Entahlah apa yang boleh diperkatakan lagi. Sebagaimana menurut akhbar Utusan Malaysia (UM) hari ini 20 Februari 2010 (muka surat 4), yang menyiarkan laporan kerosakan dua pesawat Sukhoi yang rosak teruk akibat dimasuki objek luar dipercayai serpihan batu dan konkrit landasan yang dikatakan ‘kurang bermutu’(dalam erti kata lain pembinaan landasan tersebut tidak menepati piawaian)?
Manakala satu lagi laporan ialah kerosakan kapal selam pertama negara yang diberitahu hari ini di UM sudah siap diperbaiki?
Tiada hasrat untuk mengulas kenapa kerosakan-kerosakan tersebut boleh berlaku kerana telah menjadi resam kehidupan dunia, yang baru akan menjadi lama, yang muda akan menjadi tua dan begitu jugalah barang yang baru masih elok lama-kelamaan akan jadi lama dan berlakulah kerosakan.
Cuma apa yang dipertikaikan ialah kenapa siri-siri kerosakan yang berterusan melibatkan pada sistem pertahanan negara begitu mudah berlaku? Adakah ketika proses pembelian sebelum ini tidak diselidiki serta di fahami terlebih dahulu agar boleh ‘bersedia’ lebih awal?
Umum rakyat negara kita mengetahui, Malaysia membeli sebanyak 18 buah pesawat baru Sukhoi Su-30 MKM dari negara Russia bernilai RM3.42 bilion pada tahun 2003 yang difahamkan pesawat ini adalah pesawat pelbagai peranan dan termoden di dunia sehingga mampu memartabatkan TUDM sebagai sebuah angkatan udara dominan di rantau ini! Amat hebat bukan?
Hakikat yang perlu diketahui juga oleh seluruh rakyat negara ini ialah Su-30 MKM milik TUDM ini menjadi igauan negara-negara lain untuk memilikinya kerana keupayaan pergerakan taktikal yang tidak mampu ditandingi oleh pesawat ciptaan blok Barat yang lain.
Tetapi kerosakan mudah yang berlaku terhadap dua pesawat ini amatlah mengejutkan kita kerana apakah pesawat yang secanggih dan sehebat ini tidak mampu ‘menidakkan’ kerosakan akibat daripada bendasing yang memasuki kedalam pesawat tersebut? Seolah kelemahan sekecil ini tidak mampu ditangani oleh pesawat yang secanggih ini?
Apakah dengan mengesyaki kelemahan dan kecuaian kontraktor yang membina landasan TUDM Gong Kedak sebagai ‘tempat bermulanya’ bendasing tersebut memasuki kedalam pesawat itu sudah boleh dijadikan asas untuk menutup sebarang kecuaian yang mungkin berlaku sebelum ini.
Begitu juga yang berlaku terhadap kerosakan kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman apabila dilaporkan sebelum ini berlakunya kerosakan pada sistem saluran air bertekanan tinggi.
Sebagaimana menurut Menteri Pertahanan, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui memang wujud sedikit masalah tetapi ia bukanlah isu yang patut diperbesarkan kerana yang timbul adalah kerosakan mekanikal sahaja.
Dengan kos pengoperasian dua kapal selam termasuk senggaraan dianggarkan RM290 juta setahun sebagaimana menurut kata Menteri Pertahanan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi lagi apakah isu kerosakan ini walaupun dilihat sebagai kecil harus didiamkan? Ini soal keselamatan anggota tentera kita yang mengendalikan kapal selam ini.
Untuk rekod nilai kontrak perolehan kapal selam berkenaan ialah Euro 1.084 bilion (RM5.382 bilion) meliputi harga pembelian dua kapal selam baru, latihan untuk warga kapal selam, pakej bantuan lojistik bersepadu dan alat ganti serta penyediaan kemudahan pelatih kapal selam dan tim projek.
Sebagai rakyat Malaysia, kita sendiri tertanya-tanya kenapa dengan kos yang begitu besar dengan nilaian berbilion ringgit pada pembelian dua sistem pertahanan terbaik negara yang sudah semestinya boleh diumpamakan “Alah membeli menang memakai” masih boleh mengalami kerosakan pada jangka waktu yang terdekat selepas pembelian ini?
Bukan sedikit wang rakyat digunakan untuk tujuan diatas. Seharusnya bukan hanya siasatan pada kerosakan ini sahaja yang perlu diadakan malahan ianya perlu meliputi kesemua aspek merangkumi mereka yang terlibat didalam tim awal proses pra-pembelian lagi.
Tim atau pasukan yang mengadakan urusan jual beli sistem ini sejak awal sepatutnya sudah boleh mengesan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku dan bukannya bertindak sebagai ‘orang tengah’ urusniaga sahaja!
Sebagai diantara negara yang kini memiliki sistem pertahanan yang turut diakui di rantau Asia ini samada udara atau laut, masalah kerosakan yang sebegini tidak seharusnya berlaku kerana sedikit sebanyak apa yang telah terjadi boleh mencemarkan nama negara kita di mata dunia!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
salam, dahsyatlah lu brother, mana dapat info ni, ada pasang spy ke, betul ke cerita ni, ke reka je, rasa akulah kan, nak masuk dalam area mindef tu pun susah, ni kan nak dapat maklumat mcm ni, betul ke ni bro, ke ada maksud dan niat tersendiri ni, jangan dok bongkar sangat segala isu yang berkaitan pertahanan negara ni, bak kata menterinya, ada org yang menyalurkan rahsia pertahanan kepada luar, aku rasa lu ni mcm nak bagi info pada org luar je, semestinya org yg baca perkara ni akan menganggap negara kita lemah bro, jangan dok seronok nak menulis dan terlalu lebih sangat nak ambil tahu, jangan sampai niat yg baik salah diertikan oleh org lain, hati2 tu bro, aku bukan apa, bila aku baca penulisan bro ni mcm ada berbau kerahsiaan negara..hati2 bro..
salam..semua maklumat ni ada dlm paper BH dan UM je...cuma kita simpan keratan tu :) semua ni kenyataan menteri sendiri yg cakap kat paper dan internet pun..just cari dlm google je, thanks bro :)
Berita BERNAMA bawah tajuk: "Kos operasi kapal selam RM290 juta setahun.(December 15, 2009)
Berita Penuh:
Kos pengoperasian dua kapal selam termasuk senggaraan dianggarkan RM290 juta setahun, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata nilai kontrak perolehan kapal selam berkenaan ialah Euro 1.084 bilion (RM5.382 bilion) meliputi harga pembelian dua kapal selam baru, latihan untuk warga kapal selam, pakej bantuan lojistik bersepadu dan alat ganti serta penyediaan kemudahan pelatih kapal selam dan tim projek.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Charles Santiago (DAP-Klang) yang ingin tahu mengenai ancaman yang dihadapi oleh Malaysia yang memerlukan penggunaan kapal selam dan apakah tugas dan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman, selain kos penyelenggaraannya setiap tahun.
Ahmad Zahid berkata penggunaan kapal selam bukanlah disebabkan ancaman yang dihadapi oleh negara tetapi lebih kepada keupayaan memberi cegah rintang kepada bakal musuh.
"Pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersandarkan kepada 'capability-based' yang harus dimiliki untuk melaksanakan misi dalam pelbagai dimensi pada masa hadapan," katanya.
Menurut beliau, keupayaan negara menyediakan satu angkatan perang yang moden dan berwibawa untuk memusnahkan angkatan musuh akan menggerunkan musuh malah mereka akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang perkiraan yang kurang rasional untuk mengancam dan menyerang negara ini.
Beliau berkata kehadiran kapal selam yang canggih dalam inventori negara akan memberi impak yang besar terhadap pertahanan negara kerana keupayaan kapal selam yang boleh beroperasi di mana sahaja di bawah permukaan dengan senyap akan menyukarkan pihak musuh untuk mengesan kedudukan kapal selam tersebut.
"Kehadiran kapal selam juga dapat meningkatkan keupayaan peperangan bawah air TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) dan menjadikan ia sebuah angkatan yang lebih seimbang, kredibel dan berwibawa," katanya.
Sementara itu, berhubung dengan KPI TLDM, Ahmad Zahid berkata untuk menentukan keselamatan dan perairan negara sentiasa
terpelihara, kapal selam akan dioptimumkan untuk menyokong KPI tersebut. BERNAMA
Rujuk Akhbar Utusan Malaysia (UM) hbertarikh: 20 Februari 2010 (muka surat 4), Kenyataan Menteri Dato seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan)
"laporan kerosakan dua pesawat Sukhoi yang rosak teruk akibat dimasuki objek luar dipercayai serpihan batu landasan"
kebetulan kontraktor bina landasan sukhoi ni kontraktor sama yg buat MRR2 yg retak tu. Kebetulan sungguh.
Post a Comment