Monday, August 3, 2009

AKTA ISA: PERBEZAAN ZAHID HAMIDI DENGAN ZAID IBRAHIM

Gambar Pada Himpunan Mansuhkan ISA, 1 Ogos 2009

Menteri Pertahanan, Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Zaid Ibrahim, Mantan Menteri di JPM (undang-undang)

01 Ogos 2009 berlalu sudah dengan meninggalkan seribu kenangan apabila himpunan anti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah berjaya diadakan walaupun berbagai rintangan dan halangan telah dibuat oleh pihak polis terutamanya bagi membendung rakyat jelata daripada berhimpun bagi melahirkan hasrat tentangan kepada akta yang zalim ISA tersebut.

Di perhimpunan yang bertujuan untuk menghantar satu memorandum menyatakan agar ISA ini dimansuhkan kepada Yang DiPertuan Agung (YDP Agung) pada asalnya telah berjaya menghimpun hampir puluhan ribu para penyokong berbagai peringkat dengan disokong oleh 18 pertubuhan politik dan bukan kerajaan (NGO).

Walaupun begitu usaha dan langkah ini telah dijadikan modal oleh ahli politik BN khususnya Umno termasuk beberapa orang menteri untuk mengecam mereka yang hadir di demonstrasi ini. Ada juga sesetengah antara mereka ini telah memberikan beberapa komen yang lebih berbentuk mempertahankan tindakan kerajaan pimpinan BN untuk terus mengekalkan ISA daripada di hapuskan.

Namun begitu, kenyataan serta komen yang dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan adalah cukup menarik untuk menggambarkan keperibadian beliau sebagai seseorang bekas didikan aliran agama terkenal di Perak (dipercayai Sekolah Agama Izzuddin, Ipoh) yang begitu kuat serta sanggup menggunakan apa cara sekali pun bagi membenarkan ISA ini kekal di pertahankan.

Lagak beliau yang kini bertambah keras sejak menyandang jawatan menteri kanan ini yang begitu angkuh akan mengisytiharkan darurat sebaik sahaja mendapat perkenan YDP Agung sekiranya masih terdapat mana-mana pertubuhan dinegara ini yang berhasrat untuk mengadakan demonstrasi menentang kerajaan secara besar-besaran seperti sabtu lalu.

"Jangan sampai polis dan tentera terpaksa bertindak. Saya sanggup jumpa Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat, Sebenarnya kerajaan memang berhasrat untuk meminda ISA tetapi tidak akan menghapuskan akta itu sama sekali.

Sebaliknya, kerajaan mahu sesuaikan akta tersebut dengan keadaan zaman untuk memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin"


Beliau yang juga Naib Presiden Umno turut menyatakan agar para penentang ISA ini agar tidak menjadi kuda tunggangan pihak tertentu bagi kepentingan politik mereka tersebut.

Menjadi persoalan disini, adakah dengan mengadakan perhimpunan yang pada asal sememangnya tenang dan damai sebelum bertukar menjadi ganas akibat provokasi serta tindakan keras oleh polis sendiri ini perlu diisytiharkan sebagai darurat?

Dimanakah relevannya dengan kata-kata yang keluar daripada mulut seorang bertaraf menteri kanan tersebut untuk kita semua para pembaca menilainya? Hakikat yang sepatutnya menteri seperti Zahid Hamidi ini adalah memperakui bahawa sebenarnya rakyat dinegara kita masih lagi cintakan kedamaian serta menjunjung prinsip-prinsip ketaatan kepada negara serta menghormati perlembagaan negara yang jelas juga antara lainnya menjamin kebebasan setiap rakyatnya bersuara sesuai dengan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh negara kita.

Saya yakin kita yang bersama-sama berada diperhimpunan ini amat faham tentang undang-undang. Sepatutnya juga pihak kerajaan menghormati perhimpunan ini apatah lagi hasrat rakyat untuk melahirkan isi hati akan perlunya ISA ini dimansuhkan segera!

Semua orang mengenali Zahid Hamidi yang suatu ketika dahulu begitu hebat serta berani didalam menentukan tindak tanduknya sendiri apatah lagi didalam menentang tindak tanduk yang jelas zalim berlaku didepan matanya sebagaimana tindakan beliau suatu ketika dahulu pada 1998 apabila mempertahankan Dato Seri Anwar Ibrahim daripada dipecat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kini, adalah teramat malang kita yang mempunyai seorang Menteri Pertahanan yang cukup penakut serta sanggup menggunakan kuasanya untuk membuat tindakan seperti mengisytihar perintah darurat sekiranya masih ada yang berani bertindak sebagai sabtu lalu.

Untuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ini, belajar serta ikutlah seperti Datuk Zaid Ibrahim yang sanggup melepaskan jawatan sebagai seorang menteri yang menjaga undang-undang kerana tidak bersetuju terhadap penggunaan ISA dan Alhamdulillah, beliau kini telah keluar Umno serta telah menyertai PKR dan sesungguhnya kita kini amat berbangga apabila buat pertama kalinya bersama-sama merasai sendiri pengalaman disembur air serta gas pemedih mata sabtu lalu sebagaimana kata-kata beliau;

"Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club, kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan.

Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pncutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari"


Untuk Zaid Ibrahim tahniah saya ucapkan dengan ketegasan dan prinsip yang dimiliki dan untuk Zahid Hamidi janganlah menggadaikan prinsip yang ada sebelum ini hanya kerana pangkat dan kedudukan!

1 comment:

cucu awang teh said...

bro, orang sayangkan pangkat dan jawatan memang cakap macam tu..kalau bro dapat macam zahid hamidi camna,hehehe..re 4 ma c