Tuesday, November 17, 2009

APABILA NEGARA KOMUNIS LEBIH TAHU ERTI RASUAH

Akhbar Mingguan Malaysia (MM) pada 15 November 2009 lalu menyiarkan bagaimana tegasnya pemerintah di Negara China melalui Parti Komunis China mengambil tindakan yang teramat tegas hanya kerana untuk memenangi isu rasuah yang kian berleluasa sebelum menjadi semakin teruk dinegara komunis tersebut.

Langkah Parti Komunis China tersebut yang menggesa agar pegawai-pegawai China supaya menyingkirkan perempuan simpanan dan menjauhi pelayan bar, serta pusat hiburan adalah salah satu langkah Parti Komunis China ini untuk membendung anasir yang kurang sihat ini.

Didalam satu ucapan yang dibentangkan oleh seorang pemimpin parti tersebut ada mendedahkan bahawa hamper 95 peratus pegawai yang disiasat diatas dakwaan berbentuk rasuah di Negara tersebut didapati ada terlibat dengan perkara yang tidak bermoral ini.

Laporan yang disiarkan di MM ini seharusnya diambil ikhtibar dan dipandang serius oleh pimpinan tertinggi Negara kita terutamanya didalam membenteraskan gejala rasuah tidak kiralah samada rasuah itu didalam bentuk wang ringgit, projek, harta benda, seks atau pun sebagainya kerana ianya tetap salah dari segi moralnya atau pun dari segi etika peribadi itu sendiri.

Sebab itu apabila rasuah itu masih tidak dipandang sebagai salah satu penyakit moral yang serius maka apa-apa pun yang diperkatakan berkaitan dengan rasuah ini, ianya hanyalah dipandang sebelah mata sahaja kerana bagi mereka ini rasuah itu lebih berbentuk soal peribadi sahaja dan tidak melibatkan soal kemasyarakatan itu sendiri.

Dalam Negara kita, isu rasuah ini terutamanya yang melibatkan pemimpin-pemimpin selalunya dianggap kecil sahaja dan selagi mereka ini ‘berjasa’ besar kepada penduduk atau pun masyarakat setempat sebelum ini, itu bukannya persoalan yang besar kerana sebagaimana yang saya katakana tadi, isu rasuah masih dianggap sebagai masalah peribadi dan tidak menjadi isu kepada masyarakat sekelilingnya.

Sebagai contohnya kemenangan Tan Sri Isa Samad ketika di pilihanraya kecil Dun Bagan Pinang tempohari dengan majoriti yang cukup besar disamping dengan bantuan undi pos langsung tidak menghairankan para pengundi disana walaupun ‘serangan’ yang dilemparkan kepada Isa Samad itu sendiri yang dikaitkan dengan rasuah wang dianggap sebagai tepat pada masanya!

Walaupun parti lawan daripada Pakatan Rakyat (PR) yang bertubi-tubi setiap hari tanpa henti menyerang dan memainkan isu rasuah beliau didalam pemilihan Umno 2004 lalu, masyarakat setempat masih mengganggap isu ini amat remeh sekali dan langsung tidak menjejaskan Isa Samad untuk terus meraikan kemenangan pada hari itu.

Bagi masyarakat setempat disitu beranggapan isu rasuah adalah isu yang dikaitkan dengan peribadi dan didalam masa yang sama pula segala jasa dan pembangunan yang dibawa oleh Isa Samad selama hampir 22 tahun lebih ketika menjadi MB Negeri Sembilan seharusnyalah di pandang tinggi dan diingati akan jasanya itu !

Sebab itu saya katakan bahawa selagi mentaliti rakyat kita terhadap rasuah samada rasuah wang, projek atau sebagainya masih lagi di anggap sebagai perkara kecil serta isu terpencil, selagi itulah isu rasuah ini akan tetap berleluasa dan menular sehingga menjadi duri kepada kehidupan kita.

Kerajaan yang ada pada hari ini sepatutnya perlu mempunyai niat politik yang kuat ‘political will’ yang setinggi mungkin bagi menghapuskan gejala yang kurang sihat ini dan bukannya sekadar menukar nama Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-mata bagi menunjukkan kepada umum bahawa kerajaan Negara pimpinan Barisan Nasional (BN) ini begitu komited perjuangan menentang rasuah pada semua tanpa mengira sesiapa pun.

Kadang-kadang kita terasa malu dengan beberapa Negara seperti Singapura dan terbarunya Negara China apabila melihat kesungguhan mereka ini didalam membenteraskan rasuah. Kita malu kerana pimpinan negara ini terutamanya pemimpin-pemimpin Umno selalu mendendangkan bahawa Malaysia adalah negara Islam tetapi masalah rasuah terus semakin meningkat naik dari tahun ke tahun.

Kita malu kenapa negara bukan Islam seperti Singapura dan China yang begitu bersungguh untuk menentang gejala ini walhal kitalah sepatutnya lebih kehadapan berbanding mereka didalam pembenterasan rasuah. Lihatlah seperti negara China bagaimana perkara (rasuah seperti wanita simpanan) yang dianggap remeh oleh sesetengah pimpinan negara kita telah dianggap sebagai serius demi kesejahteraan rakyat dinegara tersebut.

Untuk akhirnya, adalah perlu untuk pimpinan kerajaan terutamanya di peringkat persekutuan yang dikuasai oleh Umno / BN agar merasa insaf akan ketidak upayaan mereka untuk menghapuskan gejala rasuah ini kerana akibat daripada ‘permainan’ serta masalah tidak serius mereka sendiri juga sebagaimana yang selalu di war-warkan oleh pimpinan PR serta diperkatakan oleh rakyat bawahan sekarang bahawa pencegahan rasuah dinegara ini lebih bersikap terpilih seumpama ‘Bilis sahaja ditangkap, manakala Jerung dilindungi” !

No comments: