Monday, October 13, 2008

KEADILAN MENURUT PENYAIR SA'DI

Salam semua Sdr/Sdri,

Malam tadi, saya baca semula 1 buku yang pernah saya beli beberapa ketika dulu dan bertepatan dengan pandangan yang banyak mengulas tentang keadilan menurut pandangan penyair Sa'di ini.

Sa'di seringkali mengungkapkan sebuah nasihat untuk penguasa; Jangan hiasi dirimu dengan pakaian kerajaan (uniform) bila kau melakukan ibadat kepada Allah dan bila kamu berdoa, buatlah permohonan seorang darwis yang berkata " Oh Tuhan, kekuatan dan kekuasaan adalah milik Mu. Jika bukan pertolongan Mu, apa yang ku boleh perolehi. Tolonglah aku dan berilah aku erti kebajikan, jika tidak bagaimana aku harus mendatangkan keuntungan buat rakyat ku"

Sa'di seterusnya menceritakan tentang pesanan Raja Nursyirwan kepada anaknya, Hurmuz "Cintailah orang miskin dan jangan mencari kesenangan untuk dirimu sendiri. Gembala tidak seharusnya lengah bila serigala berada berdekatan dengan kambing. Lindungilah orang-orang miskin, sebab seorang raja itu memakai mahkotanya demi rakyatnya. Rakyat bagaikan akar dan raja bagaikan pohon dan pohon memperolehi kekuatan daripada akarnya".

Kepada mereka yang berurusan dengan para pedagang atau korporat, Sa'di mengingatkan "jika engkau menginginkan nama yang baik, hormatilah pedagang-pedagang dan para pelancong setinggi-tingginya, kerana mereka membawa nama baikmu keseluruh dunia. Juga berhati-hatilah pada musuh-musuh yang menyamar sebagai teman, mereka mencari cacat cela mu".

"Muliakanlah pembantu-pembantu mu yang lama, kerana mereka yang dikasihi tidak akan berkhianat. Bila usia hamba-hamba mu sudah lanjut, jangan lupa kewajipan terhadapnya. Bantu mereka seadanya" Ujar Sa'di lagi.

Diceritakan lagi "Seorang Raja Parsi keluar berburu. Kerana keasyikannya memburu, akhirnya baginda terpisah dengan pengawal-pengawalnya. Dalam perjalanan, terserempak dengan seorang gembala. Baginda mengeluarkan busur panahnya "Hamba bukan musuh, jangan bunuh hamba. Hamba adalah pengembala kuda dan padang rumput ini adalah ladang ternakan milik hamba" Kata sang gembala tersebut.

"Nasib baik, jika tidak kau mati ditusuk busur panahku ini" kata Raja sambil marah! Lalu dijawab oleh pengembala tersebut "seorang raja seharusnya cekap membezakan antara musuh dan kawan. Hamba dapat membezakan satu diantara seratus ribu kuda. Kehancuran akan mengakibatkan penderitaan bagi suatu kerajaan bila kebijaksanaan gembala melebihi kebijaksanaan rajanya".

Lagi Sa'di bernasihat lagi; jangan mengatakan bahawa tidak ada kemuliaan yang melebihi kedaulatan, kerana tidak ada kerajaan yang lebih senang daripada seorang darwis. Mereka yang memikul beban yang paling ringanlah yang lebih dulu mencapai tujuan.

Orang miskin bersedih hati kerana kekurangan roti, penguasa kerana memelihara kerajaannya. Walaupun yang seorang memerintah dan yang lain mentaati perintah. Dikalangan mereka ada yang memiliki kuasa tertinggi sehingga digeruni rakyat, tapi diantara rakyatnya ada yang menderita dalam penjara! Namun bila kematian telah tiba, diantara keduanya, tidak mungkin dapat dibezakan lagi!


Semoga pandangan penyair ini boleh memberi kita satu pengajaran yang amat berguna tentang kehidupan masa kini apatah lagi pandangannya terhadap pemerintahan sesebuah negara....


Buku karangan penyair Sa'di ini hebat menceritakan keindahan akhlak dengan penuh hikmah dan kelucuan serta kearifan yang cukup tinggi. Kadang-kadang dengan nada yang keras tetapi penuh cermat. Penyair Sa'di adalah panggilan terkenal kepada Syeikh Muslihuddin Sa'di, lahir di kota Shiraz, Iran pada tahun 1175 H dan meninggal dunia pada usia 116 tahun.

No comments: