Friday, January 1, 2010

CADANGAN SPR UNTUK SIAPA SEBENARNYA?

Hari pertama 01 Januari 2010 kita dikejutkan dengan berita kenaikan harga gula sebanyak 20 sen menjadikan sekilo gula sekarang ialah RM 1.65 di semenanjung manakala di Sabah / Sarawak pula RM 1.75 sekilogram.

Di kesempatan yang ada ini, saya tidak berhasrat langsung untuk menulis atau mengulas pasal kenaikan harga gula tersebut kerana bagi saya sebagai rakyat biasa di negara ini amat jarang untuk mereka (kerajaan BN) dengari segala rintihan yang disuarakan rakyat.

Hari ini saya ingin membawa para pembaca 'meninjau' kembali hasrat yang dbuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 29 Disember lalu apabila SPR sedang berusaha secara serius untuk memasukkan cadangan tempoh bertenang selama 24 jam serta hari penamaan calon diadakan selama tiga hari.

Keghairahan SPR untuk melaksanakan cadangan ini dlihatkan seperti cuba 'memenuhi' hasrat pihak lain iaitu Umno / BN bagi menghalang pihak pembangkang daripada 'menguasai' hari penamaan calon sebagaimana kelazimannya.

Sebagaimana menurut Naib Presiden Umno sendiri Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang begitu mengharapkan agar perlaksanaan ini dapat diteruskan dengan segera kerana pada pandangan beliau cadangan SPR ini adalah bertujuan untuk memastikan perjalanan pilihanraya berjalan lancar.

Menurut pandangan beliau lagi cadangan-cadangan ini mampu untuk membendung daripada berlakunya insiden-insiden yang tidak diingini seperti tindakan agresif para penyokong sehingga menganggu proses pembuangan undi.

Dato Ahmad Maslan pula selaku Ketua Penerangan Umno mencadangkan agar SPR meneliti terlebih dahulu dua cadangan tersebut secara menyeluruh sebelum ianya dibentangkan di parlimen pada tahun 2010 ini.

Ini kerana beliau berharap agar pindaan yang dibuat ini dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan semasa menghadapi pilihanraya nanti. Beliau mahu penguatkuasaan peraturan dan undang-undang dapat dipertingkatkan supaya pindaan tersebut tidak memberi implikasi negatif dan dijadikan isu politik pula selepas dikuatkuasakan nanti.

Bagi Naib Presiden PAS YB Salahuddin Ayub pula berpendapat cadangan ini tidak masuk akal dan menganggapnya sebagai remeh temeh sahaja. Beliau turut meminta agar ditunjukkan kepadanya kekecohan dan bentuk keganasan yang didakwa SPR itu sehingga perlu meminda akta berkenaan.

Bagi beliau banyak lagi isu yang lain seharusnya SPR mengambil serius seperti undi pos, wang deposit dan ketelusan perlembagaan pilihanraya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw juga berpendapat agar SPR meneliti terlebih dahulu cadangan itu secara mendalam sebelum dibentangkan ke parlimen.

Bagi beliau tiada apa yang SPR perlu membawa isu ini sebagai perkara yang perlu diutamakan sangat kerana pada beliau ini bukan soal masa tetapi ianya lebih kepada keadaan politik semasa samada rakyat faham atau tidak erti sebenar demokrasi dan keamanan.

Sdr Saifuddin Nasution Ismail yang juga Pengarah Pilihanraya PKR Pusat menganggap cadangan ini sebagai 'percubaan baik' bagi meredakan bahang ketegangan setiap kali ketika pernamaan calon antara kedua-dua penyokong parti bekenaan.

Namun begitu kenapa hal seperti ini yang perlu diutamakan terlebih dahulu? Bagaimana pula halnya berkaitan senarai pengundi yang masih belum dibersihkan? SPR juga seharusnya perlu mencari jalan kenapa masih ada berjuta rakyat yang tidak mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi?

Pada pandangan saya, SPR seolah-olah lebih mengutamakan isu yang agak ringan berbanding perlaksanaan lain. Kenapa isu dakwat yang seharusnya digunakan ketika PRU 12 lalu masih tidak selesai? Aadakah kerana ianya tidak 'sependapat' dengan parti pemerintah maka ianya tidak boleh dilaksanakan?

Begitu juga setiap cadangan SPR yang kebiasaannya pihak Umno/BN lah yang jarang dapat mengikutinya sebagaimana ketika PRU 2004 dahulu apabila SPR menguatkuasakan agar Barong tidak boleh di bina didalam lingkungan 100 meter dari pintu masuk ke tempat mengundi tetapi daripada pihak Umno terutamanya Puteri Umno sendiri pihak SPR boleh membiarkan sahaja Barong tersebut boleh dibina berhampiran pintu masuk tempat mengundi.

Apakah Umno/BN sendiri dapat mematuhi segala undang-undang ini seperti tidak boleh berkempen lagi selepas jam 12 malam pada malam terakhir kempen? Pengalaman lalu memperlihatkan Umno/BN lah yang biasanya melanggar peraturan ini tetapi tidak pula di ambil tindakan oleh SPR.

Bagaimana pula didalam hal perbelanjaan yang berlebihan oleh parti Umno/BN pada setiap pilihanraya. Kenapa SPR tidak mengambil tindakan pada parti-parti ini walaupun terang-terang ianya berlaku.

Pada pengamatan saya, selagi Umno/BN sendiri yang tidak mampu membentuk disiplin kepada ahlinya selagi itulah segala peraturan SPR yang hendak dilaksanakan tidak mampu untuk dijalankan dengan sempurna. Ini kerana bukti kepada 'perlanggaran' undang-undang ketika pilihanraya oleh mereka sudah banyak dan semua orang tahu mengenainya.

No comments: