Saturday, November 8, 2008

RASUAH DAN UMNO IBARAT LAGU DAN IRAMA

Salam pada semua,

Ibarat Lagu dan Irama, begitulah juga Rasuah dan UMNO. Mesyuarat agung bahagian-bahagian parti UMNO diseluruh negara sejak 9 Oktober sehingga 9 November 2008 nanti turut tidak terkecuali dengan pelbagai isu yang diperkatakan orang daripada peringkat rakyat biasa sehingga lah ke peringkat pemimpin-pemimpin negara kita.

Hakikat ini telah diakui sejak awal lagi dan ianya mula serius sebagai satu barah dalaman kepada Umno itu sendiri sejak 2 dekad kebelakangan ini. Rasuah wang dan pelbagai lagi yang dijanjikan ketika pemilihan terutamanya lebih dikenali sebagai Politik Wang didalam parti yang dianggap 'keramat' oleh segolongan orang-orang melayu di Malaysia ini.

Kesan daripada politik atau pun dengan lebih mudah lagi bahasanya sebagai RASUAH ini juga sudah sampai ke peringkat kemuncaknya tahun ini apabila semua jawatan utama didalam Umno di peringkat tertinggi MT ini akan di pertandingkan pada perhimpunan agung UMNO Mac 2009 nanti.

Berbagai pihak terutamanya didalam Umno sendiri telah ramai menimbulkan perkara tentang gejala politik wang ini. Secara asasnya politik wang atau Rasuah ini telah mula berakar umbi apabila MT Umno memperkenalkan sistem kuota untuk setiap jawatan yang bakal di pertandingkan. Sistem ini secara tidak langsung telah menghalang daripada ahli-ahlinya secara bebas untuk bertanding walaupun secara jelas dan nyata didalam perlembagaan parti iaitu dengan setiap 2 percalonan sahaja, seseorang ahli di mana-mana peringkat pun boleh bertanding sebagai calon untuk jawatan-jawatan tertentu walaupun di peringkata jawatan Presiden parti!

Meninjau kembali sejarah sistem kuota ini diperkenalkan ialah bagi mengelak para ahli berebut-rebut untuk menjadi calon apabila berlakunya pertandingan didalam Umno yang cukup dahsyat pada tahun 1987 tatkala Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu sebagai Presiden parti telah ditentang serta diberi saingan yang sengit oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Presiden parti. Akibat perpecahan sehingga pengharaman Umno itu sendiri pada tahun 1988 inilah maka pihak MT memutuskan agar sistem kuota perlu diperkenalkan untuk semua calon yang berhasrat untuk bertanding didalam Umno.

Namun begitu, akibat daripada syarat dan sistem kuota ini jugalah telah menyebabkan gejala rasuah didalam Umno membiak begitu cepat dan berkembang serta bercambah umpama 'cendawan tumbuh selepas hujan'. Tanpa mengambil kira pandangan serta nasihat ahli-ahli parti agar sistem kuota ini tidak perlu diadakan maka inilah akibatnya apa yang telah berlaku didalam parti melayu yang dianggap keramat ini.

Cuba bayangkan apabila di peringkat bawahan pun sistem kuota ini telah dilaksanakan telah pun dikaitkan dengan isu politik atau rasuah wang, apatah lagi sehingga di peringkat tertinggi parti? Apakah jaminan perkara seperti ini tidak akan berlaku? Keputusan pembatalan kemenangan serta hukuman pergantungan ahli terhadap bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Isa Samad oleh Jawatankuasa Disiplin Umno apabila beliau didapati bersalah terlibat dengan gejala politik wang atau dengan bahasa yang cukup mudah dan di fahami melakukan rasuah ketika pemilihan tahun 2004 ini telah membuktikan betapa pemimpin-pemimpin diperingkat parti lagi besar 'langkahnya' didalam polik wang ini.

Didalam Umno, apabila ahli-ahli dikaitkan dengan penglibatan mereka dengan politik wang, ianya tidak dianggap sebagai rasuah! Ini kerana didalam parti ini politik wang itu berbeza dengan rasuah wang walaupun ia turut melibatkan wang suapan! Adalah suatu yang teramat pelik didalam keadaan Pak Lah sebagai Perdana Menteri berkata kita sebagai kerajaan yang bertanggungjawab akan membasmikan segala kegiatan rasuah dan selalu melaung-laungkan bencikan rasuah serta kita perlu bersama-sama membenteraskan rasuah secara besar-besaran di seluruh negara TETAPI pembenterasan gejala ini gagal untuk dilaksanakan didalam Umno agar ahli-ahli perlu bersama-sama membenci rasuah ini. Hakikatnya, perkara ini tidak berlaku didalam parti Umno pimpinannya sendiri!

Ibarat "Ketam mengajar anaknya berjalan lurus, tetapi ibunya sendiri pun berjalan tidak betul" itulah perumpamaan yang sesuai apabila Pak Lah bersungguh-sungguh agar kakitangan kerajaan serta rakyat jelata jangan mengamalkan budaya rasuah tetapi ahli-ahli Umno tetap mengamalkan rasuah tanpa boleh dikawal lagi. ITULAH UMNO....IBARAT LAGU DAN IRAMA TIDAK BOLEH DIPISAHKAN, BEGITU JUGALAH RASUAH DAN UMNO BERPISAH TIADA....

No comments: