Tuesday, November 17, 2009
RM 1, ANWAR & PENASIHAT EKONOMI SELANGOR !
Perlantikan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor terus dijadikan bahan kecaman oleh para pemimpin dan penyokong kerajaan BN samada di peringkat pusat atau pun pemimpin di peringkat bawahan.
Sehingga kini sudah ramai pimpinan Umno / Barisan Nasional (BN) dan juga ahli politik Bebas yang memberi ‘pandangan songsang’ serta negatifnya terhadap DSAI termasuklah yang terbaru oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia zaman DSAI sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan kabinet beliau ketika itu.
Apabila Tun sendiri memperkecilkan dan merendah-rendahkan kemampuan dan kehebatan DSAI sebagai orang yang ahli didalam bidang ekonomi dan diiktiraf oleh kerajaan Selangor kini, secara tidak langsung juga ianya menunjukkan kepada semua akan ‘betapa kurang cerdiknya’ tindak tanduk Tun sendiri yang melantik dan mengiktirafkan kebolehan DSAI dengan melantik DSAI sebagai Menteri Kewangan kabinet beliau pada tahun 1991 sehinggalah DSAi dipecat pada 2 September 1998.
Sepatutnya Tun dan beberapa orang pemimpin yang lain daripada kalangan Umno / BN atau pun Bebas seperti Dato Seri Rais Yatim, Dato Syed Ali Al-Habshee, Dato Ibrahim Ali dan yang lainnya memberi ruang dan melihat terlebih dahulu apakah dengan perlantikan DSAI oleh kerajaan Selangor sebagai berjaya atau memberi pulangan yang sewajarnya atau tidak dan bukannya 'sembrono' terus menghentam serta mengherdik akan kemampuan DSAI yang sejak dulu lagi beliau diiktiraf oleh Negara luar termasuk daripada Negara Eropah serta Negara-negara Arab sendiri sehinggakan ada Negara Arab sendiri yang berani melantik beliau sebagai Penasihat Ekonomi kepada Raja atau Emir mereka juga?
Sebenarnya kalau dikaji dan diselidiki kembali, tiada apa pun yang cacat atau kurangnya pada DSAI sekiranya beliau dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor ini yang hanya dibayar elaun bulanannya hanyalah RM 1.00 sebulan. Sepatutnya kita berbangga memiliki pemimpin sebegini yang tidak mengutamakan elaun serta imbuhan tetapi lebih kepada khidmat bakti serta pengalaman beliau yang kita mahukan.
Tiada apa yang hendak dihairankan kepada beberapa kerat pemimpin samada daripada Umno / BN atau pun seperti daripada Ibrahim Ali sendiri kerana pada mereka apa sahaja tindakan DSAI tidak pernah menyenangkan mereka malahan jauh sekali dipandang positif oleh mereka semua. Walaupun telah terbukti ada bagaimana akhirnya cadangan DSAI diberi pengiktirafan oleh pimpinan BN sendiri sebagaimana pengiktirafan Hari Malaysia 16 September dijadikan sebagai cuti umum pada setiap tahun mulai 2010 ini (* Cuti Umum 16 September Hari Malaysia itu adalah hasil idea dan gagasan DSAI sendiri pada Kerajaan Pakatan Rakyat) tetapi yang akhirnya mendapat nama dan pengiktirafan adalah PM DS Najib Tun Razak kerana ‘memahami jiwa serta konsep 1Malaysia’ kononnya!
Pemimpin-pemimpin seperti ini hanyalah menghuraikan apa yang dikatakan sebagai ketidak upayaan DSAI sekiranya dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor tetapi didalam masa yang sama pula langsung tidak memberi pandangan kepada PM Dato Seri Najib Tun Razak sendiri bagaimana untuk memulih serta memacukan ekonomi Negara agar terus bertambah baik sekurang-kurangnya sama hebatnya pada tahap dizaman percapaian DSAI sendiri selaku Menteri Kewangan era beliau yang sentiasa mencapai pertumbuhan ekonomi tahunan Negara di sekitar 7-8 peratus setahun!
Kadang-kala isu yang dibangkitkan untuk menentang perlantikan DSAI ini dilihat begitu ‘bodoh’ serta ‘rendah IQ’ dan bukannya pada tahap pemikiran kita untuk di fikirkan bersama! Sebagai contoh apa yang dipertikaikan oleh Ibrahim Ali umpamanya lebih menjuruskan persoalan kenapa TS Khalid Ibrahim selaku MB Selangor tidak memberitahu kepada umum soal elaun sampingan DSAI perolehi, soal perbelanjaan perjalanan DSAI kesana kemari, soal kegunaan pejabat oleh DSAI dan sebagainya? Kenapa perkara ini dijadikan senjata oleh Ibrahim Ali untuk mempertikai perlantikan DSAI sebagai Penasihat Ekonomi Selangor?
Begitu juga sebagaimana alasan yang dimainkan oleh Tun apabila menyindir kepada DSAI sebagai Penasihat Ekonomi yang ‘bagus’ kerana hampir-hampir menjatuhkan ekonomi Negara pada tahun 1998 dahulu dengan mencadangkan polisi IMF agar diterima ketika itu. Ini semua adalah alasan yang tidak pernah dibuktikan secara benar oleh sesiapa pun walhal apa yang dilakukan oleh DSAI ketika itu semuanya adalah bertujuan untuk mengawal semaksima mungkin perbelanjaan kewangan Negara yang agak tenat gara-gara krisis kemelesetan ekonomi ketika itu agar tidak sewenang-wenangnya disalah gunakan oleh suku sakat dan orang-orang yang berkepentingan peribadi ketika itu.
Kadang kala alasan yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Umno / BN ini lebih kepada menjuruskan ‘sifat dengki’ terhadap kemampuan DSAI itu sendiri seperti merendahkan latar belakang pendidikan Sastera DSAI sahaja berbanding sepatutnya orang yang berlatar belakangkan Ekonomi lebih dilihat berkemampuan sebagai Penasihat Ekonomi? Perlu diingat apakah dengan berlatar belakang Ekonomi sahaja seseorang itu mampu menguasai bidang tersebut dan apa guna sekiranya orang berlatar belakang bidang tersebut turut ‘cekap’ dan ‘pandai’ menipu serta menyapu duit rakyat serta hasil mahsyur Negara sebagaimana yang berlaku sebelum ini?
Pada saya secara peribadinya, kita seharusnya terbuka dan melihat terlebih dahulu akan kemampuan orang tersebut sebelum menghukum seawalnya tanpa langsung mengambil kira rekod DSAI dahulu terutamanya sepanjang DSAI mengetuai Perbendaharaan Negara disekitar 1991-1998, apakah yang berlaku dan lihatlah bagaimana pertumbuhan ekonomi Negara kita ketika itu? Sesungguhnya orang diluar Negara seperti Eropah dan Arab sudah lama mengetahui kehebatan DSAI, begitu juga kita semua selaku rakyat marhein pun tahu akan kemampuan DSAI, Cuma yang jelas hanya pemimpin-pemimpin daripada Umno dan BN sahaja yang tidak pernah tahu, ambil tahu dan untuk tahu akan kehebatan, kemampuan serta pengalaman DSAI….
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment