Monday, August 3, 2009

AKTA ISA: PERBEZAAN ZAHID HAMIDI DENGAN ZAID IBRAHIM

Gambar Pada Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos 2009

Menteri Pertahanan, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Zaid Ibrahim, Mantan Menteri di JPM (undang-undang)

01 Ogos 2009 berlalu sudah dengan meninggalkan seribu kenangan apabila himpunan anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah berjaya diadakan walaupun berbagai rintangan dan halangan telah dibuat oleh pihak polis terutamanya bagi membendung rakyat jelata daripada berhimpun bagi melahirkan hasrat tentangan kepada akta yang zalim ISA tersebut.

Di perhimpunan yang bertujuan untuk menghantar satu memorandum menyatakan agar ISA ini dimansuhkan kepada Yang DiPertuan Agung (YDP Agung) pada asalnya telah berjaya menghimpun hampir puluhan ribu para penyokong berbagai peringkat dengan disokong oleh 18 pertubuhan politik dan bukan kerajaan (NGO).

Walaupun begitu usaha dan langkah ini telah dijadikan modal oleh ahli politik BN khususnya Umno termasuk beberapa orang menteri untuk mengecam mereka yang hadir di demonstrasi ini. Ada juga sesetengah antara mereka ini telah memberikan beberapa komen yang lebih berbentuk mempertahankan tindakan kerajaan pimpinan BN untuk terus mengekalkan ISA daripada di hapuskan.

Namun begitu, kenyataan serta komen yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan adalah cukup menarik untuk menggambarkan keperibadian beliau sebagai seseorang bekas didikan aliran agama terkenal di Perak (dipercayai Sekolah Agama Izzuddin, Ipoh) yang begitu kuat serta sanggup menggunakan apa cara sekali pun bagi membenarkan ISA ini kekal di pertahankan.

Lagak beliau yang kini bertambah keras sejak menyandang jawatan menteri kanan ini yang begitu angkuh akan mengisytiharkan darurat sebaik sahaja mendapat perkenan YDP Agung sekiranya masih terdapat mana-mana pertubuhan dinegara ini yang berhasrat untuk mengadakan demonstrasi menentang kerajaan secara besar-besaran seperti sabtu lalu.

"Jangan sampai polis dan tentera terpaksa bertindak. Saya sanggup jumpa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat, Sebenarnya kerajaan memang berhasrat untuk meminda ISA tetapi tidak akan menghapuskan akta itu sama sekali.

Sebaliknya, kerajaan mahu sesuaikan akta tersebut dengan keadaan zaman untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin"


Beliau yang juga Naib Presiden Umno turut menyatakan agar para penentang ISA ini agar tidak menjadi kuda tunggangan pihak tertentu bagi kepentingan politik mereka tersebut.

Menjadi persoalan disini, adakah dengan mengadakan perhimpunan yang pada asal sememangnya tenang dan damai sebelum bertukar menjadi ganas akibat provokasi serta tindakan keras oleh polis sendiri ini perlu diisytiharkan sebagai darurat?

Dimanakah relevannya dengan kata-kata yang keluar daripada mulut seorang bertaraf menteri kanan tersebut untuk kita semua para pembaca menilainya? Hakikat yang sepatutnya menteri seperti Zahid Hamidi ini adalah memperakui bahawa sebenarnya rakyat dinegara kita masih lagi cintakan kedamaian serta menjunjung prinsip-prinsip ketaatan kepada negara serta menghormati perlembagaan negara yang jelas juga antara lainnya menjamin kebebasan setiap rakyatnya bersuara sesuai dengan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh negara kita.

Saya yakin kita yang bersama-sama berada diperhimpunan ini amat faham tentang undang-undang. Sepatutnya juga pihak kerajaan menghormati perhimpunan ini apatah lagi hasrat rakyat untuk melahirkan isi hati akan perlunya ISA ini dimansuhkan segera!

Semua orang mengenali Zahid Hamidi yang suatu ketika dahulu begitu hebat serta berani didalam menentukan tindak tanduknya sendiri apatah lagi didalam menentang tindak tanduk yang jelas zalim berlaku didepan matanya sebagaimana tindakan beliau suatu ketika dahulu pada 1998 apabila mempertahankan Dato Seri Anwar Ibrahim daripada dipecat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kini, adalah teramat malang kita yang mempunyai seorang Menteri Pertahanan yang cukup penakut serta sanggup menggunakan kuasanya untuk membuat tindakan seperti mengisytihar perintah darurat sekiranya masih ada yang berani bertindak sebagai sabtu lalu.

Untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini, belajar serta ikutlah seperti Datuk Zaid Ibrahim yang sanggup melepaskan jawatan sebagai seorang menteri yang menjaga undang-undang kerana tidak bersetuju terhadap penggunaan ISA dan Alhamdulillah, beliau kini telah keluar Umno serta telah menyertai PKR dan sesungguhnya kita kini amat berbangga apabila buat pertama kalinya bersama-sama merasai sendiri pengalaman disembur air serta gas pemedih mata sabtu lalu sebagaimana kata-kata beliau;

"Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club, kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan.

Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pncutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari"


Untuk Zaid Ibrahim tahniah saya ucapkan dengan ketegasan dan prinsip yang dimiliki dan untuk Zahid Hamidi janganlah menggadaikan prinsip yang ada sebelum ini hanya kerana pangkat dan kedudukan!

Tuesday, July 28, 2009

MITOS UMNO : DULU "UG", KINI: "KERJASAMA" , SELEPAS INI APA PULA?


Meroyan lagi ke Umno yang terus bermain dengan isu perpaduan antara parti Umno dan Pas sehingga ke saat ini? Tiada lagi ke isu lain yang seharusnya dicanangkan oleh Umno terutamanya untuk memanjangkan lagi talian hayat Umno dan komponen BN yang lain?

Itulah hakikatnya, sehingga ke saat ini, Umno terus mendendangkan lagu perpaduan dan kerjasama dengan memutar belitkan kenyataan yang dibuat oleh MB Kelantan TG Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika memberi komen pada perasmian bersama dengan Dato Mustafa Mohamad tempohari.

Sedar atau pun tidak sedar, isu ini terus hangat diperkatakan oleh BN terutamanya Umno sendiri apatah lagi di 'karutkan' lagi oleh 'tok dikir-tok dikir' mereka dari segenap tempat dan di perhalusi pandangan 'palsu' yang kononnya itulah kata TG Nik Aziz Nik Mat sebagai hujah akan perpaduan atau kerjasama dua parti melayu terbesar di negara kita ini.

Hari ini TG Nik Aziz sekali lagi menjelaskan kepada umum rakyat Malaysia akan kenyataan yang telah diputar belitkan oleh media massa negara ini dengan mengatakan tiadanya bentuk kerjasama atau pun perpaduan antara kedua parti ini, yang adanya hanyalah hubungan antara dua kerajaan dalam konteks Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan didalam menjalinkan kerjasama dua hala demi rakyat jelata.

"Hubungan negeri ialah dengan Kerajaan Pusat oleh kerana sistem yang diamalkan ialah sistem Federalisma, oleh itu tidak timbul hubungan dengan Umno"

"Kerajaan Pusat ada kewajipannya kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri pula ada kewajipannya terhadap Kerajaan Pusat, maka kenapa mahu disekat (hubungan itu).

"Kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri hendaklah menyentuh isu penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan,"


Itulah kata-kata TG Nik Aziz sebenarnya ketika memperjelaskan kekeliruan yang telah di main oleh tukang karut Umno serta media mereka. Nah! apa lagi yang perlu mereka fahami kini? Bukan ke jelas kini apa yang dimaksudkan oleh TG Nik Aziz kini dan bukannya sembrono menerima dakyah serta hujah kerjasama yang dicanangkan oleh Umno / BN terutamanya didalam konteks perpaduan.

Masalah yang timbul ialah masalah antara dua Kerajaan (Negeri Kelantan dan Pusat) dan bukannya kerjasama antara parti. Tidak semena-mena hangat diperkatakan TG Nik Aziz bersetuju akan kerjasama ini? Antara parti dan kerajaan tidak boleh dibezakan?

Apalagi yang boleh diharapkan oleh Umno kini? Kemana lagi hala hendak dituju? Lagu apa lagi yang akan dimainkan nanti? Terjawab sudah betapa puak-puak Umno ini hanyalah mencari keuntungan politik (political mileage) sahaja tanpa langsung untuk memikirkan permasalahan rakyat!

Apakah kerjasama yang hendak mereka persembahkan kepada TG Nik Aziz kalau sekiranya isu yang cukup mudah seperti penubuhan selama berbelas tahun JPP di Kelantan pun tidak boleh diselesaikan? Untuk apa lagi JPP di perlukan sedangkan Kerajaan yang sedia ada di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang lain tetap juga ditubuhkan JPP? Kenapa perlu?

Apakah yang dinamakan kerjasama itu sekiranya didalam masa yang sama Umno terus menzalimi rakyat dengan berbagai isu serta arahan-arahan yang tolol lagi membebalkan? Menteri (Dato Noh Omar) jenis apakah ini sekiranya mengeluar arahan yang berbentuk 'balik ke belakang' apabila mengarahkan agar jangan ada kerjasama antara pegawai-pegawai jabatan persekutuan dengan pihak kerajaan negeri Kelantan?

Inikah yang dinamakan sebagai bentuk kerjasama? Apakah ini yang boleh dikatakan oleh tok dikir-tok dikir Umno bahawa kejujuran Pas amatlah diperlukan didalam menghulurkan salam perpaduan dan kerjasama? dan inilah juga yang diperkatakan oleh beberapa orang Menteri ketika memberi komen terhadap 'kerjasama Pas-Umno' sebagaimana yang diwar-warkan oleh Umno sendiri?

Apa lagi yang Umno mahukan daripada Pas kini? Ingat atau tidak bagaimana suatu ketika dahulu Pas ditendang keluar oleh BN ketika mereka merasakan mereka sudah cukup kuat? 32 tahun yang lalu ketika Pas ditendang keluar oleh BN, apa yang dilakukan mereka ini sedikit pun tidak meninggalkan kesan kepada mereka (Umno) sebab kerana keyakinan mereka akan kekuatannya yang dijangka tetap berterusan.

Mulanya dulu heboh satu negara isu Kerajaan Perpaduan (Unity Government), kini hubungan Kerjasama (Cooperation), Selepas ini apa pula....?

Thursday, July 23, 2009

APABILA IBRAHIM ALI MEMANGGIL 'HUJAN'....


Sebagaimana yang di war-war kan oleh Gerakan Mansuh ISA (GMI)sejak kebelakangan ini, 1 Ogos 2009 ini pihak penganjuran GMI yang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan mengadakan berdemontrasi dan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mereka. GMI yang merupakan NGO yang begitu aktif didalam gerakan pemansuhan ini turut disokong oleh beberapa lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain serta gerakan parti politik seperti PKR, PAS dan DAP akan turut bersama didalam perhimpunan ini.

Namun begitu kita di kejutkan dengan kenyataan yang dibuat oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang memberi kata dua kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) supaya membatalkan demonstrasi dan perarakan ke Istana Negara bagi membantah akta itu pada 1 Ogos ini.

Presiden Perkasa iaitu Dato' Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas yang bertanding atas tiket PAS di PRU 12 2008 lalu telah memberi kata dua terhadap perhimpunan ini supaya membatalkan demonstrasi menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dijadual berlangsung pada tarikh tersebut.

Ibrahim Ali yang lebih popular dengan 'keaktifannya' melompat parti ke parti yang lain turut 'menyeru' agar rakyat negara ini supaya turut serta menyertai perarakan serta demonstrasi yang diketuai olehnya sekiranya kata dua beliau kepada GMI agar rancangan ini dibatalkan tidak diendahkan.

Beliau mendesak pihak berkuasa memastikan rancangan GMI itu digagalkan bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.Beliau juga didalam sidang akhbarnya turut menegaskan antara lain ialah;

"Perkasa tak pernah turun ke jalan raya tunjuk perasaan, namun apabila kita komited kita akan genggam bara api sampai jadi arang, kita bukan turun (berdemonstrasi) untuk main- main.

"Saya sendiri sudah lama tak berucap pada acara tunjuk perasaan tapi kalau saya sudah mula, saya tidak akan berhenti,"


Sebenarnya sikap Ibrahim Ali kini semakin menunjukkan belangnya terhadap kecondongan beliau pada Umno dan BN dengan terus bersengkongkol dan menyokong akta yang zalim itu sedangkan didalam Islam itu sendiri telah menjelaskan Hukum membicarakan pesalah itu tanpa bicara adalah jelas salah disisi agama Islam.

Tidak menghairankan apabila Ibrahim Ali terus mencari 'idea songsangnya' untuk mempopularkan dirinya kembali didalam arena politik tanah air dengan membuat berbagai kenyataan akhbar serta mengadakan berbagai aktiviti yang betul-betul boleh 'mengangkat' dirinya sendiri. Kehebatan ini juga telah menyebabkan kini Ibrahim Ali selalu diberi ruang di dalam akhbar Utusan Melaysia untuk menyampaikan segala 'idealismenya'terutamanya pada isu-isu berbentuk perkauman.

Adalah tidak menghairankan kita sekiranya 'kehebatan' Ibrahim Ali didalam melakukan 'kerja-kerja' sebegini yang jelas bercanggah dengan polisi serta dasar Pakatan Rakyat akan 'menarik minat' Umno terutamanya untuk menjemput beliau kembali kedalam parti tersebut.

Dengan rekod beliau yang begitu 'cemerlang' didalam acara 'lompat melompat' pada parti ini, tidak syak lagi akan memberi kelebihan atau kredit yang bukan sedikit kearah tujuan itu. Ibrahim Ali sememangnya tokoh yang begitu cepat naik didalam politik negara ini apatah lagi kehebatan beliau ini disertakan bersama dengan pakej 'melompat parti'.

Bermula didalam politik dengan menyertai Berjasa, kemudiannya menyertai Umno dan seterusnya memasuki Semangat 46 dan kemudiannya kembali kepada Umno dan akhirnya dipecat oleh kepimpinan yang lalu di era Pak Lah oleh parti Umno dan hampir-hampir pada suatu ketika untuk bersama didalam parti PKR atau pun PAS disaat-saat PRU ke 12 2008 semakin hampir namum tidak menjadi kenyataan pun.

Alhamdulillah mungkin rahmat Allah SWT untuk menunjukkan kepada kita, sekiranya beliau menyertai PKR atau pun PAS dan apatah lagi dengan menyandang kembali jawatan MP Pasir Mas apakah kebarangkalian untuk beliau melompat dengan 'menjaja' jawatan beliau selaku MP Pakatan Rakyat, akan menyebabkan kita sekali lagi akan tertipu oleh perlakuannya itu? Ingatkah kita bagaimana pada sekitar awal 90an dahulu apabila Ibrahim Ali memenangi jawatan MP Pasir Mas yang bertanding atas tiket Semangat 46 telah tiba-tiba melompat semula kedalam Umno dengan memberi seribu alasan 'bodoh dan tolol' kenapa beliau kembali melompat ke dalam Umno?

Bagi kita sikap 'gedebe serta samsengnya' Ibrahim Ali ini didalam kenyataan yang membela ISA ini amatlah jelek sementelah lagi apakah beliau tidak ingat akan keihlasan TG Nik Aziz Nik Mat yang memberi laluan serta membenarkan Ibrahim Ali untuk bertading di Pasir Mas atas tiket PAS? Lupakah beliau pengorbanan Ustaz Ismail Noh mantan MP Pasir Mas penggal lalu dari PAS yang memberi laluan kembali kepada beliau untuk bertanding di Pasir Mas?

Tetapi inilah sikap beliau yang sememangnya amat bangga serta 'tidak kisah atau peduli langsung' dengan berbagai tindak tanduk nya yang kadang-kadang amat menyedihkan kita...betullah kata pepatah melayu....menolong Ibrahim Ali ini yang tersepit suatu ketika dahulu setelah dipecat Umno seumpama menolong melepaskan seekor anjing yang tersepit....

Friday, July 17, 2009

SATU UNDI PUN TETAP MENANG!

YB Fauzi Abdullah, Adun Manek Urai
Tun Dr Mahathir Mohamad, Mantan PM Malaysia
Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia


Kekalahan tipis majoriti sebagaimana yang didakwa oleh Umno / BN telah dijadikan isu yang teramat hebat oleh parti tersebut apabila mengatakan 65 majoriti yang dimenangi oleh Pas ini telah menunjukkan bahawa sokongan rakyat kepada parti Umno dan BN telah kembali.

Sebagaimana yang didakwa oleh beberapa pemimpin BN seperti Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi (Menteri pertahanan), Dato Seri Mohamad Hassan (MB Negeri Sembilan) serta beberapa orang lagi pemimpin Umno dan BN yang lain sependapat dengan komen yang kononnya telah ada perubahan rakyat terhadap pimpinan BN kini.

Apakah benar sokongan terhadap kerajaan pimpinan BN ini telah meningkat berasaskan andaian kurangnya jumlah undi yang diperolehi oleh PAS? Apakah pemimpin ini sedar atau pun tidak terhadap komen serta kenyataan yang dibuat ini benar-benar berasas?

Perlu diingat, PRK di Manek Urai tempoh hari parti dari Pakatan Rakyat ini bukan sekadar berhadapan dengan Umno malahan terpaksa berhadapan dari segenap peringkat dengan pelbagai jentera serta isu yang sengaja disensasikan apatah lagi turut menerima berbagai asakan yang cukup kuat yang telah 'dipunggah' ke Manek Urai semata-mata untuk meraihkan sokongan pengundi oleh BN!

Tidak ada yang peliknya pada setiap PRK segala jenis menteri serta berbagai agensi kerajaan pusat telah digunakan serta dibawa kesana dengan mewujudkan program yang 'tiba-tiba terpaksa diadakan' disana seperti Perayaan Hari Guru peringkat negeri Kelantan yang tiba-tiba sahaja terpaksa diadakan di Manek Urai semata-mata untuk meraihkan sokongan para guru. Begitu juga berbagai aktiviti dan perlancaran turut diadakan disana seperti yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Koperasi dan Pengguna, Kementerian Asas Tani serta yang Kementerian lain dengan melancarkan berbagai skim kepada pengundi disana.

Itu tidak termasuk lagi dengan berbagai janji segera yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan 'Janjian sensasinya' seperti menjanjikan pembinaan jambatan baru di Manek Urai dan program Dun angkat dan dun emas nasional serta pelbagai yang lain lagi.

Lihatlah wahai para pemimpin BN terutamanya Umno bagaimana berbagai perkara yang telah dilakukan selama tempoh berkempen disana namun tetap masih gagal untuk menawan hati pengundi disana.

Kalau kekalahan tipis mereka ini telah dijadikan asas yang kuat mengatakan BN telah diterima kembali oleh rakyat di negara ini, apa kata Dun Perak yang dikuasai secara 'pintu belakang' oleh Umno dan BN ini dibubarkan dengan segera dan serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk membuktikan sebenar-benarnya bahawa BN kini telah diminati kembali oleh rakyat negara ini. Dan kita lihat nanti apakah benar dan berasas BN itu di terima kembali rakyat?

Secara hakikatnya, 'mitos' yang direka oleh pemimpin-pemimpin BN ini mengatakan mereka telah diterima kembali serta rakyat telah berjaya diyakini semula kepada pemerintahan yang dipimpin oleh PM Dato Seri Najib Tun Razak hanyalah sekadar untuk menutup malu mereka terhadap kekalahan terbaru mereka didalam siri pilihanraya kecil (PRU) selepas Mac 2008 kepada agregat 6-0 (berdasarkan PRU di Semenanjung Malaysia sahaja) selepas Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti dan kini....Manek Urai pula.

Secara asasnya, kekalahan tipis yang digembar gemburkan ini oleh pemimpin Umno dan BN ini mengingatkan saya kepada kenyataan yang pernah dikatakan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu;

"Dalam politik demokrasi seperti negara kita ini, walaupun pada pilihanraya tersebut calon hanya menang dengan majoriti hanya satu undi sahaja, ianya tetap diisytiharkan menang kepada yang memperolehi kelebihan satu undi tersebut dan calon tersebut tetap dikira sebagai pemenangnya"

Wahai pemimpin-pemimpin Umno dan BN, hayati lah kata-kata Tun Dr Mahathir tersebut semoga ianya boleh dijadikan 'bekal' untuk mengenali erti demokrasi dan erti pilihanraya itu dengan lebih dekat lagi.

Monday, July 6, 2009

BERUK PRODUK BARU PELANCONGAN NEGERI MELAKA?


Bagi sesebuah negeri untuk menarik perhatian awam amat mudah lebih-lebih lagi didalam mengadakan promosi pelancongan ke negeri tersebut. Kalau Ketua Eksekutif pada sesebuah negeri tersebut (MB atau KM) pandai memainkan peranan, maka produk yang baik akan terus dikenang dan diberi sambutan hangat. Tetapi biar apapun produk tersebut, kemasyhuran produk serta nilainya haruslah dipandang tinggi oleh semua penduduk atau masyarakat luar.

Sabtu lalu 4 Julai 2009, di akhbar Utusan Malaysia, Melaka selaku negeri kedua terkecil di Malaysia, yang berketuakan Ketua Menterinya Dato Seri Mohd Ali Rustam sekali lagi memasyhurkan dirinya serta negeri Melaka apabila mahu menjadikan BERUK sebagai produk tarikan terbaru untuk sektor perlancongan negeri tersebut!

Hari ini beliau mengumumkan Taman Buah-Buahan Tropikal di Sungai Udang dekat sini dibuka kepada orang ramai untuk melihat gelagat mencuit hati beruk memetik buah kelapa.

Mohd. Ali berkata, sebagai permulaan kerajaan negeri telah membeli lima ekor beruk dengan harga antara RM400 hingga RM2,000 untuk tujuan tersebut.
Menurutnya, beruk tersebut akan ditempatkan di Taman Buah-Buahan Tropikal dan pertunjukan beruk memanjat serta memetik buah kelapa akan diadakan di situ.

"Bagi tempoh seminggu ini, pelancong dalam dan luar negara tidak dikenakan sebarang bayaran.Selain melihat aksi beruk, pengunjung juga akan diberikan minuman air kelapa muda,"

katanya kepada pemberita selepas menerima seekor beruk betina yang diberi nama Mek Wok di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Negeri Melaka yang cukup terkenal dengan pelbagai kontroversinya pada setiap Ketua Menteri malahan juga pada setiap tahun sekali lagi membuat satu lagi kejutan hasil ciptaan terbarunya dengan meletakkan binatang beruk sebagai salah satu tarikan untuk pelancong berkunjung ke sana.

Perkara sebegini cukup pelik dan 'memeningkan kepala' kita sebagai rakyat kerana apakah sebanyak-banyak benda di Melaka yang lebih dikenali sebagai negeri yang mempunyai status warisan dunia oleh Badan Dunia, Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ali Rustam ini tidak nampak langsung apakah produk-produk terbaru yang boleh dilahirkan untuk dijadikan sebagai produk perlancongan terbaru bagi menarik pelancong ke Melaka?

Memang benar bukannya tidak boleh menjadikan beruk itu sebagai produk perlancongan. Tetapi apakah telah kehabisan benda lain atau binatang lain untuk dijadikan tarikan baru? Ali Rustam selalu mendakwa yang negeri Melaka dibawah pentadbirannya cukup hebat dan berinovatif didalam mencipta kelainan bagi tujuan ekonomi dan malahan beliau selalu mendabik dada apabila perbandingan ini dibuat terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya Kelantan.

Namun untuk pengetahuan Ali Rustam dan pimpinan BN Melaka, seteruk-teruk Kelantan yang dikatakan tidak berinovatif didalam mencipta kelainan, rasanya tidak pernah lagi MB TG Nik Aziz Nik Mat menjadikan beruk sebagai produk perlancongannya untuk melariskan sektor perlancongan kesan terhadap ekonomi negeri tersebut. Tetapi TG Nik Aziz lebih memasarkan aspek kerohanian serta ibadah sebagai satu produk perlancongan untuk dikongsikan bersama oleh pelancong samada dari luar negara atau pun pelancong tempatan.

Saya secara peribadi tidak hairan langsung dengan idea yang dangkal lagi 'terlebih' inovatif ini sebagaimana yang digagaskan oleh Ali Rustam sebagai KM Melaka. Ini kerana kalau pembaca masih ingat bagaimana MB Kedah yang lampau Tan Sri Sanusi Junid pernah mewar-warkan idea bodoh lagi bebal apabila memperkenalkan konsep menanam padi diatas bumbung serta kelab mat jenin semata-mata hendak menunjukkan kepada orang luar bahawa negeri Kedah ini hebat serba serbi tetapi tidak masuk akal langsung!

Apakah Melaka mahu melahirkan duta pelancongannya yang terbaru selepas Shah Rukh Khan (SRK) yang dianugerahkan 'Datuk' semata-mata diperkatakan oleh KM Ali Rustam bahawa jasa SRK didalam memperkenalkan Melaka kepada dunia luar khususnya pelancong dari negara India cukup besar, jadi pemberian pingat Datuk itu ada asasnya. Semoga KM Ali Rustam tidak tersilap langkah lagi selepas ini didalam mewujudkan produk-produk terbarunya serta duta-duta perlancongannya selepas ini....

Wednesday, July 1, 2009

ANTARA H1N1, INFLUEZA 'A' ATAUPUN SELESEMA BABI

Dato Seri Rais Yatim, Menteri Penerangan

Tan Sri Ismail Merican, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Sehingga artikel ini ditulis malam ini, dilaporkan sudah 196 kes yang berkaitan dengan H1N1 atau Influeza A ataupun selesema babi telah direkodkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Wabak yang semakin melanda diseluruh dunia kini telah menjadikan Malaysia antara negara yang tersenarai oleh pihak kesihatan dunia (WHO) sebagai negara yang turut menerima kesan yang begitu hebat akibat wabak yang melanda ini.

Walaupun telah berbagai langkah dan usaha telah dibuat oleh badan dunia itu, kesan yang menjalar ini semakin menakutkan orang ramai diseluruh dunia kini. Begitu juga dinegara kita sejak ianya melanda, berbagai langkah yang proaktif telah diambil oleh kerajaan didalam menyekat gejala serta virus yang melanda ini.

Antara langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa negara ini ialah dengan membuat berbagai peraturan yang khususnya didalam menghalang ianya berlarutan seperti melarang seboleh-bolehnya daripada penduduk negara ini ke luar negara sekiranya tiada urusan yang penting, melakukan penutupan dibeberapa sekolah rendah dan menengah di beberapa tempat khususnya menyekat penyebaran wabak ini kepada pelajar sekolah serta juga dipihak institusi pengajian tinggi awam atau swasta sendiri dimestikan mengada proses saringan kesihatan ketika dihari pendaftaran pelajar baru yang mengambil sesi pengambilan pelajar tahun ini dan langkah ini lebih diutamakan kepada pelajar-pelajar dari luar negara yang menyambung pengajian mereka di negara ini.

Kita memandang langkah ini sungguh baik dan boleh mengurangkan serba sedikit risiko keatas jangkitan wabak ini yang semakin hebat melanda di negara kita. Kita juga turut dilaporkan tentang proses mencari kaedah serta penawarnya didalam menghadapi wabak ini. Dilaporkan juga bagaimana para pakar perubatan luar negara mengatakan kemungkinan penawar terhadap wabak ini hanya boleh diperolehi sekitar tahun depan!
Walaupun agak terkejut dengan kenyataan tersebut, harapan serta keyakinan orang awam diseluruh dunia terhadap kenyataan tetap melegakan hati. Semoga ianya berjaya didalam mengatasi masalah yang semakin berlarutan sejak tiga bulan kebelakangan ini.

Kesan jangka panjang terhadap sesebuah negara yang menerima serangan wabak ini turut dirasai terutamanya dari sudut ekonomi serta keselamatan negara itu sendiri. Akhbar dinegara ini semalam turut menyiarkan bagaimana para pelancong dari beberapa negara Asia Timur telah membatalkan kehadiran mereka untuk melancong ke negara kita. Justeru itu pihak kerajaan seharusnya mengambil langkah yang berani didalam memenangi gejala ini khususnya disektor pelancongan.

Untuk akhirnya kepada pihak yang suka bertelagah didalam isu istilah terhadap wabak ini, tak kisahlah ianya dinamakan sebagai apa sekali pun, walaupun dikenali sebagai H1N1, Influeza A ataupun Selesema Babi tetapi jika ianya masih tiada penyelesaian didalam memerangi wabak yang kian menggila ini, ianya tetap tiada bezanya, umpama penukaran istilah mat rempit kepada samseng jalanan....ianya tetap wujud dan mengganas sehingga kini dijalanraya tanah air kita yang tercinta ini.

Monday, June 22, 2009

KERAJAAN PERPADUAN : 1 UNTUK PR, BUKAN 1 UNTUK UMNO / BN!

Sidang Media Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat

Sidang media bersama yang dibuat oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) di Bangunan Parlimen tadi adalah suatu keputusan yang berani terutamanya disaat-saat Umno menjadikan isu 'Kerajaan Perpaduan' (Unity Govenment) sebagai satu modal politik baru untuk mereka.

Isu yang pada awal ini yang lontarkan ideanya oleh Presiden PAS sendiri, Dato Seri Tuan Guru Hj Hadi Awang ini ketika Muktamar Tahunan PAS awal bulan Jun lalu telah kini dijadikan modal atau isu lebih kepada berbentuk politik oleh tunjang utama Barisan Nasional (BN) terutamanya Umno sendiri.

Dalam sidang media bersama ini yang dihadiri oleh Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR, Dato Seri Hj Hadi Awang (Presiden PAS) dan Sdr Lim Kit Siang (Penasihat DAP) telah bersetuju untuk menolak bersama sebarang bentuk yang diperkatakan oleh rakyat Malaysia sejak 2 minggu kebelakangan ini.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat ketika bermesyuarat petang tadi telah sepakat menolak sebarang perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno atau Barisan Nasional.

Pemimpin daripada tiga parti ini PKR, PAS dan DAP sekali lagi mengulangi pendirian mereka untuk meneguhkan kerjasama dalam gabungan Pakatan Rakyat dengan hasrat mengambil alih kerajaan persekutuan suatu masa nanti.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan mereka ini telah ditandatangani oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dato' Seri Hj Hadi Awang dan juga Sdr Lim Kit Siang.

Bagi Hj Hadi Awang, segala idea yang dilontarkan olehnya telah diputar belit oleh Umno serta media massa kepunyaan mereka semaksima mungkin dengan berniat jahat untuk menjadikan keutuhan serta kerjasama PR sebagai mangsa fitnah dan adu domba mereka.

"Dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan"


Manakala Anwar Ibrahim pula dengan nada tegasnya yang mewakili Pakatan Rakyat ketika membaca kenyataan rasmi ini jelas mengatakan penolakan terhadap kewujudan Kerajaan Perpaduan sebagaimana yang digembar gemburkan sebelum ini

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang"

Namun begitu pimpinan Pakatan Rakyat bersikap terbuka didalam hal lain seperti bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu- isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat, contohnya usaha- usaha memulihkan soal ekonomi atau lebih bersikap mengutamakan kepentingan rakyat pada setiap perbincangan itu.