Tuesday, April 13, 2010

ANTARA 'KEAJAIBAN YANG PASTI BERLAKU' SETIAP KALI ADA PILIHANRAYA KECIL DI MALAYSIA!

Sejak seminggu ini sudah bermacam-macam program telah dibawa dan diadakan oleh berbagai kementerian dan agensi kerajaan persekutuan ke Hulu Selangor sebaik sahaja kerusi Parlimen Hulu Selangor diisytiharkan kosong akibat kematian Dato Dr Zainal Abidin Ahmad, mantan ahli Parlimen Huli Selangor daripada Parti Keadilan Rakyat @ KEADILAN.

Sebagai contohnya semalam, beberapa program telah diadakan secara tiba-tiba oleh beberapa agensi dan kementerian antaranya seperti perasmian Anugerah Kecemerlangan Akademik di SMK Kuala Kubu Bharu oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkhasi yang bukan sahaja menyampaikan hadiah dan anugerah kepada pelajar malahan turut sama berkempen kepada semua guru-guru agar tidak terpengaruh serta diperalatkan oleh pihak parti pembangkang yang dikatakan mempunyai agenda yang tidak sihat kepada kerajaan.

Begitu juga dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, melalui Menterinya Dato Seri Ismail Sabri Yaakob dengan tidak semena-mena telah mengumumkan yang kerajaan bersetuju untuk menubuhkan lagi 18 buah koperasi Orang Asli dengan peruntukan RM30,000 sebagai geran permulaan untuk koperasi tersebut beroperasi di kampung-kampung mereka bagi meningkatkan pendapatan kaum tersebut.

Disamping itu juga program Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (Mini Maha) secara tiba-tiba sahaja diadakan di sana oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani walaupun ianya dinafikan oleh Menterinya, Dato Seri Noh Omar sebagai mempunyai kaitan dengan pilihanraya kecil disini. Menurut kata beliau lagi ianya telah dirancang lebih awal lagi dan Hulu Selangor telah dipilih sebagai tuan rumah pada kali ini.

Turut tidak ketinggalan untuk menyertai kempen politik secara ‘berhemah’ ini ialah Kementerian Sumber Manusia yang turut mengadakan Program Penempatan Pekerjaan melalui agensinya Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Sebagaimana kata Timbalan Menterinya, Dato Maznah Mazlan kerajaan sedia mewujudkan banyak peluang pekerjaan di Hulu Selenagor bagi mengelak penghijrahan penduduk untuk mencari kerja diluar.

Sempena pilihanraya di sini juga, kesempatan ini turut direbut oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalu agensinya Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA) yang secara tiba-tiba memperuntukkan RM580,000 bagi membayar dividen tersebut bagi tempoh Mac hingga April kepada 253 pekebun kecil di daerah Hulu Selengor bergantung kepada keluasan tanah yang diusahakan.

Terus-terang saya katakan, segala program yang diadakan walaupun secara ‘mengejut’ ini sebenarnya amat baik Cuma bagi kita janganlah mengadakan program ini semua hanya ketika adanya pilihanraya kecil sahaja.

Kita tidak mahu ianya dijadikan modal kempen Barisan Nasional semata-mata dengan membawa segala-gala akan ‘kebaikan’ kerajaan kononnya yang prihatin kepada semua penduduk sebagaimana di Hulu Selangor hari ini.

Kita juga pelik ialah kenapa semua program ini hanya boleh diadakan disini sahaja? Kalau hendak dikatakan sebagai kebetulan dengan alasan sudah lama pihak kementerian dan agensi masing-masing merangkanya disini, kenapa ianya perlu sekarang?

Kalau betul sudah mempunyai jadual yang terancang sejak awal tahun 2010, seharusnya program ini tidak boleh diawalkan atau juga dipindahkan kesini secara mengejut. Tetapi itulah hakikatnya UMNO dan BN akan terus memanipulasikan setiap program yang diadakan demi mencari undi walaupun ianya secara tiba-tiba diadakan di sesuatu kawasan pilihanraya kecil yang bakal diadakan nanti.

Yang pastinya segala keputusan perlu atau pun tidak sesuatu program itu semuanya berada didalam kepala menteri belaka tanpa memikirkan keperluan rakyat. Itulah negara kita Malaysia yang mempunyai berbagai keajaiban setiap kali ada pilihanraya kecil iaitu program anjuran berbagai kementerian dan agensi kerajaan pusat tiba-tiba sahaja memenuhi di kawasan pilihanraya kecil tersebut!

No comments: