Friday, August 28, 2009

KALAU INILAH ALASAN PM, SIAPA-SIAPA PUN BOLEH JADI MENTERI!

Hampir semua akhbar-akhbar kepunyaan pemerintah negara hari ini melaporkan tentang perlantikan Dato Sri Idris Jala sebagai seorang menteri kabinet yang baru, yang mana beliau ini adalah seorang bumiputera Sarawak yang juga adalah merupakan Pengarah Urusan (MD) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat penerbangan utama Malaysia (MAS).

Sebagai yang dilaporkan di akhbar dan berita TV, Dato Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri ketika ditanya oleh wartawan mengatakan bahawa perlantikan Idris Jala ini sebagai menteri kabinet tanpa portfolio yang khusus akan di tempatkan di Jabatan Perdana Menteri. Beliau akan bertanggungjawab dan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU).

Sebagai CEO PEMANDU, organisasi yang akan mengawal pelaksanaan insiatif Indeks Prestasi Utama (KPI), Idris akan membantu dan melaporkan kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan pengurusan prestasi.

Idris akan menumpukan terhadap perkongsian kepakaran dan pengalaman di Shell dan MAS serta memacu pelaksanaan pengurusan prestasi dalam kerajaan Persekutuan.

Idris juga akan menjadi Timbalan Pengerusi Lembaga PEMANDU akan bertanggungjawab untuk sub khusus N-KRA dan KPI Nasional (N-KPI).Beliau akan melapor kepada Tsu Koon mengenai isu-isu berkaitan KPI dan terus kepada Perdana Menteri mengenai tugas yang akan diberikan kepada beliau sebagai Menteri tanpa portfolio di JPM.

Bagi saya perlantikan secara tiba-tiba ini amat mengejutkan rakyat negara ini umumnya apatah selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi beliau telah berjanji untuk memperkecilkan jumlah anggota kabinetnya selaras dengan langkah dan slogan " 1 Malaysia, Rakyat didahulukan, Percapaian di utamakan".

Oleh itu untuk mengelakkan berbagai pembaziran, langkah Najib menggabungkan beberapa kementerian dan mengecilkan saiz serta jumlah anggota menteri amatlah di sanjung tetapi rupa-rupanya hanyalah sementara sahaja kerana selepas enam bulan sahaja, Najib telah mula membuat perubahan dengan melantik dan menambah seorang lagi menteri baru yang sekiranya dinilai tidaklah mendatangkan apa-apa faedah pun andainya mengambil kira tugas-tugas Idris Jala ini hanyalah sebagai CEO PEMANDU yang bertanggungjawab terus menjaga KPI para menteri!

Apa rasionalnya perlantikan Idris Jala ini? Sebagaimana menurut Najib lagi, kehebatan Idris Jala yang berjaya memulihkan kerugian MAS selepas dilantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO MAS pada Disember 2005 cukup mengkagumkan diri beliau sendiri sebagai orang yang mampu untuk membantu kabinetnya.

Antara langkah awal yang dilakukan oleh Idris Jala sebaik sahaja di lantik sebagai Pengarah Urusan dan CEO MAS ialah apabila mengadakan 'lelongan dan jualan secara besar-besaran Bangunan milik MAS di Jalan Sultan Ismail'! Alasan beliau dengan cara menjual bangunan MAS ini sahaja sedikit sebanyak mampu membendung kerugian yang semakin bertambah pada syarikat penerbangan negara yang ulung ini tanpa mengambil kira bagaimana bersusah payahnya kepimpinan MAS yang terdahulu untuk memperolehi sebuah mercu tanda bangunan MAS itu.

Teringat kalau tidak silap saya sebagaimana menurut kata Mantan Pengarah Urusan MAS Tan Sri Aziz Abdul Rahman yang lebih kurang bunyinya;
"kalau setakat menjual bangunan kepunyaan MAS yang sudah sekian lama di miliki tanda kehebatan MAS itu mampu membendung kerugian dan mampu memperolehi pendapatan untuk MAS, siap-siapa pun boleh melakukannya...."

Apakah 'kehebatan' terhadap 'pakej-pakej jualan' yang ditunjukkan oleh Idris Jala inilah yang menyebabkan Najib tidak teragak-agak untuk melantik beliau sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab penuh untuk memantau menteri-menteri kabinet yang lain? Bukankah tindakan ini amat ganjil serta pelik kerana dilantiknya seorang menteri baru bagi memikul tugas memantau menteri-menteri yang lain sejajar dengan janji Najib untuk mengadakan suatu tanda aras untuk pelaksanaan insiatif Indeks Prestasi Utama (KPI)?

Tetapi itulah hakikatnya, dengan prestasi ekonomi negara kita yang kian merudum walaupun berbagai langkah serta pakej rangsangan ekonomi yang telah di adakan namun ianya tetap tidak memperlihatkan kesan perubahan yang ketara. Sebagai rakyat Malaysia yang begitu sayangkan negara ini, kita mahu melihat setiap perancangan dan perubahan hendaklah dilakukan demi untuk rakyat dan bukannya untuk 'tembolok dan kantung' beberapa kerat antara mereka sahaja!

No comments: