Friday, February 19, 2010
TAHNIAH KJ KERANA KINI SUDAH TAHU ERTI DEMONSTRASI!
"Saya cabar pembangkang, jangan jadi beruk-beruk di jalanraya tetapi bertanding dalam gelanggang pilihanraya umum. Kita yakin kita akan menang menentang mereka." -Khairy Jamaluddin,
(Perhimpunan Agung UMNO, 06 November 2007)
Melihat gelagat rakan-rakan dari Pemuda Umno khususnya dan Barisan Nasional (BN) umumnya bersama beberapa NGO yang menyokong mereka termasuk Dato Ibrahim Ali (perkasa)mengadakan demonstrasi dihadapan Kedutaan Australia kelmarin bagi membantah apa yang dikatakan sebagai campur tangan pihak luar terhadap kes pendakwaan liwat terhadap Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI)tidaklah memeranjatkan kita semua.
Cuma apa yang sedikit menghairankan kita ialah apabila melihat bagaimana YB Sdr Khairy Jamaluddin (KJ)selaku Ketua Pemuda Umno merangkap Ketua Pemuda BN begitu bersungguh-sungguh mengepalai demonstrasi ini walhal beliaulah suatu ketika dahulu begitu lantang mengatakan kepada peserta khususnya pembangkang yang kerap dan suka mengadakan demonstrasi dan himpunan ini sebagai 'Beruk' di jalan raya?
Masihkah kita ingat bagaimana berapi-apinya ucapan KJ ini yang diucapkan oleh beliau ketika di perhimpunan Agung Umno 2007 iaitu sehari sebelum perhimpunan BERSIH diadakan?
Keceluparan beliau ini telah mengundang persoalan kepada kita semua apakah himpunan bagi membantah terhadap 50 Ahli Parlimen Australia di hadapan kedutaan tersebut tersebut sebenarnya telah dipimpin oleh Beruk juga?
Kini boleh dikatakan hampir setiap minggu kita 'dihidangkan' dengan adegan demonstrasi dan juga perhimpunan bagai membantah bermacam perkara yang mana kebanyakan kini semuanya telah didominasikan oleh Umno. Kita tidak lupa walaupun sedikit bagaimana KJ mendakwa Umno bukanlah parti yang suka mengadakan perhimpunan secara haram ataupun berdemonstrasi tidak mengira waktu dan tempat.
Tetapi dengan apa yang berlaku kini seperti di Pulau Pinang sebagaimana minggu lepas di hadapan Bangunan Komtar yang menempatkan pentadbiran kerajaan negeri, begitu juga di hadapan bangunan SUK Selangor dan di beberapa tempat yang lain lagi.
Negara yang bebas dan mengamalkan prinsip demokrasi sepenuhnya, mengadakan perhimpunan atau demonstrasi secara aman sebagaimana yang diamalkan oleh negara luar sepatutnya tidaklah menjadi sebagai suatu isu yang besar. Mengambil contoh di UK, Jepun, Korea dan beberapa negara lain lagi bagaimana apabila ada sahaja para peserta demonstrasi aman mengadakan perhimpunan bagi membantah apa yang dirasakan tidak puashati, pihak keselamatan negara tersebut memberi kerjasama yang cukup tinggi malahan terkawal dengan begitu baik sekali.
Apakah dengan kekerapan mengadakan perhimpunan seperti ini menyebabkan ekonomi negara-negara tersebut semakin jatuh dan para pelancong 'lari bertempiaran' daripada memasuki negara tersebut?
Didalam konteks negara kita ini, contoh terhadap apa yang telah berlaku di hadapan Kedutaan Australia, dihadapan Komtar Pulau Pinang dan juga dihadapan bangunan SUK Selangor telah membuktikan sekiranya demontrasi atau himpunan diberi kerjasama yang baik tanpa menimbulkan provokasi ataupun sebagainya, Insya Allah ianya akan berjalan dengan baik.
Tidak timbul langsung soal pertumbuhan ekonomi negara kita terus malap atau kesan terhadap sektor pelancongan semakin teruk. Soal ekonomi semakin menurun kepada negara bukannya 100% dek kerana perhimpunan atau pun demonstrasi tetapi itu semuanya terletak ditangan mereka yang menguruskan perjalanan serta penjanaan ekonomi negara dan didalam hal ini kejujuran dan ketelusan menguruskan kewangan negara itulah kunci kearah pertumbuhan yang semakin baik.
Apa yang berlaku kini telah membuktikan kepada KJ khususnya dan Umno umumnya bahawa apa yang didakwa oleh mereka sebelum ini adalah tidak benar belaka.
Umumnya kepada mereka yang melihat didalam TV tempohari bagaimana KJ mengetuai perhimpunan bagi membantah campurtangan 50 Ahli Parlimen Australia tersebut pasti akan tersenyum sendiri.... Kerana apa? Kerana ianya mengingatkan kembali gelagat beliau yang 'bertempik seumpama sawan' suatu ketika dahulu di perhimpunan Umno dengan menuduh semua peserta perhimpunan sebagai 'Beruk' jalan raya!
Untuk Sdr Khairy Jamaluddin, tahniah diucapkan kerana saudara kini telah sedar dan tahu apa itu 'demonstrasi dan perhimpunan'.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment