Perlantikan Dato Sri Jamaluddin Jarjis (atau lebih dikenali sebagai JJ) sebagai Duta ke Amerika Syarikat (AS) yang baru bertaraf menteri sejak 5 Ogos lalu sudah tentu sedikit sebanyak memberi pengiktirafan yang tinggi kepada pemimpin dan rakyat yang berasal dari negeri Pahang itu sendiri.
Namun begitu timbul persoalan kini bagaimana beliau yang juga seorang Ahli Parlimen Rompin yang masih menyandang jawatan tersebut akan dapat membantu serta mengambil tahu segala masalah rakyat yang berada di parlimen Rompin ini dengan mengambil kira jarak diantara Rompin itu sendiri dengan Amerika Syarikat yang sudah pasti beribu kilometer jauhnya?
Sebagaimana menurut penduduk Rompin sendiri mengatakan, sedangkan beliau ketika masih menjadi seorang menteri di pusat pun tetap liat dan agak jarang untuk balik mengambil tahu masalah rakyat di Rompin ini kan pula kini dengan dilantik sebagai duta yang berada jauh nun di Amerika Syarikat untuk bertanya khabar kami di Rompin ini?
Sebagaimana laporan akhbar Utusan Malaysia (hari ini 15 Ogos 2009) selaku akhbar pengampu nombor wahid negara, ketika menyiarkan kenyataan oleh JJ sendiri semasa menghadiri programnya di Rompin semalam antara lain menyatakan;
Beliau tetap akan balik ke Rompin untuk meninjau masalah rakyat di sini, lagi pun setiap 3 bulan sekali parlimen bersidang sudah pasti beliau akan balik dan peluang ini membolehkan beliau turun ke rompin juga. Disamping itu juga beliau hadir ke mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang diadakan setiap bulan dan ini juga membolehkan beliau kembali untuk meninjau dan mengambil tahu hal ehwal Rompin
Beliau juga turut memberi keyakinan yang sedikit sebanyak membolehkan kita semua tersenyum sendiri melihat kepada kenyataannya;
Beliau juga akan turut meminta agar perkhidmatan komuniti internet secara percuma juga akan dapat diadakan di Rompin ini bagi memberi ruang penduduk Rompin mengadu secara terus kepadanya di Amerika Syarikat melalui perkhidmatan internet ini
Secara peribadi kenyataan beliau sebagai seorang ahli parlimen dilihat cukup 'bersemangat tinggi' serta agak bersungguh untuk meninjau permasalahan rakyat Rompin terutamanya dan ini amatlah dikagumi oleh kita semua, namun begitu apabila mengenangkan kembali rekod-rekod beliau yang lampau sebagaimana yang didakwakan oleh penduduk-penduduk Rompin sendiri kerana kegagalannya untuk kerap melihat penduduk Rompin, kita merasakan kurang yakin yang teramat sangat terhadap kata-kata tersebut.
Satu hal lagi bila diteliti kenyataan beliau, kita juga akan merasa 'kagum' dengan kepesatan jalur lebar dan perkhidmatan internet yang begitu 'meluas' di Rompin ini! Kita merasa 'bangga' yang teramat sangat kerana kata-kata ini dikeluarkan oleh seorang ahli parlimen yang kini telah menjadi duta perihal 'kemajuan' yang ketara di Rompin!
Kadang-kadang apabila kita membaca laporan yang disiarkan oleh akhbar ini, Rompin seolah-olah digambarkan seperti bandar yang bertaraf bandaraya dengan kemudahan WiFi, Broadband dan perkhidmatan jalur lebar telah 'meliputi' seluruh daerah Rompin! Namun secara realitinya berapa banyak rumah lagi disana yang tiada kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalanraya serta telefon. Bagaimana mungkin kenyataan yang didendangkan semalam itu mampu memberi hasil yang baik kepada rakyat?
Bagi saya apa yang diperkatakan oleh JJ ini hanyalah kata-kata untuk menyedapkan hati penduduk sahaja didalam keadaan JJ menerima tekanan yang kuat menuntut agar beliau meletak jawatan sebagai ahli parlimen dan jawatan ahli parlimen Rompin itu elok lah dipertandingkan semula bagi memberi laluan kepada orang lain untuk memikul tanggungjawab sebagai ahli parlimen baru dengan lebih berkesan lagi.
Sebenarnya untuk rekod, JJ ini bukanlah orang pertama yang dilantik sebagai Duta bertaraf menteri dan didalam masa yang sama memegang jawatan sebagai ahli parlimen kerana diawal tahun 80an dahulu Dato Mohamad Rahmat (kini Tan Sri) sendiri pernah dilantik sebagai Duta bertaraf menteri ke Indonesia yang juga ketika itu masih memegang jawatan sebagai ahli parlimen.
Melantik seseorang yang telah mula 'menampakkan kemalapan' dirinya didalam karier politik untuk memegang jawatan yang boleh menaikkan kembali 'kekuatannya' seperti dilantik sebagai seorang Duta kadang-kadang juga menimbulkan satu persoalan kita semua, apakah seramai-ramai kakitangan kerajaan yang bertaraf kanan di setiap jabatan kerajaan tidak mampu untuk mengisi kekosongan jawatan Duta tersebut?
Amat malang bagi negara kita yang telah hampir menginjak ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 52 pada 31 Ogos ini masih lagi mengamalkan kaedah seperti ini. Adalah lebih elok sekiranya jawatan-jawatan seperti Duta ini diberi kepada kakitangan tinggi kerajaan yang sudah pasti akan bertindak secara profesional tanpa mencampur aduk kan kepentingan politik didalam tugasnya dan sudah pasti nama negara kita di luar negara akan lebih dihormati serta dikagumi oleh masyarakat antarabangsa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment