Thursday, January 7, 2010

ANTARA KEAJAIBAN ZAHID & MISTERI KEHILANGAN ENJIN JET PEJUANG F-5E

Sebenarnya memasuki tahun baru 2010 ini, saya langsung tidak berhasrat lagi hendak mengulas tentang kehilangan enjin jet pejuang TUDM F-5E apatah lagi kini sudah memasuki tahap pendakwaan di mahkamah semalam.

Kes ini yang berterusan sejak pertengahan Disember 2009 telah saya ulas panjang lebar didalam artikel sebelum ini dan artikel saya itu turut disiarkan juga di laman blog Tranungkite dan beberapa blog lain.

Adalah menjadi kebiasaan saya amat jarang untuk mengulas kes atau isu yang sama ‘tajuknya’ berulang kali. Sebagaimana kelazimannya, setiap isu yang terpapar di dada akhbar atau tv, saya akan mengulasnya atau memberi pandangan sekali sahaja terutamanya di awal isu ini keluar secara besar-besaran lagi sensasi pada ketika itu!

Entah mengapa sejak kelmarin lagi, hati saya semacam tidak sabar mahukan saya untuk sekali lagi mengeluarkan pandangan melalui tulisan di blog ini terhadap isu kehilangan enjin jet pejuang F-5E ini yang semakin di sensasikan terutamanya selepas mendengar di siaran berita akan kenyataan yang dikeluarkan oleh Peguam Negara (AG) Tan Sri Gani Patail, bahawa hanya pegawai berpangkat rendah sahaja yang terlibat?

Kemahuan hati agar saya sekali lagi menulis serta mengeluarkan pandangan tentang kes kehilangan enjin ini semakin ‘kuat’ apabila di kaca tv dan akhbar menunjukkan ‘dua orang tertuduh’ (satu daripadanya berpangkat Sarjan TUDM bersama seorang pengarah syarikat) mula di hadapkan ke mahkamah semalam.

Hari ini 07 Januari 2010, telahan hati agar saya perlu menulis dan mengulas sekali lagi terhadap isu ini semakin kuat apabila membaca kenyataan Dato Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan di dada akhbar yang mengatakan nilai enjin tersebut hanyalah antara RM8.5 Juta hingga RM 28 Juta sahaja dan bukannya sebagaimana dakwaan sebelum ini mengatakan nilai sebuah enjin jet pejuang tersebut RM50 Juta.

Pada saya, samada ianya berharga RM8.5 Juta ke, RM28 Juta ke atau RM50 Juta sekali pun itu bukan persoalannya. Pada saya ini soal ketirisan, kebocoran serta skandal penyelewengan terbaru yang dihadapi oleh kerajaan khususnya melibatkan pada sistem pertahanan negara!

Sebagai rakyat negara ini, kita mempersoalkan bagaimana kehilangan ini boleh berlaku dan boleh pula dikatakan yang terlibat hanya anggota lain-lain pangkat (LLP) sahaja? Ini merupakan suatu keganjilan yang terbaru yang berlaku di negara ini. Hakikat sebenarnya kita kini berada disebuah negara yang sentiasa memiliki perkara yang ‘ganjil’ , ‘ajaib’ lagi ‘pelik’ mengalahkan tujuh perkara ajaib dan pelik yang sedia ada didunia ini!

Bagaimana mungkin seorang anggota LLP boleh mengeluarkan barangan seperti enjin jet ini dan seterusnya mengadakan urusniaga jual beli atau ‘business negotiation’ apatah lagi dengan negara luar sebagaimana yang diperkatakan seperti Argentina dan juga Uruguay tanpa pengetahuan pihak atasan tentera dan kerajaan Malaysia?

Lantas menimbulkan persoalan ialah, bukankah setiap pengeluaran barangan inventori memerlukan tandatangan atau pengesahan pegawai atasan (Top Superior) dan seterusnya memerlukan pemeriksaan pada barangan dengan lebih ‘detail’ sebelum dibenarkan dibawa keluar? Dan lebih memelikkan lagi bukankah ini merupakan suatu amalan biasa yang di praktikkan walaupun dimana sahaja waima di jabatan-jabatan kerajaan, di syarikat-syarikat swasta ataupun sebagainya?

Pengalaman saya sendiri sebagai contoh (di tapak / projek pembinaan); setiap barangan yang hendak dikeluarkan / di pindahkan samada barangan yang baru atau pun yang sudah boleh dikategorikan sebagai barangan lupus (besi buruk), sudah menjadi satu amalan sebelum sesuatu barangan dibenarkan dibawa keluar ianya akan diperiksa terlebih dahulu oleh Penyelia Tapak serta Jurutera Tapak yang terlibat dan seterusnya pemeriksaan akan dilakukan pula oleh Pengurus Projek disertakan dengan surat yang bertandatangan kebenarannya untuk di bawa keluar barangan tersebut!

Sebab itu saya katakan, kalau di tapak projek pembinaan pun setiap barangan yang hendak dibawa keluar akan diperiksa rapi apatah lagi pada barangan seperti enjin jet pejuang TUDM? Ini merupakan harta rakyat yang dibeli melalui wang rakyat dan seterusnya bertujuan untuk memberi perlindungan kepada rakyat? Apakah boleh sesuka hati sahaja ianya dikeluarkan tanpa mengambil kira hati dan perasaan rakyat?

Terus terang saya katakan, saya mengikuti kenyataan Menteri Pertahanan berkaitan isu kehilangan enjin jet pejuang ini sejak mula ianya timbul di pertengahan Disember 2009 lalu. Setiap kata-kata atau ‘bait-bait’ yang ‘bersahaja’ yang dikeluarkan dari mulut Zahid Hamidi ini akan saya perhalusi secara mendalam akan maknanya.

Untuk renungan pembaca semua, cuba kita ingatkan kembali ; di awal isu ini timbul diberitahu hanya satu enjin jet pejuang F-5E TUDM yang bernilai RM50 Juta hilang dan dijual ke negara Argentina dan kemudiannya dikhabarkan turut di jual ke Uruguay! Diberitahu juga terdapat beberapa Pegawai Atasan TUDM yang terlibat.

Selang beberapa hari kemudian Menteri Pertahanan memberitahu lagi bukan satu enjin tetapi dua buah enjin jet pejuang rupanya berserta barangan sampingan pada jet tersebut turut hilang!

Memasuki minggu terakhir Disember 2009, sekali lagi Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan mengatakan “tiada penglibatan pegawai-pegawai tinggi tentera, yang terlibat hanyalah anggota bawahan lain-lain pangkat (LLP) sahaja…”!

“Bait-bait’ ganjil lagi pelik tersebut diperkuatkan lagi dengan kenyataan AG, TS Gani Patail tiga hari lepas apabila didalam sidang medianya mengesahkan memang tiada pegawai atasan yang terlibat didalam skandal kehilangan enjin jet pejuang ini. Hanya beberapa orang anggota bawahan sahaja yang terlibat dan memasuki minggu pertama tahun 2010 ini dua orang yang di syakki ini telah dihadapkan di mahkamah untuk perbicaraannya.

Hari ini, kita dikejutkan lagi dengan penafian harga RM50 Juta sebuah enjin jet pejuang tersebut oleh DS Ahmad Zahid Hamidi apabila beliau sekali lagi ‘terpaksa’ membetulkan semula harga enjin tersebut yang dinilaikan hanyalah sekitar RM8.5 Juta hingga RM28 Juta sahaja.

Entahlah, apa lagi ‘berita baik’ yang bakal di umumkan oleh Zahid Hamidi selepas ini? Entah apa lagi yang bakal ‘dikelentongkan’ kepada kita oleh salah seorang pemimpin kanan Umno ini yang selalu mendakwa hanya parti Umno / BN sahajalah yang mampu ‘melindungi’ orang melayu di negara ini…....ye melindungi…....melindungi siapa sebenarnya?

No comments: