Monday, July 5, 2010

PELAJAR WANITA TERUS 'MENGUASAI' IPTA

Penguasaan pelajar wanita di kesemua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pada kemasukan baru bagi sesi pengajian 2010/2011 masih berterusan sebagaimana yang dilaporkan didalam Utusan Malaysia hari ini 05 Julai 2010 .

Perkara ini diakui sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato Sri Mohamed Khalid Nordin apabila diberitahu seramai 61,750 (58.6%) daripada 105,377 adalah pelajar wanita.

Fenomena penguasaan pelajar wanita di semua IPTA ini yang telah berterusan sejak beberapa tahun lepas tidak lagi boleh dielakkan kerana semua pelajar harus diberi peluang semua dan mereka yang layak harus diberi tempat.

Semalam, saya sendiri merasai pengalaman tersebut apabila menemani abang yang menghantar anak sulungnya yang juga seorang pelajar wanita mendaftar untuk menyambung pelajarannya di peringkat Ijazah di salah sebuah fakulti utama di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Saya mendapati hanya sekitar 20 orang sahaja pelajar lelaki yang mendaftar di fakulti tersebut semalam berbanding pelajar wanita yang terus gah menguasai tempat di fakulti yang dikira amat ‘sukar’ untuk memperolehi tempat di dalam universiti berkenaan pada hari pendaftaran semalam.

Melihat fenomena ini mengingatkan saya kira-kira 19 tahun dahulu, ketika pertama kali mendaftarkan diri untuk menyambung pelajaran didalam bidang kejuruteraan disalah sebuah IPTA ketika itu, seingat saya kelihatan hanya 15 orang sahaja pelajar wanita berbanding kira-kira 120 orang pelajar lelaki yang mengikuti salah satu cabang kursus kejuruteraan di universiti tersebut.

Tetapi adakah fenomena 19 tahun lalu itu masih berulang dan sama keadaannya dengan kini? Sesungguhnya tidak lagi, kerana apa yang diberitahu oleh salah seorang mantan pensyarah yang ditemui mengatakan keadaan dimana jurang antara pelajar lelaki dan wanita seperti dahulu tidak lagi berlaku seperti di zaman saya belajar.

Apa yang berlaku kini jurangnya sudah mengecil berbanding dahulu. Kalau dahulu dengan nisbah seperti 15 pelajar wanita berbanding 120 pelajar lelaki adalah merupakan perkara biasa. Tetapi kini kalau pelajar kejuruteraan tersebut di kuasai oleh lelaki 60% didalam sesuatu cabang kursus itu berbanding 40% wanita, ianya sudah dikira cukup baik dan bagus!

Kita sendiri amat musykil kemanakah perginya pelajar-pelajar lelaki? Apakah tidak cukup kelayakan walaupun di tahap minima untuk memasuki IPTA? Ini semua memerlukan kita mencari semula sebab-sebabnya agar ‘kemerosotan’ pelajar lelaki di semua IPTA pada masa depan tidak lagi berterusan.

No comments: