Thursday, November 19, 2009

TUN MENTERI KANAN, RAHIM "EXCO KANAN"?

Membaca cadangan yang dibuat oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik di media massa sehari dua ini agar Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai menteri kanan didalam kabinet Dato Sri Najib Tun Razak adalah amat ‘kelakar’ sekali memandangkan Tun sudah terlalu lama berada didalam kerajaan semenjak daripada zaman Almarhum Tun Razak lagi sebagai Perdana Menteri.

Memang kita akui dengan kepakaran serta kebolehan yang dimiliki oleh Tun adalah amat wajar dimanfaatkan semua terutamanya kepakaran beliau didalam menjadikan Negara ini berdaya maju serta berkembangnya dari segi ekonomi bukan setakat kepada Negara kita tetapi juga pada Negara serantau.

Saya tersenyum sendirian apabila membaca hujah-hujah yang dilontarkan oleh Rahim ini agar Tun dilantik serta diberi peluang untuk menjawat menteri kanan persekutuan yang pada pendapat saya cadangan Rahim ini lebih menjuruskan sebagaimana langkah yang dibuat oleh Negara jiran Singapura yang berterusan memanfaatkan dua bekas perdana menterinya yang terdahulu dengan meletakkan Lee Kuan yew sebagai Menteri Mentor dan Goh Chok Tong sebagai Menteri Kanan Singapura.

Sebagaimana alasan Rahim kenapa Tun perlu dilantik sebagai menteri kanan ialah kerana kononnya pengaruh yang dimiliki atau ‘auranya’ terutamanya dikalangan Negara-negara dunia ketiga serta Negara Islam masih lagi kuat dan sehingga kini masih sering menerima jemputan untuk menghadiri persidangan antarabangsa. Oleh yang sedemikian lebih elok kata Rahim lagi agar Tun diberi jawatan tersebut bagi mengiktiraf beliau sebagai pemimpin terhormat Negara ini!

Cuma kita hairan kenapa Rahim begitu bersungguh-sungguh agar jawatan menteri kanan ini dapat dipertimbangkan oleh Najib? Kita juga hairan kenapa Rahim tidak sahaja melobi diri beliau untuk dijadikan Ahli Dewan Negara (Senator) dan seterusnya dilantik sebagai salah seorang menteri kabinet Najib apatah lagi dengan latar belakang Rahim sendiri yang cukup hebat didalam bidang ekonomi?

Pada perkiraan yang lain ‘tetapi ‘pelik’ sedikit, alangkah bagus dan elok sekiranya Rahim sendiri selaku mantan Ketua Menteri (KM) Melaka yang ‘terpaksa’ meletakkan jawatan KM pada akhir era 90an dahulu di beri peluang untuk kembali berkhidmat didalam Kerajaan Negeri Melaka dengan mewujudkan satu jawatan yang mesti digazetkan oleh negeri tersebut iaitu sebagai "Exco Kanan Melaka" kerana pada pandangan saya Rahim sehingga kini masih disegani serta di hormati oleh kawan dan lawan sebagai seorang yang berketrampilan serta cemerlang didalam hal yang berkaitan dengan ekonomi ketika menjadi Ketua Menteri Melaka suatu ketika dahulu.

Saya rasa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam sudah tentu boleh menimbang permintaan ini kerana ianya adalah untuk kebaikan negeri Melaka juga. Sebagaimana Tun, Rahim juga amat lah dikenali oleh masyarakt luar samada dalam Negara ataupun luar Negara dan sehingga kini pun tetap mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.

Mungkin akan ada orang berkata mana mungkin boleh diwujudkan jawatan exco kanan ini sebagai ‘special’ kerana sudah menjadi kebiasaan mana-mana kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia, Menteri Besar (MB) atau Ketua Menteri (KM) kadang-kala akan mengisytiharkan secara automatik salah seorang seorang daripada barisan exconya sebagai "Exco Kanan" di dalam barisan Exco Kerajaan Negerinya.

Ya, kita akui tanggapan tersebut bahawa jawatan exco kanan kebiasaannya akan diumumkan oleh MB atau KM tetapi secara amnya ia tidaklah digazetkan sebagaimana didalam peruntukan yang ada didalam perlembagaan negeri, kewujudan jawatan exco kanan sekarang hanya sekadar untuk membezakan senioriti seseorang exco itu sahaja sebenarnya.

Oleh yang sedemikian, alangkah eloknya sekira Rahim ini diberikan jawatan sebagai "Exco Kanan" yang benar-benar wujud didalam peruntukan perlembagaan negeri. Barulah ianya dipandang tinggi serta gah dengan kedudukan sebagai Exco Kanan yang digazetkan!

Sebagaimana kata Rahim kalau Tun di lantik sebagai menteri kanan semuanya akan dilihat ‘serba menjadi dan hebat’ kepada Negara kita kerana ‘aura’ Tun, begitulah juga sekiranya Rahim dilantik sebagai "Exco Kanan", sudah pasti jugalah Melaka akan disegani oleh orang diluar sana kerana kehebatan serta reputasi yang dimiliki Rahim kepada negeri Melaka juga. Tidak mustahil bukan? Exco Kanan dalam erti kata yang sebenar sebagai Kanan….

No comments: