Langkah Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mengkaji semula kadar saman ekor dan menetapkan semula kepada kadar yang lebih sesuai amatlah disambut baik oleh rakyat negara kita ini.
Sebagaimana yang dilaporkan di Utusan Malaysia hari ini 05 Ogos 2010, Langkah ini sememangnya wajar dilaksanakan apatah lagi setelah berbagai rungutan yang timbul oleh pesalah trafik terhadap saman yang diterima ini.
Dengan kadar kompaun yang maksima sebanyak RM300 itu sememangnya amat membebankan kita semua apatah lagi dengan kos sara kehidupan kini yang semakin meningkat.
Walaupun perkara ini masih lagi didalam peringkat kajian bersama dengan beberapa agensi yang lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), perkhabaran kemungkinan kajian oleh PDRM untuk menetapkan semula kadar saman trafik itu benar-benar melegakan semua pihak.
Menurut sumber PDRM, sebanyak 1.07 Juta pengguna lalu lintas yang melakukan kesalahan dan mengabaikan saman telah disenarai hitamkan sejak 15 April lalu.
Keputusan ini telah mengakibatkan banyak kenderaan tidak boleh diperbaharui cukai jalan dan didalam masa yang sama juga pemilik kenderaan juga gagal untuk memperbaharui lesen yang telah tamat tempoh.
Saman ekor ialah saman yang dirakam oleh anggota polis trafik melalui rakaman kamera di beberapa kawasan di lebuh raya dan jalan raya utama negara bagi mencegah kesalahan lalu lintas oleh pemandu kenderaan.
Untuk makluman, terdapat dua kesalahan yang boleh dikenakan saman ekor dan disenarai hitam iaitu memandu kenderaan melebihi had laju yang telah ditetapkan serta juga melanggar lampu isyarat.
Pihak PDRM yang mempunyai bukti rakaman gambar kesalahan tersebut akan mengeluarkan saman terhadap kesalahan itu yang mana saman ini akan dihantar ke rumah berdasarkan alamat kenderaan yang didaftarkan dengan pihak JPJ.
Justeru itu, adalah menjadi harapan kita semua agar keputusan PDRM untuk menimbang semula kadar saman ekor yang dikeluarkan itu mendapat reaksi yang positif oleh kepimpinan tertinggi PDRM apatah lagi semalam Menteri Dalam Negeri, DS Hishamuddin Tun Hussein telah pun mengarahkan PDRM agar mengkaji semula saman ekor ini.
Kita juga menggesa agar saman ekor yang dipraktikkan selama ini dihapuskan terus dan digantikan dengan cara yang lebih efisyen agar tidak timbul lagi rungutan orang ramai terhadap saman yang dikenakan.
Sebenarnya kita sebagai pemandu pun jadi keliru apabila menerima saman ekor ini kerana saman ini lebih terarah untuk dikeluarkan kepada pemilik (penama) kenderaan sahaja. Adalah tidak adil kadang-kalanya apabila orang lain yang memandu kenderaan tersebut (meminjam kenderaan daripada pemilik asal) tetapi notis saman yang dihantar adalah terus kepada pemilik kenderaan walhal pada masa itu bukan pemilik tersebut yang memandu kenderaan itu!
Oleh itu langkah menyaman secara ‘berdepan’ iaitu menahan pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut serta merta adalah lebih elok dan ‘afdal’ kerana mampu memuaskan hati pemandu serta adil pada semua pihak walaupun dikenakan 'saman'pada waktu itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment