Thursday, April 1, 2010

PERTAHANKAN POS MALAYSIA!

Langkah kerajaan secara tiba-tiba mengarahkan Khazanah Nasional Bhd menjualkan pegangan sahamnya didalam Pos Malaysia Berhad sebanyak 32.2 peratus amat mengejutkan kita semua.

Sebagai sebuah organisasi yang besar , Pos Malaysia dilihatkan sebagai satu instrumen penting yang begitu strategik untuk masa depan ekonomi kita kerana pengalaman yang dimilikinya dinegara ini.

Pos Malaysia sebenarnya dilihat mampu berkembang ke tahap yang lebih tinggil dan global kerana ianya memiliki aset dan rangkaian logistik yang luas di samping mampu meningkatkan keuntungannya jika diurus dengan cekap dan betul.

Kita juga yakin walaupun Pos Malaysia menerima persaingan yang sengit ekoran peningkatan secara teratur dan pantas didalam dunia tanpa sempadan disamping teknologi maklumat dan jalur lebar yang menguasai pentas antarabangsa kini, tetapi urusan penghantaran secara fizikal dan ‘manual’ masih lagi memerlukan perkhidamatan yang boleh dipercayai seperti Pos Malaysia.

Alangkah kesalnya kita sekiranya kerajaan pimpinan Barisan Nasional tetap dengan pendiriannya untuk terus melepaskan pegangan yang dimilikinya selama ini. Memang kita akui Khazanah Nasional juga perlu bertanggungjawab diatas kerugian yang dialami selama ini oleh Pos Malaysia sebagaimana yang didakwakan oleh mantan Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Adam Kadir baru-baru ini.

Didalam artikel keluaran Malaysian Business ada didedahkan oleh beliau isu kehilangan wang rakyat berjumlah RM 546 juta disebabkan kegagalan pihak pengurusan syarikat itu menjual saham pegangannya di dalam syarikat yang mengalami masalah iaitu Transmile Group Bhd .

Apakah akibat daripada kesilapan tersebut maka pihak kerajaan dengan begitu mudah mengambil sikap lepas tangan akibat kerugian yang dialami ? Untuk rekod, Pos Malaysia mengalami kerugiannya sebanyak RM 113.3 juta pada tahun lepas dimana RM 107.19 juta kerugian tersebut adalah dialami akibat pelaburan mereka didalam Transmile Group Bhd ! Bayangkan kerugiannya ialah 94.6 peratus!

Kita merasakan sekiranya benar Khazanah Nasional berlalu meninggalkan Pos Malaysia begitu sahaja, maka ianya dilihat seolah-olah pihak Khazanah Nasional sengaja melarikan diri daripada untuk bertanggungjawab sama terhadap kerugian tersebut.

Kita juga yakin walaupun Pos Malaysia mengalami kerugian tetapi ianya harus terus dikawal oleh kerajaan kerana ini adalah organisasi strategik yang melibatkan kepentingan negara juga.

Bagaimana mungkin Pos Malaysia yang juga telah sekian lama mempunyai kekuatan di dalam negara ini khususnya didalam bidang logistik boleh mengalami kerugian yang cukup besar dan ketara nilainya?

Pos Malaysia bukannya calang-calang organisasi kerana kemampuannya di akui akan kemampuannya untuk bersaing dengan syarikat lain disamping meluaskan aktiviti perniagaannya dengan menumpukan kepada sektor penghantaran barang dan pengangkutan.

Sebab itu kita yakin sekiranya Pos Malaysia diuruskan secara telus didalam pentadbirannya, Pos Malaysia sudah pasti boleh meningkatkan keuntungannya kerana ianya mempunyai aset dan rangkaiannya logistiknya yang luas diseluruh dunia.

Paling utama ialah kita akan memastikan Pos Malaysia yang membawa nama negara ini tidak dimiliki oleh pelabur luar yang boleh menyebabkan identiti negara kita hilang begitu sahaja nanti. Pos Malaysia juga dilihat mampu bersaing dengan syarikat lain sekiranya aktiviti perniagaannya di perluaskan lagi.

Oleh itu kita menyeru agar kerajaan memikirkan kembali kesan jangka panjang akibat penjualan saham yang dipegangnya kerana kesan ini bukan sahaja melibatkan untung rugi semata-mata tetapi juga perlu mengambil kira kebajikan kepada rakyat pada perkhidmatan yang diberikan oleh Pos Malaysia nanti.

No comments: