Wednesday, February 24, 2010

APABILA ROYALTI MINYAK DIPOLITIKKAN...

Pendedahan berbentuk iklan-iklan di semua dada akhbar (edisi berbahasa melayu sahaja? ) kelmarin berkaitan soal pembayaran wang ehsan atau royalti Petronas kepada kerajaan negeri-negeri yang terlibat terutamanya seperti Kelantan dirasakan sudah menjadi semakin kusut dan kalut!

Sebagaimana yang diperjelaskan oleh Ku Li sendiri sebelum ini diceramah beliau di Kota Bharu, beliau sebagai orang yang bertanggungjawab secara terus pada ketika itu didalam Petronas amat mengetahui akan perjanjian ini.

Dengan Tun Salleh Abas (Mantan Ketua Hakim Negara) orang yang bertanggungjawab merangka perjanjian ini suatu ketika dahulu masih hidup sehingga kini sendiri sudah menjelaskan akan kebenaran itu, menyebabkan Ku Li sendiri masih tidak memahami kenapa masih ada orang-orang yang berkepentingan politik dalam soal ini berterusan menafikan pembayaran royalti tersebut kepada Kelantan?

Samada pembayaran ini perlu dibayar atas nama wang royalti ataupun wang ehsan kini sudah menjadi semakin kusut kerana telah ada unsur–unsur politik yang semakin menguasai didalam hal pembayaran ini.

Kenapa saya berkata sedemikian? Sekiranya kita membaca komen yang dibuat oleh Sdr Zaini Hassan didalam ruangan ‘Cuit’ Utusan Malaysia (UM) hari ini bertarikh 24 Februari 2010, di muka surat 6, kita merasakan kebenaran akan adanya unsur-unsur dendam politik terhadap kerajaan Kelantan telah menjadi kenyataan.

Artikel beliau yang bertajuk “ Formula mudah jika Kelantan mahu royalti minyak” benar-benar menjelaskan perasaan tersebut. Sekiranya kita membaca artikel tersebut, pada akhir artikel itu jelas sekali perkiraan yang telah dibuat oleh Sdr Zaini Hassan ialah hanya dengan formula menukarkan kerajaan daripada pemerintahan PAS kepada BN sahaja yang mampu merealisasikan pembayaran diatas nama royalti?

Dengan beliau membangkitkan dahulu ketika negeri Terengganu berada di tangan pemerintahan PAS pun , mereka (PAS dan pembangkang lain) turut bising kerana soal pembayaran ini tidak dilakukan sebagaimana sebelum ini , tetapi apabila kerajaan Terengganu pimpinan PAS kalah kepada BN maka pembayaran ini terus berjalan dengan baik walaupun istilah pembayaran kerap kali dipersoalkan dan dikelirukan ‘wang ehsan atau pun wang royalti’?

Sebab itu secara peribadinya saya berpandangan, isu pembayaran royalti minyak kepada Kelantan kini telah menjadi isu dendam politik kepada Kelantan dibawah pimpinan PAS.

Pada saya ini bukan soal mempertikaikan kemampuan kerajaan negeri menguruskan soal duit bayaran tersebut untuk pembangunan negeri tetapi ini lebih kepada kebimbangan mereka (ahli-ahli politik UMNO/BN) didalam meneruskan ‘political survivor’ UMNO / BN sendiri di Kelantan.

Oleh yang demikian apabila kerajaan Pusat telah membuat ketetapan bahawa bayaran dalam bentuk wang ehsan ini akan diberikan melalui agensi persekutuan di sana dan bukannya dibayar kepada kerajaan negeri secara terus ramai dikalangan mereka (pemimpin-pemimpin UMNO / BN) yang merasa ‘gembira’!

Seharusnya kita melupakan persengketaan politik. Yang menjadi hak seharusnya menerimanya. Yang sepatutnya membayar seharusnya membayar kepada yang berhak. Kelantan negeri yang bermajoritikan orang melayu Islam (80-99% bumiputera melayu) selain negeri Terengganu, Kedah dan Perlis seharusnya tidak 'disusahkan' pembayaran tersebut. Bayar sajalah, habis cerita. Jangan direka dan diciptakan segala penyebab untuk mengelakkan pembayaran tersebut!

Oleh itu apakah lagi yang boleh kita nafikan didalam hal ini? Yang pasti artikel yang dikeluarkan oleh Sdr Zaini Hassan ini seolah-olahnya telah mengesahkan isu pembayaran royalti hanya boleh diselesaikan melalui 'formula' yang disarankan tersebut. Jelas segalanya….oleh itu marilah sama-sama kita menilainya.

No comments: