Saturday, November 1, 2008

HARGA MINYAK TURUN LAGI, HARGA BARANGAN LAIN?

Salam pada semua pengunjung blog ini,

Hari ini tepat jam 12.01 pagi tadi ;01 November 2008, Kerajaan Malaysia pimpinan BN sekali lagi menurunkan harga minyak untuk pasaran negara ini untuk kali ke 4 semenjak harga minyak dinaikkan secara 'melampau' daripada RM 1.92 kepada harga RM 2.70. Kenaikan harga minyak ini yang dibuat 4 bulan lalu benar-benar telah membuatkan rakyat di negara ini sengsara dengan kos kenaikan barang pengguna dan pengangkutan yang lain turut dinaikkan sama.

Semalam ketika mesyuarat mingguan Kabinet Malaysia telah membuat keputusan agar harga minyak sekali lagi diturunkan sebanyak 15 sen. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan, penurunan harga minyak ini adalah selaras dengan penurunan harga di peringkat dunia.

Penurunan harga minyak secara berperingkat-peringkat sebenarnya tidak begitu efektif kepada rakyat. Penurunan harga yang sedikit tetap akan membebankan pengguna kerana didalam masa yang sama harga barangan lain tetap berada ditahap ketika harga mula-mula dinaikkan. Kalau kita melihat trend pelarasan harga yang dibuat sejak diturunkan kali pertama pada Ogos lalu tidak menggambarkan kepekaan kerajaan kepada rakyat. Berikut adalah pelarasan-pelarasan harga minyak yang telah dibuat oleh kerajaan:

PELARASAN HARGA KALI PERTAMA PADA 23 OGOS 2008: Harga yang diturunkan ini untuk 'persiapan' rakyat menghadapi bulan Ramadhan pada 01/09/2008 yang mana harga runcit petrol RON97 diturunkan 15 sen seliter daripada RM2.70 kepada RM2.55, RON92 dikurangkan 22 sen seliter daripada RM2.62 kepada RM2.40, manakala diesel lapan sen seliter daripada RM2.58 kepada RM2.50.

PELARASAN HARGA KALI KEDUA PADA 25 SEPTEMBER 2008: Harga ini diturunkan untuk menghadapi Hari Raya pada 01/10/2008 dimana ianya hanya membabitkan penurunan harga runcit petrol dan diesel 10 sen seliter menjadikan petrol RON97 RM2.45 seliter, RON92 (RM2.30) dan diesel (RM2.40).

PELARASAN KE TIGA PADA 14 OKTOBER 2008: Selepas raya & juga untuk menghadapi Deepavali, kerajaan sekali lagi bertindak menurunkan harga pada kadar harga petrol RON97 dikurangkan 15 sen seliter daripada RM2.45 kepada RM2.30, petrol RON92 turun 10 sen seliter daripada RM2.30 kepada RM2.20, manakala diesel sebanyak 20 sen seliter daripada RM2.40 kepada RM2.20.

PELARASAN TERKINI PADA 01 NOVEMBER 2008: Harga petrol RON97 dikurangkan daripada 2.30 seliter kepada 2.15 seliter, RON92 dikurangkan RM2.20 kepada RM2.05 seliter. Manakala diesel pula daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Sebagaimana yang selalu dikatakan oleh Menteri yang bertanggungjawab pada pengguna ini, kerajaan perlu berbincang dan mengkaji terlebih dahulu sebelum usaha-usaha penurunan harga itu boleh dilakukan. Ini kerana faktor penurunan harga minyak perlu di ambil kira pada semua aspek.

Adalah amat menghairankan apabila kenyataan yang sebegini dijadikan sebagai satu alasan utama ketika ditanya tentang penurunan harga minyak tetapi kenapa ketika mahu menaikkan harga minyak, segala aspek terutamanya kesusahan dan penderitaan rakyat sedikit pun tidak dijadikan asas perkiraan?

Hakikat yang sebenarnya kerajaan BN ini teramat panik dan takut apabila harga minyak dipasaran dunia naik suatu ketika dulu, sedangkan laporan dunia ada menyatakan yang kenaikan harga minyak dipasaran dunia itu dulu hanyalah bersifat sementara dan sebagai kerajan yang selalu mengakui amat cekap memerintah negara sepatutnya kerajaan mengambil langkah 'bertahan' terlebih dahulu dengan harga lama (RM 1.92) dan saya amat yakin kerajaan boleh menurunkan lagi harga minyak sehingga ke paras harga RM 1.70.

Berdasarkan laporan APEC dan mengambil kira faktor simpanan semasa minyak dunia dan mengambil kira juga faktor antarabangsa di negara-negara Teluk, di Amerika Syarikat dan sebagainya, Harga minyak dinegara kita pada ketika itu ialah RM1.92 bersamaan pasaran harga minyak dunia sekitar 70-80 dolar setong, cuba tengok pula sekarang ini pasaran harga minyak dunia ialah sekitar 60-70 dolar sahaja setong, Tetapi sekarang kerajaan BN boleh menunjuk kepada semua sekarang yang harga minyak yang dinaikkan 'gila segila gilanya' dulu RM2.70 sudah boleh diturunkan balik sekarang!

Tetapi kerajaan lupa untuk melihat kesan kenaikan harga barangan yang lain turut melambung kenaikan harganya! Kini, walaupun harga minyak sudah masuk kali ke empat diturunkan namun adakah harga barangan lain turut turun? Jawapannya TIDAK malahan ada sesetengah harga barangan makin naik di luar pengetahuan kita sebagai pengguna! Walaupun merayu atau diadakan kempen penurunan harga barangan lain oleh Menteri itu sendiri, namun harganya tetap sama...tetap tidak turun lagi....

No comments: