisytiharan ini dibuat hanya kepada Presiden atau pemimpin tertinggi negara masing-masing sahaja.
Oleh yang sedemikian menurut kata beberapa pemimpin BN, pengisytiharan harta mereka kepada Perdana Menteri pun sudah cukup dan kita tidak perlu juga untuk mengisytiharkannya kepada umum kerana perkara itu bukannya wajib.
Pada kita ianya adalah perlu dan patut di implemenkan dengan segera kerana tujuan utama mengkehendaki para pemimpin atau jemaah kabinet kita berbuat demikian adalah untuk mencegah berlakunya salah laku seperti rasuah, korupsi serta amalan menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri sendiri terutamanya harta kekayaan semasa berkhidmat sebagai pemimpin negara.
Pengalaman lepas memperlihatkan kita bagaimana beberapa pemimpin UMNO-BN telah menjadi kaya secara luar biasa walaupun baru sepenggal menjadi menteri pusat atau pun menjadi MB serta barisan Exco dibeberapa negeri. Perkara ini berlaku secara berleluasa ketika di era kepimpinan DS Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia (1981-2003).
Yang jelasnya kekayaan secara luarbiasa ini berterusan sehingga kini dan ianya bukan setakat berlaku kepada pemimpin di atas sahaja malahan hal ini juga telah menular kepada wakil-wakil rakyat biasa yang baru sepenggal dipilih telah pun menjadi kaya raya secara tiba-tiba seperti memiliki rumah dan kenderaan yang berjuta ringgit harganya disamping memiliki wang yang tidak sepadan dengan gaji dan imbuhan yang diperolehinya sebagai seorang wakil rakyat biasa sahaja!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment