Wednesday, August 25, 2010

15 HARI PERTAMA RAMADHAN YANG PENUH DENGAN DENGAN 'DUGAAN & SERANGAN' BERBAUR POLITIK

Hari ini genap 15 hari kita berpuasa di bulan Ramadhan pada tahun ini. Kejayaan melepasi fasa 15 hari pertama berpuasa sudah pasti akan menguatkan lagi azam kita untuk menempuhi fasa 15 hari kedua berpuasa yang mana secara umumnya ummat Islam akan terus mempertingkatkan amalan masing-masing sehingga ke malam terakhir bulan ramadhan.

Pada masa yang sama, fasa 15 hari pertama di bulan ramadhan tahun ini juga turut ‘dipanaskan’ dengan berbagai isu politik terbaru yang berlaku didalam negara kita antara lainnya seperti bermula dengan isu kain rentang (banner) yang mengaitkan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dengan gambar Tuanku Sultan Johor sehingga kepada isu terbaru seperti bacaan doa yang kononnya khatib telah ‘mendoakan’ kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng didalam khutbah jumaat keduanya di beberapa masjid di Pulau Pinang sekarang.

Saya tidak berminat untuk menghuraikan isu ini secara mendalam, cuma merasakan serangan-serangan yang bersifat politik yang diketuai oleh UMNO-BN tetap berterusan tanpa mengambil kira keberkatan di bulan ramadhan ini.

Seharusnya di bulan yang penuh dengan keberkatan serta kesejahteraan ini, kita perlu berebut-rebut mengambil peluang membuat amal ibadat semaksimum mungkin dan bukannya membuat dakwaan yang berbentuk fitnah sehingga ‘membangkitkan’ keributan seluruh negara konon memperlihatkan betapa teruknya Pakatan Rakyat (PR) yang langsung tidak tahu akan sensitiviti didalam semua isu dan perkara?

Amalan untuk ‘membunuh secara politik’ pada setiap individu didalam PR ini tetap berlaku tanpa henti sehingga kini. Kita merasa kesal dengan berbagai dakwaan yang langsung tidak berasas di fikiran kita.

Justeru itu adalah menjadi harapan kita agar amalan demokrasi yang dijunjung oleh semua parti-parti politik dinegara kita ini dapat di praktikkan dengan sebaik mungkin selaras dengan hasrat murni serta cita-cita rakyat Malaysia umumnya.

Menjelang ulangtahun kemerdekaan negara kita yang ke 53, budaya fitnah yang berterusan oleh UMNO-BN khususnya haruslah di tangani dengan sebaik mungkin dan PR tidak perlu mengikut jejak sebagaimana yang dilakukan oleh BN ini kerana sesungguhnya rakyat kita sebenar sudah matang didalam menilai kebenarannya.

Percayalah, politik di negara kita kini bukan lagi seperti di era awal kemerdekaan yang mana ianya penuh dengan isu perkauman dan agama sebagai modal meraihkan sokongan rakyat. Hanya parti yang memenuhi aspirasi rakyat sahaja yang akan terus di sokong dan diberi kepercayaan, percayalah...

No comments: