Tuesday, October 14, 2008

CABARAN MEMILIH PEMIMPIN

Semalam, saya tertarik kepada artikel utama di muka depan akhbar Utusan Melayu (Akhbar tulisan Jawi terakhir melayu) yang kini hanya boleh ditemui secara mingguan didalam sisipan akhbar Utusan Malaysia sahaja. (untuk rekod: Siapakah yang menghapuskan tulisan jawi yang merupakan tulisan orang melayu pada awal tahun 60an dulu?)

Saya juga tertarik kepada tagline akhbar tulisan jawi ini "Pencetus Agenda bangsa"....tengok pada tagline ini memang hebat apatah lagi akhbar inilah merupakan lidah secara tidak rasmi untuk orang-orang melayu terutamanya ketika sebelum kemerdekaan negara dahulu.

Artikel depan semalam bertajuk "Cabaran Memilih Pemimpin", besar sekali tajuknya dengan berlatarbelakang gambar perhimpunan agung UMNO di Dewan merdeka, PWTC. Saya petik beberapa artikel tersebut antaranya,
"Bahang pemilihan pucuk pimpinan UMNO mula terasa apabila beberapa bahagian UMNO mengadakan persidangan perwakilan masing-masing. Persidangan kali ini menjadi teramat penting memandangkan pemilihan akan turut diadakan diperingkat bahagian dan seterusnya di peringkat pusat pada Mac tahun depan"

menurut akhbar itu lagi, "Lebih menarik lagi pemilihan kali ini berlangsung seiring dengan peralihan kuasa yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi yang tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO. Pemilihan kali ini adalah amat penting dalam menentukan hala tuju UMNO sebagai parti yang menjadi tunjang kepada Barisan Nasional (BN) selaku parti yang memerintah"

"Sehubungan dengan itu para perwakilan ke persidangan bahagian tidak seharusnya lupa mengenai amanah dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh mereka pada pemilihan kali ini. Disini lah bermulanya cabaran para perwakilan ini untuk memilih pemimpin yang benar-benar mempunyai keupayaan untuk memimpin bukan sahaja parti malah negara kearah yang lebih gemilang"

Secara tradisinya, pemilihan seseorang Presiden UMNO yang baru secara tidak langsungnya menandakan pemilihan seorang Perdana Menteri yang baru secara automatik. Untuk rekod semenjak 51 tahun negara kita merdeka, Presiden UMNO secara automatik akan menjadi Perdana Menteri Malaysia! Tetapi adakah kita maklum bahawa kira-kira 2500 orang perwakilan ke perhimpunan agung UMNO ini sahaja lah yang benar-benar berperanan dan menjadi pembuat keputusan siapa bakal Perdana Menteri negara?

Secara amnya, penduduk negara kita kini berdasarkan statistik terbaru bancian penduduk Malaysia adalah berjumlah 27 Juta tetapi tidak mampu membuat keputusan sebagaimana 2500 orang perwakilan untuk menentukan Perdana Menteri kita. Secara matematiknya hanya kira-kira 0.0000926% sahaja daripada jumlah penduduk negara ini yang berpeluang untuk memilih pemimpin utama negara kita! Memang benar lah kata rakan-rakan saya yang masih didalam UMNO sehingga kini, sekadar dapat menjadi perwakilan (G7) untuk ke perhimpunan agung UMNO setiap tahun apatah lagi ketika di tahun pemilihan seperti Mac 2009 nanti sudah dianggap hebat! kenapa beliau berkata demikian? Jawabnya ditahun seperti ini lah, para perwakilan akan dilayan bagaikan putera, puteri, permaisuri dan raja oleh calon-calon yang bertanding, ye lah....al-maklum ajelah kerana masing-masing calon yang bertanding hendakkan undi daripada perwakilan G7 ini....

Artikel di akhbar Utusan Melayu ini juga turut 'menyarankan' serta 'menasihatkan' agar perwakilan untuk memilih pemimpin yang benar-benar berkeupayaan serta berkemampuan sahaja sebagai pemimpin negara. dalam hal ini apakah kriteria yang dimaksudkan berkeupayaan dan berkemampuan tersebut? Dalam hal ini adakah sebagaimana yang disarankan seperti yang diimpikan?
1) Apakah kriteria yang mempunyai sifat keimanan yang tinggi, ketaqwaan, berjiwa merdeka, adil, amanah dan sebagainya sebagaimana kehendak syariat (Maqasid Syariah) itu yang di kehendaki?

2) Adakah juga diandaikan bakal pemimpin yang dipilih nanti sememangnya berasal dari golongan yang hebat kehidupannya seperti golongan bangsawan atau aristocratic tetapi berjiwa rakyat?

Dalam konteks percalonan UMNO sehingga hari ini, kita nampak kebanyakan perwakilan lebih condong memilih calon tunggal untuk kerusi Presiden UMNO yang juga bakal Perdana Menteri, Insya Allah dengan izin Tuhan pada mac 2009 nanti iaitu tidak lain dna tidak bukan sehingga kini hanyalah Dato' Seri Najib Tun Razak. Berdasarkan perkembangan ini, kriteria ke 2 telah diambil kira oleh perwakilan sebagai berkeupayaan dan berkemampuan sebagai pemimpin negara kita nanti.

Karim Raslan, dalam artikel di The Star 23/09/2008 lalu telah menulis tentang Dato' Seri Najib ini yang sememangnya pemimpin yang berada didalam kelas tersendiri bertajuk " The Bangsawan Candidate" antara petikannya
" At the best, they can be the most racially inclusive of figures; cosmopolitan, urban adn well-educated. Deputy Prime Minister Dato' Seri Najib, like his cousin Dato' Seri Hishamuddin Hussein who is Education Minister, are Bangsawan or Aristocratic politicians"

Oleh yang sedemikian, tugas serta cabaran memilih pemimpin ini bukan lah suatu kerja yang mudah dengan sekadar hadir ke perhimpunan agung UMNO dan mengundi atau sekadar mengesahkan inilah pemimpin yang kami pilih tetapi kita perlu fikir setiap perkara didalam menentukan pimpinan negara khususnya.

No comments: