Thursday, September 30, 2010

JUDI: AGAKNYA BARU KINI UMNO MENYEDARI IANYA HARAM?

Amat menghairankan kita apabila baru kini 'agaknya' UMNO menyedari bahawa judi itu haram disisi agama. Dengan berterusan memainkan isu pembiayaan RM2 juta yang diberikan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk program membasmikan kemiskinan tegar dinegeri tersebut.

Keributan yang pada awalnya ditimbulkan oleh pergerakan pemuda UMNO negeri Pulau Pinang sejak seminggu lalu kini telah memasuki fasa baru yang lebih ‘gemilang’ apabila media massa elektronik telah menjadikan isu ini sebagai berita utama mereka apabila menyiarkan rintihan warga emas yang didakwa sebagai cukup terhina akibat ragu-ragu dengan sumber hasil perjudian ini.

“Wang judi kuda dipulangkan!”, itu pula adalah tajuk utama akhbar Utusan Malaysia hari ini 30 September 2010 yang turut mensensasikan sama isu pembiayaan ini. Memang kita akui dan tidak dinafikan langsung bahawa menerima bantuan hasil keuntungan daripada sebarang bentuk perjudian itu sememangnya amat diragui untuk digunakan.

Cuma kita melihatkan isu ini lebih disensasikan oleh UMNO sebagai isu politik semata-mata kerana kita merasakan ianya begitu pelik yang secara tiba-tiba memperlihatkan UMNO seolah-olah sebagai juara didalam memperjuangkan syiar Islam terutamanya didalam membenteraskan perjudian tersebut.

Meragui hasil dan sumber yang diperolehi untuk diberikan bagi tujuan tertentu sememangnya baik untuk kita semua cuma kita mahukan agar perkara yang di’juarai’ oleh UMNO ini turut sama menjadi juara untuk menentang pembiayaan dan sumbangan oleh syarikat-syarikat judi yang bertaraf nasional seperti Magnum 4-D, Sport Toto serta kelab-kelab kuda yang ada diseluruh negara.

Bukan itu sahaja, penglibatan beberapa individu Islam terutamanya daripada kalangan pemimpin UMNO serta mantan pegawai tinggi kerajaan yang dilantik samada sebagai Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta ahli lembaga pengarah oleh syarikat-syarikat yang terang-terangan terlibat didalam perjudian seperti Genting Berhad, Magnum-4D serta yang lain adalah bukti bahawa UMNO bukanlah serius untuk memperjuangkan isu ini sebenarnya!

Kerana apa? Kerana kita melihat UMNO pasti akan mendiamkan diri dan membezakan perkara ini apabila secara terang terkena pada batang hidung mereka sendiri. Sebab itu daripada awal lagi kita melihat isu wang judi yang kononnya digunakan didalam program ini lebih dilihat sebagai isu politik yang terbaru!

Kepada DS Reezal Merican selaku Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia juga, tolong tanya dan periksa juga sudah berapa banyak syarikat-syarikat perjudian yang disebutkan ini telah membiayai berbagai program sukan yang turut mengandungi atlit-atlit sukan beragama Islam dengan menggunakan hasil keuntungan tersebut?

Dimanakah beliau suatu ketika dahulu ketika kerajaan beria-ria untuk membenarkan perjudian bolasepak diadakan semasa Piala Dunia 2010 diadakan di Afrika Selatan pada Jun lalu?

Bukan setakat syarikat perjudian saja malahan kebanyakan program sukan di negara kita turut juga ditaja oleh syarikat pengeluar minuman keras seperti Carlsberg, Guiness dan sebagainya. Jadi fikirkanlah…

No comments: