Wednesday, April 14, 2010

SPR: USAH MEMBERI UNTUNG KEPADA SEBELAH PIHAK SAHAJA!

“Jika keadaan di Hulu Selangor dan Sibu menunjukkan pola yang negatif dan arahan SPR tidak dipatuhi, kita perlu mencadangkan pilihan berkenaan untuk membolehkan jumlah penyokong dihadkan di pusat penamaan calon pada masa depan”

Kata-kata diatas oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof bagi mengulas kajian meminda undang-undang berkaitan pilihanraya yang akan menyaksikan tempoh penamaan calon dipanjangkan daripada sejam pada masa ini kepada dua hari dan parti yang bertanding membuat penamaan calon pada masa yang berbeza.

Cadangan terhadap kajian yang dijalankan oleh SPR tersebut dilihat lebih kepada memenuhi kehendak parti pemerintah Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO yang dilihatkan begitu ‘tenggelam’ setiap kali hari penamaan calon bagi setiap pilihanraya samada pilihanraya umum atau pun kecil.

Memang diakui setiap kali pilihanraya muncul khususnya pilihanraya kecil, amat jelas kelihatan jentera-jentera serta penyokong-penyokong Barisan Nasional pada hari penamaan calon begitu ‘malap’ berbanding jentera dan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang jelas memperlihatkan betapa sokongan orang luar terhadap Pakatan Rakyat begitu besar kesan dan penerimaannya.

Kita melihat ‘percubaan’ SPR untuk menambahkan masa untuk penamaan calon ini lebih kepada mengikut kehendak dan telunjuk BN khususnya UMNO yang begitu gentar dan takut setiap kali tibanya hari penamaan calon disebabkan aura luar biasa penyokong Pakatan Rakyat yang hadir memenuhi persekitaran tempat penamaan calon.

Tiada salah dan cacatnya dengan mengekalkan masa serta tempoh penamaan calon sebagaimana sekarang. Janganlah melihat provokasi atau pertengkaran kecil oleh sesetengah penyokong parti-parti yang bertanding sebagai penyebab utama untuk menukar cara yang sedia ada.

Melakukan perubahan tersebut adalah baik tetapi bagaimana pula kos yang perlu ditanggung sekiranya penambahan masa ini dilakukan? Sebelum ini SPR selalu menjadikan alasan pembaziran kos ketika mengadakan pilihanraya sebagai alasan yang utama setiap kali pihak Pakatan Rakyat mempertikai sesuatu yang berkaitan dengan pilihanraya.

Sebab itu kita melihat sebarang penguatkuasaan yang dibuat perlu adil dan tegas. Jangan jadikan undang-undang ini hanya untuk sebelah pihak sahaja mengikutinya dan didalam masa yang sama pihak BN sendiri gagal untuk mematuhinya.

Pengalaman ketika PRU 2004 dahulu apabila penguatkuasaan SPR yang menghalang pembinaan pondok panas pada hari pengundian contohnya, tenyata gagal dipatuhi oleh pihak UMNO sendiri apabila Puteri UMNO melakukan sebaliknya secara berleluasa pada hari tersebut!

Percubaaan SPR untuk membandingkan proses penamaan calon di negara ini dengan negara luar ternyata amat berat sebelah. SPR membandingkan bagaimana hari proses penamaan calon di negara luar begitu aman, tenang serta tidak adanya kehadiran yang luar biasa para penyokong masing-masing berbanding di Malaysia malahan juga terdapat disesetengah negara penamaan calonnya dilakukan secara didalam talian (Online Registration)!

Bukan untuk menidakkan SPR dengan ‘berfikiran jauh’ seperti itu tetapi kenapa segala kaedah yang banyak lagi baiknya daripada badan yang menyelaraskan pilihanraya dinegara lain tidak turut di ikut dan di ambil untuk di praktikkan di negara kita?

Sebagai contohnya, lihatlah di sesetengah negara seperti Pakistan, India, Indonesia serta beberapa negara luar lagi yang mempraktikkan penggunaan dakwat hitam bagi mengelakkan penipuan mengundi secara berulang kali, kenapa perkara ini tidak mahu diikuti sama oleh SPR di Malaysia?

Lihat juga keadilan pihak penyelaras pilihanraya di Thailand atau di Indonesia atau juga di Jepun yang boleh bertindak dan membatalkan atau menggantung terus mana-mana calon yang disyakki terlibat dengan kempen secara berlebihan atau sogokan seperti rasuah!

Itu tidak lagi dilihat dari segi perlaksanaan “Caretaker Government” oleh Ketua Hakim sebagaimana yang dipraktikkan di Pakistan apabila parlimen dibubarkan maka kerajaan yang sedia ada terus menyerahkan kuasa kepada pihak yang sepatutnya seperti Ketua Hakim dilantik sebagai orang yang menjalankan tugas pentadbiran negara sementara.

Akhir kata, SPR usahlah hanya memandang perkara yang mendatangkan ‘keuntungan’ pada sebelah pihak sahaja untuk di praktikkan di sini tetapi sewajarnya pihak SPR memantau terlebih dahulu pada beberapa perkara lain terutamanya senarai daftar pengundi yang sentiasa diragui setiap kali adanya pilihanraya samada umum ataupun kecil!

No comments: