Tuesday, October 28, 2008

MENGATA ORANG 'DIA' YANG LEBIH

Salam pada semua,

2, 3 hari kebelakangan ini, riuh rendah satu negara dengan isu yang dikeluarkan di akhbar Utusan Malaysia berkaitan soal penambahan tulisan-tulisan cina dan tamil serta tulisan jawi/arab di jalan-jalan dikawasan bersejarah yang digazetkan oleh Unesco (World Heritage Site).

Berdasarkan apa yang diperjelaskan oleh kerajaan Pulau Pinang berkaitan dengan penambahan tulisan tersebut, sumber mengatakan bertujuan bagi menunjuk kepada pelancong-pelancong asing tempat-tempat yang bersejarah dan memudahkan lagi mereka apabila penambahan tulisan tersebut diadakan.

Dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini 28/10/2008 memaparkan bagaimana beberapa pihak membidas usaha dan langkah yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang. Umno Bahagian Tanjung Pulau Pinang mempersoalkan niat sebenar kerajaan untuk memasang papan tanda jalan didalam tulisan tersebut bagi tujuan warisan di jalan-jalan sekitar Pulau Pinang. Bagi mereka tiada sebab yang kukuh untuk kerajaan negeri ini bertindak sedemikian.
"Jika sebab pelancongan pun memang tidak boleh diterima kerana pelancong datang negeri ini untuk mengenali keunikan negara kita dan bukannya hendak tau pasal jalan. Lagipun bahasa bukan isu kepada mereka kerana bahasa melayu menggunakan abjad-abjad roman dan itu sesiapa pun tau baca, jadi papan tanda jalan bukan satu masalah" Ulasan yang dibuat oleh Raja Munir Shah Raja Mustapha, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung.

Kenyataan yang dibuat oleh UMNO ini juga mengaitkan isu politik didalam hal ini. Bagi mereka isu pelancong yang tinggal disini pun tidak akan mengalami masalah kerana katanya, pelancong telah pun ada peta malahan sikap masyarakat kita yang sentiasa mesra dan suka membantu para pelancong.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Sdr Jeffri Salim menambah, "Mereka akan mengadakan bantahan sekaligus meminta agar papan tanda itu diturunkan jika ianya dilaksanakan kelak. Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dan telah termaktub dalam perlembagaan negara ini, jadi pemasangan papan tanda jalan dengan pelbagai bahasa tidak perlu dilaksanakan"

Sementara itu Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Datuk Nik Mohamed Nik Mohamad Salleh berkata, "kerajaan negeri harus memberi pertimbangan terhadap tujuan sesuatu papan tanda yang dipasang". Katanya lagi, "kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat tempatan daripada orang luar iaitu dengan mempermudahkan sesuatu perkara bukannya melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan polemik antara kaum"

Ketua Penerangan Puteri UMNO, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, telah jelas seluruh rakyat negara ini memahami bahasa melayu dan tidak mempunyai masalah untuk memahaminya. Beliau juga berharap agar Kerajaan Pulau Pinang dapat menghormati bahasa rasmi negara dengan tidak mencampuri bahasa-bahasa lain pada papan tanda.

Berbalik kita soal tujuan penambahan tulisan-tulisan tersebut ditambah. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pun turut mempunyai papan-papan tanda dalam pelbagai bahasa, ada Arab, ada Jepun dan berbagai bahasa lagi. Kenapa mereka semua ini sedikit pun tidak memberi komen? Kalau nak dikatakan tidak menghormati bahasa rasmi negara, pun boleh dikatakan ye, tetapi ini berkaitan soal memudahkan para pelancong yang datang ke negara kita atas tujuan yang satu iaitu perlancongan!

Begitu juga di Bukit Bintang, disesetengah tempat dan lorong turut di namakan didalam Bahasa Arab kerana bagi memudahkan para pelancong dari negara Arab ke situ dan sebab itu lah diletakkan tulisan arab. Dalam hal ini kita semua kena rasional, Kerajaan Pulau Pinang hanya menambah tulisan-tulisan tersebut pada beberapa lokasi yang difikirkan sesuai dengan imej sebagai kawasan perlancongan warisan dunia.

Kalau nak dikirakan ini salah, kenapa para pemimpin ini tidak memberi komen atau menentang atau mengadakan protes di KLIA atau di Bukit Bintang bagi menunjukkan kepada semua bahawa kita menetang sebarang penambahan tulisan selain bahasa melayu sahaja. Soal mengutamakan pelancong luar daripada dalam negara, Apakah yang dilakukan di KLIA terutamanya lebih mengutamakan masyarakat tempatan ke? KLIA sebagai pintu masuk utama negara sepatutnya lebih kedepan untuk kita menonjolkan penggunaan bahasa melayu kepada orang luar. Tetapi kenapa kita tidak lakukan? Sebabnya kita tidak pernah membuang tulisan atau bahasa melayu tersebut cuma menambah beberapa tulisan bahasa lain.

Dalam hal ini pun sama, kerajaan Pulau Pinang tidak membuang tulisan bahasa melayu tetapi menambah beberapa bahasa yang difikirkan perlu sahaja. Sebagai contoh, dikawasan melayu papan tanda akan turut mempunyai tulisan jawi atau arab, begitu juga di kawasan Cina dan India akan turut mempunyai tulisan Cina dan India tanpa membuang tulisan Melayu. Tujuannya hanya lah satu, sama seperti di KLIA atau Bukit Bintang iaitu untuk tujuan utama perlancongan!

Wednesday, October 22, 2008

APA YANG DIBIMBANGI, TERJADI KINI

Salam pada semua,

Tajuk diatas, "Apa yang dibimbangi, terjadi kini" memang telah didengari sejak akhir-akhir ini. Kalau dahulu, apabila rakan-rakan bercerita tentang perangai YB-YB dari BN dengan berbagai karektor yang berubah sebaik sahaja menang dan menjawat jawatan sbg wakil rakyat atau YB, sudah pasti kita akan berkata...."Ala biasalah tu...YB BN, memang dah macam tu...." tetapi bagaimana pula kalau orang ramai kini bercerita tentang perangai YB-YB daripada Pakatan Rakyat dan lebih tepat lagi kalau YB daripada PKR?

Semalam rakan saya sejak era reformasi 98' ada bercerita berbagai-bagai tingkah laku para YB-YB terutamanya daripada PKR yang telah berubah tingkah lakunya sebaik menang sebagai ADUN atau Ahli Parlimen (MP). Cerita ini memang telah saya dengari sejak 3,4 bulan dulu. Dulu kita sekadar dengar tanpa mengambil serius. Bagaimana pula kini apatah lagi, cerita ini memang benar-benar berlaku pada si empunya badan?

Secara peribadinya, saya telah banyak mendengar tentang hal ini. Sebagai contoh teguran terbuka DSAI terhadap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Fairus beberapa bulan lalu telah membuktikan apa yang diperkatakan oleh rakyat bawahan ini benar-benar terjadi. Mungkin faktor kesibukan YB Fairus sebagai Timbalan KM adalah alasan yang kuat baginya untuk tidak turun kebawah dan menyelami apa kesusahan rakyat di kawasannya itu. Sebagaimana kata DSAI dulu, walaupun sesibuk mana sekali pun dia sebagai Timbalan Perdana Menteri suatu ketika dahulu, beliau tetap turun dan meninjau permasalahan rakyat di parlimen Permatang Pauh! walaupun jauh sekalipun untuk beliau berulang alik dari Kuala Lumpur ke Permatang pauh, namun demi tugasan dan tanggung jawab beliau terhadap penduduk di parlimennya, beliau tetap balik! Oleh itu alasan yang diberikan oleh YB Timbalan KM itu sekadar alasan yang dangkal, sebagai wakil rakyat disitu, tugas dan tanggung jawab terhadap rakyat dikawasannya perlu dipikul walaupun sesibuk mana sekali pun kita! Selepas teguran tersebut, YB Fairus telah menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap rakyat di kawasannya, tahniah YB!

Namun begitu cerita tentang karektor YB ADUN PKR yang lain juga turut didengari sama. Menurut rakan-rakan lain, ada juga seorang YB PKR yang masih muda telah mula mengabaikan tugasnya untuk turun ke padang ! Beliau berkata, bila YB itu dipanggil untuk turun ke program yang dianjur oleh parti tidak kira samada jauh atau dekat walaupun di negeri sendiri, YB tersebut selalu memberi alasan sibuk...tetapi kesibukan YB ini bukan kerana program parti di tempat lain atau pun meninjau rakyatnya, rupa-rupanya sibuk di padang golf! Ye lah...sebagai wakil rakyat muda belia apatah lagi sebagai orang muda kita perlu sesuaikan diri dengan sukan dan secara tidak langsung perlu bermain golf kot? (menurut yang diberitahu YB tersebut kini sudah mula berjinak dengan golf )....tetapi permintaan ahli terutamanya di peringkat bawah juga perlu di ambil kira! Kalau lah program yang dekat di negeri sendiri pun YB ini sudah gagal untuk hadir, bagaimana pula kalau pendokong-pendokong parti di negeri lain ingin menjemput beliau? Sanggup ke datang?

Yang terbaru lagi best....YB ini berstatuskan Ahli Parlimen (MP) pun mempunyai karektor yang lebih kurang sama dengan yang lain apabila sudah mula menunjukkan tahap kesombongannya dengan tidak mahu turun ke bawah bertemu rakyat serta ahli parti terutamanya bila di jemput. Seseorang ada membertitahu saya, apabila di jemput ahli untuk datang dan bersama didalam program yang di anjurkan, boleh ke sebagai YB menjawab "Kenapa perlu saya hadir pulak"? Kalau benarlah sebagaimana yang diberitahu ini, adalah teramat malang kita mempunyai YB yang berkarektor seperti ini? Ada juga yang memberitahu mengatakan YB ini sombong dan tidak boleh di tegur apatah lagi oleh orang-orang lama didalam pasti sejak awal lagi.

Kenapa perkara sebegini boleh berlaku? Daripada perbincangan dengan rakan-rakan yang telah aktif bersama-sama semenjak 1998 dahulu dan telah mula bersama didalam PKR sejak penubuhan lagi (dahulunya 1999-2002 ketika dinamakan Parti Keadilan Nasional) sehingga kini telah merumuskan beberapa perkara yang memungkinkan terjadinya perkara-perkara diatas:

1. YB yang berkarektor sedemikian mungkin tidak pernah merasa kesusahan dan keperitan kita sejak diperingkat awal parti ini diwujudkan. Betapa sukar dan susahnya kita untuk menghidupkan parti apatah lagi menghadapi pilihanraya umum? Dulu diawal menyertai PRU, segala kos dan berbagai lagi ditanggung sendiri dan dengan bantuan sedikit sebanyak rakan-rakan, berbeza dengan kini walaupun tidak banyak tetap mendapat bantuan parti terutamanya melibatkan kos deposit calon dan deposit poster.

2. YB yang berkarektor sebegini juga masih muda dan mungkin juga baru menyertai parti (mungkin dulu masih sebagai pelajar universiti atau masih tidak berani menyertai PKR kerana kurang keyakinan terhadap PKR itu sendiri atau sesetengahnya masih lagi sayang kepada UMNO?)

3. YB yang berkarektor sedemikian mungkin tidak pernah cuba untuk menimba pengalaman daripada orang-orang lama yang pernah bertanding sejak 1999 lagi, calon lama cuma tidak ada rezeki untuk menang. Mungkin nasib YB tersebut bertanding di PRU 12 lalu beliau menang maka perasaan ego dan riak atas kehebatannya mula terserlah kini tanpa mengambil kira pengorbanan calon2 yang pernah bertanding disitu dahulu.

Amatlah diharapkan agar senario ini dielakkan secepat mungkin. Jangan jadikan ini sebagai satu contoh kepada yang lain. Dibimbangi ini akan menjadi satu contoh untuk rakyat menyamakan YB PKR seperti juga YB dari kalangan BN! Semoga apa yang diperkatakan orang ramai tentang karektor YB ini tidak berlaku lagi.

Wednesday, October 15, 2008

MUKHRIZ & ANGIN PERUBAHAN

Salam pada semua,

Berita terkini percalonan untuk pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO semakin sengit dan hangat. Namun berdasarkan sumber media massa milik negara menunjukkan bagaimana hanya 3 nama calon sahaja yang sentiasa meniti dibibir perwakilan pemuda UMNO diseluruh negara kecuali Sarawak yang mengadakan persidangan pemuda bahagian sekarang ini.

Mukhriz Mahathir, anak kepada bekas PM Malaysia ke 4 kini mendahului begitu jauh iaitu menperolehi percalonan sehingga hari ini sebanyak 40 percalonan dan secara rasminya telah melepasi kuota untuk bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Di ikuti oleh Khairy Jamaluddin (menantu kesayangan Pak Lah) yang baru memperolehi 20 percalonan dan di ikuti oleh saingan ke 3 nya iaitu bekas MB Selangor, Khir Toyo 12 percalonan.

Mukhriz yang begitu vokal dan lantang menyuarakan pandangan-pandangannya secara peribadi kepada Pak Lah terutamanya selepas PRU 12 baru -baru ini begitu yakin akan memenangi jawatan ketua pemuda pada permilihan yang akan datang berdasarkan sokongan akar umbi terutamanya. Perubahan yang mahukan kepada beliau ini begitu meluas diseluruh negara. Percalonan yang begitu mendadak selepas seminggu persidangan pemuda bahagian berlangsung menunjukkan bagaimana pola percalonan begitu menyebelahi beliau.

Penganalisis politik, Joceline Tan didalam The Star turut membuat ulasan yang sama tentang keupayaan beliau kini berbanding percabar yang paling hampir iaitu KhairyJamaluddin,

"Datuk Mukhriz Mahathir was probably as surprised as many others in Umno to have zoomed ahead of the assumed strongman candidate Khairy Jamaluddin. By the end of first weekend round of Umno Youths divisions meetings on sunday, he had 40 nominations, more than the minimum 38 he needed to contest the umno youth leadership! getting the requisite nominations is a key psychological milestone and that he got there before Khairy and Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo has been pretty stunning"

Ini menunjukkan perubahan yang ada ketika persidangan ini telah mula wujud lebih-lebih lagi selepas pengumuman Pak lah yang tidak akan mempertahankan lagi jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac 2009 ini. Apa yang berlaku kini turut di akui oleh ramai perwakilan pemuda itu sendiri.

Harrison Hassan, Ketua Pemuda Umno Subang yang baru turut mengakui bahawa segalanya telah berubah kini. Perubahan yang diharapkan ini diharapkan mampu diterjemahkan ketika pemilihan pada mac nanti. Respon yang ditunjukkan oleh perwakilan pemuda kini juga telah jelas menunjukkan bahawa Mukhriz kini menjadi pilihan yang utama para perwakilan pemuda bahagian untuk mencalonkan beliau. Statistik secara rambang sebagaimana yang berlaku di beberapa bahagian telah membuktikan Mukhriz sentiasa ke depan berbanding Khairy dan Khir Toyo.

Di Setiawangsa, keputusan yang dibuat oleh perwakilan menunjukkan Mukhriz menang 53, Khir 29 dan Khairy cuma 7 undi sahaja. "Angin perubahan yang mahukan Mukhriz begitu kuat dan amat ketara disini" kata Zulfida, ahli pemuda umno dari Setiawangsa itu.
Manakala apa yang berlaku di bahagian Tenggara, Johor lagi dahsyat apabila perwakilan pemuda menjerit "Tidak Mahu!" sebaik sahaja nama Khairy dicadangkan sebagai calon ketua pemuda Umno Malaysia. Keputusan lain seperti di Batu Pahat, Khairy hanya memperolehi 3 undi berbanding Khir 95 dan 186 undi untuk Mukhriz.

Berdasarkan pengamatan terkini, trend penolakan terhadap Khairy ini akan berterusan dan arus perubahan serta bantahan terbuka perwakilan kepada Naib ketua pemuda Umno, Khairy sudah jelas membuktikan segalanya. Itulah Umno....ketika pemimpin berada dipuncak kuasa ramai yang mendokongnya, ketika di ambang kejatuhan kini, lihat lah bertapa ramai yang membencinya.....

Filasuf Pakistan, Mohamad Iqbal pernah menulis didalam bukunya;

"Dalam sebuah negara yang bergolak, para penguasa, politikus dan ahli korporat tidak tidur lena, yang tenteram dan tidak diterjah masalah ialah ahli sufi. Ahli-ahli sufi adalah manusia mengejar Tuhan, sedangkan penguasa, politikus dan saudagar mengejar kuasa dan harta. Tinggalkanlah dunia politik jika mahu hidup tenteram, seperti dilakukan sufi terkenal Ibrahim Adham (Ahli Sufi ini meninggalkan istana/kuasa dan ladang kuda/harta, kemudian berkelanan sehelai sepinggang).


Manakala hujah ahli agamawan yang terlibat dengan politik;

"Bukankah dengan kuasa, penguasa boleh mendekatkan rakyat dengan Tuhannya? politik sekali-kali tidak terpisah daripada agama (Islam)".

Jawab kelompok ketiga;

"kami menyertai politik, namun kami tidak sesekali akan mengheret agama masuk ke kandangnya. Kerana agama itu sifatnya suci sedangkan politik itu sifatnya kotor."

Hujah kelompok ketiga sudah dijawab oleh Ayatollah Khomeini 30 tahun lalu;

Politik kamu (sekular) itu yang kotor, politik Islam tidak...


Itulah hakikatnya...angin perubahan memang perlu tetapi adalah lagi baik perubahan ini disulami dengan nasihat...

Tuesday, October 14, 2008

CABARAN MEMILIH PEMIMPIN

Semalam, saya tertarik kepada artikel utama di muka depan akhbar Utusan Melayu (Akhbar tulisan Jawi terakhir melayu) yang kini hanya boleh ditemui secara mingguan didalam sisipan akhbar Utusan Malaysia sahaja. (untuk rekod: Siapakah yang menghapuskan tulisan jawi yang merupakan tulisan orang melayu pada awal tahun 60an dulu?)

Saya juga tertarik kepada tagline akhbar tulisan jawi ini "Pencetus Agenda bangsa"....tengok pada tagline ini memang hebat apatah lagi akhbar inilah merupakan lidah secara tidak rasmi untuk orang-orang melayu terutamanya ketika sebelum kemerdekaan negara dahulu.

Artikel depan semalam bertajuk "Cabaran Memilih Pemimpin", besar sekali tajuknya dengan berlatarbelakang gambar perhimpunan agung UMNO di Dewan merdeka, PWTC. Saya petik beberapa artikel tersebut antaranya,
"Bahang pemilihan pucuk pimpinan UMNO mula terasa apabila beberapa bahagian UMNO mengadakan persidangan perwakilan masing-masing. Persidangan kali ini menjadi teramat penting memandangkan pemilihan akan turut diadakan diperingkat bahagian dan seterusnya di peringkat pusat pada Mac tahun depan"

menurut akhbar itu lagi, "Lebih menarik lagi pemilihan kali ini berlangsung seiring dengan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO. Pemilihan kali ini adalah amat penting dalam menentukan hala tuju UMNO sebagai parti yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti yang memerintah"

"Sehubungan dengan itu para perwakilan ke persidangan bahagian tidak seharusnya lupa mengenai amanah dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh mereka pada pemilihan kali ini. Disini lah bermulanya cabaran para perwakilan ini untuk memilih pemimpin yang benar-benar mempunyai keupayaan untuk memimpin bukan sahaja parti malah negara kearah yang lebih gemilang"

Secara tradisinya, pemilihan seseorang Presiden UMNO yang baru secara tidak langsungnya menandakan pemilihan seorang Perdana Menteri yang baru secara automatik. Untuk rekod semenjak 51 tahun negara kita merdeka, Presiden UMNO secara automatik akan menjadi Perdana Menteri Malaysia! Tetapi adakah kita maklum bahawa kira-kira 2500 orang perwakilan ke perhimpunan agung UMNO ini sahaja lah yang benar-benar berperanan dan menjadi pembuat keputusan siapa bakal Perdana Menteri negara?

Secara amnya, penduduk negara kita kini berdasarkan statistik terbaru bancian penduduk Malaysia adalah berjumlah 27 Juta tetapi tidak mampu membuat keputusan sebagaimana 2500 orang perwakilan untuk menentukan Perdana Menteri kita. Secara matematiknya hanya kira-kira 0.0000926% sahaja daripada jumlah penduduk negara ini yang berpeluang untuk memilih pemimpin utama negara kita! Memang benar lah kata rakan-rakan saya yang masih didalam UMNO sehingga kini, sekadar dapat menjadi perwakilan (G7) untuk ke perhimpunan agung UMNO setiap tahun apatah lagi ketika di tahun pemilihan seperti Mac 2009 nanti sudah dianggap hebat! kenapa beliau berkata demikian? Jawabnya ditahun seperti ini lah, para perwakilan akan dilayan bagaikan putera, puteri, permaisuri dan raja oleh calon-calon yang bertanding, ye lah....al-maklum ajelah kerana masing-masing calon yang bertanding hendakkan undi daripada perwakilan G7 ini....

Artikel di akhbar Utusan Melayu ini juga turut 'menyarankan' serta 'menasihatkan' agar perwakilan untuk memilih pemimpin yang benar-benar berkeupayaan serta berkemampuan sahaja sebagai pemimpin negara. dalam hal ini apakah kriteria yang dimaksudkan berkeupayaan dan berkemampuan tersebut? Dalam hal ini adakah sebagaimana yang disarankan seperti yang diimpikan?
1) Apakah kriteria yang mempunyai sifat keimanan yang tinggi, ketaqwaan, berjiwa merdeka, adil, amanah dan sebagainya sebagaimana kehendak syariat (Maqasid Syariah) itu yang di kehendaki?

2) Adakah juga diandaikan bakal pemimpin yang dipilih nanti sememangnya berasal dari golongan yang hebat kehidupannya seperti golongan bangsawan atau aristocratic tetapi berjiwa rakyat?

Dalam konteks percalonan UMNO sehingga hari ini, kita nampak kebanyakan perwakilan lebih condong memilih calon tunggal untuk kerusi Presiden UMNO yang juga bakal Perdana Menteri, Insya Allah dengan izin Tuhan pada mac 2009 nanti iaitu tidak lain dna tidak bukan sehingga kini hanyalah Dato' Seri Najib Tun Razak. Berdasarkan perkembangan ini, kriteria ke 2 telah diambil kira oleh perwakilan sebagai berkeupayaan dan berkemampuan sebagai pemimpin negara kita nanti.

Karim Raslan, dalam artikel di The Star 23/09/2008 lalu telah menulis tentang Dato' Seri Najib ini yang sememangnya pemimpin yang berada didalam kelas tersendiri bertajuk " The Bangsawan Candidate" antara petikannya
" At the best, they can be the most racially inclusive of figures; cosmopolitan, urban adn well-educated. Deputy Prime Minister Dato' Seri Najib, like his cousin Dato' Seri Hishamuddin Hussein who is Education Minister, are Bangsawan or Aristocratic politicians"

Oleh yang sedemikian, tugas serta cabaran memilih pemimpin ini bukan lah suatu kerja yang mudah dengan sekadar hadir ke perhimpunan agung UMNO dan mengundi atau sekadar mengesahkan inilah pemimpin yang kami pilih tetapi kita perlu fikir setiap perkara didalam menentukan pimpinan negara khususnya.

Monday, October 13, 2008

KEADILAN MENURUT PENYAIR SA'DI

Salam semua Sdr/Sdri,

Malam tadi, saya baca semula 1 buku yang pernah saya beli beberapa ketika dulu dan bertepatan dengan pandangan yang banyak mengulas tentang keadilan menurut pandangan penyair Sa'di ini.

Sa'di seringkali mengungkapkan sebuah nasihat untuk penguasa; Jangan hiasi dirimu dengan pakaian kerajaan (uniform) bila kau melakukan ibadat kepada Allah dan bila kamu berdoa, buatlah permohonan seorang darwis yang berkata " Oh Tuhan, kekuatan dan kekuasaan adalah milik Mu. Jika bukan pertolongan Mu, apa yang ku boleh perolehi. Tolonglah aku dan berilah aku erti kebajikan, jika tidak bagaimana aku harus mendatangkan keuntungan buat rakyat ku"

Sa'di seterusnya menceritakan tentang pesanan Raja Nursyirwan kepada anaknya, Hurmuz "Cintailah orang miskin dan jangan mencari kesenangan untuk dirimu sendiri. Gembala tidak seharusnya lengah bila serigala berada berdekatan dengan kambing. Lindungilah orang-orang miskin, sebab seorang raja itu memakai mahkotanya demi rakyatnya. Rakyat bagaikan akar dan raja bagaikan pohon dan pohon memperolehi kekuatan daripada akarnya".

Kepada mereka yang berurusan dengan para pedagang atau korporat, Sa'di mengingatkan "jika engkau menginginkan nama yang baik, hormatilah pedagang-pedagang dan para pelancong setinggi-tingginya, kerana mereka membawa nama baikmu keseluruh dunia. Juga berhati-hatilah pada musuh-musuh yang menyamar sebagai teman, mereka mencari cacat cela mu".

"Muliakanlah pembantu-pembantu mu yang lama, kerana mereka yang dikasihi tidak akan berkhianat. Bila usia hamba-hamba mu sudah lanjut, jangan lupa kewajipan terhadapnya. Bantu mereka seadanya" Ujar Sa'di lagi.

Diceritakan lagi "Seorang Raja Parsi keluar berburu. Kerana keasyikannya memburu, akhirnya baginda terpisah dengan pengawal-pengawalnya. Dalam perjalanan, terserempak dengan seorang gembala. Baginda mengeluarkan busur panahnya "Hamba bukan musuh, jangan bunuh hamba. Hamba adalah pengembala kuda dan padang rumput ini adalah ladang ternakan milik hamba" Kata sang gembala tersebut.

"Nasib baik, jika tidak kau mati ditusuk busur panahku ini" kata Raja sambil marah! Lalu dijawab oleh pengembala tersebut "seorang raja seharusnya cekap membezakan antara musuh dan kawan. Hamba dapat membezakan satu diantara seratus ribu kuda. Kehancuran akan mengakibatkan penderitaan bagi suatu kerajaan bila kebijaksanaan gembala melebihi kebijaksanaan rajanya".

Lagi Sa'di bernasihat lagi; jangan mengatakan bahawa tidak ada kemuliaan yang melebihi kedaulatan, kerana tidak ada kerajaan yang lebih senang daripada seorang darwis. Mereka yang memikul beban yang paling ringanlah yang lebih dulu mencapai tujuan.

Orang miskin bersedih hati kerana kekurangan roti, penguasa kerana memelihara kerajaannya. Walaupun yang seorang memerintah dan yang lain mentaati perintah. Dikalangan mereka ada yang memiliki kuasa tertinggi sehingga digeruni rakyat, tapi diantara rakyatnya ada yang menderita dalam penjara! Namun bila kematian telah tiba, diantara keduanya, tidak mungkin dapat dibezakan lagi!


Semoga pandangan penyair ini boleh memberi kita satu pengajaran yang amat berguna tentang kehidupan masa kini apatah lagi pandangannya terhadap pemerintahan sesebuah negara....


Buku karangan penyair Sa'di ini hebat menceritakan keindahan akhlak dengan penuh hikmah dan kelucuan serta kearifan yang cukup tinggi. Kadang-kadang dengan nada yang keras tetapi penuh cermat. Penyair Sa'di adalah panggilan terkenal kepada Syeikh Muslihuddin Sa'di, lahir di kota Shiraz, Iran pada tahun 1175 H dan meninggal dunia pada usia 116 tahun.

Thursday, October 9, 2008

PERANAN OPOSISI BAGI SESEBUAH NEGARA

Kira-kira 2,826 tahun lalu, di abad ke 4 sebelum masehi, disebuah mahkamah Kota Athens, Yunani, seorang filasuf tua dijatuhkan hukuman mati oleh hakim. Orang tua yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah Socrates.

Kenapa dia dihukum mati? Tuduhan rasmi oleh pihak penguasa Athens ialah, Socrates tidak mengaku Dewa Olyampus sebagai tuhannya! Tuduhan lain adalah menuduh Socrates ini sebagai perosak pemikiran rakyat ketika itu terutamanya pada pemuda.

Ketika sang hakim menjatuhkan hukuman mati dengan cara meminum racun, filasuf tua itu berkata kepada hakim dan pengikutnya serta orang ramai yang menghadiri perbicaraan tersebut dengan berkata,
"Yang Arif Tuan Hakim, Aku hanyalah spesis lalat penganggu, yang diberikan kepada negara oleh Tuhan".

Beliau berkata lagi, "Bukankah negara memerlukan seekor lalat seperti itu? Kerana negara ibarat seekor sapi besar, yang lembap pergerakannya disebabkan saiznya yang besar. Kerana itu penternak memerlukan pengganggu agar pergerakan sapi tidak statik"

Sayangnya, para hakim tidak memperdulikan dengan hujah yang diberikan tadi dan Socrates tetap dihukum mati dengan meminum racun, ketika itu usianya sekitar 70 tahun dan sememangya ia pun berhajat untuk mati daripada saban hari melihat kebatilan di depan mata.

Masyarakat dan negara bahkan juga setiap keluarga memerlukan seseorang seperti yang disebut oleh Socrates, sebagai "lalat pengganggu" yang kerjanya menggeletek dan terus menggeletek agar masyarakat itu cerdas, bangun dan bijaksana!

bayangkan lah sesebuah negara atau masyarakat yang tidak mempunyai orang seperti Socrates ini pasti akan berada didalam suasana atau kondisi yang lemah. beku, tidak cergas dan amat sukar berdaya maju serta tidak rigid, apa akan berlaku? Ibarat air sungai, jika dibiarkan bertakung, lama kelamaan pasti akan busuk.....Sungai yang baik ialah sungai yang airnya sentiasa mengalir...

Didalam Islam, tugas itu disebut; amar maaruf wa nahi mungkar. Melarang orang dari membuat perkara yang mungkar dan mengajak orang membuat maaruf. melarang bererti menegur, mengkritik kejelikan individu, kelompok, dan tidak terkecuali pimpinan atau penguasa!

Manakala dari segi politik pula ialah individu, kumpulan atau parti yang bertindak sebagai pengkritik yang membina kepada pihak pemerintah samada didalam parlimen ataupun diluar parlimen itu sendiri. Didalam hal ini termasuklah juga penulis-penulis, bloggers serta individu-individu yang memperjuangkan keadilan sejagat. Ini bertujuan agar pihak pemerintah meluruskan perjalanannya ketika memerintah agar tidak tergelincir daripada landasannya!

Namun kita di Malaysia selalunya Oposisi atau pembangkang dilabelkan sebagai orang menentang segala perancangan yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Hakikatnya kita tidak menentang membuta tuli tanpa asas yang kuat serta kukuh! Kita cuma menegur dan memperbetulkan sekiranya jelas dan nyata sesuatu keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan itu salah serta membazir tiada daya saing.

Kita biasa mendengar segala yang berkaitan tentang oposisi ini sentiasa dituduh buruk dan jelek belaka, kerana yang melontar tuduhan-tuduhan itu adalah pemimpin-pemimpin parti pemerintah, dengan kata lain mush politik mereka.

Maka benarlah seperti kata filasuf Socrates; aku hanyalah seekor lalat pengganggu, tapi ingat tanpa aku kamu pasti menjadi seekor sapi gemuk yang kaku, lembap dan tiada daya juang yang tinggi!

Wednesday, October 8, 2008

GAMBAR BESAR DENGAN PATUNG BESAR

Salam semua,

Kadang-kadang rasa nak gelak pun ada dengan kebodohan dan kebengongan beberapa pemimpin kerajaan masa kini. Sebagaimana didalam artikel yang disiarkan didalam Utusan Malaysia 2,3 hari ini macam-macam komen telah dibuat oleh beberapa pemimpin yang tak tahu hujung pangkal samada komen tersebut betul atau pun tidak dengan faktanya.

Isu gambar besar sdr Anwar Ibrahim (DSAI) yang telah dinaikkan oleh para penduduk dan penyokong DSAI di Batu Caves telah dijadikan isu bagai nak rak besarnya oleh sesetengah pemimpin ini. Berbagai komen yang diberikan dari semua ahli komponen BN yang mempunyai berbagai hujah kononnya sebagaimana kenyataan sebagai berhala bentuk baru yang mengagungkan DSAI lah, kononnya lagi kos sebanyak RM5000 yang dihabiskan untuk menaikkan gambar tersebut membazir lah kerana menghabiskan wang rakyat, sesetengahnya pula mengaitkan isu mendewa-dewakan pemimpin lah.....

Itu cerita versi mereka yang sentiasa kehabisan modal lebih-lebih lagi disaat 3 komponen utama BN ini dalam persiapan permilihan parti masing-masing...UMNO, MCA dan MIC....
harus diingat, itu hanyalah gambar besar...apa bezanya selama ini apabila BN menaikkan gambar gergasi Tun Mahathir suatu ketika dahulu? apakah bezanya ketika PRU 12 baru-baru ini apabila gambar-gambar serta banner yang memaparkan 2 tokoh utama daripada UMNO dan BN sebagai bahan kempen mereka ketika PRU yang lalu? Bukankah itu perkara biasa? Bagaimana pula tentang Tugu Negara serta replika Bapa Malaysia yang suatu ketika dahulu jelas diadakan didalam bentuk tubuh badan itu sendiri? Apakah hukumnya terutama pada Tugu negara yang jelas telah diistiharkan haram untuk diraikan terutamanya pada setiap hari pahlawan pada setiap tahun? itu hukum yang jelas yang telah diputuskan oleh Majlis fatwa Kebangsaan. kenapa masih lagi diadakan upacara tersebut? Secara jelasnya gambar besar DSAI sekadar diletak bersama sempena hari raya eidul fitri yang lalu dan telah dibenarkan dinaik kan oleh Majlis Perbandaran Selayang....

Begitu juga apabila dikaitkan pembaziran RM 5000 tersebut boleh disalurkan kepada orang yang lebih memerlukan serta susah....apakah faktor kegawatan ekonomi masa kini hendak dikaitkan dengan wang sejumlah itu? untuk pengetahuan kos menaikkan gambar besar itu adalah kutipan yang telah diusahakan oleh penyokong-penyokong PKR di Selayang bagi menunjukkan komitmen serta kesatuan ahli kepada pemimpin, salah ke?

Begitu juga apabila dikatakan gambar tersebut menunjukkan tindakan PKR mendewa-dewakan DSAI! Masya Allah....tidak sampai ketahap itu tujuan kita....apakah yang dikatakan sebagai mendewa-dewakan pemimpin? Tidak pernah mendewakan pemimpin sebagaimana yang dilakukan didalam parti2 komponen BN seperti sebelum ini....sanggup cium tangan, sanggup YES apa sahaja, sanggup membenarkan matlamat yang jelas bertentangan sebagaimana prinsip Machivelli "matlamat menghalalkan cara"!

Itulah hakikat kini...apabila sampai masa nanti, kita akan dapat melihat kebenarannya....

DARI CAWANGAN MENDAKI MAJLIS TERTINGGI

Salam kepada semua,

Keputusan yang dibuat oleh Mohammad Hanapi Ketua Cawangan Umno Kg Ubai, Pekan untuk turut bertanding sebagai salah seorang calon Naib Presiden UMNO Malaysia pada permilihan yang akan datang menimbulkan gelak ketawa oleh semua rakyat Malaysia. Keputusan ini dibuat berdasarkan prinsip demokrasi yang dijunjung didalam parti tersebut kononnya ini membuktikan demokrasi masih wujud didalam pemilihan parti ini pada masa akan datang....

Menurut sumber sebagaimana yang dipaparkan didalam Utusan Malaysia hari ini, Beliau amat serius untuk bertanding dan keputusan yang dibuat ini bukannya mengarut sebagaimana didalam ruangan Senyum Kambing Utusan Malaysia semalam yang menyifatkan keputusan yang dibuatnya itu mengarut! Disamping itu beliau juga mendakwa telah menerima beberapa panggilan telefon daripada enam bahagian di Johor dan Selangor yang memberi jaminan akan mencalonkan beliau untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan yang akan datang.

Alasan mempunyai pengalaman selama 32 tahun sebagai ketua cawangan juga menjadi faktor keyakinan beliau untuk layak bertanding.....Alahai...32 tahun jadi ketua cawangan je? memang kita akui kebanyakan ahli-ahli UMNO memang 'cukup berpengalaman' didalam parti tetapi dengan pengalaman sahaja belum mencukupi untuk kita kedepan tanpa niat yang betul...

PERMULAAN

Salam permulaan kepada semua....

Selamat berblog sesama kita, semoga kita dapat bertukar2 fikiran dan pandangan...