Tragedi tanah runtuh yang berlaku di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 lalu telah dijadikan oleh para pemimpin UMNO / BN medan untuk mempopularkan diri kepada rakyat kononnya mereka inilah yang prihatin serta mengambil tahu masalah yang di hadapi oleh rakyat. Apabila kita melihat kehadiran mereka ini yang kadang-kala kehadiran mereka ini boleh dipertikai tentang apakah peranan mereka serta untuk apa sepatutnya hadir kesitu.
Sebagai contohnya apabila para menteri serta pemimpin-pemimpin utama dari pelbagai parti komponen BN ini yang hadir dengan pelbagai kenyataan yang dikeluarkan sehingga boleh mengelirukan orang ramai dan menjadi satu medan untuk mereka pula mengambil kesempatan untuk mempromosikan diri masing-masing. Kehadiran yang ramai baik daripada Menteri-menteri serta wakil-wakil rakyat BN, Kawasan kejadian ini juga turut dihadiri oleh para pemimpin semua peringkat seperti Pemuda, Wanita dan juga Puteri. Semuanya mempunyai matlamat yang satu.
Seperti kehadiran Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Ali Rustam yang juga calon Timbalan Presiden UMNO yang datang dari jauh semata-mata ‘kononnya’ begitu prihatin tentang apa yang menimpa penduduk di Bukit Antarabangsa ini. Apakah masalah rakyat di negeri Melaka telah selesai yang membolehkan Ketua Menteri ini hadir dari jauh semata-mata kerana bersimpati kepada penduduk disini?
Bagi saya, Selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, kehadiran beberapa orang yang cukup dikenali ini seperti antara lain lagi, Tan Sri Mohamad Mohamad Taib juga calon Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin (calon Timbalan Presiden UMNO) , Dato’ Ahmad Sabery Chik (calon MT UMNO), Dato’ Halimah Sadiq (calon MT UMNO), serta beberapa orang tokoh menteri serta yang berjawatan didalam UMNO terutamanya hanyalah sekadar mempromosikan diri masing-masing menjelang pemilihan didalam UMNO terutamanya yang melibatkan jawatan no 2 didalam parti itu sendiri.
Kehadiran Mukhriz Mahathir biar pun atas nama NGO Aman Malaysia, itu juga adalah medan masing-masing untuk mempromosikan diri untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan yang akan datang. Apakah sumbangan yang boleh dilakukan oleh Dato Seri Khir Toyo dan juga Khairi Jamaluddin ke sana? Kalau tidak medan untuk mereka mempromosikan diri untuk jawatan yang sama?
Mungkin kehadiran Khir Toyo sedikit menonjol kali ini dengan hadirnya beliau semata-mata untuk ‘menghentam’ kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat yang kononnya tidak pandai serta reti untuk memantau segala projek-projek yang sedang dijalankan dilereng-lereng bukit di Bukit Antarabangsa itu sendiri? Mereka semua ini hadir dengan niat yang sama, iaitu ‘menolong’ orang yang didalam kesusahan. Keprihatinan mereka yang melampau ini telah dijadikan isu yang cukup hebat di berita-berita media utama negara ini. Mereka lah semuanya yang begitu mengambil berat tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di sana.
Namun Khir Toyo lupa agaknya apabila apabila 99 projek yang berada dilereng bukit adalah diluluskan oleh kerajaan lalu dan satu persoalan yang diketahui semua ialah bagaimana projek-projek ini boleh diluluskan sedangkan pada tahun 2001 sudah ada garis panduan yang diwartakan yang disebut 'Total Planning Guide Line' yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Dalam garis panduan tersebut telah menetapkan pembangunan di kategori tiga iaitu cerun diatas 25 darjah dan empat iaitu cerun diatas 35 darjah mestilah dihentikan serta merta. Garis panduan serta undang-undang ini sudah ada sejak 2001 tetapi kelulusan masih diberikan untuk semua projek-projek ini pada tahun 2004 sehingga 2007. Maknanya undang-undang tidak dihormati!
Apa pula peranan calon Ketua Wanita UMNO Dato Seri Sharizat Jalil kalau tidak mempunyai matlamat yang sama? Ini semua telah dijadikan modal oleh mereka terutamanya menjelang pemilihan UMNO nanti. Kenapa ketika rakyat yang kehilangan tempat tinggal akibat operasi meroboh rumah di Plentong dan Batu Berembang tidak dihadiri oleh mereka semua ini? Alangkah bagusnya kalau masalah rakyat yang ‘terlebih’ bawah ini di bantu dan diberikan keutamaan kerana mereka ini orang biasa yang tiada harta benda untuk memungkinkan mereka berada di tempat yang ‘high class’ seperti di Bukit Antarabangsa itu sendiri.
Saya juga berasa pelik apabila ramai para pemimpin UMNO ini begitu ‘pandai’ mengeluarkan berbagai kenyataan yang berbentuk teknikal dari sudut kejuruteraan. Bermacam kenyataan yang dikeluarkan seolah-olah perkara yang berlaku ini adalah kerana sistem perlaksanaan dan penyelenggaraan yang berlaku di lereng-lereng bukit ini tidak mematuhi piawaian yang telah di tetapkan. Ada juga membuat kenyataan yang begitu lucu bunyinya sedangkan para pengamal kejuruteraan begitu cermat sekali mengeluarkan kenyataan dari pelbagai aspek.
Saya sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung didalam bidang kejuruteraan ini merasakan kenyataan yang dibuat oleh mereka (pemimpin UMNO / BN) ini kadang-kadangnya merasa hairan kerana mereka ini semuanya berani mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan rasa gundah dan ketakutan penduduk yang berhampiran dengan tempat kejadian tersebut.
Begitu juga bila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato Seri Ong Ka Chuan yang turut memberikan kenyataan yang bersifat tidak matang apabila menafikan kejadian yang berlaku ini adalah berpunca daripada kecuaian manusia! Mungkin kenyataan beliau ini juga adalah bagi menunjukkan kepada Perdana Menteri bahawa beliau seorang yang buat kerja walaupun telah kalah didalam pemilihan Timbalan Presiden MCA baru-baru ini. Tidak semestinya yang kalah tidak boleh dikekalkan sebagai menteri lagi?
Secara peribadi, hanya kenyataan daripada Menteri Kerja Raya, Dato Ir Mohd Zin Mohamad sahaja yang saya rasa boleh dipakai serta diambil kira berdasarkan pandangan beliau sebagai seorang yang pernah terlibat sebagai pengamal kejuruteraan. Beliau mengakui bahawa segala yang berlaku di Bukit Antarabangsa ini adalah berpunca daripada kecuaian manusia. Kenyataan beliau ini telah disambut oleh semua penduduk di Bukit Antarabangsa ini sebagai kenyataan yang tidak terburu-buru apatah lagi untuk menyalahkan faktor alam semata-mata.
Itulah hakikat apabila kehadiran mereka semua ini hanyalah sekadar medan untuk mempopularkan diri sahaja. Itulah jadinya apabila ada beberapa orang dikalangan mereka ini yang begitu ghairah mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbentuk ‘teknikal’ secara tidak langsung telah menonjolkan mereka ini kepada umum yang kononnya mereka begitu mengambil tahu serta arif sangat-sangat tentang apa yang berlaku serta bakal berlaku! Secara tidak langsung juga mereka ini mengambil berat yang ‘teramat sangat’ kepada rakyat. Oleh yang demikian inilah pemimpin yang perlu ada dan perlu diberi jawatan ketika pemilihan UMNO Mac 2009 nanti pada pandangan ‘puak-puak’ UMNO ini. Inilah yang dikatakan pemimpin bersama rakyat setiap masa kononnya.
No comments:
Post a Comment